Monday, February 4, 2019

Mak nak kawin lagi ke?






"Mak tak nak kahwin lagi ke?"


Waktu itu, saya dan dua orang sepupu sedang duduk melepas lelah sebentar. Sengaja mencari idea bersembang, saya mengusap belakang emak sambil bertanya.


"Ah, kalau tanya 20 tahun lepas mungkin jugak...," balas emak sambil ketawa kecil.


"Masa tu mak umur 52 tahun, masa abah meninggal. Ni dah 72 , ah tak kuasa nak kawin lagi..." 


Kami hanya tertawa kecil. Silap lah 20 tahun lepas tak bertanya  pada mak. 😂


Rupanya sudah 20 tahun  abah meninggalkan kami. 😢


"Along taklah. Memang setakat ini tidaklah nak kahwin lain...,"  ada getar sedih dalam nada suara sepupu saya.  Sebak yang bersarang dalam dadanya ditahan kuat agar tidak melimpah keluar.


Kesedihan atas kematian suaminya hampir 2 tahun lepas masih membekas dalam. Betullah, kerinduan yang tiada penghujung itu hanya dirasai oleh mereka yang melaluinya.

Ah, tiada niat mengembalikan kesedihan. 





Kesedihan kerana kehilangan insan-insan yang kita sayangi akan surut bila masanya tiba, tetapi kerinduan terhadap insan-insan tersebut tidak akan pernah padam.


Percayalah.


Ingatan terhadap insan yang kita sayangi akan berputar datang tanpa perlu kita minta. Ia datang dan pergi dalam kotak memori. Dan waktu-waktu ia menyinggah itu, rasa sayu jauh ke dalam menjalar seluruh dada. Sungguh! 


Dan kelibat insan itu seolah masih baru, berputar seperti jalur filem dalam ingatan. Hanya kita yang dapat melihatnya, tidak dapat kita kongsi dan dipanjangkan pada insan lain. Sayu dan rindu itu juga tidak bisa kita hulurkan pada orang lain untuk turut sama dijamah dan diratah. 

Allah sahaja yang tahu.



Faham sangat dengan rintihan hati sahabat saya ini. Setiap insan yang kita sayangi itu, tiada gantinya yang lain. Hanya kematian yang bisa mengajar kita apa itu erti tiada galang ganti.




Dan kita yang tinggal ini ....... , menunggu giliran. Hanya doa yang dapat kita jadikan bekal buat insan-insan yang sedang menunggu kita. Doa moga Allah ampuni dosa-dosa kita dan dosa-dosa insan-insan yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi. Moga Allah tempatkan mereka dalam kalangan orang-orang soleh yang diredhaiNya.


Hanya itu upaya kita, hanya itu daya kita.


Dan doa saya, semoga Allah memberi ketenangan dan kekuatan hati buat mereka yang sedang dalam kerinduan yang tidak bertepi ini. Moga Allah tunjukkan jalan memujuk hati mereka yang resah dilanda sedih yang menusuk jauh ke dalam dada. 


Allah itu Maha Kuasa, Dia yang Maha Tahu dan kepadaNya sahaja kita berserah.


Salam kasih.


~cikgunormah @klcitizen~










Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 1, 2019

Imigran





Lewat kebelakangan ini, saya menyedari beberapa perubahan dalam diri saya.


Selain dari uban di rambut makin bertambah, mata yang rabun makin bertambah rabun dan malas hendak mengemas rumah apatah lagi memasak, ada lagi perubahan lain yang saya kira disebabkan oleh faktor usia juga.


Sekarang ini makin kurang minat membaca novel, tetapi lebih gemar membaca buku-buku yang lebih serius nadanya. Hahaha... macam lah serius sangat. Disebabkan buku yang dibaca tu seriuslah kononnya, maka makin sukar dan lambat pula nak menghabiskan membacanya. Alasan yang logik dan boleh diterima pakai kan....




