Monday, November 26, 2012

jiwa besar




Masalah dalam hidup ini adalah seperti segenggam serbuk kopi. Jika serbuk kopi yang segenggam itu dimasukkan dalam secawan air, pasti air kopi yang terhasil itu pahit. Tetapi jika segenggam serbuk kopi itu dimasukkan ke dalam sebaldi air pasti pahit kopi itu tidak terasa.
Begitulah masalah dalam hidup. Ia hanya seperti segenggam kopi. Jika jiwa yang menjadi bekas mengisi masalah itu kecil, pasti pahit masalah itu membekas , terkesan amat. Tapi jika jiwa yang menjadi bekas mengisi masalah itu besar, maka masalah itu pasti menjadi ringan dan boleh ditangani. ~ Ustaz undangan ..

Memang hidup ini bukan kebetulan.

Semua yang terjadi tercatat sudah.

Sempat saya menonton rancangan Selami Jiwa bersama Dr Fadzilah Kamsah di Astro Oasis 106 bertajukkan "Takdir Bukan Penamat", petang tadi.  Sangat menarik.

Tetamu undangan ialah pengacara terkenal Ras Adiba Radzi dan Muhammad Hairuman Miskon.

Rasanya Ras Adiba Radzi tu tak payahlah saya ceritakan. Tetapi yang sangat saya kagumi ialah Hairuman tu. Subhanallah. Ujian yang bukan sedikit bagi anak muda ini.

Dan saya kira, jiwanya sangat besar.

Kedua belah tangannya terpaksa dipotong hingga paras siku akibat terkena renjatan elektrik semasa membantu kakaknya mengait buah kelapa sawit. Waktu itu umurnya 22 tahun. Kejadian berlaku tahun lepas. Ibu jari kaki kirinya juga terpaksa dibuang akibat jangkitan kuman.

sumber


Dan tadi waktu muncul dalam rancangan Selami Jiwa, Hairuman sudah punya tangan palsu. Juga sudah boleh menulis dengan tangan palsunya itu. Dan terlebih manis adalah kata-katanya yang sangat positif. Hairuman sempat juga berkongsi rasa sedihnya waktu di awal musibah.

Sedih. Memang. Sangat sedih.

Namun begitu kesedihannya tidak lama. Pahitnya ditelan , dan saya lihat hidupnya penuh semangat.

Seperti kata Ras Adiba Radzi : Kami (insan-insan OKU) ini adalah insan yang dipilih Allah untuk menjadi sumber inspirasi kepada manusia sejagat dan kami tidak boleh mengabaikan tanggung jawab itu.

Besarnya jiwa mereka.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 25, 2012

Doakan




Saya sentiasa percaya, jika sedang dalam kesusahan, kesempitan atau dilanda musibah , doa dan istighfar , dengan izin Allah, segala urusan itu akan dimudahkan.

Terlebihlah lagi kalau ramai yang turut mendoakan, kerana mana tahu dalam ramai-ramai itu ada yang doanya Allah makbulkan.

She's on oxygen. Tetiba ada reaction.

Mesej yang tertera di handphone saya membuat dada saya terasa sempit. Kalau dada saya, yang duduk berkilometer jauhnya dari si puteri  terasa sempit, tidaklah dapat saya bayangkan hati dan fikiran si mummynya.

sofea dan youssef

Terbayang raut wajah rakan baik saya si Noorul. Pasti sekuat dan setabah mana pun hati seorang ibu, di saat-saat puterinya sedang lemah tak berdaya , pasrah itu mengambil tempat. Dan pasti doa tak putus bertali arus mengisi setiap inci urat dan saraf nya.

She gets worse.

Mesej yang seterusnya menggetar rasa. Risau. Doa saya tak putus. Semoga Allah memberi kesembuhan segera buat si puteri dan dimudahkan segala urusan di sana. Saya tidak punya kuasa dan upaya hendak  membantu.

Hanya doa, doa dan doa sahaja buat si puteri dan mummynya. Moga sembuh dan sihat segera.


Doakan sama... 


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 24, 2012

kalau boleh




Seronok! Memang seronok ....

Bukankah itu yang disebut-sebut oleh setiap jemaah haji yang selamat tiba di bumi bertuah ini?

