Showing posts with label merepek. warna hidup. Show all posts
Showing posts with label merepek. warna hidup. Show all posts

Sunday, August 26, 2012

kisah mani

sumber

Selalunya ada dua orang yang dominan di tempat itu.

Seorang namanya Satis dan seorang lagi Mani. Satis sudah lama tidak kelihatan. Saya kira hubungan mereka berdua adalah seperti majikan dan pekerja. Sebenarnya saya pun tidak tahu banyak tentang mereka berdua, walau sudah bertahun juga mengguna khidmat mereka.

Mencuci kereta!

Ya, hampir saban minggu, sudah jadi rutin mencuci kereta dengan si Satis dan Mani.

Walau cuba juga mengubah angin, mencari tempat mencuci yang lain, masih lagi tetap setia dan berulang semula terpacak duduk menunggu sehingga habis.

Apa yang istimewanya?

Tak ada istimewa mana pun, cuma saya fikir perkhidmatan mereka itu cepat dan amanah.

Satis dan saya dari Madras.

Baru saya tahu. Angin ingin berborak tiba-tiba bertiup perlahan.

Teringat tentang teknik FORD bagi melancarkan perbualan. Mesti ada yang tak tahu apa teknik yang saya sebutkan itu, kan. F = family, O = occupation, R = recreation, D = dreams. Khabarnya kalau buntu idea hendak memulakan perbualan,  gunakan soalan berkait salah satu perkara di atas, pasti, insyaAllah, perbualan akan jadi lebih lancar dan tidak mati .

Eh, saya dah lari topik lah pulak ni.

Sudah 16 tahun saya di sini.

Kenapa datang Malaysia?

Saya rasa soalan saya itu dalam kategori soalan bodoh kan. Alahai, berhijrah mestilah sebab hendak mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Bukan begitu?

Saya terbayangkan orang-orang kampung Mani di Madras, dalam keadaan daif dan hampir mati kebuluran. Kesian, kan.

Oh, saya bukan orang susah. Sana emak dan bapa saya memang ada duit.

Aiik.

Mimpi ngeri tentang kebuluran dan kedaifan tiba-tiba musnah dari ingatan saya.

Emak dan bapak saya hantar saya sini masa umur saya 15 tahun. Saya sudah takmau belajar, jadi saya join budak-budak nakal tempat saya tinggal. Banyak nakal. Nasib baik saya tak masuk penjara saja.

Saya rasa mata saya bulat tak percaya.

Sana budak banyak nakal. Guna parang panjang-panjang. 

Dia sengih. Saya pun sengih. Teringat aksi berlawan dan bertumbuk dalam cerita Tamil. Deshum!

Tapi, nasib baiklah saya datang sini. Kalau tidak , memang saya sudah masuk penjara. 8 , 10 tahun tak tentu lagi boleh keluar.

Oh, macam tu. Kalau Mani balik sana, mesti Mani ini banyak kaya ya?

Soalan kategori apa ni ya? Soalan memancing kut. Ingin tahu sebesar mana kekayaan si Mani ni.

Rumah saya sudah 100 tahun lebih, rumah pusaka. Besar dia dari sini sampai situ ...

Tak payahlah saya bagi ukuran rumah dia. Memang besar mak datuk!

Diwali tahun lepas, saya baiki rumah itu, sudah habis 50 ribu ..

50 ribu ringgit ya... bukan rupee.

Wow! Betullah orang kata, jangan menilai dan membuat penilaian berdasar apa yang kita tengok dan lihat sahaja kan.

Jadinya, moral of the story?

1. Tauke cuci kereta ni lebih kaya dari saya ! 
2. Bukan semua orang datang kerja kat sini miskin papa kedana.
3. Saya kena bukak kedai cuci kereta lah pulak .... kihkihkih

*oh esok dah mula bekerja ! Jom kita tempah baju untuk raya haji pulak :)




~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, May 10, 2012

kain sendiri terkoyak

Setiap orang ada kisahnya yang tersendiri.

Ibarat pujangga berkata-kata. 

Memang, kadang-kadang rakan saya ini bijak menyusun madah dalam berbicara. Seingat saya, memang banyak kata-katanya yang menarik dan mempunyai maksud mendalam. Memanglah ayat tersebut ayat biasa bila berbicara, tetapi bila keluar dari bibir rakan saya ini , ibarat ahli falsafah tidak terkenal pula yang berkata-kata.

