Wednesday, December 19, 2012

Cari suami di stesen minyak




Kita semua adalah pembawa kantung-kantung najis yang bergerak. Perkara yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa sebenarnya. Usus besar kita yang panjangnya secara purata adalah 1.5 meter, menjadi destinasi terakhir dalam sistem penghadaman. Dan di sinilah bahan buangan dari badan dalam bentuk pepejal yang kita kenali sebagai najis disimpan sebelum di buang.


Orang kata kalau nak cergas sepanjang hari, pagi-pagi mestilah berusaha untuk membuang air besar.

Kenapa?  


Yalah, bahan najis tu kan toksik , dan jika lama disimpan dalam badan, tentulah tidak sihat untuk kita. Bayangkan kalau dalam rumah kita, kita simpan sampah sarap makanan semalam tak dibuang. Tentu udara dalam rumah itu sendiri tidak sihat, kan.


Dan pagi itu, agak lewat rasa hendak membuang air terbit. Puas juga berusaha di pagi-pagi buta, tetapi mungkin sebab rasa teruja  benar hendak keluar berjalan dengan rakan baik,  rutin biasa tidak menjadi. Ah, dalam hati sudah khuatir, takut kalau sedang memandu di highway, tuntutan tabii waktu pagi menyinggah.  Jenuh juga nanti hendak mencari tempat sesuai.


Dan seperti yang diagak, baru hendak memulakan perjalanan setelah mengambil rakan baik, rasa yang tidak mahu terbit pada waktu yang sepatutnya, mengasak-asak menuntut ingin dilunasi segera.


Waduh...


Tandas awam di stesen minyaklah menjadi medan kunjungan.


Alhamdulillah, hanya ada satu sahaja tandas yang boleh diguna . Tandas biseksual dan yang pentingnya tandas tersebut dijaga dengan baik.


Cumanya, pengunjung yang berkunjung sahajalah yang kurang baik, saya kira.


Tel  017 - 268 xxxx , Biaxxx, mencari suami.


Oh, ada dua kemungkinan, kata hati saya, tatkala membaca 'iklan percuma' ditulis dengan pen marker hitam  yang terpampang di dinding tandas. Pertamanya, mungkin suaminya hilang. Banyak juga kes orang yang tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan, kan. Mungkin, si penulis berharap jika suaminya terbaca, bersegeralah menelefon dia semula. Rindu, mungkin.  Kalau begitulah senarionya, terpaksalah si penulis, menulis di setiap tandas yang ada di seluruh Malaysia ni, kan.


Atau, mungkin juga, penulis adalah wanita bujang dan ingin menamatkan hidup membujangnya itu. Mencari bakal suami di dalam tandas. Oh, ini teknik terbaru, mungkin. 


Bakal suami yang bagaimanakah agaknya yang  boleh diperolehi dengan menulis iklan  percuma di dalam tandas? 


Musykil jugak saya....


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 17, 2012

Mati





Beberapa hari ini fikiran saya dipenuhi dengan gambaran kematian sahaja. Angkara tak sudah-sudah membaca buku yang penuh kisah tentang penyiksaan dan kematian di medan perang, menyebabkan saya banyak berfikir.


Ah, bukan berfikir sebenarnya, lebih kepada bertanya dan berbicara dengan diri sendiri.




Saya teringat kata-kata Ustazah Maznah yang turut bersama dalam misi ke Gaza baru-baru ini. Turut serta dalam misi itu ialah beberapa orang artis terkenal seperti saudara Afdlin Shauki.  Lebih kurang kata Ustazah Maznah, kita mesti berazam untuk syahid dan berusaha untuk syahid. Walau pun nanti, pengakhiran hidup di dunia kita hanya di atas katil, tetapi dek sebab keazaman dan doa kita untuk syahid, dengan izin Allah ganjaran syahid juga kita akan perolehi.

Dan saya bertanya pada diri saya, apakah sungguh dengan sebenarnya saya ingin syahid? Atau ia sekadar kata-kata terbaris di bibir, penyedap mulut, tidak berakar dan mencengkam isi hati?

