Tuesday, August 28, 2012

tak cantik macam erra fazira




"jangan tengok pada kulit wajah yang luntur tetapi lihat pada jasa yang ditabur. Bukan pada matanya yang sudah kehilangan sinar, tetapi lihat pada kesetiaan yang tidak pernah pudar. Itulah kecantikan seorang isteri walaupun mungkin dia bukan isteri yang cantik.." ~ Kalau hati baik, wajah sentiasa cantik : Ust Pahrol

Awak ni memang cantiklah ...

Entah. 

Sudah beratus kali rasanya pujian itu  terhambur dari mulut saya. Memang mata saya melihat dia sangat cantik. Hidung mancungnya, putih gebu kulitnya.

Memang cantik.

Dia mencebik.

Awak belum tengok Erra Fazira lagi. Kalau awak tengok Erra Fazira mesti awak kata saya dah tak cantik ...

Ah, betul jugak tu. Saya belum pernah menatap wajah Erra Fazira sedekat saya menatap wajah rakan saya ini.

Tapi, bukankah kecantikan itu sangat subjektif. Cantik pada mata dia, tidak semestinya cantik di mata saya.

Oh .. awak dan Erra Fazira tu dua-dua cantik. Tapi kelas yang berbeza .

Saya cuba menjustifikasi nisbah kecantikan antara keduanya. Walau pun saya tahu, wajah rakan saya itu, tetap cantik di mata saya, walau berapa Erra Fazira pun yang menjadi banding taranya.

Kenapa?

Sebab cantik wajah itu tersangkut dengan hati budi.

Biarlah bagaimana hebat dan menarik paras rupa seseorang itu tetapi andai hati budinya itu tidak sejernih sinar matanya atau tidak seputih dan semulus kulitnya, tetap, cantik itu tidak menyinggah dan bertamu di mata yang melihat dan memandang.

Bukan begitu?

Ala ... awak kata saya tak ada kelas macam Erra Fazira ya?

Haha.

Memang senang memutarbelitkan fakta kata dan menyelit rasa tak percaya, kawan.

Tapi, kenyataan tetap kenyataan. Walau wajah sudah berkedut seribu, tetapi sinar mata yang lahir dari hati yang penuh kasih tetap menjadikan wajah itu cantik dan menarik.

sumber

Salam kasih .


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 26, 2012

kisah mani

sumber

Selalunya ada dua orang yang dominan di tempat itu.

Seorang namanya Satis dan seorang lagi Mani. Satis sudah lama tidak kelihatan. Saya kira hubungan mereka berdua adalah seperti majikan dan pekerja. Sebenarnya saya pun tidak tahu banyak tentang mereka berdua, walau sudah bertahun juga mengguna khidmat mereka.

Mencuci kereta!

Ya, hampir saban minggu, sudah jadi rutin mencuci kereta dengan si Satis dan Mani.

Walau cuba juga mengubah angin, mencari tempat mencuci yang lain, masih lagi tetap setia dan berulang semula terpacak duduk menunggu sehingga habis.

Apa yang istimewanya?

Tak ada istimewa mana pun, cuma saya fikir perkhidmatan mereka itu cepat dan amanah.

Satis dan saya dari Madras.

Baru saya tahu. Angin ingin berborak tiba-tiba bertiup perlahan.

Teringat tentang teknik FORD bagi melancarkan perbualan. Mesti ada yang tak tahu apa teknik yang saya sebutkan itu, kan. F = family, O = occupation, R = recreation, D = dreams. Khabarnya kalau buntu idea hendak memulakan perbualan,  gunakan soalan berkait salah satu perkara di atas, pasti, insyaAllah, perbualan akan jadi lebih lancar dan tidak mati .

Eh, saya dah lari topik lah pulak ni.

Sudah 16 tahun saya di sini.

Kenapa datang Malaysia?