Wajah dia berseri sungguh saya lihat. Sambil bersila di tepi tangga rumahnya, dia bercerita kisah-kisahnya di sana. Sesekali dia membetulkan tudungnya. Semenjak lewat ini , dari sebelum hendak menunaikan haji lagi gaya penampilan tudung kakak ipar saya itu telah berubah. Lebih kemas dan lebih menampakkan kesolehan nya.

Beg baju dan beg bimbit yang dibawanya bersama masih berselerak di sekitar. Tapi sedikit pun tidak kami hiraukan.

Nak pergi lagilah . Seronok sangat ..

Memang ayat-ayat inilah yang sering terluah dari insan-insan yang pernah berpeluang menjadi tetamu Allah di bumi barakah itu, kan. Tanyalah sesiapa sahaja yang telah pernah menjejakkan kaki ke sana. Rasa rindu pasti bergumpal ,  bergejolak dalam dada, terlebih lagi bila mendengar kisah-kisah di sana dari sahabat handai yang baru pulang.



Ada ahli jemaah kami yang meninggal dunia di sana. Baru tiba, dalam keadaan berihram dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sebelum meninggal aruah ada menyebut keinginan untuk mengelilingi kota Mekah dan semasa kami sampai, saat hayat aruah masih ada, hampir 3 jam bas yang membawa kami sesat , berpusing-pusing kota Mekah sebelum tiba di hotel. Kalau nak kira, seolah hajat aruah Allah makbulkan masa itu juga.

Subhanallah.

Itu hanya sekelumit kisah manis bagi saya. Manis untuk dijadikan renungan dan keinginan.

Ingin  kalau boleh, hembusan  nafas yang terakhir itu di bumi yang barakah tersebut.

Kalau boleh ...

*Makanlah cik Noorul, supaya cepat sembuh ..

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 23, 2012

Gantung




Nikah gantung tu apa, cikgu.

Saya pandang wajah manis si Aisyah. Memang manis orangnya.  Sopan berselendang biru. Saya mencari nada dalam soalannya. Bersungguhkah ingin tahu atau semata soalan mengisi masa? Soalan yang tersasar dari tujuan perjumpaan petang tadi.

Mendapat berita  gembira tentang pernikahan seorang guru muda di sekolah . Dan majlis persandingannya yang ditunda ke tahun hadapan, menyebabkan istilah nikah gantung itu terpacul dari bibir .

Pelamin Nikah - black white

Sudah hampir 2 jam menelaah tajuk-tajuk  Kimia yang kononnya akan keluar nanti dalam peperiksaan. Itulah yang dikata oleh si Aisyah memujuk saya untuk membuat kelas tambahan sebaik tiba di Kuala Lumpur dari Kuantan petang tadi. Memang penat, tapi kerana kasihankan si Aisyah dan rakan-rakannya, bersetujulah juga.

Tiga rakannya yang lain memandang sama.

A ah, cikgu. Nikah gantung tu macam mana?

Rakan Aisyah di sebelah menyampuk. Oh, memang sahlah, istilah nikah gantung ini asing bagi mereka.

Saya terdiam.

Mencari jawapan yang sesuai. Kerana saya tahu, nikah gantung  hanyalah istilah yang wujudnya dalam budaya kita, bukannya dalam syariat agama itu sendiri.

Err ...

Bagaimana mahu meringkaskan penjelasan, supaya terang dan tidak keliru? Supaya budak berempat ini tahu dan faham.

Semuanya memandang tepat ke arah saya. Sangat fokus, seperti menanti hukuman yang akan menentukan hidup dan mati.

Nikah gantung tu ialah bila, selesai je nikah, pengantin akan menggantungkan apa-apa yang patut , tak kisahlah, gantung baju pun boleh jugak !

Saya menahan gelak. Cuba membuat muka serius. Dalam hati bagai digeletek.

Cikgu !!!

Serentak mereka berempat menjerit tanda protes! Tahu yang saya sedang mempermainkan mereka.

Nikah gantung tu , bila orang tu dah nikah tapi belum dirasmikan dengan majlis kenduri yang ada persandingan tu...

Dalam hati, saya berdoa yang penerangan saya itu tidak disangkal oleh DBP    :)  Takut juga nanti menyebarkan maksud yang tidak betul.

Oh, tapi diorang tu dah kahwin lah ya cikgu?

Ya, dah laki bini lah.

Kenapa pulak nak nikah-nikah gantung cikgu?

