Sunday, December 28, 2014

Banjir dan Pesawat Hilang




Saat saya menulis ini, tiada kata-kata yang boleh menggambarkan perasaan.

Kita rakyat seMalaysia diuji berkali-kali dalam tahun 2014 ini. Hanya Allah selayaknya yang tahu, mengapa.

Belum habis gundah gulana dan kerisauan yang meraja di hati setiap warga Malaysia, akibat banjir besar yang masih lagi menyelubungi daratan di beberapa negeri, kita didatangi pula berita kehilangan pesawat AirAsia.

Allahu Akbar.

Hanya kepada Kamu kami memohon keampunan. Dan Hanya KepadaMu kami bergantung harap.


sumber

Sudah tiba masanya kita bergerak sebagai satu suara memohon doa bersama-sama. Kudrat manusia tidak ke mana. Bantuan dan sumbangan yang mencurah memang perlu diteruskan.

Tetapi, kita perlu berhenti bertelagah.

Berhenti mencari kesalahan dan meniup api kemarahan. 

Bersangka baik dan terusan memberi.

Sudah penat rasanya membaca kata-kata sinis dan maki hamun di alam maya. Tidak kiralah siapa yang membantu, jangan ditanya dari mana dan kenapa. 

Setiap dari kita, walau hanya dapat membantu dengan doa dan kata-kata baik, itulah sumbangan kita. Janganlah, janganlah kita terusan melayan sifat-sifat mazmumah yang bersarang.






Untuk semua yang bertungkus-lumus membantu, bergadai nyawa dan bersengkang mata, saya mendoakan semoga Allah mengambil kira amalan kalian sebagai bekalan tak ternilai untuk meraih jannah, syurga Allah itu luas dan insyaAllah ia milik kalian. 

Kepada semua mangsa banjir dan mangsa kehilangan pesawat, saya mendoakan Allah mengurniakan kekuatan hati serta kesabaran yang menggunung dan membalas segala yang hilang dari kalian dengan gantian yang terlebih baik. 

Hanya Allah sahaja menjadi tempat sandaran kita memohon bantuan yang di luar upaya kita.


Salam ingatan.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 8, 2014

Amin




Saya pinjam kata-katanya. Memang saya tak kenal . Tapi, bait kata dalam facebooknya memberi kesan dalam hati saya.


Facebook Pakcik Ateh Salim

Hati masing-masing, orang lain takkan tahu  getarnya. Tapi seorang sahabat itu dapat mendengar irama dalam hati sahabatnya. Irama sendukah , rawan dan pilukah atau ria berjalur tawa kah yang bergema dalam hati sahabatnya itu? Semuanya boleh dirisik dan dirakam oleh insan yang bergelar sahabat.

Saya ingin menjadi sahabat seperti itu. Menjadi sahabat sebegitu buat seorang sahabat ini yang begitu dekat di hati saya.




Saya ingin dapat mendengar irama dalam hatinya supaya  bila satu masa nanti, andai dia terlupa, bolehlah saya melagukannya kembali. 

Tapi ... oh, manalah tahu ya, entah-entah saya pun terlupa sama. Kalau begitulah kiranya, wahai sahabatku, jom kita lagukan irama lain, kita cipta lagu baru dengan bunyi dan seloka yang lebih indah.

Hahaha.

Buat sahabat saya yang bernama Noorul, selamat hari lahir yang ke 36, bertarikh 8 Disember ini. 

Allah Rabbul Jalil, Maha Pemurah dan Maha Mendengar, moga doa-doa saya untuk sahabat saya ini Allah makbulkan, kerana hanya Dia yang maha berkuasa. Saya mendoakan agar Allah mengurniakan sahabat saya ini kesihatan yang baik, rezeki yang mencurah dan dikurniakan segala kebaikan yang ada di dunia ini dan di akhirat nanti, seluruhnya buat sahabat saya ini sekeluarga.

Allah Yang Maha mendengar, Segala kekuasaan itu milikNya semata, semoga dengan rahmatNya, Allah kurniakan nikmat kasih dan sayang buat sahabat saya ini, dimakbulkan segala keinginannya yang baik-baik. 

Tiada hadiah yang paling baik saya kira buat seorang sahabat, melainkan doa yang Allah makbulkan. Dan itulah yang menjadi harapan saya. Semoga doa-doa ini di aminkan oleh kengkawan saya di luar sana , dan menjadi penyebab kepada makbulnya doa-doa ini.

Salam sayang buat seorang sahabat dari seorang sahabat fillah.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, December 1, 2014

Doa buat sahabat




Saya dah penat.