Pernahkah kita punya keinginan terhadap sesuatu perkara itu begitu dalam, sehingga  terasa seperti denyutan jantung itu sendiri terhenti bila kita mengingatkan keinginan tersebut?  Bukankah pada waktu itu, keinginan itu beraja dalam langkah dan fikiran kita. Ia menjadi pusat dalam segala gerak dan sedaya mungkin kita berusaha juga untuk mendapatkannya.

Dan adakah keinginan untuk syahid itu seperti itu dalam dada saya?

sabra dan shatila


armenian genocide

Kurdish Massacre

Kisah kematian yang saya baca, pembunuhan beramai-ramai dalam setiap peperangan oleh pihak lawan  -  tak kira siapa   -  hatta  oleh mereka yang memegang sepanduk bertulis kalimat Tiada Tuhan Selain Allah pun - kematian tersebut tetap tragis, memilukan dan sangat menyentuh hati paling dalam. Mereka yang membaca pembunuhan beramai-ramai di kem Sabraa dan Shatila oleh pihak Israel, kematian bangsa Armenia oleh kerajaan Ottoman Turki, pembunuhan orang Kurdish oleh pemerintah era Saddam Hussein dan banyak lagi, pasti membuat kita tertanya, kematian yang sebegini , kematian insan tertindas serta teraniaya kerana kebanyakannya adalah rakyat awam ,  syahidkah mereka?

Pertanyaan yang sesia. Tak perlu dijawab.

Bicara dalam kepala tak semestinya dilayan.

Cukuplah meluah di sini sahaja.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, December 16, 2012

miskin





Miskin.

Saya mendengar video dari Syeikh Hamza Yusof tentang kemiskinan. Poverty and Prosperity.





Di akhir video nya sangat memberi kesan. Salah satu perkara beliau cintai  dalam Islam katanya, ialah jalur sejarah dalam Islam penuh dengan kisah kemiskinan yang berdarjat (poverty with dignity). Baginda Rasul sendiri di waktu hayatnya bukanlah insan kaya raya, walau pun segala harta dalam dunia ini boleh berada di hujung kakinya.

Begitu juga dengan ramai golongan sahabat waktu itu, yang ada di antara mereka punya baju dua pasang sahaja dalam simpanan. Tetapi kemiskinan mereka adalah kemiskinan berdarjat, tidak meminta-minta dan mengeluh susah.  Oh ... bila menulis ini saya teringat baju-baju saya yang bergantungan dalam almari . Adui dui dui ..

Mukmin yang miskin yang sempat beliau temui di Mauritania sewaktu tinggal di sana mendalami Islam,  kata Syeikh Hamza, adalah insan-insan yang paling pemurah yang ditemui dalam hidupnya. 

Beliau menceritakan kisah benar yang dialaminya sendiri semasa mengalami sedikit kesusahan di Isbir, Mauritania. Waktu itu musim hujan, dan trak Syeikh Hamzah dan rakan-rakannya tersangkut dalam lumpur. Seorang Badwi, membantu mereka, memberi tempat rehat di khemahnya waktu malam, menyembelih kambing lalu memasak untuk mereka. Sambil melayan tetamunya, Badwi tu, memegang tiang utama dalam khemahnya, menahan, untuk mengelakkan khemah runtuh waktu hujan turun.

Apa yang mengharukan kata Syeikh Hamzah, bila mereka bangun pagi untuk solat Subuh, mereka lihat Badwi itu masih lagi memegang, menahan, tiang utama khemah, sepanjang malam. Rupanya si Badwi tu berjaga , khuatir kalau-kalau tiang khemahnya jatuh, dan tetamunya basah nanti.

Inilah kata Syeikh Hamzah yang membezakan miskin seorang Mukmin dan miskin bukan Mukmin.

Ya, saya juga bersetuju. Miskin seorang Mukmin, yang hatinya terisi iman tidak menjadikan beliau manusia paling rendah dan hina, seperti yang biasa kita lihat sekarang. Miskin seorang Mukmin, boleh saja menjadikan beliau itu tinggi nilai akhlak dan budinya di mata kita.