Saya rasa soalan saya itu dalam kategori soalan bodoh kan. Alahai, berhijrah mestilah sebab hendak mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Bukan begitu?

Saya terbayangkan orang-orang kampung Mani di Madras, dalam keadaan daif dan hampir mati kebuluran. Kesian, kan.

Oh, saya bukan orang susah. Sana emak dan bapa saya memang ada duit.

Aiik.

Mimpi ngeri tentang kebuluran dan kedaifan tiba-tiba musnah dari ingatan saya.

Emak dan bapak saya hantar saya sini masa umur saya 15 tahun. Saya sudah takmau belajar, jadi saya join budak-budak nakal tempat saya tinggal. Banyak nakal. Nasib baik saya tak masuk penjara saja.

Saya rasa mata saya bulat tak percaya.

Sana budak banyak nakal. Guna parang panjang-panjang. 

Dia sengih. Saya pun sengih. Teringat aksi berlawan dan bertumbuk dalam cerita Tamil. Deshum!

Tapi, nasib baiklah saya datang sini. Kalau tidak , memang saya sudah masuk penjara. 8 , 10 tahun tak tentu lagi boleh keluar.

Oh, macam tu. Kalau Mani balik sana, mesti Mani ini banyak kaya ya?

Soalan kategori apa ni ya? Soalan memancing kut. Ingin tahu sebesar mana kekayaan si Mani ni.

Rumah saya sudah 100 tahun lebih, rumah pusaka. Besar dia dari sini sampai situ ...

Tak payahlah saya bagi ukuran rumah dia. Memang besar mak datuk!

Diwali tahun lepas, saya baiki rumah itu, sudah habis 50 ribu ..

50 ribu ringgit ya... bukan rupee.

Wow! Betullah orang kata, jangan menilai dan membuat penilaian berdasar apa yang kita tengok dan lihat sahaja kan.

Jadinya, moral of the story?

1. Tauke cuci kereta ni lebih kaya dari saya ! 
2. Bukan semua orang datang kerja kat sini miskin papa kedana.
3. Saya kena bukak kedai cuci kereta lah pulak .... kihkihkih

*oh esok dah mula bekerja ! Jom kita tempah baju untuk raya haji pulak :)




~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, August 22, 2012

rindu si pipi merah

sumber


Pagi itu seperti pagi raya yang lain.

Cuma usia yang bertambah mengurangkan lagi rasa keterujaan untuk melompat dan bergelak tawa hingga tak ingat seperti waktu masih budak-budak lagi.

Dan bertambahnya usia juga menjadikan bersolat sunat di pagi raya lebih menambah rasa dan tenang berbanding waktu darah masih muda dan hidup yang penuh kecelaruan identiti. 

Suara Tok Imam membaca khutbah raya sangat bersemangat pagi itu. Dan jemaah yang membanjiri masjid di Kampung Kundang melimpah ruah. Kebanyakannya orang-orang luar seperti saya. Anak-anak yang pulang beraya di kampung, berkumpul adik-beradik dan saudara mara.
  
Tahun ini Allah memberi kesempatan dan ruang lagi untuk berhari raya pertama di rumah emak sendiri. Dan seperti biasa juga, seperti raya-raya yang lepas bila beraya di rumah emak sendiri, di pagi-pagi raya, hidung saya merah berair, alahan habuk kerana sakan membersihkan rumah emak.

Sesekali saya terdengar orang menghembus hingus perlahan. 

Oh ... ada juga mereka yang seperti saya agaknya.

Alahan habuk di pagi raya.

Selesai mengaminkan doa, saya berpaling ke kanan , ingin mencium tangan emak. 

Saya lihat emak sedang berpeluk erat dengan sahabatnya. Kenalannya sejak dari kecil lagi. Bermain dan bersekolah bersama. Dan di waktu usia emas ini, sering juga mereka melancong bersama.

Saya menunggu adegan peluk memeluk itu berakhir.

Lama juga.