Wah, tiba-tiba saya sudah menjadi pegawai penerangan pulak petang-petang Jumaat ini.

Kalaulah saya tahu kenapa nikah perlu digantungkan , pastilah hati-hati budak berempat itu puas. Malangnya saya tidak tahu. Kalau pun saya tahu, rasanya tak perlulah hendak berkongsi cerita dengan mereka.

Aisyah memandang saya.

Cikgu, dahlah citer pasal kawin-kawin ni. Boring!!

Alah... yelah tu. Dulu-dulu pun masa zaman budak-budak , saya pun taknak kahwin jugak . Mungkin ada rakan -rakan yang seperti saya, masa kecil-kecil dulu?

**semoga Cik Noorul anak beranak, segera  Allah bagi sembuh dan sihat ceria seperti sediakala.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 21, 2012

Cari sampai jumpa




Dia ambil beberapa biji bawang merah dan diletakkan dalam bekas plastik merah di depannya. Perlahan-lahan dia menguis bawang-bawang tersebut. Dikiranya satu-satu. Dicapainya lagi bawang-bawang merah yang lain. Semuanya sudah dikopek oleh bibik Ton. Dia cuma ambil dan mengalihkannya dalam bekas plastik tersebut sambil mengira.

Teliti, satu-satu .

Memang sejak dua puluh tahun dari awal mengenal dia, memang begitulah. Memasak adalah terapi baginya. Tidak seperti menantunya yang seorang ini, yang seboleh mungkin, cuba menjimatkan masa di dapur. Memasak dalam kamus hidup menantunya ini adalah keperluan, bukannya seni dan hobi .

Tak payahlah dibanding rasa dan hasil masakannya. Menjilat jari itu tidak berjaya sebenarnya menzahirkan apa yang terhidang di atas meja.

Cuma lewat ini, kekangan fizikal dan kudrat yang makin kurang akibat faktor usia yang bertambah, menjadikan langkah dan tingkahnya kurang pantas.

Karipap! Menu istimewa hari ini.

Wajah emak mertua saya bercahaya sepanjang membuat karipap bersama. Penat memang! Tenaganya tak banyak mana, tapi semangatnya membara mahu turut serta di dapur.

Walau pun saya tahu, hadirnya nanti akan melanjutkan tempoh saya berada di dapur, tapi, bukankah membahagiakan insan lain itu akan membahagiakan diri kita juga. Hendak saja saya minta dia berehat di bilik, dan biarkan saya dan bibik Ton saja yang melangsaikan kerja. Tapi, saya tahu, selagi boleh dia mahu di situ, bertemankan tepung,cili, bawang di sekelilingnya.

Berapa biji engkau masukkan buah pelaga tadi Ton?

5, makcik.

Cengkih , engkau masukkan berapa?

Cengkih pun lima , makcik. Pelaga , lima, cengkih , lima, kayu manis dua batang.

Emak mertua saya diam.

Saya pun diam. Tidak nampak rasionalnya pertanyaan yang diaju oleh emak mertua saya itu kepada bibiknya. Inti karipap yang sudah siap masak terhidang di hadapan kami. Berkepul-kepul asap dan aromanya menari-nari masuk ke lubang hidung.

Mah, cuba ambik pinggan tu, awak carikan biji pelaga, kayu manis ngan cengkih dalam inti ni......

Baru saya tahu signifikannya soalan emak tadi pada bibik Ton.

Kuis, Normah, kuis..... Cari sampai jumpa :)


**Ah, tiba-tiba rindu pulak nak makan laksa bawah pokok dengan cik Noorul .

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 20, 2012

Hijau




Di sepanjang jalan itu, fikiran saya tak diam. Seperti kereta-kereta yang berada di lebuhraya ini juga, bertali arus. Bermacam bab dan tajuk tersenarai dalam kepala. Dan wajah orang yang dikasihi juga tak putus muncul.

Saya kira, indahnya memandu berseorangan ialah bila mana dapat bersendirian. Ada kala bersendirian itu memang best. Bercakap dan bersembang dengan diri sendiri sepanjang 3 jam perjalanan tanpa suara.

Sebenarnya petang tadi alhamdulillah, saya selamat tiba di Kuantan, menziarahi ibu dan bapa mertua.