Kelebihan masing-masing.

Dan masing-masing pun punya cerita.

Cumanya, kisah masing-masing itu pun ada sebab-sebab tersendiri, kan. Kita yang melihat, sekadar mengetahui satu sisi dari keseluruhan kisah insan lain. Dan wajarkah kita membuat kesimpulan dan membuat penilaian lantas memberi rating ke atas peribadi dan sahsiah insan tersebut.

Sungguh saya tidak bersetuju.

Normah dah tahu cerita dia?

Rakan lain pula yang bertanya. Pangkatnya adalah kakak. Kakak sebagai tanda hormat di atas lamanya meniti hidup ini lebih dari saya.

Banyak cerita yang saya tahu. Tetapi adakah sama persepsi yang kita cernakan dari cerita tersebut. Kadang-kadang dan selalunya, mata kita hanya melihat apa yang ingin kita lihat sahaja. Salah atau benar , itu memang jelas. 

Seperti hitam dan putih. 

Jelas.

Tetapi, dalam salah itu pun sebenarnya ada kisahnya , kan.

Kita cubalah berbaik sangka, kak. Saya pun tak berani menyatakan, ah , memang sahlah sudah kesalahan mereka. 

Takut.

Ada rasa takut dalam hati saya bila berbicara soal siapa salah dan siapa betul.

Takut nanti, salah itu terpalit pada diri sendiri jika jelas nanti yang didakwa bersalah itu lebih baik dan suci dari saya yang mendakwa.

Ah ... tak pasal, kan.

*jom tengok hujung kain sendiri, takut ada yang terkoyak tanpa sedar.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 18, 2012

rajuk yang panjang

Keropok kat rumah banyak lagi ke?

Setiap kali balik ke Kuantan, rumah ibu mertua, itulah yang akan ditanya pada saya. Dan keropok ikan pun akan dihulur untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur setiap kali, berplastik-plastik !

Jadi hari ini adalah hari melunasi keinginan makan keropok ikan.

Buka tingkap dapur luas-luas, buka pintu dapur luas-luas dan  pasang kipas kuat-kuat.

Hahaha ...

Asap menggoreng menjadi kepantangan. 

Dan sewaktu membuka pintu dapur, gerimis pun turun, perlahan. Ah, memang kegemaran saya. Hujan adalah nikmat. 

Bukankah semuanya nikmat, Cikgu Normah? Segalanya? Hatta, mata yang rabun ini pun bukankah ia nikmat ?

Oh yalah. Betullah wahai suara hati. Dan seperti hari semalam dan kelmarin dulu-dulu, bercakap sendirian, membenarkan dan menyalahkan, bersetuju dan tidak, memang tidak ada hentinya. 

apakah yang kau buat di situ?

Dalam berkomunikasi sendirian, mata saya tertumpu pada si dia yang sedang merajuk ini di belakang dapur saya. Bukan kepunyaan saya. Kerana saya memang bukan penggemar memelihara haiwan.  

Duduk bersendirian di situ, tidak menghiraukan gerimis yang perlahan turun.

Kenapa?

Merajukkah? Lari dari rumahkah? 

Mengendapkah?

Apa yang perlu dihendap? Kerana saya pasti, tikus bukan menjadi pilihan utama menunya seharian sekarang. Berdasar rantai di leher, pasti dia ini disayangi seseorang dan pasti si dia tidak menghidangkan tikus dalam sajiannya. Hehehe.

Saya pasti dia sedang membawa hati. 

Pasti hatinya sedang terluka. Hati yang terluka lebih dalam pedihnya jika yang melukai itu adalah insan yang paling disayangi. Semakin kasih, semakin mudah pula hati menjadi calar. Perkara yang kecil dan kadang tidak memberi sebarang makna pada situasi yang biasa pun boleh menjadi punca hati pedih dan rajuk jadi panjang.

Bukan begitu?

Dan melihat si dia yang merajuk ini lantas membawa ingatan saya pada insan-insan yang menggemari sang haiwan.

Auntie, kita ada makanan ikan .

Wah, suka bela ikan ya?