Tak habis-habis.

1 minit sudah berlalu.

Lama tu. Berpeluk-peluk. 

Sedang menunggu, saya sempatlah juga bersalam dengan jemaah yang lain.

Dah penat menunggu, saya pun menghampiri mereka.

Raya ini entah-entah raya kita yang terakhir ya Ani. 

Ada sedu sedan yang mengiringi ayat tersebut. Suara makcik tersebut tersekat-sekat menahan sedih. Oh, sedih pun tiba-tiba terhinggap di hati saya melihat gelagat mereka.

Entah dapat berjumpa lagi tahun depan entah tidak Ani.

Makin kuat saya lihat mereka berpelukan.

Mana-mana yang terkurang tu, tersalah tu maafkanlah ya Ani.

Dan air mata pun deras laju membasahi pipi mereka berdua.

Sedih, kan. 

Bila kita tahu bahawa hidup ini bukan di bawah kuasa kita menentukan. Dan kita tahu, bila-bila masa sahaja Allah bisa memanggil kita untuk mengadapNya dan berhijrah. Dan peluang untuk menikmati saat seterusnya adalah kurniaan, ia bukan hak mutlak kita.

Dan insaf itu hinggap sebentar di hati saya. Adakah Ramadan yang baru saja berlalu dan pagi Syawal seperti hari itu bisa lagi saya kecapi seperti biasa?

Entahlah ...

Apa pun, masih belum terlambat lagi rasanya mengucapkan salam Syawal untuk rakan-rakan sekelian. Maafkan segala salah dan keterlanjuran kata di sini selama ini.



*rindu betul pada si pipi merah :)


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, August 9, 2012

mencari barang

sumber

Suami mengisyaratkan kepalanya ke arah saya, bertanya apa yang sedang saya cari.

Jam sudah pukul 915 pagi. Saya masih lagi di rumah. Sudah berpakaian lengkap hendak ke sekolah.

Saya memberi isyarat dengan tangan dan jari pula, memusing-musing pergelangan tangan, memberi tahu saya sedang mencari kunci kereta. Macam pasangan bisu pulaklah kami waktu itu.

Sebenarnya suami sedang bekerja. Di rumah. Dari rumah. Untuk hari itu sahaja. Dan sedang berada di atas talian dengan superiornya, serta tidak mahu diganggu.

Best juga sekali-sekala jika berpeluang bekerja dari rumah, kan. Saya kira ramai juga rakan-rakan di luar sana yang memang berpeluang membuat kerja dari rumah dan bila perlu sahaja punch-in ke pejabat kan.

Kalau cikgu, rasanya tak berpeluanglah hendak bekerja dari rumah, tapi kalau membawa kerja pulang ke rumah, memang tak payah nak cakaplah, kan.

Oh, nak bercerita tentang kunci kereta saya tadi. Masih belum habis bercerita, sudah masuk ke topik lain pulak.

Sekejap keluar, sekejap ke dalam. 

Mencari kunci kereta.

Menonggeng pulak, mana tahu kunci tersebut terjatuh dari tempat bergantungnya yang sepatutnya dan terlindung di celah almari di bawah.

Berpeluh!

Risau pulak kalau nanti terpaksa meminta tolong suami menghantar saya ke sekolah. Sebab pasti bebelannya ibarat bebelan marathon olimpik 2012. 

Ulanglah baca al-Haq kalau mencari barang hilang.

Teringat rakan baik memberi pesan hari itu tatkala mencari cermin mata yang tersalah letak. Oh... hari sebelumnya mencari cermin mata, dan waktu itu  pula mencari kunci kereta. Adui...

Menarik nafas dalam-dalam, saya menyusuri semula perjalanan balik petang sebelumnya. Tidur awal malam sebelumnya akibat serangan gastrik , loya dan sakit kepala. Walau tidak teruk mana, tapi memberi kesan juga pada rutin berpuasa.