Saya hanya berpeluang menjejakkan kaki ke bahagian pantai timur Semenanjung Malaysia di usia yang sudah dewasa. Itu pun kerana berkahwin dengan suami saya, yang memang asalnya dari Kuantan, Pahang. Sebelum itu tidak pernah rasanya saya berjaya merasakan perjalanan di jalan raya belah Pantai Timur. Perjalanan paling jauh dulu-dulu waktu masih anak dara, rasanya hanyalah dari Jitra ke bandar Ipoh.

Dan sewaktu pertama kali menyusuri jalan raya menuju Kuantan, hati saya terus tertawan.

Kehijauan hutan dan pemandangan sekitar waktu itu iaitu 21 tahun yang lepas sangat cantik. Memang cantik. Dengan bukit bukau yang penuh dengan pokok-pokok pelbagai rupa dan warna tona hijau yang berbeza sangat mendamaikan.

Ciptaan Allah memang tidak dapat kita sangkal, sangat sempurna. Rasa mual dan loya dua tiga hari lepas, akibat pening dan sakit kepala tak sudah kerana terperuk dalam rumah berhari-hari dan terlebih dos menonton televisyen, terubat bila sekali lagi dapat menjamu mata melihat tona dan rona hijau yang pelbagai .

Cumanya , kali ini saya baru terperasan. Bila dah berseorangan, memang senang terperasan, sebab langsung tidak sekeceng mata pun terlelap. .

Perasan tentang apa?

Perasan tentang jauh dan makin sayupnya ladang-ladang kelapa sawit yang makin hari makin mengambil tempat hutan-hutan yang sedia ada.

Ada kalanya atas nama kemajuan dan kepentingan, pengorbanan perlu dilakukan. Tapi kadang, terfikir juga, khazanah yang sebegitu berharga, perlukah ditukarganti dengan kepentingan sedemikian rupa?.

Entah bagaimanalah rupanya nanti pemandangan sekitar jalan menuju ke Kuantan lagi 20 tahun akan datang, kan? Kerana dari jauh saya lihat sudah ada dua bukit yang telah ditarah gondol hingga ke puncak. Dan saya kira, ladang kelapa sawit yang barulah akan mengambil tempat.


Ada orang mungkin akan melihat tidak salah keadaan ini berlaku, kerana pokok masih diganti dengan pokok, dan pokok kelapa sawit juga dalam masa yang sama mendatangkan hasil pada negara. Tetapi dari sudut ekosistem dan manafaat jangka panjang hayat biodiversiti itu sendiri, pembukaan tanah baru sentiasa tidak menguntungkan. Ah... Pedulikanlah, bukannya kita akan hidup sehingga seribu tahun kan. Seratus tahun pun tidak. Jadi apa yang perlu dikisah tentang flora dan fauna 100 tahun lagi. Biarlah generasi akan datang yang pening kepala... :(

Habis tu, cikgu normah ada ke idea lain, sebab kita memang nak tanam kelapa sawit. Camana pun memang nak tanam kelapa sawit gak! Takkan nak tanam atas angin kut. Ke, nak kami tanam belakang rumah cikgu?

Haha. *Sendiri buat lawak sendiri gelak.* .

Entah. Saya pun tak tahu penyelesaiannya bagaimana. Saya kan memang kaki komplen. Menyuarakan rasa sedih dan kesal, serta menyalurkan rasa sesal cicit-cicit kita tu nanti. Itu je.

Terpulanglah ....


Oh! Masih belum terlambat rasanya mengucap tahniah buat semua anak-anak yang berjaya mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR yang lepas.

Tahniah! Dan buat ibu bapa tersebut juga, tahniah saya ucapkan dan jangan lupa mintalah juga keputusan Ujian Aptitud anak-anak itu, untuk mengetahui minat dan kecenderungan mereka.


~ cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 16, 2012

hati di mulut




Itulah , Mami pun risau juga ...

Kulitnya putih bersih. Di waktu usia mudanya, saya pasti dia sangat jelita. Kecantikannya masih lagi boleh dilihat dengan jelas waktu ini. Walau usianya sudah tergolong dalam usia emas kini pun, aura jelita itu masih tak hilang.

Usianya mungkin awal 70an. Saya tak berapa nak pasti. Mungkin juga lewat 60an. Tapi kalau dilihat sekali imbas, kelihatannya seperti dalam lingkungan 50an.

