Monday, December 13, 2010

derita ditinggal kekasih, siapa yang boleh merawatnya?

Setelah melepasi usia 40an ini saya pasti masing-masing di luar sana pernah mengalami patah hati akibat cintakan seseorang satu waktu dulu. Kalau pun mungkin ada yang masih belum, saya pasti satu hari nanti hati anda akan dikecewakan oleh seseorang yang anda kasihi.

Bercinta adalah tabii dan firah manusia. Bercintalah kerana Allah.... itu yang pasti ramai sarankan. Tetapi ia bukan mudah seperti yang dicadang. Sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari dari kasihkan insan lain. Dan lumrah juga, hati manusia tidak selalunya tetap, apatah lagi kalau kasih yang tercurah masih belum dimeterai dengan ikatan perkahwinan. Sedangkan sudah bergelar suami isteri lagi kan boleh berpisah atas banyak sebab ini kan pula sekadar bercinta-cinta.

Membaca blog rakan-rakan muda yang mencurah rasa hati akibat kecewa, juga dalam twitter ... terasa juga beban yang terpikul dalam jiwa mereka.

Apabila hubungan terputus, kesedihan itu memang pasti bertapak. Ia tidak boleh dielakkan. Jiwa menderita, menangisi dalam kerinduan pada hari-hari dan kenangan yang telah bersama dicipta. Menangislah... itu yang saya sarankan. Tangisan  yang Allah kurniakan ibarat ubat yang merawat jiwa yang terluka. Lebih baik menangis bersendirian, di waktu malam sambil memohon dan berharap pada Allah agar hati yang terluka segera disembuhkan.

Janganlah melayan hati dengan mendengar lagu-lagu cinta. Ia akan tambah merobek hati yang sedia luka. Masa yang lapang pastinya eloklah diisi dengan membaca quran berulang kali beserta terjemahannya. Janganlah cuba-cuba ingin tahu tentang perkembangan si dia yang telah melukakan hati kerana ia hanya kerja sia-sia. Biarkan si dia. Sibukkan diri sendiri dengan kerja, hatta mengemas rumah atau mengemas bilik sendiri.

Kalau boleh pergi jauh dari si dia. Putuskan segala hubungan yang mungkin. Hati yang terluka perlu masa untuk disembuhkan. Paling cepat setahun.... Hati akan kembali biasa dan bahagia.

Ubat yang paling berkesan adalah pasrah pada Allah.  Ujian kecil ini yang kita rasakan ujian maha hebat pada waktu dan ketika itu pastinya bersebab. Hati yang luka biasanya  lebih mendekatkan diri kita pada Allah Yang Maha Kuasa. Itu antara sebab yang saya kira kenapa ujian patah hati ini... supaya kita kembali semula padaNya.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 12, 2010

kalaulah saya datuk siti ....

Baru hendak belajar berjinak-jinak makan oat, itu pun setelah dua orang kenalan  guru merekomen beriya-iya. Ilmu tentang kebaikan oat bukannya tidak ada dalam kepala, tetapi seperti biasa, ilmu yang tidak diamalkan ia ibarat karat yang tidak membawa makna.

Tujuan utama bagi saya hendak makan oat ini ialah hendak menguruskan badan dan merendahkan tahap kolesterol. Tidak ada tujuan lain yang lebih hakiki. Usaha hendak menguruskan badan ini sudah lama dan setelah sekian lama tersebut jarang benar menampakkan hasil yang ketara.

Sebenarnya bukan kisah oat itu yang ingin dijadikan topik entri kali ini. 

Petang tadi membeli oat di Giant Hypermarket cawangan Setiawangsa. Memang biasanya di situlah tempat membeli belah barangan dapur saya. Selesai membayar, saya ke kaunter untuk mengambil hadiah percuma, kerana rupanya paket oat yang saya beli layak mendapat bekas plastik empat segi  kecil  secara percuma.

Apa isunya ya? Dua petugas di kaunter percuma itu yang menjadi isunya..... Masam mencuka menyambut saya. Duduk dan tidak bertanya apa pun. Saya mengeluarkan resit dan menunjukkan oat saya. Diam sahaja tidak berganjak. Masih masam seolah marahkan saya mengganggu ketenangan kemasaman mereka.

Dalam seminit dua, bangun salah seorang dari mereka, bergerak ke belakang lalu mengambil hadiah percuma tersebut dan meletakkannya di hadapan saya tanpa sepatah kata. Saya membuat anggapan sendiri yang bekas plastik tersebut adalah kepunyaan saya. 

"Terima kasih,"  kata saya...namun tiada respons.

Itulah isunya yang sebenar. Sikap.  Agaknya kalau saya ni Minah Salleh (orang putih) agaknya macamana ya layanan mereka... Saya kira lebih baik kut. Biasanya orang kita lebih mesra dengan pelancong asing dari sesama kita. 

Kalau saya Siti Nurhaliza pulak... camanalah agaknya ya? Tapi... saya rasa Siti Nurhaliza takkan minta hadiah percuma tu kan...... :)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 11, 2010

secebis pengalaman

Balik dari bercuti sempat juga mengupdate entri, tetapi kemudian terhenti pula. Bukannya kerana apa, cuma badan tidak berapa sihat sekembali dari China, batuk dan selesema beserta demam menyerang. Alhamdulillah, hari ini semangat menulis datang semula kerana kesihatan sudah bertambah baik.

