Saya tahu saya pernah menyakitkan hati awak. Dan saya minta kalau boleh awak maafkan saya.
Terus matanya merah. Dan air mata mengalir. Walau ditahan, tetap, merah di mata dan hujung hidungnya, ketara sungguh.
Saya peluk dia, kerana saya tahu selepas ini entah bila pula dapat bersua seperti ini semula. Walau dia tidak jauh perginya, tapi saya dan dia tahu, rutin hidup seharian selepas ini bakal menyukarkan lagi pertemuan dan perpisahan sebegini , lumrahnya menyukarkan lagi jalinan perjalanan hidup antara kami.
Dia menggelengkan kepala. Suaranya tersekat di kerongkong.
Saya faham , gelengan itu menandakan dia sudah melupakan kisah lama . Kisah itu seolah tidak memberi bekas lagi pada saat itu, saat saya memohon maaf dari dia.
Dan hati saya rasa lapang.
Kisah saya mencalarkan hatinya satu waktu dulu, bermula dari insiden kecil. Tetapi , biasalah, saya juga manusia, punya ego dan darjah kebodohan seperti manusia lain juga. Dan selepas hatinya itu tercalar, tidak pernah lagi berkesempatan saya memohon maaf setulus dan sesungguhnya dari dia.
Dan hari ini , saya rasa beban di bahu dan hati saya terasa ringan.
Doa saya moga Allah mempermudahkan hidupnya dan keluarganya dengan rutin yang baru. Moga Allah menjaga keluarganya seperti mana saya mahu Allah menjaga keluarga saya juga.
Amin.
~cikgunormah@klcitizen~