Saya tahu Mami jenis yang kuat menjaga kesihatan tubuh badan . Dalam usia sebegitu, semangatnya juga kuat menambah amal ibadat. 

Petang tadi sempat saya menziarahi Mami. 

Cuti-cuti ini Mami menabur jasa dan budi, menjaga cucu-cucunya yang ditinggalkan ibu bapa mereka, iaitu kakak ipar saya dan suaminya  kerana menunaikan haji.

Bila tinggal berseorangan, yang paling Mami takut ialah mati dan tidak siapa yang tahu. Nanti dah berulat dan berbau, barulah orang perasan. Ish... takutnya.

Orang seperti Mami, yang masih kuat kudrat dan fizikalnya memang tidak betah tinggal di rumah anak menantu lama-lama. Selagi boleh, segalanya mahu dilakukan sendiri. Lebih senang dan selesa. 

Tidak boleh hendak disalahkan sesiapa.

Memang kehendak dan pilihannya.

Bukan Mami seorang. Ramai lagi yang seperti Mami.

Dan Mami segera berkongsi cerita beberapa rakan atau kenalan kepada rakannya yang mati bersendirian tanpa siapa yang tahu. Selepas jenazah berbau dan berulat barulah jiran tetangga menyedari.

Tiba-tiba saya pun jadi takut dan kecut perut.

Kematian itu memang pasti. 

Bila dan bagaimana, tidak siapa yang tahu. 

Sakit hanya penyebab. Kita mati bukan kerana sakit, sebenarnya. Sebab ramai juga manusia yang berpenyakit kronik yang dijangka usia tidak panjang tetapi dengan kehendak Allah sihat dan sembuh seperti tidak pernah sakit sebelum itu.

Dan tidak sedikit juga yang sihat walafiat, tenang dan tenteram tiba-tiba terkulai kaku tanpa nyawa.

Saya dapat merasakan kerisauan Mami, kerana saya pun tiba-tiba menjadi risau bila mana saya tua nanti dan hidup bersendirian seperti dia. Bersendirian bukan kerana anak-anak melupakan, tetapi kerana pilihan dan keinginan untuk tidak mahu menyusahkan sesiapa.

Ramai ke Mami kawan-kawan Mami yang suaminya dah meninggal dunia?

Pertanyaan tersebut terluah juga di akhir-akhir pertemuan. Ingin tahu.

Oh, memang ramai, rumah yang Mami duduk dulu sebelum Mami pndah dekat dengan rumah anak Mami tu, dekat 30 orang lah yang suaminya semua dah meninggal. Bayangkan , sederet dari rumah Mami tu ke masjid, semuanya isteri yang dah mati suami.

Ah, sudah....

Ustad tu kata, lelaki ni hati dia di dalam, orang pompuan pulak, hati dia di mulut. Tu la sebabnya orang lelaki mati cepat ... Banyak makan hati.



Rumusan pertemuan di petang Jumaat tadi... banyakkan hati di mulut kalau ingin umur panjang.

:)

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 15, 2012

tak cukup akal




Best tak?


Saya dah tahu jawapan kepada soalan tersebut. Bertanya kadang-kadang bukan hendakkan jawapan, tetapi lebih kepada menguatkan jawapan yang kita ada.


Cuti sekolah, kan sekarang ini. Ada ramai yang melancong. Mengambil peluang menghabiskan masa bersama keluarga tersayang. Oh, tahun ini saya tidak melancong. Sekadar balik kampung, melayan anak-anak buah menonton filem di panggung.

Terpaksa!

Menonton filem yang 'terpaksa' ditonton bukanlah cara terbaik menghabiskan masa. Tetapi dek kerana   kasihankan budak-budak tak cukup umur yang seramai 3 orang tersebut, mengidam menonton artis sebaya mereka berlakon, gagahkan jugaklah menonton filem tersebut.

Filem tentang apa?

Kisah tentang anak yang tak cukup umur juga, diamanahkan oleh bapanya seorang tuanpunya sebuah theme park untuk  mengambilalih urusan theme park tersebut.  Pendapat peribadi saya ialah bapa yang merupakan tuan punya theme park itu tidak cukup akal. Secara logiknyalah, adakah seorang tuanpunya theme park akan menyerahkan urusan bisnesnya kepada seorang kanak-kanak yang tidak cukup umur?




Tapi ini kan hanya sebuah filem rekaan. Jadi memanglah serba tak realistik kan.