Ayat tersebut terbayang-bayang dalam ingatan. Dalam keadaan sebegini, saya hilang kata-kata. Cuba mencari ayat yang sesuai, kerana saya takut kalau-kalau kata-kata saya akan menambahkan rasa lelahnya menerima ujian Allah.

Saya tahu katanya itu bukan bermakna dia tidak redha . Tidak sekali. Kerana saya tahu bagaimana  hatinya. Saya faham benar gelodak jiwanya.

Bagi saya, dialah antara insan terpilih oleh Allah yang begitu kuat semangatnya. Kuat keyakinannya terhadap Allah. Tinggi redhanya dalam menerima ujian. Bulat hatinya menyerahkan segala ketentuan pada Allah.

Kerana itulah ujian ini Allah persembahkan khas buat dia.

Bukan ke atas saya.




Sakit yang ditanggung hanya Allah sahaja yang dapat meringankannya. Dan saya hanya mampu mendoakan. Semoga Allah menerima doa saya dan memakbulkannya.

Saya juga mengharapkan agar Allah menyembuhkan insan ini. Kesembuhan itu milik Allah, dan hanya Dia yang punya kuasa memberikan kesembuhan tersebut. Saya hanya manusia kerdil dan lemah, punya kehendak tetapi tiada daya melunaskan kehendak tersebut.

Doakanlah untuk dia kengkawan semua. Doakan untuk sahabat saya ini yang berada dalam kesakitan. Semoga Allah menyembuhkan dan menghapuskan segala salah dan dosa kita semua.

Kepada Allah sahaja kita sembah dan hanya Allah sahaja yang kita mohon pertolongan.

Ameen.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 26, 2014

cemerlang




Ucapan tahniah untuk ibu dan anak meriah masuk dalam kumpulan WhatsApp  dan kumpulan Telegram henfon saya, berselang-seli dengan kata-kata terima kasih dari ibu-ibu yang berkenaan. Kembanglah senyuman meleret di wajah mereka yang Allah berikan nikmat  anak-anak mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

Dan mata saya meleret membaca kata-kata yang tertera ..."Anak cemerlang kerana ibu dan ayahnya cemerlang", merujuk kepada kejayaan anak-anak itu mencapai keputusan yang cemerlang.

Seperti tayangan gambar iklan tv lama, kata-kata itu diulang tayang berkali-kali dalam kotak minda saya. 

Tersentuh halus, walau pun saya tahu tidak perlulah saya begitu sensitif seperti itu.

Sememangnya, berjaya dalam mana-mana peperiksaan formal seperti UPSR bukan menandakan kejayaan sesiapa pun. Semua pun tahu. Saya tahu. Anda pun tahu.

Tetapi  bila meletakkan diri di tempat ibu bapa yang anaknya tidak mendapat keputusan yang cemerlang, sedikit sebanyak hati akan tersentuh dan tertanya-tanya. Di manakah silap dan salah kita? Kenapa dan mengapa? Bagaimanakah terjadi seperti yang sedemikian?

Memang senang bagi orang lain menyusun kata cuba memujuk hati. Tak mengapa, yang penting anak itu sihat dan baik. Betul. Tetapi saat itu, ketika melihat wajah anak dan melihat kelibat rakan-rakannya yang lain bergembira dengan keputusan yang cemerlang, saat itu, waktu itu, rasa kecewa  dan sedih sedikit sebanyak pasti hadir.

Bukan kecewa kerana anak kita tidak berjaya seperti anak-anak yang lain. Kecewa kerana , mungkinkah kita tidak cemerlang, maka anak kita itu tidak secemerlang seperti rakan-rakannya? Adakah kerana kita, maka Allah menurunkan ujian terhadap anak kita?

Kecewa juga kerana kita tidak dapat mengelakkan rasa sedih dari menghinggap hati anak kita yang sangat kita kasihi. Kalau boleh, mahu sahaja kita padamkan keadaan di sekeliling supaya anak kita itu tidak melihat kegembiraan orang lain yang tidak menjadi miliknya.

Saya pernah berada di situasi tersebut. 

Dan sangat saya faham hati seorang ibu yang anaknya tidak mendapat keputusan baik. 

Betul. Betullah bila nanti anda mengingatkan bahawa UPSR bukanlah segalanya. PMR bukanlah penghujungnya. Dan SPM bukanlah pengukur kejayaan seorang anak.  Betul sangat. Bukan saya tidak tahu. 

Tapi yang saya ingin tuliskan adalah rasa yang membenih saat itu. Menggigit hati dan memamah jiwa. 