Oh , sebelum itu lagi?

Baru saya teringat!

Bergegas saya ke dapur, membuka freezer. Menyelongkar. Udang dan sotong yang saya beli petang sebelumnya masih ada, keras, kejang , kaku. Dan di celahnya....

Ya... kunci kereta saya!

Semalaman kunci kereta saya berdingin dalam peti sejuk rupanya !

Alahai.

Allah lah yang bagi ilham mencari di dalam peti sejuk. Kalau tidak sampai waktu memasak nanti barulah berjumpa semula dengan kunci tersebut kan.


*pinky cheek 


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, August 5, 2012

maut merempit

Pukul 2.30 pagi.

Mata saya terkebil-kebil. Cuba juga dibawa untuk tidur.

Dan bila waktu biasa saya bersahur tiba, saya capai telefon bimbit dan cuba mendapat berita.

Alhamdulillah. 

Perkataan itu yang segera terluah bila mendapat tahu semuanya selamat. Dan pagi itu bersegera saya balik ke kampung, mahu segera sampai dan tahu duduk perkara sebenar.





Allah Maha Kuasa, dan Dialah Maha Tahu.

Syukur kerana adik perempuan saya, suaminya dan dua anaknya, Allah selamatkan dalam kejadian yang mengerikan ini.

Kita memang hati-hati, tapi, orang lain punya angkara, kita juga yang terkena.

Nasib baiklah yang lain pakai safety belt
ya.. 

Malang memang tidak berbau.

Kata-kata yang kerap keluar dari rakan taulan dan saudara mara yang berziarah di wad bertanya khabar anak lelaki adik perempuan saya . Pada masa kejadian, anak buah  saya itu  sedang tidur di tempat duduk belakang dan tidak memakai tali pinggang keledar , mengalami pendarahan di kepala dan perlukan perhatian doktor. Walau bagai mana pun pada waktu saya menulis ini, anak buah saya itu telah dibenarkan keluar dari wad.

Alhamdulillah.

Punca kejadian?

4 budak bermotor membawa motor dengan laju seolah berlumba, ringkas katanya, merempit di tengah malam.

Dua dari mereka berjaya memotong kereta yang dipandu ipar saya, mana kala yang dua orang lagi tersangkut, kerana terdapat kereta yang datang dari arah bertentangan. Seorang terjatuh di jalan sebelah, dan kereta arah bertentangan yang dipandu lelaki India itu ,  demi cuba mengelak dari menggilis budak tersebut lantas melanggar kereta adik perempuan saya.

Seorang lagi mat rempit terjatuh dan terseret beberapa meter.

Dan innalillahi wa inna ilaihi rojiun, budak yang pertama jatuh itu dikhabarkan telah meninggal dunia semalam. Lebih menyedihkan lagi ialah budak yang meninggal dunia ini, berumur 11 tahun, seperti yang dimaklumkan oleh Sister Jururawat yang merawat anak buah saya itu. Tahun lepas, adik pada budak ini telah meninggal dunia akibat lemas dan tahun ini, dia pula menyusul meninggalkan ibu bapanya.

Dan terlebih tragisnya, mereka hanya berdua beradik sahaja.

Allah Yang menentukan ajal maut.

Apa lagi yang boleh dikata tentang mat rempit ? Entahlah kan. Saya percaya tidak ada ibu bapa yang waras yang mahu anaknya menjadi mat rempit. Di mana salah dan silapnya, hanya ibu bapa itu sahaja yang bisa menjawabnya.

Bagi saya, yang sangat penting ialah ahli keluarga saya, Allah telah selamatkan.

Syukur tidak terhingga.

Kejadian ini menyedarkan saya bahawa setiap detik hidup kita ini sebenarnya di luar kuasa kita menentukan.


Moga Ramadan kali ini lebih bermakna.


islamic quotes


*Salam rindu dan kasih buat humaira...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...