Saya rasa keintelektualan saya tercabar!

Sambil menonton, sempat saya meluah perasaan pada sahabat baik saya yang tidak pun menonton sama dan sedang sibuk membeli belah di pasaraya Mydin waktu itu. Meluah perasaan kerana panas hati menonton filem yang saya kira meletakkan minda penontonnya pada aras dan jati diri paling lemah.

Filem kanak-kanak bagi saya sewajarnya diisi dengan nilai dan semangat berkobar. Filem yang dapat menyisipkan harapan , angan-angan dan keinginan untuk kanak-kanak ini  turut sama mahu menjiwai watak seperti pelakon tersebut.

Karate Kid menjadi satu contoh. Memang tidak realistik tetapi usai menonton, saya pun terasa ingin belajar karate kalau boleh.

Pembikin filem tempatan perlulah lebih kreatif.

Oh! Konon cikgunormah ni banyaklah kreatifnya ya. Cuba bagi satu contoh cerita budak-budak yang boleh difilemkan dan penuh dengan unsur jati diri. Cuba! Cuba!

Kalau buat cerita budak yang berjaya dalam pertandingan robotik peringkat dunia macamana? Setelah melalui segala susah payah, seperti tiada bantuan, sokongan dan idea dicuri, akhirnya budak tersebut berjaya.

Boleh tak kalau cerita macam tu?

Itu hanya contoh sahaja. 

Bukankah negara kita telah menjadi hos pertandingan robotik peringkat dunia baru-baru ini. Cerita sebegini , tentang kejayaan anak-anak Malaysia boleh sahaja meningkatkan jati diri di kalangan anak-anak kita.


Itu hanya cadangan saya sahaja.

Moga industri filem kita berjaya menghijrahkan idea dan kreativiti mereka . Itu doa saya dan ramai lagi di luar sana.

Belum terlambat lagi rasanya saya mengucapkan salam Maal Hijrah buat semua kawan-kawan.

Moga tahun baru ini menambahkan lagi makna dalam diri kita.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 9, 2012

insan




Hujan sentiasa melunakkan hati.  Nyaman suasana sekitar, acapkali memberi tenang .

Dan waktu-waktu seperti inilah sering kali saya melihat diri sendiri.
"Jika kamu tahu  daripada apa yang aku ada, daripada dosa dan kesalahan aku nescaya kamu akan campak atas kepala aku pasir, kata Imam Ahmad."


Video "Janji Allah dengan Istighfar" menyentuh hati saya. Menyebabkan saya terfikir dan menyesali. 

Tentang tindakan saya yang rasanya enteng dan tidak perlu. 

Tentang sikap dan ambil kisah saya yang tidak penting.

Tentang tambatan hati saya pada dunia dan segala kefanaannya.

Bahawasanya, semua manusia ini ada membuat silap. Dan saya sedikit pun tidak terkecuali. 

Kerana sifat Ghaffar Allahlah, masih saya boleh menulis di sini, berjalan tanpa rasa risau dan khuatir. Bahawasanya, dek kerana sifat kemurahan Allahlah, segala aib dan salah saya Dia tutup kemas dengan rapi. Kerana kemurahan Allah inilah saban hari saya masih selesa.

Dan sewajarnya, sayalah yang sepatutnya terlebih dahulu memaafkan. Sayalah yang pertamanya patut meredhakan. Peluang yang sama seperti yang saya terima setiap saat dan setiap hari kenapa tidak bisa saya kongsi bersama insan lain? 

Memaafkan dan menutup kesilapan.

Bukan mengungkit dan mempersoal.

Dan irama titis hujan di luar makin menguatkan rasa ini. Mengingatkan diri sendiri bahawa saya tidak lebih baik dari orang lain. Meletakkan semula perspektif diri saya , bahawa diri ini hanya manusia, sama seperti mereka. Kesilapan orang lain Allah nampakkan, tidak bermakna yang saya ini benar dan betul. 

Bukankah dunia ini adalah sebuah perjalanan yang singkat. Perjalanan yang dipenuhi dengan halangan , rintangan dan simpang serta susur jalan yang kerap juga membuat kita sesat.

Good mistakes

Maafkan saya teman. Saya hanya insan. Dan saya tidak mahu nanti hati yang tercalar menjadi penyebab kesusahan hidup saya dalam dunia yang lebih kekal di sana nanti.


