Monday, January 31, 2011

risau kalau....

Risau.

Antara wanita dan lelaki, siapa yang lebih senang dihinggap perasaan risau? Saya kira, wanita dengan segala sifat intuitif dan kesensitifannya yang kadang luar biasa, mereka memang sentiasa terdorong untuk cepat risau.

Melihat hujan gerimis tanpa henti sejak kelmarin mendatangkan risau yang tak bertempat. Apa jadi ya nanti kalau berbulan hujan turun tanpa henti?..... Dan risau itu digelakkan tuhan agaknya.... kerana waktu ini hujan sudah pun berhenti, alhamdulillah

Apabila sudah pukul 7 lebih di waktu petang saja, dan anak yang bersekolah di sesi petang masih tak muncul di muka pintu, hati pasti digigit  risau yang amat. 

Apa kata kalau dia tertinggal bas sekolah? Duit tak ada hendak menelefon di rumah... kalau pula dia berjalan kaki nanti, takut pula diculik oleh orang. Kalau diculik, bagai manalah pulak keadaannya nanti didera manusia lain tak berhati perut... Risau, memang risau. Cumanya,  .... nasib baik tak digelakkan dengan driver bas saja, kerana bila ditelefon, jawab pakcik driver senang je....."Jalan jam cikgu, ada pasar malam ni, hujan pulak tu. Harith ada kat belakang ni..."

Ha... itu belum lagi cerita bab risau suami balik lambat atau suami balik dengan muka masam kelat dari asam jawa... 

Siapa yang tak risau..., kan.

Kalau matahari tegak kat kepala berhari dan berminggu, risau lah pulak lagi. Air tak ada di paip pulak nanti, lagi la risau.

Segala bendalah boleh jadi risau.... sebab banyak sangat ber'kalau' dalam kepala ni, kan.
..... dan yang terlebih risau, kalau tak sempat tengok matahari esok hari.....

*saya pasti ramai ibu bapa yang sangat sangat risau dengan keadaan anak-anak mereka yang sedang belajar di Mesir sekarang ini..... desak @najibrazak untuk bawa anak-anak kita kembali ke tanah air.
* ikuti perkembangan mereka di mesir : selamatkan pelajar dan rakyat Malaysia di mesir dan krisis di mesir keadaan sebenar pelajarmalaysia @NajibRazak



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 30, 2011

hujan dan malam punya sifat yang sama

Hujan sejak semalam di Keramat dan kawasan berdekatannya sekitar Kuala Lumpur.

Hujan seperti malam, menyejukkan hati dan perasaan, melunakkan rasa dan menyegarkan impian. Ilham untuk bermadah seloka menyubur bersamanya. Tapi, dek tidak pandai menyusun kata, menumpulkan hajat.

Lantas, meminjam kata-kata Ustaz Pahrol untuk mengetuk hati sendiri:

"Jika seorang datang membuat kita marah, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita selalu ‘kesempitan’ wang maka itu tandanya kita harus bersedia belajar erti berjimat cermat. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap.

Setiap dari kita sedang menjalani proses didikan dalam kehidupan yang singkat ini. Berkali-kali kita jatuh, masih lagi kita jalani jalan yang berliku tersebut dengan kata-kata pembunuh yang kita tak akan mengulang kesilapan yang sama. Tetapi,  tetap kita jatuh juga. Dan kita ulang lagi serta sematkan dalam hati, kali ini.... kali ini tak kan ku ulang perkara sama. Tapi , kan, manusia itu sukar untuk serik.

Jika manis, Allah mengajarku erti syukur. Jika pahit, Allah mengajar ku erti sabar. Jika dikecewakan, aku sedang belajar hakikat tawakal. Bila cemas, Allah mengajar ku erti raja’ (mengharap). Jika sedikit, Allah mengajar ku erti qanaah (berpada-pada). Ya Allah, lepaskan hati kami dari asbab-asbab ini, agar kami bebas dan tenang berpaut pada ‘musabbabil asbab’ (Penyebab segala sebab) – wajah MU ya Allah.

Pujuklah hati, katakan, didikan ini demi cinta-Nya jua ~ Ustaz Pahrol

Segala puji bagi Allah yang mengurniakan kepandaian mengatur ayat yang mengena hati dan perasaan saya,  pada Ustaz Pahrol. Moga Allah terusan kurniakan beliau kesihatan yang baik.