Puteri kecil mengangguk kesukaan. Menunjukkan makanan ikannya yang terletak atas almari kasut di pintu masuk rumahnya.

Mana ikannya?

Yalah, walau saya tidaklah seghairah mana hendak melihat ikan yang terkurung dalam peti kaca, melihat sinar mata si puteri kecil, membuat saya juga sedikit teruja. Tangan kecilnya memegang bungkusan makanan plastik ikan itu digerak perlahan-lahan ingin berkongsi rasa suka dan sayangnya pada ikan peliharaan ..., mungkin.

Tak ada .... , ikan kita dah mati .

Hahaha... Anak-anak memang sangat comel :)


Salam petang minggu, kengkawan.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, March 14, 2012

sunyi dalam dada

Mendung, kan sejak dari pagi.

Tetapi, ada yang  mungkin  basah hari ini dalam hujan atau mungkinkah juga  basah dengan air mata? Harap-harap basah dengan air mata itu segera kering rasa sedih dan pilu, dan pelangi kembali bersinar semula di mata dan hati anda.

Oh,  mungkin juga ada yang tak basah langsung, kerana ketiadaan air di kawasan perumahan anda? Ah, kalau yang ini agak parahlah, dan semoga isu bekalan air ini dapat segera dipulihkan secepat mungkin.

Cuti kali ini agak berbeza.

Banyak bezanya, saya rasa.

Kurang berpeluang melancong ke alam siber melawat rakan-rakan blog seperti selalu, kerana tuntutan realiti dan fantasi. Hahaha. Fantasi itu juga menuntutkah? Berangan lebih banyak waktu cuti ini. Berangan itu kan keperluan juga, menambah nikmat hidup dalam realiti yang kadang terlalu rutin.

Membaca. Novel. 

Tapi masih belum sempat menghabiskan.

Ada satu perkataan yang sejak beberapa hari ini asyik berlegar di ruang fikiran. Melompat-lompat perkataan ini keluar masuk setelah selesai saya membaca satu artikel di sini.

Grumpy.

Kalau mengikut DBP, ia bermaksud perengus.

Biasa melihat orang yang perengus?

Sifat-sifat si perengus ialah  bermasam  muka, keras, kasar, lekas marah, suka mengomel dan merungut.

Ada juga sifat ini dalam diri saya rupanya. Adui! Ketuk kepala sikit ...

“I indeed know who is the most generous of people and the most tolerant. The most generous is he who shares with who deprives him; the most tolerant of people is who pardons those who wrong him.” ~ Robin Imran Mahmud

Kata-kata di atas datang dari Saidina Umar al-Khattab. Wah dalam Bahasa Inggeris pulak ya? Hahaha. Saya salin dari artikel berbahasa Inggeris, yang lebih kurang maksudnya:

Sesungguhnya saya tahu siapakah yang lebih pemurah dan sabar serta bertolak ansur. Yang lebih pemurah itu ialah mereka yang tetap berkongsi dengan orang yang mematahkan harapannya (?); dan yang paling sabar serta bertolak ansur ialah mereka yang memaafkan orang yang berlaku silap padanya 
*(?) = saya agak-agak je maksudnya :)

Saya bukan hendak bercakap tentang sifat perengus saya, hehehe, tetapi sifat perengus orang lain dan bagaimana kita menghadapinya.

Saya berpendapat, cara terbaik menghadapi sifat perengus orang lain ialah dengan cuba bersimpati dan berempati. Berlembut. Dan menunjukkan kebaikan itu seikhlas mungkin. Bagi saya tidak ada manusia yang dilahirkan bersama dengan sifat tersebut.

Betul , kan?

Tengok sahajalah anak-anak kita yang masih terkedek-kedek berlari ke sana ke sini, tersenyum dan bergelak tawa bila suka, dan menangis bila kehendaknya tidak terpenuh.

Tiada sedikit pun sifat perengus itu.

Jalan hidup seseorang yang mencirikan sifat itu. Pengalaman manis dan pahitnya. Berbaur dan seperti pahitnya perjalanan hidup mereka, sifat perengus itu juga timbul sama.

