Friday, April 27, 2012

kontang

Update lah blog.

Perlahan suaranya, antara dengar dan tidak. Pembaca tegar itu mengingatkan saya, mengembalikan semula semangat untuk menulis. Walau saya tahu, menulis kali ini membawa bersama idea kontang, mengiring setiap ayat dan patah kata.

Ah, pedulikan.

Yang penting, tetap mahu menulis, mengasah minda dan akal menyusun aksara. Agar tidak nanti berkarat, jumud  dan beku.

Cikgu, macamana nak isi yang ini ?

Saya menghampiri pelajar itu, berkulit hitam manis, semanis senyumnya. Berkaca mata empat segi sisi hitam, ditempatkan oleh saya di tepi tingkap. 

Waktu itu sesi menjawab soal selidik PISA. Bertanyakan hal peribadi pelajar. Tentang bagaimana mereka, pelajar-pelajar usia 16 tahun seluruh dunia yang turut serta dalam program PISA itu,  menghabiskan masa mereka, bertanyakan tentang  ibu bapa mereka, tahap pendidikan ibu bapa dan sebagainya.

contoh buku soalan PISA - sumber 

Oh, isi jelah. Dia nak tahu pekerjaan ibu kamu. Kalau ibu kamu sudah berhenti kerja, tuliskan jawatannya yang terakhir. Faham?

Saya cuba menerang selembut mungkin. Kerana kehendak soalan sangat jelas, tiada apa yang boleh menjadikan ianya keliru. Dan saya tidak faham kenapa pelajar ini sukar menjawab.

Mereka ini dipilih secara rawak, dan saya tidak kenal si dia yang bertanya. Tidak tahu tahap pencapaiannya, kefahamannya membaca soalan atau menganalisa kehendak soalan.

Jadi, mungkin, fikir saya, dia ini memang lemah.

Tapi, emak saya dah meninggal dunia. Macamana saya nak isi?

Hati saya dijentik halus. Ah, membuat kesimpulan awal tanpa tahu kisah hidupnya. Teruknya saya. Siang-siang melabel tanpa ada rasa bersalah. 

Tapi, setelah tahu secubit kisahnya rasa bersalah memanjat perlahan.

Oh, kalau begitu awak tulis pekerjaannya yang terakhir sebelum meninggal dunia. Bila emak kamu meninggal dunia?

Dua tahun lepas.

Ringkas jawapannya. Dan dia terus menulis di ruangan yang tersedia. Saya meneruskan langkah.

Cikgu!

Ah ! Dia lagi. Dan masih senyum yang sama di wajahnya.

Menghampiri dia, saya membaca soalan yang tertera . Perihal bapa. Peringkat pengajian bapanya yang tertinggi yang dicapai.

Cikgu, saya tak tahu bapa saya.

Kali ini hati saya bukan lagi dijentik. Hati saya seperti dihiris sembilu, halus.

Oh, awak tak kenal ayah awak?

Dia mengangguk perlahan.

Err ....

Teragak-agak mencari jawapan. Sayalah.

Awak letak je, Sekolah Menengah Atas. Sebab lazimnya, sekarang, orang mesti habis belajar sampai SPM, kan.

Ah.

Bagaimana, ya? 

Anak semuda itu begitu kuat kelihatan, menjalani hidupnya. 

Perlahan, dari jauh, saya mendoakan kekuatan dan kejayaan  dalam hidupnya .



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 24, 2012

tak sabar




Orang yang kelihatan lembut tu sebenarnya keras hatinya.

Dan tidak sabar , mungkin.

Biasa juga saya dengar, teori dan kenyataan sebegitu rupa.

Patience-الصّبر

Farhan, tengok baik-baik. 

Badannya besar. Hitam manis. Sering merajuk dalam kelas, jika tidak dilayan pertanyaannya yang kerap juga berulang, dalam lingkungan soalan yang sama. Bila merajuk , dia lantas mendiamkan diri, berpeluk tubuh, dan ada kala meletakkan kepala dia atas meja, bersedih.

Kelas Tingkatan Dua. Sudah hampir dua tahun mengajar si Farhan ini. Sudah tahu kerenah dan tingkahnya.

Menerang, langkah demi langkah. Satu-satu. Nasib baiklah rakan-rakan yang lain di kelas paling hujung ini tidak membantah, turut sama mengulang, dan mengulang.

Mengajar Matematik. Seringkas mungkin dan cuba sedaya boleh memudahkan.

Tajuk algebra. Merangkak. Perlahan.

Okay. Farhan ,  2a , maksudnya apa?

2a tu maksudnya dua darab a.

Bagus.

Dia sengih. Puas.

Okay, sekarang, jika a itu diberi nilai 3, macamana kita nak tulis dan selesaikan 2a tu?

Dua darab tiga lah cikgu.

Bagus. Okay, jadi jawapannya berapa? Dua darab tiga?

Pelajar yang lain pula menjawab beramai-ramai ... Enam!!

Bagus. Enam. Faham tak Farhan?

Faham, saya faham cikgu.

Dia sengih lebar. Tanda faham dan puas hatinya kerana faham. Bersegera dia menulis dalam bukunya , menyelesaikan persoalan mencari nilai '2a'.

Lega? Sayalah.

Entah.

Kerana saya tahu, kepuasan itu tidak lama.

Cikgu!

Selesai dia menulis, si Farhan memandang saya. Dan merenung semula tulisan dan penyelesaian yang saya buat di papan putih.