Pun begitu, saya memang percaya, masing-masing punya ujian tersendiri yang Allah sediakan untuk kita. Sedangkan ramai juga yang kita lihat, anak-anak yang cemerlang tidak datangnya dari ibu bapa yang cemerlang, dan ada juga anak-anak yang tidak cemerlang datangnya dari ibu bapa yang cemerlang.  Semuanya adalah ujian. Terlebihnya adalah ujian untuk ibu dan ayah tersebut.

Kejayaan atau kegagalan adalah ujian Allah ke atas hambaNya.

Dan saya cuma berdoa agar ibu-ibu dan anak-anak yang tidak berjaya mendapat keputusan seperti yang diharapkan  pada hari ini , agar Allah kurniakan nikmat serta rezeki  yang lebih baik  di dunia ini dan akhirat nanti.

Bagi mereka yang Allah kurniakan nikmat kejayaan pada hari ini, saya juga mendoakan agar Allah terusan mencurahkan kejayaan buat kalian semua. Tahniah daripada saya. 


~cikgunormah @klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, September 16, 2014

cukup-cukuplah





Saya seorang guru. Hati saya, jiwa saya, ingatan saya setiap hari berkisar tentang kerjaya saya sebagai guru. 

Saya pasti bukan saya seorang sahaja seorang guru yang berfikiran sebegini. 

Bila melihat gambar-gambar insan yang bergelar guru digari terpampang dalam suratkhabar, sedikit perasaan tercuit. Malu. Itu sebahagian daripada perasaannya. Yang terlebih lagi ialah merasakan penyesalan bagi pihak yang tertuduh.

Kalaulah... mereka berfikir dahulu sebelum bertindak.

Dan mesej-mesej pun berantakan masuk. Dari mesej 'Kisah seorang guru'- kisah pendek menceritakan pengorbanan seorang guru sehinggalah sajak 'Cheaters' yang bertujuan sama juga, cuba mengenengahkan pengorbanan seornag guru.

Kenapa kes pembocoran kertas peperiksaan pada tahun ini begitu mendapat perhatian sehingga kertas peperiksaan terpaksa ditunda dan diulang semula. Wallahualam.

Sedangkan saban tahun, kisah soalan bocor ini bukannya tidak pernah kita tahu. Bohonglah kalau menafikan.

Dan ramai guru menidakkan penglibatan guru yang berintegriti lemah, menafikan di kalangan kami ada yang memang cenderung untuk melakukan salah laku atas apa juga alasan.  Membocorkan perkara yang dia tahu jangan dibocorkan. Tetapi alasan yang paling 'bagus' ialah untuk membantu anak-anak kita.  Menyalahkan KPM meletakkan keputusan peperiksaan aras tanda bagi sekolah, kerana itu sekolah berasa tertekan, guru-guru tertekan, maka jalan paling mudah ialah membocorkan soalan.

Ini menambahkan malu saya.

Seolah-olah seorang  guru itu adalah manusia yang mudah sangat kalah pada tekanan.

Jika benar salah laku itu adalah berpunca dari seorang guru, maka dia bukanlah berjiwa guru. 

Dan guru lain janganlah cuba memberikan alasan untuk dia sebagai pesalah. Seolah membenarkan perlakuan salahnya atas kerana tekanan yang diterima. Lainlah kalau nyawa isteri dan anaknya  terpaksa digadaikan kalau dia tidak membocorkan soalan. Atas dasar itu bolehlah kita bersimpati.

Kita menyalahkan typist, yang mungkin membocorkan soalan, salahkan pencetak mungkin kerana dia yang mungkin akan membocorkan soalan, tetapi bukan itu yang saban tahun saya dengar dari mulut-mulut yang menerima soalan bocor, biasanya. Bukan pencetak, bukan typist yang menyebarkan. Biasanya dari guru jugalah. 

Bukanlah bermakna anda seorang guru dan anda tidak membocorkan soalan maka semua guru itu suci. Dan tidak juga kalau seorang guru itu membocorkan soalan, maka semua guru itu tidak berintegriti.

Saya cuma ingin menyatakan, janganlah kita para guru cepat sangat melatah. Memohon simpati tak sudah.. berkongsi cerita pengorbanan seorang guru pada satu dunia dan minta dikasihani. Tidak! Hentikanlah.

Kita guru di Malaysia ini adalah guru yang berhati waja. Jika salah seorang dari kami berlaku salah, hukumlah. Kita tidak mudah kalah pada tekanan. Pengorbanan kami tidak perlulah dihebohkan, kerana kami ikhlas dalam bidang ini. 