Seperi dalam artikel tersebut, seorang pesakit wanita bernama Beverly, adalah pesakit yang menyusahkan. Menyusahkan pihak yang menjaganya dengan sifat perengusnya itu. Tetapi sebenarnya, jauh di lubuk hatinya yang dalam, Beverly adalah seorang yang penyayang dan kesunyian.

Pelik, kan.


AlonE

Kesunyian dalam diri boleh menonjolkan segala sifat tidak baik kita.

Kita mahu orang lain tahu sengsara yang kita tanggung, sakit yang terbeban dan pedih yang menghiris dalam hati. Tetapi kita luahkan rasa sakit dan pedih itu dengan cara yang menyakitkan orang lain, kita lindungi perkara sebenar dalam diri agar orang lain tidak tahu lemahnya hati dan jiwa kita. Biar orang lihat betapa keras dan kuatnya kita menanggung. Sedang realiti paling benar ialah kita mahu insan lain mengubat hati itu, merawat dan mencurah kasih agar hilang segala yang membengkak.

Manusia, begitulah.

Terkadang tindakan tidak seperti yang terpeta di minda .

Dan bagaimana boleh kita berperanan?

Memaafkan sentiasa.

Kerana kita juga tidak tahu kita bagaimana nanti, bila sunyi itu mencengkam rasa kita pula.

Salam kasih buat semua, dan moga Allah memberi tenang bagi yang masih dalam mode merengus atau yang cuba memahami si perengus.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 11, 2012

ghairah dan teruja

Saya sentiasa mengagumi wanita-wanita itu.

Siapa ya?

Emak saya, emak mertua, aruah nenek-nenek saya dan wanita-wanita yang beraspirasi yang sama seperti mereka.

Yang saban waktu tanpa jemu, duduk di tempat yang sama berfikir dan bertindak atas perkara yang sama. Perkara yang memang langsung bukan menjadi keutamaan dalam hidup saya sekarang ini. Tapi, mungkin jugalah ia akan jadi rutin saya pula di masa akan datang. Manalah tahu, kan.

Perubahan itu sebenarnya hakiki. Dan tiada apa yang mustahil dalam dunia ini.

Apa dia sebenarnya aspirasi mereka itu ya?

Apa lagi, kalau bukan acara masak-memasak.

Maafkan saya.

Saya bukan wanita seperti wanita-wanita yang saya kagumi itu. Memasak bukanlah aktiviti yang menenangkan saya seperti bagi sesetengah kaum wanita yang lain. Yang saban waktu berkongsi resepi itu dan ini. Ghairah ingin mencuba resepi paling baru dan teruja melihat dan membeli buku resepi hasil tangan segala chef terkenal.

Wanita seperti itu pasti jadi dambaan ramai bakal suami di luar, yang memastikan air tangannya yang tersedia dan terhidang di atas meja untuk suami tersayang. Alangkah bagusnya kalau saya seperti itu kan.

Tapi kehendak Allah tidak seperti yang kita inginkan. Walau kasih dan rindu menggunung, kalau terpaksa berjauhan dengan kekasih, tetap rindu menggunung itu tidak dapat membantu, pun kan. Ah, merepek, merepeknya saya. Hahaha.

Saya adalah wanita yang teruja jika dikelilingi buku. Hahaha. Memboringkan. Ya saya tahu. Jika hendakkan saya bersuka ria dan bahagia, tak perlulah intan permata, cewah, berilah peluang dan masa untuk saya membaca dan belikan saya buku-buku yang terlaris di pasaran. Tapi, awas, novel cinta tidak termasuk dalam senarai pilihan, ya.

Kepelbagaian.

Itu indahnya kita sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Dan Allah Maha bijak dalam mengatur segalanya.

Bukan semua wanita itu sifatnya adalah seperti wanita yang saya kagumi itu. Dan saya tahu tidak semua wanita itu seperti saya.

Dan Maha Bijak Allah menemukan saya dengan suami serta dipinjamkan anak yang memahami.

Suami dan anak saya langsung tidak cerewet dalam bab makan-makan ini. Sebab tahu dan faham tentang kemalasan emaknya dan begitu stress bila emaknya ini terpaksa memasak.

*Selamat memasak di hujung minggu ini, buat anda, wanita-wanita yang saya kagumi.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 4, 2012

bercinta berkali-kali

Hari Ahad.