Sebenarnya tidak banyak mana pun hendak bercerita tentang pengalaman di Shenzhen-Hong Kong dan Guongzhou tersebut. Saya pasti ramai yang punya cerita lebih menarik tentang perjalanan ke luar negara berbanding dengan perjalanan saya.

Apa yang pasti, setiap kali ke luar negara (chewah....macam banyak sangatlah berjalan tu kan..... sebenarnya tak banyak mana tapi adalah dua tiga buah tempat yang saya sempat berkunjung selain China), perkara paling penting yang perlu dibawa ialah ubat-ubat sakit pening kita. Bawaklah panadol ke, ubat selesema, minyak angin, ubat demam, ubat sakit perut, ubat tahan berak.... dsb., sebab kalau sudah tidak sihat di negara orang memang sangat payah. Apatah lagi di China, majoriti penduduknya tidak pandai berbahasa Inggeris, hendak bertanya arah ke toilet pun boleh menjadi satu igauan.

Selain itu, banyakkan minum air dan makan buah-buahan bila di negara orang supaya kita mudah membuang air besar. Ini sangat penting, sebab selalunya masalah utama bertukar tempat ialah payah membuang air besar, kalau ini terjadi memang payah... angin naik ke kepala, sakit kepala berpanjangan beserta tidak selesa akan merosakkan percutian kita. Bayar mahal-mahal bercuti keluar negara tetapi tidak dapat enjoy di sana memang merugikan.

Lagi satu, bila berada di tempat orang pastikan ada botol air mineral kosong dalam beg. Ini tujuannya bila hendak ke tandas. Tandas di negara orang memang tidak ada paip di dalamnya kecuali di sinki luar sahaja, jadi acara basuh membasuh di dalam tandas akan menjadi payah. 

Akhir sekali, saya selalu membawa stokin dan sarung lengan di isi dalam beg untuk memudahkan bila hendak mengerjakan solat di luar. Kalau nak bawak telekung berbeg-beg itu agak payah juga, jadi stokin dan sarung lengan agak memudahkan.

Ada beberapa gambar yang ingin saya kongsikan, walau gambar tidak berapa cantik sebab diambil hanya dengan handphone cap ayam saya, tetapi harap dapat manafaat bersama.

Ini makcik-makcik Muslim Cina yang tidak pandai berbahasa Inggeris.
Bercakap dengan mereka ibarat itik dan ayam bersembang.
Namun di akhir pertemuan mereka menghadiahkan pada saya
buah lai dan buah epal tanda persaudaraan.
Berjumpa mereka semasa menziarah makam Saad bin Abi Waqas

Ini anak kepada salah seorang makcik di atas beserta cucunya.

Gambar di dalam masjid tertua di China.

Kenderaan polis dalam kawasan membeli belah.

Pada hari ketiga bersolat di musolla di sebuah restoran muslim,
terdapat kopiah yang boleh diguna oleh sesiapa di muka pintu.

Salah sebuah restoran muslim di Shenzhen, China.

Tempat mengambil wuduk di luar musolla, teko-teko ini fungsinya untuk diisi air bila hendak ke toilet.

Bersama Mr M, yang menjadi tour guide kami.
Tidak beragama tetapi sangat memahami kehendak kami untuk beribadat.

Memanglah banyak lagi gambar-gambar di sana, tetapi rasanya gambar-gambar biasa sahaja. Lepas ini sibuk bersiap-siap membeli barangan Harith untuk ke sekolah pula dan melihat  kerja-kerja  sekolah yang patut.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, December 9, 2010

mamak juga yang melekat di hati...





Menyepi diri sekian lama di waktu cuti sekolah ini memang bukan perkara luar biasa. Nasib masih baik kerana masih ingat password untuk membuka akaun google untuk mengemas kini blog yang sudah terbiar.

Cuti-cuti ini apa lagi aktivitinya kan... melanconglah. Cuma kali ini agak jauh juga berjalan bersama keluarga dan teman baru. Mungkin sudah ramai yang sampai ke sana, tetapi buat saya sekeluarga, ini kali pertama ke sana.


Ha... pergi ke China, bersama Ustaz Nazrey. Harith anak saya di belakang sekali berbaju merah tu. Gambar di atas diambil pada hari keempat di hadapan masjid yang baru dibina bersebelahan dengan makam sahabat nabi iaitu Saad bin Abi Waqas. Walau masih ada khilaf tentang benar atau tidak makamnya di sana, tetapi ramai juga yang sudah berziarah.

Sempat juga ke Disneyland, Hong Kong dalam acara bercuti kami kali ini. Semuanya dalam pakej ke Shenzhen-Hong Kong-Guongzhou, 3 Disember - 8 Disember ,  tersebut. 


Apa pun.... yang terbaik masih  di Malaysia!

*masih belum sempat membalas komen dan berziarah blog rakan-rakan... kerana hajat di hati nak makan roti canai dan minum teh tarik  mamak belum dapat terlaksana lagi..

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...