Miskin harta dan miskin jiwa adalah penyakit paling bahaya. Kekufuran dan kerosakan memang boleh terbit dan membiak dari sebab miskin harta dan miskin jiwa.

Kalau kaya harta dan miskin jiwa pula?

Ah, sama saja . Inilah golongan penindas, penipu dan pemutar belit. 

Tapi .... taknaklah jadi miskin, kalau boleh, kan. Miskin apa pun,minta-minta janganlah. Miskin hutang? Oh kalau miskin hutang,  takpe. :)

Oh , hujung tahun ni ramai yang tak miskin rasanya  :)

Selamat bekerja esok bagi yang tidak bercuti!!



~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, December 15, 2012

Cinta sejati





True love is neither physical nor romantic. True love is an acceptance of all that is, has been, will be, and will not be.


Nanti saya dah nyanyuk, awak datang lawat saya ya ....

Mesej tersebut saya baca berulangkali.

Rentetan membaca kisah seorang suami yang setia melawat isterinya yang nyanyuk di pusat jagaan orang tua, setiap hari, menjadikan hati sedikit melankolik. Nasib kita di kemudian hari, tidak ada seorang pun yang tahu. Memang tiada siapa yang tahu.

Itulah yang indahnya dalam keadaan tidak tahu itu. Kerana kalau sudah tahu pasti apa yang akan terjadi, mungkin , mungkin putus asa dan kecewa tak sudah akan melakari perjalanan hidup. Dunia yang penuh tidak tahu, akan sentiasa terselit harapan di celahnya. Dan harapan sentiasa akan menghidupkan jiwa.

Cinta sejati memang menjadi dambaan semua. Cinta sejati melepasi sebarang rintangan dan halangan, tidak kenal jemu atau bosan.

Orang kata cinta sejati hanya pada Tuhan Rab segala alam. Memang mudah menulis dan menukil. Tetapi merealisasikannya tidak semudah menutur atau menaip kata-kata tersebut. Saya bukan yang selayaknya menulis dan menggambarkan bagaimana cinta sejati pada Pencipta kita.

Kerana saya hanya manusia biasa, masih punya pandang mata dan pandang hati yang terikat dengan dunia yang fana ini. Masih lagi takut kalau insan tersayang tiada di sisi, masih lagi mengharap agar kasih yang tersemat tidak disesiakan oleh insan  tersebut. Kasih dan cinta dalam hati ini tidak sebulat dan sebesar cinta para sahabat kepada Pencipta yang sama.

Oh, mereka, para sahabat Baginda adalah generasi alQuran, yang segala tujuan hidup ini dan kecintaan yang mengisi setiap inci hati dan jiwa mereka adalah pengabdian yang mutlak buat Allah Rabbul Jalil. Memang tidak tertanding dengan kecintaan mereka. Ibarat sang semut dengan si gajah.

Cinta yang seperti itu, menuntut pengorbanan yang sangat besar . Cinta seperti itu jika sudah mengambil ruang di hati kita, rasanya tiada tempat lagi untuk menagih cinta-cinta yang seperti kita.

Cinta seperti itulah , kalau boleh ingin disematkan dalam hati ini.

Walaupun begitu, dalam meniti hidup ini, dengan izinNya, saya masih mengharap dan berdoa agar cinta kasih yang saya berikan pada insan-insan yang terpilih menjadi penyebab untuk kami berkumpul nanti di akhirat. Hidup bersama dalam nikmat dan rahmat Allah .