*Did you ever hear a sermon that felt as if it were being screamed into your ear alone? When that happens, it usually has more to do with you than the preacher ~ Mitch Albom


~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 29, 2011

Mencerap

Perkataan refleksi membawa banyak maksud... tetapi bagi seorang cikgu di Malaysia masa kini ialah ianya adalah sebahagian perkara yang perlu ditulis dalam buku rekod pengajaran dan mesti ditulis hanya selepas proses pengajaran telah dilakukan.


Contoh ayat yang diguna tulis semasa mencatat refleksi ialah: 80% pelajar dapat menguasai kemahiran memasang alat radas dengan tepat. 20% pelajar perlu  latihan semula.


Tujuannya amat jelas, sebagai salah satu cara mengukur pencapaian objektif pengajaran pada hari itu.


Kisah bermula di kantin juga. Kantin sekolah banyak memberi sumber ilham bagi saya menulis dalam blog.


"Awak tahu hari ini saya dicerap oleh Penolong Kanan."


Oh ya ? Dalam hati saya berdebar lah pula, terfikir bila pula giliran saya untuk dicerap semasa mengajar. Jangan ingat semakin lama kita mengajar, hati kita tenang dan tenteram semasa guru lebih senior duduk di belakang kelas memerhati dan mencatat ,  memberi komen tentang cara kita mengajar.


Apa komennya?


"Dia kata pelajar agak pasif. Padahal semalam semasa saya mengajar dengan budak-budak tu, bukan main lagi aktif diorang ni. Pelik pulak..."


Budak pun stress kut bila ada pencerap di belakang kelas?


"Agaknya lah ya...."


Jadi, cikgu... dalam refleksi nanti cikgu patut tulis....:
Pengajaran hari ini tidak mencapai objektif yang digariskan, kerana kehadiran Pencerap menyebabkan konsentrasi guru dan pelajar terganggu....

:)


*hati dah berdebar bila masuk mengajar lepas raya cina nanti, takutnya macam pensyarah nak bagi markah masa jadi guru pelatih dulu


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 28, 2011

mangsa

Bersembang di kantin dengan sahabat guru memang hobi. Kadang-kadang dalam sembang dan kata-kata, ada nasihat tersirat.

"Some people are born to be slave."

Kata-kata yang ringkas ibarat tokoh falsafah keluar dari bibir sahabat ini. Saya pun tidak ingat apa yang kami bincangkan di awal sembang.

Seingat saya, berbincang tentang wanita yang sering menjadi mangsa dalam hubungan. Satu sifat wanita yang saya kira agak unik ialah mempertaruhkan jiwa dan raganya untuk orang yang tersayang, tidak kira anak, suami atau kekasihnya.

Pabila hati sudah bulat kasihnya, wanita sanggup buat apa saja untuk yang tersayang. 

Kerna itu kita lihat sering, mangsa penipuan dalam apa bentuk pun, sama ada wang, harta.... hatta kehilangan maruah diri sering berlaku di kalangan wanita. 

"Lelaki menjual cintanya untuk mendapat habuan, manakala wanita menjual dirinya untuk mendapat cinta."

Sayang sekali. Ibarat kata penceramah dalam motivasi IKIM hari ini, manusia adalah satunya makhluk yang susah untuk serik dalam melakukan kesilapan. Ada pro dan kontranya sifat sedemikian. Yang tidak baiknya ialah bila mana kita sudah tahu yang hubungan tersebut tidak akan ke mana dan kita hanya dipergunakan sahaja, tetap masih kita terus melangkah dengan keadaan mata terbuka luas.

Tapi.... ini semua melibatkan hati dan perasaan. Biasa terjadi, akal sering kalah dalam perdebatan bila hati dan perasaan mengatur langkah ke depan. Itulah masalahnya, kan.

Jadi ... bagaimana?

Entah. Persoalan yang tiada jawapan, saya kira, dan hanya bergantung pada diri individu tersebut untuk terus kuat berpegang pada prinsip diri. 

Doa kita hanya yang terbaik untuk saudara semuslim dan diri kita terutamanya di Jumaat penghulu segala hari ini.