~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 7, 2012

memang risau




Awak, doakanlah untuk anak saya ..

Seorang ibu itu tetap seorang ibu. Risau dan khuatirnya adalah degupan jantungnya. Selagi nafasnya masih boleh dihela dan dihembus, risau dan khuatir itu mengalir laju dalam urat darahnya.

Tidak kira berapa pun usia si anak, tetap dia adalah anak si ibu.

Makan minumnya.

Tidur jaganya.

Susah senangnya.

Masa depannya, menjadi agenda utama dalam sisi hidup dan inti fikir si ibu.

Anak dia dah boleh mengira laju, mencampur dan menolak pantas. Sedangkan saya tidak sempat membuat ulangkaji pun dengan anak saya. Risau sungguh.

Dunia adalah medan segala perbandingan. Betul, kan. Yang kita pandang dan tenung itu sentiasa sahaja hinggap pada yang lebih dari yang kita ada. Segalanya.

Dan risau itu bertambah. Membukit perlahan . Tidak surut dan tidak reda. 

Ya, saya doakan. InsyaAllah, segala yang terbaik itu akan berlaku bagi siputeri .

Bukan sahabat ini sahaja yang risaukan perihal anaknya. Saya juga risaukan tentang anak saya. Ah, ibu mana yang tidak risaukan tentang anaknya.

Child / Portrait / Photography
It is the unconditional love of parents that they cannot hold themselves from worrying about the future of their children. We learn form Surah Kahaf that if parents are righteous, Allah takes special care of the children even when they die young. This is narrated in the story of Prophet Musa (peace be upon him) and Khidr when they visited a village and the residents of this village denied them any food. They saw a wall which was about to fall and Khidr set it straight, and this selfless service surprised Musa (peace be upon him).
Khidr, who was doing all acts upon guidance of Allah.
Thus, we see that Allah shows special mercy for the children of righteous people. What can be a better guarantee of future of children than this? We do not know how long we are going to live, but we know that if we do right deeds, Allah will take special care of our children. The rest of the worldly arrangements may last, but Allah’s care and mercy has no end or limits. There cannot be a better example than the Prophet Mohammed (peace be upon him) who was an orphan and Allah raised him to the highest status.

Bila dia beritau anak dia dapat markah tinggi-tinggi, ish... saya risau sungguh ngan anak saya.

Bukankah itu yang menjadi debaran bagi seorang ibu? Melihat anak orang lain lebih bijak, lebih berjaya, lebih berbakat menjadikan hati kita khuatir dan risau. 

Seolahnya apa?

Seolahnya kita sebagai si ibu ini gagal mendidik. Gagal membentuk anak kita ini setara atau lebih sedikit mungkin dari anak-anak jiran atau kawan kita.

Ya. Saya pun sama. Perasaan itu sangat sinonim dengan rasa yang berjaluran dalam hati saya ini.

Dan saya juga faham lonjak suka dan bangga dalam hati si ibu yang anaknya itu lebih dalam apa juga. Dalam markah periksanya, dalam bakat melukisnya, dalam hebatnya bersukan atau bagusnya dalam apa saja. Sudah tentu dia ingin menyorak kuat, menampal dalam dinding FB nya, mengicaukan jaya anaknya itu , agar semua orang pun tahu. Ya, kalau saya pun. Mungkin lebih dari itu yang akan saya buat.

Tetapi wahai sahabat, anak-anak kita adalah permata hati kita. Dan doa kita kan akan sentiasa mengiring dia. Mungkin bijaknya tidak setara dengan anak orang lain, tetapi yakin itu mesti kuat dalam jiwa. Yakin bahawa Allah akan melindunginya, memberi segala yang baik buat dia di dunia dan di akhirat nanti. Yakin yang Allah Maha Mendengar dan akan memakbulkan , insyaAllah.

Salam kasih.



~ cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 5, 2012

segala pujian bagimu




Oh ! Cantiknya ...

Betulkah?

Wow .... !!

Sungguhkah?

Bila orang memuji, lihatlah ke matanya. Hujung senyumnya. Lihatlah lenggok tubuhnya. 

Jujurkah? 

Nada suaranya. Ikhlaskah? 

Lemas dalam pujian sentiasa akan mengaburkan mata, membutakan hati melihat realiti. Meletak diri dalam awan pujian memang mengasyikkan. Terlebih lagi jika pujian tak putus, bertali arus hingga tidak sempat melepaskan diri seketika dan menilai. 

