Wednesday, November 13, 2013

tiada perasaan






Saya seorangkah yang berperasaan begitu?

Perasaan tentang apa?

Tentang laluan pembeli yang makin sempit di pasar malam Taman Keramat Permai ini. Jarak antara gerai yang bertentangan rasanya hanya sebesar dua punggung. Memang sempit.

Haha.

Ukuran punggung siapa pulak yang menjadi penanda arasnya kan. Itu cuma gambaran yang sengaja saya jadikan ia sedikit keterlaluan, akibat rasa tak suka bila hendak membeli belah di pasar malam.

Petang itu hanya ada 3 buah gerai sahaja yang akan saya tuju.

Gerai nasi ayam, bakso dan keropok lekor.

Itulah menu untuk makan malam saya hari itu. Gerai keropok lekor adalah gerai yang terakhir. 

Saya memberitahu adik penjual keropok tersebut jumlah belian yang saya hendak.  Sambil mengeluarkan duit dari dompet, mata saya terpandang seorang perempuan pengemis yang sedang meriba anaknya.

Tiada perasaan.

Ya..

Saya, waktu itu. Tiada perasaan.

Mata saya beralih semula pada adik penjual keropok. Laju dan tangkas dia memilih keropok lekor dan memasukkannya dalam plastik warna oren. Saya tahu itulah keropok lekor yang saya minta tadi.

Dan saya masih tidak berperasaan

Dik ...

Saya bersuara. Sebenarnya setelah berlawan dengan diri sendiri, sama ada hendak bertanya atau tidak, saya akhirnya bersuara.

Adik tersebut berhenti tiba-tiba. Seperti telah melakukan kesalahan dalam pengiraan keropok lekor yang sepatutnya dimasukkan.

Err... tadi akak mintak berapa ringgit?

Bukan 4 ringgit ke? Dia bertanya saya, seperti takut tersalah dengar.

Oh! Saya mintak 4 ringgit ya? Saya dah lupa saya mintak berapa..

Adik itu tergelak. Menggelakkan saya, saya kira. Hanya baru beberapa minit mengajukan permintaan, terus lupa apa yang saya minta.

Tanda-tanda kah itu?

Tanda apa?

Penuaan.

Banyak kerja ke kak? Haha...

Masih lagi dia menggelakkan saya. Saya pun ikut gelak sama. Kerana waktu itu terasa lucu sungguh.

Banyak kerja kah?

Sambil melangkah balik, saya perhatikan wanita pengemis itu. Berkulit halus, manis wajahnya, dan anak yang diribanya itu lena sedang nyenyak tidur.

sumber


Cuma satu jalur fikiran yang melintas dalam kepala.

Ketentuan Allah, bukan saya yang bersimpuh di situ meriba anak saya. Jikalah Allah mentakdirkan saya lahir sebagai dia? Adakah saya juga akan seperti itu.

Bersyukur itu lebih berat dari bersabar, sebenarnya, kan.



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 4, 2013

landut, kendur





Saya ketawa berseorangan menatap gambar yang dikirim oleh rakan baik saya dalam wassap di henfon.



Saya pasti wanita tua berkaca mata itu adalah mewakilkan saya dalam 20 tahun akan datang nanti. Itu pun jika Allah membenarkan usia saya sepanjang itu.

Dagu saya ke tu? Wow.. Haha

Isu dagu berlapis adalah isu yang timbul beberapa hari ini akibat gambar waktu majlis makan malam anjuran kelab guru sekolah saya yang lepas.

Dagu saya. Berlapis. Memang… haha

Secara positifnya menggambarkan kemewahan hidup di hujung usia. Kan…

Baca ke tak 'phrase' kat bawah tu?

Mesej seterusnya daripada sahabat saya menyedarkan bahawa saya tidak melihat keseluruhan gambar dan memberi fokus yang salah.



Bahagian yang bawah itu tambah melebarkan senyum dan memanjangkan deraian ketawa kecil saya.

Boobs  dan  sag adalah dua perkataan yang sangat sinonim dengan ketuaan dan ketakutan.

Boobs adalah perkataan slanga, tidak tergolong dalam bahasa Baku Bahasa Inggeris, merujuk kepada buah dada.

Sag  membawa maksud rebeh, landut, kendur  atau menjadi lemah berdasarkan penterjemahan oleh DBP online.

Jika diterjemah secara kasarnya

P.S  Saya harap buah dada awak rebeh/landut/kendur dahulu.

Hahaha

Kita sedar  sahabat kita itu adalah  yang terbaik bila mana kita boleh mentertawakan satu sama lain tanpa rasa bersalah. Menerima kelemahan sahabat kita tanpa merasakan dia lemah. Tetap berada di sisinya dalam saat dia tersungkur jatuh atau saat dia berada di puncak bahagia.

Sahabat yang baik sentiasa mendoakan yang baik-baik. Mengasihinya kerana Allah, bukan kerana fizikal atau material yang dimilikinya. Hati mereka saling bertaut meski jarak memisahkan.

Dan sesungguhnya bukan semua orang diberi Allah peluang memiliki dan menemui sahabat yang sedemikian rupa.

Semoga tahun baru yang mendatang ini menambah nilai dalam hidup saya dan orang-orang yang saya sayangi di sekeliling.

Walk with me through this path .. together.