Hentikanlah menyebarkan kisah pengorbanan seorang guru, seolah-olah menjadi guru itu sangat menyusahkan hidupnya. Padahal saya pasti ramai guru di luar sana yang cintakan profesionnya ini, mahu kalau boleh, tidak mahu orang  tahu pun apa yang dikorbankan untuk anak-anak muridnya.

Cukup-cukuplah.


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, September 8, 2014

Apa yang kengkawan belajar hari ini?





Hari ini saya belajar beberapa perkara.

Yang pertamanya, cuba menjadi ketua yang baik dan cemerlang bukanlah mudah. Kalau hanya hendak memegang gelaran ketua itu sahaja tidak payah sebenarnya, tetapi melaksanakan amanah yang dipikul secara adil dan berhemah bukanlah kerja enteng.

Banyak kali juga, harapan agar permintaan yang berwajahkan arahan itu diterima serta terlaksana seperti yang tertera dalam mimpi dan anganan. Satu-satu ia terjadi sebiji betul seperti dalam mimpi. Mengujakan sungguh.

Tapi, tetap ia hanya mimpi dan anganan. Kadang laluan yang kita tunjukkan dan minta dijadikan pedoman itu sebenarnya adalah laluan yang penuh berduri dan punya banyak kelemahan. Dan tatkala melihat sahabat-sahabat itu berhempas pulas, rasa bersalah pasti akan menjalar. Jadi waktu itu, apakah tindakan yang terbaik?




Yang keduanya, saya juga belajar bahawa  di kala susah dan payah, kadang-kadang pandangan kita dikaburkan. Hati kita berbolak-balik. Ada masa kita menyerahkan segala ketentuan itu padaNya, tetapi ada ketika dan saatnya kita jadi gentar, takut dan risau tak tentu hala. Buntu. Dalam waktu payah dan terdesak itu, sering kali kelam kelibut itu menjadi teman, dan syaitan berselindung di sebaliknya, membuatkan kita tidak tentu arah, marah, geram, sedih bercampur baur.

Yang ketiganya, saya juga belajar mendengar dan menganalisa diri saya semula. Meletakkan diri saya di tempat orang lain. Belajar untuk mendengar dan menerima silap sendiri. Belajar untuk tidak cepat melatah dan cuba menjadi tenang.

Oh payah rupanya. 

Kerana ego saya sebesar gunung. Merasa diri sudah buat yang terbaik, tetapi yang terbaik itu sebenarnya tidak memberi kebaikan pada sebahagian yang menerima. Ego saya rupanya sudah membesarkan kepala sendiri. Melihat diri sudah terlalu baik, tetapi pada hakikatnya baik itu hanya berkisar di pandangan mata sendiri sahaja.

Yang keempat, saya belajar juga bahawa hidup di dunia ini hanya sebahagian dari perjalanan yang panjang. Hidup saya bukan sekali rupanya.  Alam rahim, alam dunia, alam barzakh dan alam akhirat. Rupanya baru berada di alam yang kedua.  Hidup saya baru menempuh dua alam, dan ada dua alam lagi yang perlu dilalui.

Menakutkan juga.

Itu yang saya pelajari hari ini.

Kengkawan belajar apa hari ini?



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, August 2, 2014

strategi lama dasar pengecut



Tahun 2014 sebenarnya adalah tahun dukacita. Dukacita bertimpa bagi ramai daripada kita. 

Kita dikejutkan dengan peristiwa sedih berulang, MH370 , MH17, perang tidak berkesudahan di Syria, hak beragama yang dinafikan di Xinjiang, China, pembunuhan masyarakat Kristian di Iraq oleh mereka yang bergelar Islam Sunni, masalah tidak selesai  saudara kita di Rohingya dan gambar-gambar anak-anak kecil , wanita serta orang tua yang mati dibedil oleh Israel laknatullah.

Menyedihkan.

Dan semua itu menghiris hati kita yang sedar dan tahu, bahawa daya dan upaya kita sangat lemah.

Strategi Israel mengebom orang awam di Gaza dengan memberi alasan , jika perkara itu tidak dilakukan, rakyat mereka yang akan mati di tangan Hamas, sebenarnya sama seperti tindakan Amerika sewaktu perang dunia ke dua.

Bombing of Hiroshima and Nagasaki

Bom atom dijatuhkan di Hiroshima pada 6 Ogos 1945 mengakibatkan 90% bandar Hiroshima hancur dan 80, 000 rakyat awam Hiroshima mati serta-merta. Tiga hari kemudian, bom atom kedua dijatuhkan di bandar Nagasaki, mengakibatkan kematian rakyat awam sebanyak 40,000 orang.