Seorang Arab Badwi datang bertemu Rasulullah saw lantas bertanya, “bila berlaku Kiamat?” Rasulullah saw bertanya semula, “apa yang telah kau sediakan untuk menghadapinya?” Orang Arab Badwi itu menjawab, “aku menyediakannya dengan hati yang sangat cinta kepada engkau ya Rasulullah.” Rasulullah menjawab, “seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat.” 
Rasulullah saw telah mengajar kita supaya berdoa dengan doa ini: “ya Allah berikanlah cintaMu kepada ku, jadikanlah orang yang mencintaiMu mencintaiku, dan jadikanlah aku mencintai segala sesuatu yang membawa kepada kecintaanmu.”  ~ Negara Cinta : Usataz Pahrol

Salam kasih buat kekasih hati.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 14, 2012

pukul rata




Dua tiga hari ini saya kembali menyambung bacaan yang sudah bertahun rasanya tergendala.


Buku ini antara buku yang amat payah dihabiskan. 

Antara sebabnya, kisah-kisah benar dalam buku tersebut sangat menyayat hati. Bukan kisah rekaan, tetapi kisah benar tentang kezaliman manusia, bukan sahaja kezaliman yang dilakukan oleh manusia yang bergelar bukan Muslim tetapi terkait juga dengan kisah zalim oleh pemerintah-pemerintah beragama Islam di abad ini.

Penulis tersebut punya pengalaman lebih 30 tahun hidup di daerah-daerah bergolak di Middle East. Memang sepertiga buku mengisahkan pergolakan Palestine-Israel. Dan yang menariknya, penulis punya pandangan yang objektif , tidak berat sebelah dan sentiasa cuba berlaku adil dalam penulisannya. 

Dan bukan begitukah sifat sebenar seorang wartawan? Tidak kira apa ugama, bangsa dan asalnya dari mana.

Jarang sekali kita didedahkan dengan penulis-penulis Barat yang memandang kezaliman dari kaca mata sebenar. Tidak terpengaruh dengan sogokan dan sorakan ramai. Dan dari pembacaan ini jugalah saya baru membetulkan pandangan dan penilaian saya semula.

Bahawasanya kita janganlah menjadi seperti ramai insan lain, membuat pukul rata dalam penilaian. 

Rupanya , ada insan-insan berbangsa Yahudi yang jelas dalam kata-katanya, menentang tindak-tanduk masyarakatnya dalam isu Palestine-Israel. Kita tidak boleh membuat generalisasi bahawa semua Yahudi adalah zalim. 

Seperti Gideon Levy, wartawan yang tinggal di Tel Aviv. Perjuangannya menceritakan perkara sebenar mendatangkan banyak masalah kepada dirinya. Cubalah baca Is Gideon Levy the most hated man in Israel or just the most heroic?

Amira Hass, seorang wartawan Israel yang menetap di Ramallah juga cuba memaparkan peristiwa sebenar di Gaza .  Arie Caspi bekas wartwan Israel , yang kini telah meninggal dunia pada tahun 2003 juga banyak menulis tentang penentangannya terhadap dasar penjajahan Israel di bumi Palestin. Antara yang menarik ialah The Power of the Weak.

Profesor Norman Finkelstein seorang Amerika berbangsa Yahudi juga pernah mengatakan Israel adalah sebuah negara gila (lunatic) dan beliau juga mengatakan bahawa isu holocaust sentiasa dijadikan alasan untuk Israel bertindak sesuka hati. Cubalah singgah ke sini, sangat menarik.




Memang agak sukar hendak mempercayai bahawa di dalam kalangan musuh Islam ada insan-insan yang dikurniakan Allah kesedaran dan hatinya dililitkan sifat perikemanusiaan serta membenci kezaliman.

Tetapi sebenarnya tiada yang mustahil, jika itu yang Allah inginkan.

Bukanlah semua Yahudi itu zalim seperti mana bukan semua Muslim itu pengganas. Bahkan salah seorang isteri Baginda itu adalah berbangsa Yahudi, Saidatina Sofiyyah bunti Huyay.
Ketika Sofiyyah mengadu kesedihannya kerana sering diejek atas nama keturunan dan bangsanya Yahudi, Baginda S.A.W mengajari Sofiyyah agar menjawab, "Bagaimana kamu (yang mengejekku) dapat mengatasi kemuliaan keturunanku, ayahku dari keturunan Nabi Harun, saudara lelakiku dari keturunan Nabi Musa , dan suamiku pula adalah Nabi Muhammad S.A.W". ~ sumber

Tidaklah bermaksud, saya hendak memenangkan puak-puak Israel yang zalim, tetapi saya kira sebagai seorang Muslim kita juga mestilah sentiasa membuat penilaian yang jujur dan adil. Penilaian secara pukul sama rata memang bukan sifat seorang Muslim, kerana orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang sentiasa berfikir dan menggunakan akalnya.