Salam Maal Hijrah

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, October 28, 2013

e-salam





"Sasaran Kerja Tahunan perlu dihantar esok, borang e-prestasi bahagian 80% perlu diisi dan dihantar juga, kertas peperiksaan Ting. 4 akhir tahun juga perlu dilunasi, kertas peperiksaan PMR juga perlu disemak beratus keping, mana satu nak buat dulu Kak Normah. Anak-anak pula main kejar-kejar dalam rumah..."

Yang mana satu perlu dilihat dahulu?

Persoalan yang tidak diminta jawapan sebenarnya. Ia lebih kepada luahan hati dan perasaan.

Tengoklah anak dahulu.

Jawapan saya.

Jika di rumah, tengoklah anak dahulu sementara anak itu masih kecil lagi. Sementara mereka masih jaga dan belum lagi diulit mimpi.

Nanti bila mereka sudah lena dan anda masih lagi punya tenaga dan semangat, maka bersengkang matalah. Tetapi jika itu pun masih kurang upaya, berehatlah. Itulah yang terbaik, saya kira.

Setelah lebih 20 tahun dalam bidang perguruan, saya merasakan perjalanan dalam bidang ini menjadi semakin sangat mencabar dan menguji. Ia bukan sahaja lagi melibatkan cabaran kerenah anak murid, kerana bagi saya  anak-anak murid adalah merupakan pelanggan utama dan cabaran tersebut memang sedia dimaklumi.

Tetapi, kerenah birokrasi yang kononnya mahu menuju ke arah "paperless" menambahkan bebanan bentuk baru.





e-operasi, e-prihatin, e-prestasi, saps, spbs, e-splg, sarana ..... itu antara perkara-perkara yang telah di'online'kan serta perlu diberi perhatian oleh guru-guru semua. Ah ... online kan mudah. Klik sahaja!

Mudah , kalau tapaknya adalah facebook.. Kalau!

Tapi sistem yang baru dibangunkan oleh unit yang pelbagai ini di KPM, saya kira atau yang berkait dengan sistem pendidikan di Malaysia ini sangat tidak stabil dan masih dalam peringkat rintisan lagi.

Menjadi payah dan menjadi sumber baru bagi faktor meningkatkan tekanan darah tinggi. 

Apa pun, dalam pada kami membebel dan mengeluh ini, tetap kami penuhi segala kehendak. Pasti. Dengan izin Allah, yang payah akan jadi mudah juga satu hari nanti.

Itulah yang menjadi harapan.

e-Salam dari saya.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, October 23, 2013

Ralat




Waktu-waktu kecemasan dalam sesebuah perlawanan bolasepak, bagaimanakah agaknya perasaan semua yang berada pada saat itu?

Degup jantung paling laju. Debar di dada begitu kencang hinggakan terasa seperti sedang berlari berkilometer jaraknya, kan. 

Begitulah yang sedang dirasa sekarang di sekolah. Ramai yang bersetuju pastinya. Rakan-rakan guru yang mengajar anak-anak di Tingkatan 5 pasti dapat membayangkan rasa sedemikian rupa. Apatah lagi ibu bapa yang punyai anak-anak di Tingkatan 5. Pasti tak sudah memohon doa agar anak masing-masing bisa memperoleh keputusan yang terbaik dan membanggakan.




Dan saat-saat inilah juga ramai guru yang akan terlibat dengan pelbagai mesyuarat dan kursus di luar. Phew!!! Nak marah pun ada, merajuk pun hendak juga kalau boleh.  Tapi nak merajuk dengan siapa pun tak tahu sebenarnya. Terutama bagi guru-guru yang mengajar anak-anak di Tingkatan 5 ini.

Analoginya seperti menonton bolasepak di saat akhir. Cubalah bayangkan, saat sedang asyik menonton di tv perlawanan bola di saat-saat terakhir permainan, gangguan elektrik pula. Ha... tidak ke rasa seperti hendak menyumpah tapi tak tahu nak menyumpah kepada siapa.

Ya, lebih kurang begitulah ceritanya, kami ini sekarang.

Saya tidak tahulah situasi di tempat lain.

Tapi di sekitar tempat saya mengajar ini begitulah ceritanya.

Bertambah lagilah dengan dasar KPM yang terkini dalam pelaksanaan KBAT dalam Pengajaran dan Pembelajaran di sekolah bermula 2014 nanti. Latihan dan bengkel, taklimat dan kursus perlu dihadiri oleh guru sekarang. Sebabnya? Waktu cuti yang tidak seberapa itu, ramai yang akan terlibat dengan pengawasan peperiksaan awam seperti SPM dan STPM . Kemudian dari itu, penandaan kertas peperiksaan yang tersebut itu pula bermula. Tidak semua guru yang dapat menghadiri  latihan, bengkel, taklimat atau kursus berkaitan KBAT ini pada waktu cuti disebabkan masalah tersebut. Jadi sementara peperiksaan awam belum bermula, guru-guru inilah yang akan dipanggil keluar meninggalkan sementara anak-anak tersebut.

Tugas. 

Bukan merungut tidak dapat berehat.

Bukan.

Jangan salah anggap.

Cuma rasa ralat meninggalkan anak-anak ini saat peperiksaan sudah dekat benar. Ulangkaji bersama mereka itu yang terasa begitu besar kerugiannya. Itu sahaja. Bukan atas sebab yang lain.

Namun saya masih percaya, Allah akan memudahkan dan memberikan yang terbaik atas segala usaha.

Positif.

:)

~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...