Kita semua adalah pembawa kantung-kantung najis yang bergerak. Perkara yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa sebenarnya. Usus besar kita yang panjangnya secara purata adalah 1.5 meter, menjadi destinasi terakhir dalam sistem penghadaman. Dan di sinilah bahan buangan dari badan dalam bentuk pepejal yang kita kenali sebagai najis disimpan sebelum di buang.
Orang kata kalau nak cergas sepanjang hari, pagi-pagi mestilah berusaha untuk membuang air besar.
Kenapa?
Yalah, bahan najis tu kan toksik , dan jika lama disimpan dalam badan, tentulah tidak sihat untuk kita. Bayangkan kalau dalam rumah kita, kita simpan sampah sarap makanan semalam tak dibuang. Tentu udara dalam rumah itu sendiri tidak sihat, kan.
Dan pagi itu, agak lewat rasa hendak membuang air terbit. Puas juga berusaha di pagi-pagi buta, tetapi mungkin sebab rasa teruja benar hendak keluar berjalan dengan rakan baik, rutin biasa tidak menjadi. Ah, dalam hati sudah khuatir, takut kalau sedang memandu di highway, tuntutan tabii waktu pagi menyinggah. Jenuh juga nanti hendak mencari tempat sesuai.
Dan seperti yang diagak, baru hendak memulakan perjalanan setelah mengambil rakan baik, rasa yang tidak mahu terbit pada waktu yang sepatutnya, mengasak-asak menuntut ingin dilunasi segera.
Waduh...
Tandas awam di stesen minyaklah menjadi medan kunjungan.
Alhamdulillah, hanya ada satu sahaja tandas yang boleh diguna . Tandas biseksual dan yang pentingnya tandas tersebut dijaga dengan baik.
Cumanya, pengunjung yang berkunjung sahajalah yang kurang baik, saya kira.
Tel 017 - 268 xxxx , Biaxxx, mencari suami.
Oh, ada dua kemungkinan, kata hati saya, tatkala membaca 'iklan percuma' ditulis dengan pen marker hitam yang terpampang di dinding tandas. Pertamanya, mungkin suaminya hilang. Banyak juga kes orang yang tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan, kan. Mungkin, si penulis berharap jika suaminya terbaca, bersegeralah menelefon dia semula. Rindu, mungkin. Kalau begitulah senarionya, terpaksalah si penulis, menulis di setiap tandas yang ada di seluruh Malaysia ni, kan.
Atau, mungkin juga, penulis adalah wanita bujang dan ingin menamatkan hidup membujangnya itu. Mencari bakal suami di dalam tandas. Oh, ini teknik terbaru, mungkin.
Bakal suami yang bagaimanakah agaknya yang boleh diperolehi dengan menulis iklan percuma di dalam tandas?
Musykil jugak saya....