Aktiviti harian terpenuh dengan segala mak nenek berkait dengan pengurusan rumah. Walau pun ahli keluarga rumah saya tidaklah ramai, tetap rumah adalah sebuah rumah. Ada perkara yang perlu diselenggara, diberi perhatian dan diselesaikan mana yang perlu.

Namun begitu, hujung minggu ini sempat juga berblogwalking ke beberapa rumah teman cyber. Walau tak banyak mana tapi dapatlah juga mengintai berita.

Pernah satu ketika seorang Sahabat memberitahu Rasulullah s.a.w. akan rasa sayangnya kepada seorang sahabatnya yang lain. Rasulullah pun bertanya semula, apakah dia telah memberitahu sahabatnya itu tentang rasa kasihnya. Sahabat itu menjawab bahawa dia belum berbuat demikian. Lantas, Rasulullah pun berkata, “Pergilah kamu kepadanya dan nyatakanlah bahawa kamu mengasihinya.” ~ Bercintalah berkali-kali

Mengasihi.

Dan dikasihi.

Menjadi indah bila ia berlaku tanpa syarat. Menerima segala kekurangan dan kelemahan. Dan menjadikan segala yang kurang itu kesempurnaan di mata yang mengasihi.

Sukarkah?

Realitinya ,  payah mengasihi berlaku apabila kita tidak mengenali. Semakin kita kenal dan kita tahu sisi insan tersebut, pasti rasa kasih akan hinggap dan berakar dalam hati. Dan bila ia dibaja dan disirami dengan kata dan ucapan yang baik serta indah, kasih itu akan mekar mewangi dan mengiring mimpi-mimpi indah saban hari.

“Love is missing someone whenever you're apart, but somehow feeling warm inside because you're close in heart.” 


Apabila sedang berkasih?

Dunia terasa luas, kan.

Salam kasih untuk semua yang sedang berkasih. :)
Moga Allah mengiringi kasih anda dengan redhaNya.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 14, 2012

musim mencerap kembali lagi





Min, kak Normah masuk tengok Min ngajar ya ?

Satu-satunya ayat yang menggusarkan bagi kebanyakan guru, bila mana ada rakan sekerja menyatakan hasrat untuk membuat pencerapan.

Alah, kak Normah janganlah. Takutlah kalau kak Normah nak masuk. Stress.

Jangankan si Min tu, saya pun akan stress kalau tahu ada orang yang akan membuat pencerapan hendak melihat saya mengajar dalam kelas. 

Kenapa stress ya?

Sebagai guru, saya rasa mungkin ramai juga yang sependapat dengan saya, bahawa mengajar adalah seni kemahiran. Kemahiran itu tidak sama antara satu sama lain. Dan biasanya kemahiran itu menjadi lebih baik dengan pertambahan pengalaman.

We are sensitive about this work we put our heart, souls, and imagination into, as well as our brains. Although there are many best practices from which we can learn, there is also the reality that what works in one moment might not work in the next. What works for one student might not work for another. What works for you might not work for me.

We teach in public schools, but having someone come into your classroom often feels more like having someone come to your home. You want to make sure your dishes are done, dirty laundry is not lying around, etc. You want to be ready. I can't fully explain why, but even when the plan is exactly the same, the art is a little different when it's not just you and the students. 
Understanding Why So Few American Teachers Observe Each Other

Masalah pencerapan dalam konteks di Malaysia ini saya kira, berdasar pengalaman ialah kebanyakannya lebih bercorak performance indicator dan bukan bersifat personal development


Sejak saya mula mengajar lagi, kebanyakan yang masuk ke kelas sebagai pencerap adalah mereka yang punya autoriti di aras pentadbiran atau nazir-nazir pelajaran. Dan biasanya, walau bukan semua, pencerapan lebih berciri melihat kekurangan dan kelemahan pengajar mengawal kelas, interaksi antara guru dan murid, kreativiti teknik penyoalan dsb.



Siapakah yang suka dirinya dikritik dalam seni kemahirannya?



Kritik dan komen sebegini iaitu kelemahan dan kekurangan menjadi kritikan bersifat personal . Inilah yang tidak sanggup didengar, sebab kita bukannya artis program realiti yang menerima bilangan sms paling tertinggi. Kita hanya manusia biasa, yang cepat terasa dan cepat terkilan.