Itu strategi mereka untuk memastikan Jepun menyerah kalah.

Tidaklah saya menyokong Jepun pula. Cuma hendak menyatakan bahawa strategi pengecut inilah yang digunakan oleh puak 'Nazi Israel' ini sekarang. Membunuh rakyat awam adalah idea lama yang mereka harapkan dapat menundukkan rakyat Palestin.


seorang kanak-kanak Jepun yang mati terbakar akibat bom atom: tangannya kelihatan
terletak di bah again dada.



kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa

Jika pada tahun 1945 itu , sudah ada internet dan facebook, saya pasti kita akan dapat lihat kecaman rakyat sedunia kepada Amerika sebagai pengganas sebenar.

Selain dari banyak faktor yang lain , inilah sebabnya mengapa dan kenapa kuasa besar ini mengiyakan dan bersetuju benar dengan tindakan Israel membunuh rakyat awam yang tidak berdosa.  Kerana, di tangan mereka juga pernah darah-darah rakyat awam , kanak-kanak, wanita dan orang tua yang tidak berdosa menitis dan terpalit. Kalau boleh , agaknya, hendak sahaja dijatuhkan bom nuklear di Gaza, cuma kerana takut terkena tempias bom nuklear tersebut kepada rakyat Israel laknatullah, maka niat yang sedemikian ditahan-tahan.

Semua yang terjadi ini memang atas kehendak Allah. Allah yang Maha Tahu kenapa kejadian yang menyayat hati, kematian insan tidak berdosa dibenarkan terjadi. Rahmat Allah itu pasti. Kita sebagai hamba Allah,  sedaya mungkin, berusaha dan berdoa agar peperangan ini dapat ditamatkan. 

Melihat gambar-gambar solidariti seluruh dunia melalui perhimpunan besaran , menyelar kezaliman Israel laknatullah, membangkitkan semangat untuk turut membantu dari jauh. Saya percaya, rasa ini dikongsi oleh ramai daripada kita.

Nampak kecil usaha-usaha kita, tetapi secara kolektif dan istiqamah, insyaAllah, ia akan membesar ibarat ombak di lautan yang  bergelora sewaktu ribut.

Boikot barangan Israel dan produk yang membantu Israel semakin menampakkan kesan kepada pasaran saham mereka.

Tetapi dalam masa yang sama juga, jika boleh, ingin saya berpesan kepada sahabat-sahabat kita yang sentiasa memberi komen yang bersemangat didalam artikel atau facebook, supaya menjaga adab. Seorang mukmin itu dalam amarahnya tetap dia beretika, berakhlak dan tidak mengguna kata-kata lucah dan tidak sopan. 

Marah itu sangat wajar dalam situasi seperti ini. Tetapi akhlak itu lebih penting . Jika benar kita menyayangi Rasulullah, Bagindalah yang patut menjadi role model kita tatkala kita marah dan menunjukkan amarah kita itu.





Memang kita marah. Dan doa kita tidak putus buat semua saudara seagama kita serta sesiapa sahaja yang ditindas di seluruh dunia. 

Dan kita sentiasa yakin dan percaya doa mereka yang tertindas itu, tidak kira siapa dan apa agamanya, sentiasa akan dimakbulkan Allah.


Salam sokongan menamatkan kezaliman daripada saya.



~cikgunormah@klcitizen~






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, August 1, 2014

benda baru





Taknak duit ni pakcik. Nak duit baru.



Waktu itu, saya tidak tahu hendak bereaksi bagaimana. Nak ketawa atau perlu menangis.


Tapi ketawa pun tidak wajar rasanya. Ini bukan kisah lucu  lawak ke der .

Budak-budak itu berenam semuanya. Mengharapkan duit raya dan bagi mereka tidak lengkap kemeriahan raya kalau hanya menerima duit ringgit yang sudah kusam dimakan hari.

Duit, nilainya sama je . Duit lama atau baru tau.


Sempat lagi encik suami menegur anak-anak tersebut. Dan mereka hanya mengangguk, namun di mata mereka masih mengharap encik suami menghulur not ringgit baru yg masih kesat di tangan.


Memanglah nilainya sama. Tetapi keterujaan mendapat yang baru itu sentiasa menghiburkan.

Dan tatkala berjalan di kedai-kedai ini mencuci mata, terasa seperti anak-anak tersebut. Tas tangan baru memang menawan , dan jika memilikinya memang menghiburkan. Walau pun tas tangan itu tidak perlu sebenarnya dimiliki.