Salam Jumaat.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 27, 2011

tak betul di pagi hari

Semua orang pun tahu, senyum itu sedekah. Tidak dinafikan, kadang senyuman yang kita zahirkan bisa memberi sedikit bahagia pada insan-insan lain tika tertentu. Senyum ibarat penyakit yang berjangkit. Tersebar tanpa sedar dan pembawanya adalah kita juga.

"Pagi-pagi senyumlah pada diri sendiri...."

Bagaimana?

Senyum di cermin muka, bersedekah untuk diri sendiri.Terapi yang baik, sebenarnya....

"Macam orang tak betullah pulak"

Yang tak betulnya, sentiasa melihat kekurangan pada wajah sendiri apabila melihat di cermin dan membenci kekurangan tersebut.

Selamat berbatik di pagi Khamis.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 25, 2011

Tidak perlu berubah....


"When we spoke a few weeks ago, I asked you what you thought about your parents. Do you remember?"

Sort of, I say.
"I asked if you felt they were perfect, or if they needed improvement. And do you remember what you said?"
I freeze.
"You said they weren't perfect, but ...."
He nods at me. Go ahead. Speak.
But they don't need improvement? I say.
"This is very insightful. Do you know why?"
No, I say.
"Because it means you are willing to accept people as they are. Nobody is perfect. Not even Mom and Dad. That's okay." 

- petikan dari novel ~"have a little faith : by Mitch Albom"

Menerima orang yang kita sayang seadanya.

Sebenarnya bukan semudah yang ditulis. Terlebih lagi orang yang sangat rapat dengan kita, yang mengetahui isi hati dan keluh kesah diri kita.

Kenapa?

Kerana kita mengharapkan rapatnya hubungan tersebut, memungkinkan insan tersebut mengetahui lintasan fikiran kita dengan sendiri tanpa perlu kita butirkan satu persatu. Kita mahu dia tahu kenapa kita marah, kenapa hati kita terasa, kenapa kita berdiam mencuka dan segalanya.

Padahal kita juga tahu itu tidak mungkin dapat dilakukannya.

Kekadang kesibukan harian mengurangkan komunikasi dengan insan yang kita sayang. Kita merasa ah, tak apa, takkan dia tidak tahu.... kerana sudah sekian lama kita begini. Tetapi sebenarnya manusia sentiasa berubah tanpa sedar, dan rapatnya hubungan tidak menjamin akan fahamnya dia dengan kita atau kita dengan dia.

Menerima insan-insan yang kita sayang seadanya, dengan segala kelemahan dan kekurangan mereka dan kelemahan diri kita juga , ....memerlukan kecekalan hati dan muhasabah diri yang berpanjangan. 

Yang terlebih utama adalah doa yang tak putus.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 24, 2011

merajuk

Berapa haribulan ya hari ini? Oh, 24 .... patutlah. Kitar emosi tak stabil hampir tiba, jadi dalam hati ada bengkak.


Hati...., bukannya ada suis untuk dimatikan atau dihidupkan. Ibarat darah mengalir, rasa geram itu kekadang datang perlahan mengikut situasi.


Awal pagi, kelas 5B sudah terkena tempiasnya. Melihat wajah-wajah yang diam membisu, rasa bersalahlah pula. Tapi sekali-sekala ia perlu dihamburkan, agar kerja yang diminta selesaikan tidak dipandang remeh serta tidak penting. Sedangkan, masing-masing pun tahu Chemistry bukan subjek mudah yang boleh diambil ringan.


Kelas waktu akhir, kelas 5U pula. Ah, yang ini dengan kerenah manja dan perlu banyak perhatian. Selesai membaca doa dan bertenang, saya mengira bilangan kepala dalam kelas. Bukan apa, selalunya pelajar ini 'sesat' mencari jalan ke makmal dari kelas mereka. Kekadang hingga separuh masa barulah muncul batang hidung dengan tersengih, dan ada kala jadi pelakon yang sakit perut.


"Eh mana lagi sorang ni?" diam ...tiada respon.
"Siapa lagi yang takde dalam kelas ni, ketua?"

Si ketua kedepan, mengira semula, takut-takut cikgu yang beremosi tak stabil ini hilang ingatan pula bab mengira. 

