Isnin yang indah di hati sebab bercuti rasmi dan bergaji.
Nikmat.
Nikmat.
Jadi, saya punya banyak peluang yang sudah lama hilang dari rutin harian , iaitu menziarahi blog rakan-rakan. Ada, rupanya yang sudah lama tidak saya terjah dan sudah berubah wajah .
Perkara biasa. Bukan luar biasa.
Hidup sentiasa perlu ada peningkatan. Bukan setakat umur atau lipatan kedut dan timbangan lemak sahaja yang meningkat , tetapi kematangan diri dan pandangan, yang boleh dilihat dari gaya menulis juga bertambah. Alhamdulillah.
Sebenarnya , bila membaca blog rakan-rakan, bukan sangat saya hendak tahu kisah di dalam kainnya, tetapi yang lebih menarik adalah pandang fikirnya terhadap situasi , suasana atau berita. Pandangan hidup manusia berbeza dan sentiasa dinamik, ia tidak statik, dan kepelbagaian warna dalam pendapat memang perlu kita raikan dengan bersyarat.
Syaratnya, ia tidak melanggar syariat dan menggoncang akidah serta beradab.
Bukannya susah mana pun.
Ada beberapa tajuk yang hampir sama maksud tersirat yang menarik perhatian saya iaitu Cermin Diri Sendiri dan Jangan dibicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri sampai ke kaki tangga . Melihat tajuk sahaja kita sudah seolah faham apa yang cuba dibawa bicara. Kedua-duanya membawa metafora tersendiri, dan kelihatan indah sungguh bahasa yang diguna.
Itu kebijaksanaan penulis, yang sudah bertahun menulis. Penulisan sebegini memang sedap untuk dibaca dan diulang ziarah.
Membicara kisah orang lain.
Kisah siapa?
Ah, sesiapa sahaja asalkan dia itu adalah orang. Terkena batang hidung saya sendiri ke? Mengakulah, nak buat macamana. Bukannya hendak mendabik dada. Tetapi hendak memuhasabah diri. Setiap kali tahun baru muncul, setiap kali itu tersemat azam tidak ingin berkisah hal orang lain.
Bukankah acap kali saya katakan, hidup saya ini berlilit dosa. Dan takutnya nanti, menyangka diri ini baik dan pahala kantung sudah penuh, rupanya di tempat yang kekal nanti mengadap Ilahi, menjadi si muflis yang menyesal tak sudah.
Bila duduk bersendirian di rumah ini, mulalah azam itu kembali mengetuk dinding hati.
* hendak menjadi manusia wajib , manusia ekspot dan bukan manusia haram atau manusia impot , seperti kata Dr Muhaya: Jenis-jenis orang
~cikgunormah@klcitizen~
No comments:
Post a Comment
terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.