Sahihkah?

Dan bila anda di puncak, bersendirian, melihat ke bawah, nun sayup, ketawa dan senyuman mengejek akan kelihatan sama sahaja. Tiada beza. Silap mentafsir membawa padah. Merasa diri hebat dan jaguh di mata orang, sedang hakikatnya cemuhan dan kutukan berlegar merewang.

Hakikat hidup yang memang pahit untuk ditelan.

Sukar membeza kawan dan lawan, bila semakin jauh anda mendaki. Permata dan kaca kemilaunya memanah penglihatan. Susah memang. Kadang yang difikir kawan , mengatur langkah untuk kita, rupanya lawan yang menyusun duri dalam diam.

Realiti hidup yang menuntut manusia itu menjadi bijak.

sumber


Perlukah ditintakan kisah raja yang berbogel dalam 'baju ghaibnya' ? Mimpi dan ilusi si raja musnah dek teguran dari budak kecil yang telus dalam pandangan dan jujur dalam kata-kata.

Takut!

Memang.

Kerana saya pun manusia. Seperti anda semua.

Saya juga memuji. Dan juga ada kalanya dipuji.

Seboleh mungkin, kalau boleh, saya mahu pujian yang terbit dari bibir ini memang tulus ikhlas. Kerana bermuka dua atau bermuka-muka itu perbuatan amat keji. Bukan begitu? Dan tulisan ini cuba meluku diri sendiri. Supaya sedar  dengan kadar segera!

Speak kindly, care deeply, love generously, every day think good thoughts, speak kind words, take good action ~ Power of Humbleness: Dr Muhaya pada minit ke 11:39



Salam merendah diri.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 4, 2012

memanglah takut




Cikgu, saya takut cikgu.


Dia berdiri di muka pintu bilik saya. Tangan kanannya memegang buku rujukan entah apa mata pelajarannya. Wajahnya manis. Ah, wajah sebaya dia, memang manis. Manis 17. Saya pun agaknya waktu sebaya dia juga semanis itu mungkin. Mungkin juga lebih manis, kan. Hahaha.


Saya pandang dia dari tempat duduk saya.

Memikir.

Apa yang perlu saya jawab?

Memanglah, sesiapa pun jika berada di tempatnya sekarang, memang akan kecut perut. Seperti perut itu dipulas dan dihujung hati ada rasa ngilu kesan risau, gelisah dan takut. Rasa takut itu hanya sendiri yang tahu besarnya dan bagaimana jelmaannya dalam sanubari. Hanya diri sendiri yang tahu sebesar mana dan  hadirnya  bersama dengan rasa yang bagaimana? Teruja mungkin, tidak sabar-sabar , tapi mungkin juga hadir dia dengan rasa menyesal, gundah, risau dan gelisah.

Takut itu bagus sebenarnya.

Wajahnya hairan. Tidak faham apa yang saya maksudkan. Mungkin bukan itu jawapan yang dia mahu saya katakan.

Tapi, sebenarnya, saya juga tidak tahu perkataan apa yang sesuai bagi dia waktu itu. Saya tidak pasti perkataan apa yang layak diluahkan agar rasa takut dan risaunya itu berkurang.

Saya lebih risau kalau awak tidak takut. Sebab kalau awak tidak takut, pasti awak tidak datang berjumpa saya atau cikgu-cikgu lain. Takut awak tu membuatkan awak berusaha lebih, kan. 

Dia senyum. Akhirnya dia faham maksud saya.

Dan malam ini, ingatan saya kembali pada saat dia menjengukkan kepalanya di muka pintu bilik saya. Melihat wajah risaunya.

Saya pasti bukan dia seorang. Dia tidak sendirian. Berpuluh ribu lagi yang lain dalam situasi yang sama seperti dia waktu ini.

Dan mungkin ramai yang sudah tidur waktu ini. Cuba melelapkan mata seawal mungkin. Supaya nanti esok lebih cergas dan yakin. 

Pastinya, saya serta ramai lagi seperti saya , cikgu-cikgu dan ibu-ibu yang sentiasa mendoakan yang terbaik dunia akhirat untuk kalian semua.

All the best to all SPM  2012 candidates of SMKTSW and to the rest!!

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...