Salam Jumaat semua. Moga kita sentiasa diberi petunjuk oleh Allah ke arah jalan yang diredhaiNya.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, December 12, 2012

kurang baik

sumber

Hujan.

Sejak akhir-akhir ini memang selalu hujan di sebelah petang hingga ke malam. Saya memang sukakan hujan, apatah lagi hujan yang coraknya begini rupa, siang panas dan malam hujan. Terutama waktu-waktu cuti seperti ini. Nikmatnya ...

Di sepanjang perjalanan menghantar anak ke kelas tuisyen, suara Ustaz Zahazan menemani. Mengisahkan tentang kisah Nabi Nuh dalam perut ikan paus.

Cerita yang biasa kita dengar, kan. 

Tentang sifat Nabi Nuh yang sentiasa mengingati Allah, dan baginda bersolat di dalam perut ikan paus tersebut. Dan kerana sifat baiknya Allah membebaskan Nabi Nuh.

Yang menariknya tentang peringatan dari Ustaz Zahazan ialah tentang pentingnya kita membuat kebaikan, tidak kira pada manusia, haiwan dan tumbuhan. Kerana mana tahu , dengan kebaikan kita itu nanti di saat kita susah dan sempit , Allah melepaskan kita dari kesusahan dan kesempitan.

Membuat kebaikan pada manusia atau haiwan memang tidak asing. Membuat kebaikan pada tumbuhan?

Saya adalah antara manusia yang panas tangannya. Pokok atau tumbuhan yang saya tanam memang biasanya akan mati sebelum sempat 'baligh'. Di rumah saya pun togel tanpa pokok di laman. Taman hanya berada dalam hati saya, bukan di dalam atau di luar rumah. Cuma mungkin, ada pokok daun pandan dan pokok daun kari di belakang rumah, yang kental menahan sabar dan berjaya membesar dengan bahagianya.

Dan saya bukannya manusia yang giat mempertahan dan membela nasib persekitaran dan hutan . Sekadar memandang, melihat dan menikmati. Dunia saya memang sempit dan tidak berkesan mana. :(

Ah... saya perlu mencari jalan. Berfikir dan bertindak  untuk membuat kebaikan pada tumbuhan juga.  

Tapi , bagaimana ?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, December 11, 2012

Jom ... !




Mehla datang sini

Mesej dari sahabat baik, yang sedang melayani rasa bosannya. Cuti yang panjang memang sentiasa dinanti oleh mereka yang bekerja, kan. Tetapi ada kala, cuti yang panjang juga boleh menimbulkan rasa bosan, dek terperuk dalam rumah tidak kemana.

Terlebih lagi kalau jauh dari sahabat-sahabat, yang biasanya menjadi teman bersembang dan bergelak tawa. Bila di rumah bersendirian berminggu-minggu, mulalah rindu pada suasana santai dan menariknya juga rindu pada saat-saat menghadapi tekanan kerja juga muncul,

Malangnya, keinginan untuk menziarah rakan baik tidak dapat terlaksana. Walau memang teruja sungguh berjumpa dia dan yakin pasti, pertemuan akan beriring derai tawa tak sudah.

Dan saya tahu kebosanannya makin bertambah.


sumber : siri 1 :2

Pernah dengar tentang cerita Imam Ahmad bin Hanbal dengan seorang pembuat roti? Oh tiba-tiba bertukar tajuk pula..

Bukan apa, cerita tentang Imam Ahmad dengan pembuat roti itu baru saja saya dengar tadi petang, sambil-sambil menggosok baju yang betimbun. Cerita itu terkait dengan manafaat beristighfar.