Buku ini saya beli dalam bentuk e-book. Konon-konon nak mengamalkan gaya hidup Konmari , nak rumah tidak ditenggelami dengan objek, maka saya mencuba membaca melalui e-book.


Secara keseluruhannya, buku ini memang best. Boleh baca review yang best juga di sini. Kisah kemanusiaan yang saya fikir terpakai untuk di mana sahaja yang melibatkan golongan pendatang atau imigran.


Buku ini menjadikan objek utamanya, pelajar-pelajar dari golongan imigran yang bersekolah di South High School di Denver. Penulisnya, seorang wartawan terkenal, Helen Thorpe , telah menelusuri kehidupan 22 orang pelajar immigran ini selama setahun di dalam kelas dan di luar kelas mereka, di rumah.


Ada saat bila membacanya, saya mempersoalkan semula cara fikir saya dan pandang mata saya terhadap golongan imigran yang berhijrah atas sebab berusaha melepaskan diri dari kemelut hidup di negara asal mereka sendiri.


Ada satu perkara yang menarik perhatian saya bila membaca buku ini. Ini berkait dengan sistem pendidikan di sana.


Salah satunya ialah fleksibiliti sistem untuk memenuhi keperluan pelajar-pelajar imigran ini. Pelajar-pelajar ini perlu menghadiri kelas Bahasa Inggeris sepenuhnya buat beberapa bulan awal supaya boleh beradaptasi dengan suasana di sekolah. Setelah guru kelasnya berpuas hati dengan keupayaan pelajar tersebut, mereka akan diserap masuk ke kelas advanced


Satu perkara lagi yang menarik ialah aliran maklumat antara kementerian berbeza berlaku dengan pantas dan berkesan. Dalam hal The Newcomers, salah seorang pelajar imigran ini telah mengalami kemalangan yang teruk. Setelah beberapa lama di hospital, doktor yang merawatnya berpendapat, penyembuhan akan lebih cepat berlaku, jika pelajar ini kembali ke sekolah dan bersosialisai dengan rakan-rakannya.


Yang bestnya ialah, hari pertama pelajar itu sampai di sekolah, kaki tangan di sekolah telah sedia dimaklumkan oleh pihak hospital tentang keadaan pelajar dan guru kaunselingnya telah bersedia dengan rekod kesihatan pelajar yang telah diterima dari pihak hospital. Bukan diterima dari ibu bapa pun. Sebab ibu pelajar ini pendatang yang sukar berkomunikasi dengan orang tempatan.


Kelicinan urusan perkongsian maklumat ini memang susah sangat lah hendak dilihat di negara kita.


Sedangkan bila pelajar sihat berpindah sekolah pun, berlaku keciciran markah kokurikulum atas pelbagai alasan. Sedangkan ia berada dalam satu kementerian. Apatah lagi pula, kalau masalah kesihatan yang melibatkan dua kementerian yang berbeza.


Mau nak tercabut wayar telefon kut kalau cikgu sekolah mintak maklumat kesihatan pelajar dari pihak hospital .. 
😂


Akhir kalam... kahkahkah... jarang betul saya mengguna perkataan akhir kalam ni, cubalah baca buku ini, sedikit kelainan mungkin dalam genre bacaan kawan-kawan semua.

Selamat bercuti Tahun Baru Cina semua.

Mungkin ada yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya saat ini. Saya doakan semuanya semoga Allah permudahkan.



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 21, 2019

Kais pagila besok ....



Muka kakak tu nampak risau. Entah apa yang ada dalam fikirannya. Saya cuba senyum ke arahnya. Tapi jelas, fikirannya tidak di situ. 

"Camanalah nak bagi duit ni ke kampung," dia mengeluh antara dengar dan tidak.

Walaupun masalah saya agak hampir sama dengan kakak itu waktu itu, tetapi masalah beliau mungkin lagi besar dari saya.