Bukan jawapan dia 5 ke cikgu?

Kenapa?

2a tu kan dua campur a. Dua campur tiga bukan lima ke cikgu?

Dua darab tiga, Farhan !

Suara saya! Sudah di aras getaran tinggi dari biasa.

Kenapa dua darab tiga cikgu? Tadi, kan 2a tu, dua campur a.

Ah...

Adui...!

'Sabar' saya sudah berlari ke belakang kelas!



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 20, 2012

tak mau !

Pagi yang tergesa.

Dan hari yang memenatkan.

Musim acara di sekolah kembali lagi. Hari Anugerah Cemerlang. Pasti banyak sekolah yang sudah habis melaksanakannya dan ada juga yang masih mengira hari menanti pelaksanaannya. Hari ini raptai penuh di sekolah. Ah, bukan saya sahaja yang penat. Ramai lagi yang lebih penat dari saya. Rutin setiap kali acara berlangsung di sekolah.

Hanya yang tahu saja yang faham kan.

Kenapa ni?

Waktu senggang sebelum sesi seterusnya bermula. Ternampak pelajar itu terduduk di atas tangga. Aliya.  Pelajar PPKI (Program Pendidikan Khas Intergrasi) , istimewa dengan keunikannya yang tersendiri. Tangan kanannya mengurut kakinya perlahan.

Di sebelahnya , pembantu guru PPKI, sibuk memujuk.

Jom Aliya. Jom naik atas.

Tak mau. Tak mau. Kaki kita kaki plastik.

Sambil itu dia mengurut kakinya. Mukanya menahan sakit. 

Saya menghampiri mereka berdua. Khuatir jika ada yang tak kena dan mungkin saya boleh menghulurkan bantuan.

Kaki dia ni kaki plastik ke?

Tanya saya perlahan pada pembantu guru tersebut. Manalah tahu, kan. Pelajar-pelajar istimewa ini punya pelbagai masalah tersendiri dan hanya guru-guru mereka yang terlibat sahaja yang faham dan tahu. Dan saya sebagai guru yang tidak terlibat langsung dengan pengajaran dan pembelajaran mereka ini memang tidak arif.

Pembantu guru itu menggeleng sambil tersenyum. Menidakkan alasan si Aliya untuk tidak mahu masuk ke kelas.

Cikgu, cikgu... atok kita meninggal.

Aliya menarik lengan baju saya bila saya menghampiri. Dan dia mengesat hujung matanya.

Eh, bila? Bila atok meninggal? Tadi?

Simpati pula melihat keadaanya di situ.

Aliya mengangguk. Pembantu guru tersebut yang melihat hanya tersengih. Dan segera saya dapat  menangkap gaya sengih dia.

Bila atok meninggal Aliya?

Saya cuba memancing.

Semalam atok meninggal ke atau esok atok meninggal?

Aliya pandang muka saya. Tangannya masih menarik hujung lengan baju saya perlahan. Mohon simpati, supaya dibenarkan untuk terus duduk di tangga , tidak mahu masuk ke dalam kelas.

Esok ?

Dia mengangguk. Mengiyakan.

Saya  tergelak di situ. Ah, tak patut saya menggelakkan Aliya yang sedang bersedih, kan. Memang tak patut. Tapi , ia tindakan spontan. Maafkan saya Aliya.

Ok, jom kita baca fatihah kat dalam kelas ya, Aliya.

Tak mau!

Okay, kita baca Yassin ya.

Tak mau!

Saya hanya beredar, menahan gelak sambil mendengar dari jauh pembantu guru itu memujuk Aliya yang sedang bersedih kerana atoknya meninggal esok dan kerana itu dia tidak mahu masuk kelas.



~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 18, 2012

hilang kasih

Adakah manusia yang tidak pernah takut?

Sambil memandu waktu itu, saya mendengar suara Ustaz Zahazan, memberi tafsiran ayat Quran dalam radio Ikim. Laluan ke tempat tuisyen anak saya lancar tanpa halangan. Tidak seperti laluan fikiran saya yang bersimpang siur.

Kisah Nabi Musa dan saudaranya Harun yang takut mengadap Firaun yang terkenal dengan kezalimannya. Takut juga rupanya seorang Nabi yang Allah kurniakan pelbagai keistimewaan dan mukjizat. Tetapi Allah mententeramkan hati Nabi Musa dengan janji yang benar.

Dan setiap hari , bukankah rasa takut itu juga hinggap di hati? Memberi kesan pelbagai ke atas diri sendiri. Cemas, resah, gelisah melingkari. Risau. Itu sahabat utama mengiring takut juga.

Dan takut juga bisa menyedihkan.

Takut kehilangan.

Hilang material, boleh lagi diganti dan diusaha cari.

Tapi hilang kasih? Dan bersendiri?

Lost Love

Itu sangat menyedihkan. Dan boleh menjadikan insan murung dan berduka.

Saya pasti ramai yang pernah mengalami kisah duka dan murung berpanjangan apabila hilang kasih dan ditinggal bersendiri. Bersendiri dalam erti kata bersendiri merawat pedih dan sedih. 

Azab bukan?

Nafas jadi sesak menahan sebak , walau realitinya, fizikal  diri bukan bersendiri . Di tengah ramai insan lain pun hati jadi sunyi. Dan jiwa rasa kosong.

Hilang kasih.

Janganlah hendaknya. Moga terjauh ianya dari kita.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...