Ketagihan kafein membuatkan kepala tidak menentu.
Saya kira saya dalam kategori wanita mengada, lambat perut diisi, angin naik ke kepala, dan terasa dinding tempurung kepala diketuk-ketuk. Berdengung menyakitkan. Lebih parah, kalau suara orang di sebelah terasa seperti guruh berdentum di tepi telinga, dan tekak terasa kembang mual ibarat mengandung anak sulung.
Gastrik lah tu. Kan.
Kalaulah saya di Somalia atau Palestin dengan perut sebegini, rasanya tak lamalah hayat saya. Agaknyalah. Wanita mengada seperti saya ini memang tak betah kalau kehendak perut itu tidak terpenuh.
Mencegah itu lebih baik dari merawat .
Tahu. Waktu bersarapan terlajak hingga ke tengahari. Bukan saya seorang. Rakan-rakan di sekolah yang beberapa kerat bersama tadi, mengalukan tetamu dari luar negara memantau perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas turut sama berlapar. Seawal 730am sudah berpeluh masing-masing. Saya yang sekadar menyibuk terlebih 'derita' pulak. Bukankah mengada namanya itu?
Ada 3 perkara yang ditanya oleh Mat Saleh itu pada kami.
- What do you like about teaching?
- What are the challenges you are facing in your profession?
- If you are given the magic wand, how would you overcome the challenge?
Rupanya mereka adalah consultant bagi pihak Kementerian Pelajaran, membangunkan modul yang boleh diguna pakai oleh guru-guru di Malaysia bagi mengajar kemahiran berfikir di kalangan pelajar.
Meluahkan perasaan, emosional tidak tentulah pula saya semasa ditanya 3 persoalan. Dengan Bahasa Inggeris yang maha berterabur, menjawablah juga, walau selepas itu rasa tidak puas meluah perasaan. Sahabat-sahabat yang lain cool semacam, saya pulak yang terlebih emosional. Agaknya hentaman dan ketukan denyut nadi di kepala menambah deruan emosi yang melimpah.
Sayang. Tidak mengambil gambar buat kenangan. :(
Kesimpulan? Kami guru-guru Malaysia sentiasa bersedia berubah, malangnya sistem yang sedia ada mengekang dan menghalang perubahan itu.
~cikgunormah@klcitizen~