Blouse baru itu pun sangat mengujakan jika dimiliki. Corak terbaru kata si penjual baju.

Keluar masuk kedai entah sudah berapa kali.

Why come in not buy anything madam? 


Entahlah. Rasanya seperti sudah miliki semua dan tidak memerlukan.


Salam Syawal semua kengkawan.


~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, May 16, 2014

hebatkah guru?





Tidak sah rasanya kalau tidak menulis sedikit sempena hari ini. 

Membuat refleksi diri.

Mesej diterima dari rakan, rakan sekerja, keluarga dan anak-anak murid bertali arus mengalahkan ucapan sempena hari lahir sendiri. 

Hari guru itu sendiri, adakah ia berjaya memberi makna dalam diri saya? Ataukah ia lebih memberi makna kepada rakan-rakan saya , lebih dari makna yang hadir dalam diri saya?

Guru hanyalah manusia biasa. Perasaan, harapan dan impian seorang guru adalah serupa seperti insan lain yang bergelar jururawat, jurutera, artis atau pun  seorang cleaner . Tetapi dalam keserupaan itu,  perbezaannya masih jelas kelihatan.

Tekad menjadi seorang guru hebat adalah impian muktamad semua guru. 

Guru yang hebat memberi inspirasi, tetapi, dia terlebih dahulu perlu mempunyai inspirasi hebat. Kita hanya boleh memberi jika dalaman kita terpenuh.

Guru yang hebat, mendidik untuk masa depan, menyediakan anak-anak dengan kemahiran yang diperlu bagi masa depan. Bukan mengguna kaedah lama yang patut disimpan sebagai kenangan. Dan  ini hanya berlaku  jika guru itu berani mencuba. 

Adakah saya seberani itu? 

Guru yang hebat itu menjadi contoh dan tauladan untuk anak muridnya. Kebijaksanaannya, kematangannya dan hubungan sosialnya sebagai pendidik terserlah dalam akhlaknya seharian. Dan adakah akhlak saya itu menepati ?

Dalam skala 5, di mana 5 adalah guru yang hebat, saya hanya berani meletakkan diri saya dalam skala 2.

Hahaha.



Tetapi, tetap, ucapan yang memuji dan meletakkan jasa seorang guru itu ditempat sewajarnya, memberi senyum di bibir saya.

Meski pun ucapan itu hanya berupa imej yang di reycle dan di forward berkali-kali.



SELAMAT HARI GURU BAGI SEMUA INSAN BERGELAR GURU.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 30, 2014

bergaduh biar bertempat





Memang kita adik beradik selalu bergaduh. Betul.

Dengki pun iya.  Terutama kalau abah dan emak melebihkan adik beradik kita dalam hal apa pun, kecualilah hal-ehwal mengemas rumah kan.

Ada ke adik beradik yang tak bergaduh sepanjang hidupnya? Lagilah kalau adik beradik kita memang jenis suka menyakat. 

Tapi.

Kalau orang mengata tentang adik beradik kita? Takkan kita berpeluk tubuh saja, kan. Biar pun memang betul adik beradik kita buat salah. Ya, kita akan marah pada adik beradik kita.

Betul. Marah sungguh-sungguh. Siapa yang tak akan marah pada adik beradik yang buat salah?

Tetapi jangan sekali mengata dan membodohkan adik beradik kita. Jangan!

















Bagi mereka yang sentiasa percaya kepada qada' dan qadar, kita tahu setiap yang berlaku ada hikmah di sebalik pahit atau manisnya kejadian.

Peristiwa MH370 memberi impak kepada setiap rakyat Malaysia. Dari sekecil anak yang sudah faham akan peristiwa kehilangan, setiap satu daripada kita merasai kesedihan dan keperitan yang dilalui oleh insan-insan yang terlibat secara langsung dalam kejadian tersebut.

Tidak bermakna bila kita tidak bersetuju dalam satu perkara, maka kita perlu tidak bersetuju dalam semua perkara.

Benar. Mungkin, mungkin dan mungkin cara pengendalian kes ini tidak betul di beberapa sudut tetapi tidak bermakna para petugas yang berada di luar sana mengendalikan usaha pencarian bertugas sambil suka-suka.

Memperlekehkan usaha dan ikhtiar petugas-petugas tersebut yang terdiri dari sahabat kita terutama yang tanah tumpah darahnya adalah Malaysia sangat menyakitkan hati.

We are Malaysians first.

Itu sepatutnya yang berlaku di saat orang-orang luar yang merasakan mereka lebih bijak pandai mengata dan memomokkan Malaysia. Tiada Malaysia yang kedua. Inilah satu-satunya Malaysia yang kita sayangi.

