Friday, November 18, 2011

sedih yang berbekas



Bermula tadi petang, secara rasminya, sesi persekolahan 2011 tamat. 

Yip, yip, hooray!

Melebih-lebih pulak cikgu tua ni ya.

Teringat dulu-dulu , masa bersekolah rendah di SK Marian Convent , Ipoh.  Bila loceng besar waktu akhir ditarik oleh kerani pejabat, Ding, Dong, Ding, Dong pada hari terakhir bersekolah untuk tahun tersebut, kami akan berlari keluar melompat-lompat kesukaan. Dan esoknya, pasti keluar di dada akhbar Utusan Malaysia, gambar pelajar-pelajar sekolah melompat kesukaan bercuti.

ambik kat sini

Itu tahun-tahun 70an  dulu.

Dan, saya sentiasa rasa tidak adil, gambar saya dan rakan-rakan tidak pernah terpampang di dada akhbar, walau pun saya kira, lompatan kesukaan kami sangat hebat waktu itu.

Sebenarnya, bercuti ini pun, bukan bercuti sepenuhnya. Ada kerja-kerja yang masih perlu dibereskan di sekolah. Cuma, yang bestnya ialah kerja itu tidak terkongkong pada waktu di punch-card.

Doakan untuk saya....

Dan suaranya terputus dek sedu-sedan yang ditahan. Tidak terkeluar. Tersekat di celah tenggoroknya. Bahunya turun naik menahan esak tangis.

Berpelukan.  Erat. Dan rakan lain yang berada di sebelah pun merah matanya, menahan sedih.

Bila sudah tua begini, cuti sekolah juga menandakan ada rakan yang akan berpisah jauh dan mungkin tidak akan bertemu lagi . Dalam usia yang bersisa ini , rasanya lebih kerap lagi mengucap selamat berpisah dan mendoakan rakan-rakan yang telah lama bersama di sekolah.

Sedih.

Kerana di usia sebeginilah baru kita dapat menilai sebuah persahabatan . Barulah kita dapat merasa jujur dan ikhlas dalam sebuah ikatan . Barulah lebih bijak mengenal sahabat  dan kenalan itu bagaimana sifatnya. Dan dalam usia inilah rasa sedih itu lebih berbekas.

Buat sahabat-sahabat yang akan berpindah, Lin, Kak Faridah, Hanes, Syakirah, Kak Ana dan Kak Bedah, doa saya mengiringi kalian. Moga Allah permudahkan segala yang terbaik buat anda semua.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...