Apa ceritanya?

Ah, dengarlah sendiri ..

Oh, tapi saya tahu ramai yang malas mendengar, atau mungkin juga tidak punya masa untuk mendengar.

Ceritanya begini ...

Satu hari, seorang pembuat roti ternampak Imam Ahmaddi sebuah masjid. Imam rersebut tidak dibenarkan berehat di masjid oleh penjaga masjid, lantas dia menjemput Imam Ahmad berehat di tempatnya. Waktu itu, pembuat roti tidak mengenali  Imam Ahmad walau Imam Ahmad memang terkenal orangnya.

Sedang Imam Ahmad berehat di sebelah pembuat roti, beliau dapati, di sepanjang masa pembuat roti itu menguli rotinya, si pembuat roti akan sentiasa beristighfar. Sambil menguli, beristighfar.
Tertarik dengan sikap pembuat roti Imam Ahmad bertanya pada pembuat roti adakah sebarang manafaat yang dia dapat dari rutinnya beristighfar. Pembuat roti memberitahu bahawa, sejak beliau beramal dengan amalan istighfarnya itu, doanya sentiasa termakbul kecuali satu sahaja yang belum dimakbulkan oleh Allah.
Bila ditanya, apakah doanya yang belum Allah makbulkan , si pembuat roti berkata yang dia berdoa ingin berjumpa imam terkenal Imam Ahmad bin Hanbal.
 Lalu Imam Ahmad pun memperkenalkan dirinya kepada si pembuat roti. Oh ! Allah memang makbulkan  doa si pembuat roti .. dek kerana amalan istighfarnya.

Best kan.

Petua untuk doa kita dimakbulkan Allah. Sentiasa beristighfar ! Bukannya susah mana pun.

Jom. Kita sama-sama amalkan.

*Jom cik Noorul, mana tahu doa kita Allah makbulkan .♥

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 10, 2012

dunia aku




Dunia aku.

Segalanya berkisar tentang diri sendiri. Bila terbaca catatan Dr Harlina dalam blognya, saya kembali melihat diri sendiri. Berbicara tentang diri sendiri, seolah dunia ini berlegarnya di dalam lingkungan aku.

PLEASE, enough of hearing comments like this about conflicts in Palestine: 'We shud be grateful becoz we live in peace, not in fear of bombs dropping, houses collapsing & children dying.' 
The simple fact is : we are not chosen to be Palestinians! We are definitely not strong, tough & determined enough to be Palestinians...hence here we are - existing for mere ordinary reasons of living in this world of 'me, myself & I ! 
For the Palestinians - their victory is their continuous resistance against the Israeli occupation & their defeat would be to surrender to the Zionists ~ Dr Harlina

Oh ... memang jauh sangat hendak dibanding saya dan saudara-saudara kita di Palestine sana. Bukan mereka yang di Palestine saja, saudara-saudara kita di selatan Thailand, BangsaMoro di Filipina dan saudara-saudara Rohingya di Myanmar.  Jauh sangat bezanya mereka dan saya.




Tak boleh hendak digambar penderitaan mereka. Kerana saya tidak pernah merasa derita seperti itu. Der ita saya hanya sekadar sakit perut, sakit kepala dan demam panas, yang bila cukup rehat, cukup tidur, makan ubat pada masanya, maka hilanglah segala sakit perit tersebut.

Sedih saya hanya bila terpisah dari aruah ayah kerana memang sudah tertakdir ajalnya, sedih terpisah dengan orang tersayang buat seketika, tapi dengan izin Allah akan berjumpa juga, sedih kerana kehilangan data dalam macbook yang sedang dibaikpulih dan sedih menonton drama atau filem rekaan semata. 

Memang kecilnya dunia saya dibanding dengan dunia saudara-saudara kita yang diuji, diasak saban hari dengan kematian serta penindasan.