Pada saya, peristiwa ini mengajar kita apa ertinya sakit hati dan marah bila orang luar mengata dan memandang lekeh usaha dan kebaikan kita. Kita perlu tahu bagaimana untuk berdiri bersama. Bagaimana untuk bersedih dan menyapu luka di hati kita secara bersama sebagai satu keluarga. 

Kita perlu berhenti menikam sahabat setanah air  sebaliknya menikam musuh yang datang dari hadapan secara kolektif.

Peristiwa ini mungkin ditakdirkan berlaku di saat jatidiri anak-anak Malaysia berada di aras paling rendah, supaya rasa amarah yang membuak dalam dada ini menjadi penyebab kita sama bangun dan menempelak semula media-media asing, orang perseorangan dan kumpulan asing yang menyalak menggelakkan kita.

Selepas dari ini, kita perlu belajar membetulkan kesilapan kita, memperkemaskan pertahanan negara kita, mendidik anak-anak kita supaya lebih berupaya untuk berhadapan dengan para pembuli dunia.



Sangat saya bersetuju dengan Monyet King..


Salam Kasih buat semua yang cintakan bumi Malaysia ini.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 24, 2014

doa





Sesingkat doa yang mustajab.

Itulah jauhnya bumi dan langit, kata Saidina Ali apabila ditanya berapakah jauh dunia dan langit.

Bagi orang yang yakin dan percaya, perkara tersebut adalah benar. Sesungguhnya doa itu adalah senjata yang paling ampuh ibarat panah yang tajam. Bagi mereka yang dekat hubungannya dengan Allah,  mata panah yang dilemparnya pasti akan mengena.

Tapi bagi orang yang seperti saya ini?

Hubungan yang ibarat suam-suam kuku, mengingati Allah penuh khusyuk dalam kehendak dan harapan sahaja selalunya.

Bagaimana agaknya menentukan doa itu mustajab dan diterima Allah.

Ada cara lain rasanya yang boleh kita cuba.

sumber

Mendoakan untuk insan lain tanpa pengetahuannya. InsyaAllah, doa itu akan dimakbulkan dan kita juga mendapat balasan yang sama.

Bila melihat segala fitnah dan mehnah di sekeliling, yang dekat dan jauh, menimpa sahabat dan saudara seagama, memang doa sahajalah menjadi penyambung ikatan persaudaraan itu. 

Meski ada yang merasakan doa itu seperti angin yang berlalu begitu sahaja, tidak memberi makna besar dalam susah dan payah yang dihadapi, tetapi saya sentiasa yakin dan percaya Allah itu Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Dia yang memberi ujian, maka sudah tentu hanya Dia yang bisa melepaskan kita dari ujian tersebut. Dan doa dari insan-insan lain pasti dapat membantu tanpa disedari.

Jom kita doakan insan-insan lain di setiap kali kita menadah tangan. Bermula hari ini tanpa berlengah lagi.

Jom !!!

Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 13, 2014

impian





Deskriptor yang ada ini perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum seseorang guru itu layak untuk diberi skor 5. Kemudian dari itu barulah kita boleh menimbangkan untuk pemberian skor 6 atas justifikasi yang sesuai.




Suara penceramah itu terngiang-ngiang di telinga saya.

Makin lama memang makin payah.

Zaman berubah, hendak atau tidak, selagi boleh, cubalah juga mana yang boleh. Tetapi, bila melihatkan kehendak yang tertera dalam panduan pemberian markah bagi pencerapan guru, ada rasa seperti sebuah kemustahilan yang perlu direalitikan oleh guru.

Mengajar itu adalah seni.

Biasanya semakin lama mengajar  maka seni mengajar seseorang guru itu akan menjadi semakin baik. Namun begitu, pengajaran dalam kelas itu tidak terlepas dari kekangan dan halangan-halangan tersendiri. Dan kekangan serta halangan itu sendiri adalah unik. 

Memberi markah kepada cara mengajar seseorang guru itu juga kadang kala sangat subjektif. Bergantung kepada si penilai. 

Saya sentiasa mengimpikan pencerapan yang bersifat konstruktif. Mencari sudut baik dan kreatif seorang guru itu serta memberi wajaran yang sesuai atas sudut baik itu. Bukan mencari sudut kurangnya dan meletakkan deskriptor yang kadang sangat tidak realistik  untuk skoran yang perlu dicapai.