"Pagi tadi dah datang, nak keluarkan duit. Tutup ATM ni. Sampai sekarang tutup," keluhnya lagi.

Saya pun bingung waktu itu. Sabtu petang, 20 Januari 2019.

Dua tiga tempat mesin ATM saya pergi tapi semuanya hampa. Ingatkan kad sendiri bermasalah, rupanya sistem BSN yang problem besar nampaknya. Itu pun saya tahu apabila cuba menelefon Customer Service, konon-konon nak meluah rasa jengkel. Rupa-rupanya makcik komputer ala-ala Siri dalam tu bagi tahu sistem sedang dalam baik pulih.

Bila ke laman web BSN, hanya makluman Mat London yang tertera. Camanalah orang-orang old school  yang tak reti internet dan omputih ni nak tahu yang sistem BSN sedang bermasalah. Press release kat The Star pun pukul 5:36 pm hari Isnin. 

ni speaking London petang Sabtu 20/1/19



ni harini, Ahad  21.1.19, tengok dah dalam BM


Bila menyinggah di Facebook BSN  rupanya dah 4 hari benda ni. Haduila BSN.

Ada 2 perkara dalam kepala saya sekarang ini:

  1. Dalam minggu ni nak cuba tukarlah bank gaji . 
  2. Nasib baik bukan saya yang duduk bekerja dalam BSN tu tukang perbetui sistem. Memang panas punggung dan panas satu badan lah dok orang menyumpah tak boleh nak keluarkan duit .
Doakanlah kawan-kawan semua, untuk semua yang dilanda ujian terpalit dari masalah BSN ni. 

Untuk yang risaukan saya sama ada saya ada duit belanja ke tidak esok...

Alhamdulillah saya masih boleh mengais pagi esok di kafe sekolah 😉

hehehe ...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 8, 2018

Kuat semangat





"Kau kena pergi nanti tau! Pukul 11.15 punya. Kelas kita dah sudah. Jangan tak pergi. Nanti dapat nota untuk kertas 3 ." Halus suaranya mengingatkan rakannya. 

Ada nada cemas dan khuatir kalau-kalau sahabat sekelasnya itu ingkar dan tidak mahu turut serta dalam bengkel Sejarah Kertas 3 pagi itu.

Saya mendengar dengan bangga. Kenapa bangga? 

Gadis sekecil ini begitu prihatin dengan rakan-rakan sekelasnya. Kelas PAV (Pendidikan Asas Vokasional) ini tidak ramai pelajarnya. Dari 12 orang, hanya tinggal 10 orang sahaja yang ada. 

Baru tahun ini saya mengajar mereka matapelajaran Sains SPM. 

Dek kerana sistem dan dasar yang saya pun kurang arif, mereka ini terpaksa  mengambil masa tak sampai setahun pun untuk melengkapkan silibus Sains SPM ting 4 dan Ting 5 tahun ini. 

Pun begitu, kuat semangat dan positifnya sikap mereka amat saya kagumi. 

Lebih-lebih lagi pelajar-pelajar perempuan dalam kelas ini, sentiasa ceria, mengambil berat dan kerap juga membebel menasihat sebahagian rakan-rakan lelaki sekelas mereka yang kadang-kadang culas dan malas. 😀

Dua orang lagi tak hadir masa ni ..


Sempena peperiksaan SPM yang tak berapa lama sahaja lagi ni, saya mendoakan semua kamu, Alia, Aina, Elisya, Izzati, Syahmin, Faiz, Nik, Rahman, Afiq dan Haziq Fitri semoga Allah kurniakan kejayaan hidup dunia akhirat buat kamu semua. 

Semoga dengan keputusan SPM yang ada nanti, ia menjadi asbab bagi kamu semua memperoleh kebahagiaan hidup dan menjadi hamba Allah yang berbakti kepada yang sepatutnya.

Salam kasih.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...