Dunia saya hanya berkisar tentang saya. Tentang buku-buku saya, tentang baju apa yang hendak dipakai esok, apa yang hendak dimakan nanti,  gaji bila tarikhnya akan boleh dikeluarkan nanti atau barang apa yang hendak dibeli dengan duit bonus nanti.

Dunia saya hanya berlegar tentang risau yang tak sudah, risau tentang masa depan anak sendiri dan risau dengan keselamatannya .

Dunia saya penuh dengan kesenangan, walau bukan harta yang melimpah tapi Allah kurniakan segalanya mudah dan tidak susah.

Saya bukan insan yang terpilih untuk menerima ujian hebat kerana saya bukan hebat.

Namun begitu, saya bersyukur amat. 
Hanya setelah bersyukur, Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi) akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya. Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak.”~ Apa yang diberi vs apa yang dipinta


Salam kasih buat sahabat yang boringnya sudah di tahap raksasa. ♥


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, December 7, 2012

terawal sikit




Tahun 1978.

Pelancaran siaran televisyen berwarna yang pertama rupanya berlaku pada Disember 1978 . Teringat kali pertama menonton siaran berwarna di kaca televisyen. Tak berkelip mata, tapi itu pun bukan semua rancangan di televisyen waktu itu berwarna. Kebanyakan siaran masih hitam putih.

Waktu itu usia saya 12 tahun. Darjah enam, bersekolah di SK Marian Convent, Ipoh. Cuti sekolah pada masa itu terasa sangat panjang, hingga jenuh rasanya bermain dengan kawan-kawan di flet FRU Sungai Senam, Ipoh. Dan hati sentiasa berdebar menunggu persekolahan baru bermula kerana saya akan menjadi pelajar sekolah menengah pula tahun berikutnya.

Dah besar lah, katakan, kan ....

8 Disember 1978 ?

Oh, saya memang tak ingat apa yang berlaku dalam hidup saya pada tarikh tersebut. Mungkin sedang bermain konda-kondi di padang dengan kawan-kawan, atau main cikgu-cikgu di hadapan rumah, mungkin juga sedang menolong emak waktu itu. Atau mungkin juga sedang nyenyak tidur waktu malam masa itu.



Masa bila?

Masa sahabat baik saya ini dilahirkan. Terlupa pula hendak bertanya dia, waktu sebenar dia dilahirkan.



Berapa tahun umur kamu Noorul?

Rahsia? :D

Bukanlah rahsia kalau sudah tertera kan.

 Untuk kamu Noorul :
"You are an enthusiastic and determined person who has high ideals as well as very big plans and goals. A deep thinker, your morals are unusual yet strong, and your courage is great, particularly when it comes to standing up for a cause you believe in. You have a definite religious or philosophical bent. You are exceptionally attractive no matter what you look like. You are frequently devising new plots and challenges for yourself."  ~ Bukan kata-kata saya, tapi kata-kata mereka yang percaya

Saya cuba menjadi sahabat yang baik, yang sentiasa mendoakan segala yang terbaik untuk sahabat baik yang baik ini. Bersyukur kerana Allah menemukan saya dengan insan yang sangat tabah di mata saya . Moga Allah melapangkan dan memudahkan segala urusan kamu Noorul, melimpahkan rezeki mencurah serta mengurniakan bahagia di dunia dan akhirat nanti.

Umur hanya angka, kan, Noorul. Menunjukkan bilah tahun dan hari yang telah kita nikmati. Kalaulah umur bisa menunjukkan bilangan hari yang tinggal untuk kita nikmati, memang rasanya tidak ada siapa yang akan menyambutnya, apatah lagi menampalnya di muka buku  masing-masing.

Oh, menakutkan lah pulak, kalau tanggal hari lahir yang kita sambut itu membolehkan kita tahu bila tarikh kita akan berhijrah ke alam yang lebih kekal. Wah .... saya dah merepek terlebih.


Apa pun  Noorul, nanti bila kita berjumpa, dengan izin Allah, tamat cuti sekolah ini, saya belanja makan bebiri , k.

Selamat Hari Lahir Noorul.

*terawal sikit :)

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...