Saya juga mengimpikan pencerapan kolaboratif di antara sesama guru secara bersama-sama, baik di dalam sekolah tersebut atau dari sekolah berjiran, bukannya dari satu 'lembaga' yang kadang tidak punya cita dan aspirasi sama. Yang kadang menjadi 'ahli lembaga' kerana melarikan diri dari beban di sekolah, lantas kembali ke sekolah sebagai penilai pula.



Pencerapan yang saya impikan itu tersebut bersifat dua hala, sama-sama menilai dan mencerap bersilih ganti, dalam institusi yang sama atau bertukar angin mencerap dan menilai rakan di sekolah berjiran. Dan perbincangan secara kolaboratif untuk meningkatkan kualiti pengajaran itu yang menjadi isu utama.

Dan waktu itu, bukan isunya markah pencerapan anda berapa, tetapi apakah yang sangat menarik dalam pengajaran guru itu yang kita boleh kongsikan. Bagaimanakah guru itu mengatasi halangan atau kekangan yang dihadapinya semasa proses pengajaran? Itulah yang dipersembahkan..

Kadang-kadang data dan statistik hanya menjadi penyedap mata si penilai kerana telah berjaya melengkapkan kerjanya, tetapi roh sebenar proses penilaian dan pencerapan itu telah terhakis disebabkan isu data dan statistik yang sangat tidak realistik.

Impian tidak semestinya menjadi kenyataan pada hari ini.

Salam ingatan.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, January 1, 2014

kabur dan keliru




Resah.

Jelas terpampang di setiap wajah di hadapan mata.

Pertandingan kali ini menentukan maruah kita semua. Masak seperti biasa. Canai dan adunlah seperti biasa yang kita buat sebelum ini.

Suara si ketua memberi arahan.

Masing-masing yang mendengar berbisik sesama sendiri.

Kita nak masak apa ni?

Tanya salah seorang ahli setelah tidak tahan cuba menerka dan menelah.

Masakan kita mesti ada rasa pedas, masin, manis cukup segalanya. Masaklah seperti biasa. Yang penting saudara semua masak. Bagaimana penilaian yang dibuat nanti tidak ditentukan lagi. Tapi yang pasti dalam masa 90 minit nanti ada penilaian terhadap masakan tuan puan.

Jawapan si ketua menambah lagi resah ahli-ahli kumpulan tersebut.

Bayangkan anda sebagai ahli dalam kumpulan tersebut. 

Tidakkah rasa risau itu akan menghinggap? 

Pasti ada, kan.

Rasa yang bercampur. Gelisah, risau, takut dan tidak pasti  menjadi satu.

Perasaan itu bukan sahaja dikongsi oleh ahli kumpulan, tetapi saya pasti ia diterima sama oleh semua yang terlibat .

Dan malam ini, sebelum memejamkan mata, saya pasti ramai rakan guru terutama yang akan mengajar anak-anak di tingkatan 3 untuk tahun ini, punya rasa yang sama. Keterujaan yang dilingkungi rasa tidak pasti dan segala ketidaktentuan.

Kita yang bergelar guru ini hanya pelaksana dasar. Melaksanakan dasar atas kapasiti kita sebagai pendidik. Dengan harapan yang menggunung juga agar setiap tindakan yang kita ambil dan jalankan itu memenuhi hasrat dan kehendak sebuah negara.

Ini bukan kerja enteng. Bukan kerja ringan. Amanah yang terpikul di setiap pundak manusia yang bernama guru itu sangat besar. Integriti yang terjalin dalam bidang tugas itu akan dipersoal bukan sahaja di dunia ini tetapi di akhirat nanti.

Namun begitu, dalam melaksanakan arahan yang kabur dan dasar yang sering berubah, membuatkan kita juga keliru, resah dan kecewa.

Tanyalah guru mana pun yang sudah berbelas tahun , malah yang berpuluh tahun dalam bidang ini. Matlamat dan kehendak kami sama, mahu meletakkan pendidikan itu jelas tersohor di dunia. Walau mungkin sesetengah kami agak lambat sikit berubah tetapi jika perubahan itu yang terbaik, memang kami akan tarik bersama rakan kami itu untuk turut sama dalam satu barisan.

Betul.




Tetapi, jika dalam keadaan samar dan kabur, pembuat dasar masih bertelagah dan berbincang yang tak sudah. Masih tidak tahu mahu ke kanan atau kiri? Masih lagi mahu berjuang atas landasan ego dan tidak mahu kalah, apakah daya para pelaksana ini?

Kan?

Apa pun, kerja masih perlu dilunasi. Anak masih perlu ke sekolah. Dan cikgu-cikgu tetap akan mengajar.

Selamat Mengajar semua , buat semua guru di luar sana.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...