Bagaimana pencerapan yang bersifat personal development ?



Secara idealnya, yang tergambar dalam kepala , dan tidak semestinya semudah itu terlaksana ialah pencerapan rakan sebaya (peer observation). Mencerap dengan tujuan ingin mempelajari dan mengambil nilai baik dari rakan guru. Itu sepatutnya menjadi asas pencerapan.



Pencerap boleh jadi sesiapa sahaja dari rakan guru, dan bukan bertujuan memberi penilaian markah berskala apa pun, tetapi lebih bersifat memperkaya pengalaman dan kemahiran. Guru baru duduk mencerap guru yang lebih senior atau sebaliknya dan usai pencerapan, perbincangan serta perkongsian teknik yang baik wajar dibuat.



Secara teorinya nampak indah sekali, kan.



Nanti lah, bila saya punya sekolah sendiri... kahkahkah.




~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 8, 2012

kepala hotak di mana?

Hoi !!

Dia mengisyaratkan kemarahan dengan dongakan kepalanya. Orang lain tidak sedar. Tapi saya yang memang bersifat k-poci memang tahu apa yang berlaku. Kerana duduknya di depan saya. Kekasih di sebelah dia sudah tersipu malu.

Mamat India yang dimarahinya tadi datang membawa ais kosong.

Hoi ! Apa yang engkau tak puas hati dengan aku ?

Takde, saya mahu tukar lah itu air ..

Yang engkau buat muka dengan aku apahal ?

Inilah keturunan Hang Tuah dan Hang Jebat. Takkan Melayu hilang di dunia. Kerana tidak puas hati dengan layanan manusia lain dan merasakan dia lebih tinggi tarafnya dari Mamat India, maka dia berhak meninggikan suaranya di hadapan orang lain. Persetanlah dengan semua orang. Hak dia , itu yang penting.

Bukan begitu?

Babak tidak habis setakat itu.

Mamat India datang lagi, kali ini membawa mee goreng sepinggan. Saya membayangkan dia akan membaling pingan mee itu di hadapan anak muda ini. Tetapi tidak. Ah.... kalau ya, alangkah bagus adegan drama sebabak yang boleh saya rakam dan muat naik ke akaun Youtube. :)  

Anak muda itu berusia awal 20an, saya kira.  Sasa badannya. Keliling kukunya  kehitaman , balik dari bengkel , agaknya. Seluar jeans  yang dipakainya kelihatan rugged kerana ada kesan koyak di belah peha dan lutut. 

Engkau apahal ? Aku mintak ais kosong tiga kali, kepala hotak engkau bagi air suam. Lepas tu engkau buat muka kat aku. Apa jadah ? Apa yang engkau tak puas hati ?

Muka Mamat India sudah merah padam. Menahan marah atau menahan malu? Entah. Kuasa dia terhad waktu itu. Ini tempatnya mencari makan.

Dan kerana itu si Mamat India segera berlalu.

Budak muda itu tak puas hati lagi. Provokasinya tidak menjadi. 

Dia berdiri. Mengeluarkan rokok sebatang dan menyalakan. Disedut asap rokok sekali dan lantas berjalan ke arah cashier. Perjuangan perlu diteruskan , kalau boleh hingga ke titisan darah (atau titisan air liur ?).

Saat itu, adegan babak yang berlaku sudah jauh dari  saya. Yang saya nampak ialah Mamat India itu dipanggil, dan budak muda itu mengadu pada tauke restoran sambil menuding jarinya yang berkepit rokok pada Mamat India. Tauke kedai hanya mengangguk memohon maaf.

Dan saya lihat nada puas kemenangan tergaris di muka anak muda ini.

Anak muda zaman sekarang, yang kaya dengan darah perjuangan. Bergejolak semangatnya. Bahasa sentiasa menunjukkan bangsa. Dan kata-kata sentiasa membayangkan status hati seseorang.

Ingin rasanya saya pergi pada anak dara di sebelah anak muda itu dan berkata, "Kalau boleh anakku, carilah lelaki lain yang kurang sikit semangat juangnya. Takut nanti bila Mamat India tak ada, awak pula yang akan menjadi mangsanya."

Tak begitu?

Entahlah, saya kurang bersemangat juang hari ini.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...