Hujan sentiasa melunakkan hati. Nyaman suasana sekitar, acapkali memberi tenang .
Dan waktu-waktu seperti inilah sering kali saya melihat diri sendiri.
"Jika kamu tahu daripada apa yang aku ada, daripada dosa dan kesalahan aku nescaya kamu akan campak atas kepala aku pasir, kata Imam Ahmad."
Video "Janji Allah dengan Istighfar" menyentuh hati saya. Menyebabkan saya terfikir dan menyesali.
Tentang tindakan saya yang rasanya enteng dan tidak perlu.
Tentang sikap dan ambil kisah saya yang tidak penting.
Tentang tambatan hati saya pada dunia dan segala kefanaannya.
Bahawasanya, semua manusia ini ada membuat silap. Dan saya sedikit pun tidak terkecuali.
Kerana sifat Ghaffar Allahlah, masih saya boleh menulis di sini, berjalan tanpa rasa risau dan khuatir. Bahawasanya, dek kerana sifat kemurahan Allahlah, segala aib dan salah saya Dia tutup kemas dengan rapi. Kerana kemurahan Allah inilah saban hari saya masih selesa.
Dan sewajarnya, sayalah yang sepatutnya terlebih dahulu memaafkan. Sayalah yang pertamanya patut meredhakan. Peluang yang sama seperti yang saya terima setiap saat dan setiap hari kenapa tidak bisa saya kongsi bersama insan lain?
Memaafkan dan menutup kesilapan.
Bukan mengungkit dan mempersoal.
Dan irama titis hujan di luar makin menguatkan rasa ini. Mengingatkan diri sendiri bahawa saya tidak lebih baik dari orang lain. Meletakkan semula perspektif diri saya , bahawa diri ini hanya manusia, sama seperti mereka. Kesilapan orang lain Allah nampakkan, tidak bermakna yang saya ini benar dan betul.
Bukankah dunia ini adalah sebuah perjalanan yang singkat. Perjalanan yang dipenuhi dengan halangan , rintangan dan simpang serta susur jalan yang kerap juga membuat kita sesat.
Maafkan saya teman. Saya hanya insan. Dan saya tidak mahu nanti hati yang tercalar menjadi penyebab kesusahan hidup saya dalam dunia yang lebih kekal di sana nanti.
~cikgunormah@klcitizen~
Semua orang buat silap - dan kalau boleh kita mahu sentiasa minta maaf dan memaafkan :)
ReplyDeleteKak, buku yang akak bagi pada Sha dulu akhirnya Sha dah tau nak beri pada siapa. Nanti Sha buatkan entry utk itu.
Sha berikan pada anak2 muda yang buat event Buku Jalanan - baca buku dan puisi di dalam taman.
alhamdulillah... bagus apa yang sha buat dengan buku tu. moga orang lain pun dapat manafaat tqsm
Delete