"Er...er... Aiman , cikgu. Dia tak ada."
"Dia datang tak harini?" geram  mula mengalir perlahan dalam salur darah yang semakin mengembang.


Masing-masing mengangguk.


Saya mengambil borang Maklumat Kehadiran Murid (MKM) dan menulis nama Aiman.


Sedang menulis...., Aiman yang kecil molek, kacak seperti bekas kekasih saya dulu masuk dengan senyuman.


"Ha... saya dah tulis nama awak masuk lewat..." Terasa begitu kecil si Aiman ini di pandang mata saya. Kalau boleh hendak dikunyah macam coklat.


"Alah ...cikgu.... Ni yang takde mood nak belajar ni..." sahutnya sambil berjalan ke bangku duduknya dan masam mencuka, ...merajuk.


Aii.... siapa yang patut merajuk ni? Saya ke atau si Aiman?

mmmmm.......

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 23, 2011

tersentuh hati

Apabila berlaku dugaan yang berpanjangan bagi saudara kita, dalam keadaan diri kita tak punya kuasa, hanya doa dan harapan kita pohonkan, moga Allah memudahkan.


13 tahun yang lepas, sewaktu isu sedang hangat diperkata, kenapa ya saya tidak peka? Entahla...


Tiba hari ini hati begitu tersentuh, dan rasa kagum menjalar dalam hati terhadap insan ini. Kisah Lepat yang berjaya mengambil anaknya semula dari bekas isterinya di England ke Malaysia, 13 tahun lepas, tetapi terpaksa akur dengan kehilangan anaknya tidak lama selepas itu. Anaknya hilang sewaktu dalam penjagaan Mahkamah Syariah Pulau Pinang.


Kini anaknya sudah tidak berbinkan beliau dan menjalani hidup sebagai bukan Muslim.


Dengarkan keluhan hati dan sakit jiwanya. Pasti hati anda juga kan tersentuh.


 atau boleh terus tonton di sini - you tube


Terima kasih pada naimisa

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 22, 2011

Salah guna

Bedebuk!

Ibarat nangka masak, saya terjatuh, akibat salah melangkah semasa cuba berjalan laju melintasi longkang kecil tadi. Pekerja DBKL yang sedang duduk menunggu lori sampah penuh di ruang rehat pelajar berhadapan saya, memerhati dengan agak terkejut. Kalaulah mereka terkejut saya pula terlebihlah lagi.


Handphone yang sedang saya pegang tergolek di atas jalan bertar. Dalam sekelip mata itu tapak tangan secara refleks dan automatik tanpa diarah menahan badan dari lebih tercedera. Allah Maha Tahu bila mencipta kita manusia, .... dalam keadaan tidak dapat berfikir itu badan dengan sendirinya membuat keputusan mengelakkan kecederaan yang lebih lanjut.


Sedar-sedar saya sudah terduduk di atas jalan bertar. Melihat tapak tangan sendiri ada calar dan sedikit luka, saya cuba bangun. Ahh... berat pula badan ini. Anak di sebelah menghulur tangan.


"Cikgu...ok ke? Cikgu...ok ke?" tanya Harith, kerana sudah dipesan jangan memanggil saya, mama, di sekolah.

"Ha...ok!" Sambil senyum, bangun juga, lantas mengibas baju yang dilekati pasir halus. Terus mengutip handphone dan kembali menyambung langkah saya.


"Cikgu.... duduklah dulu..." Pekerja DBKL memujuk saya.

"Ah tak pe, tak pe.... saya ok..." balas saya, cuba menutup malu.


moral of the story :
- Handphone tidak boleh di guna pakai semasa sedang memandu dan berjalan kaki...ok.

*badan dah terasa sakit-sakit. nak ke spa la pulak.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 21, 2011

Meminta tolong

Jumaat datang lagi dengan segala kelebihannya. Dan usia pun menginjak perlahan tanpa sedar. Tahu- tahu saja nanti, kita sedang mengadap kalendar baru bertarikh 1 Jan 2012. Perlahan, pada masa kita sedang bergelut melangkah, tetapi sebenarnya masa pantas sahaja meninggalkan kita.

"Cikgu, gunalah mikrofon. Tak dengar suara cikgu," jerit anak murid dalam makmal pagi tadi. Suara di luar makmal hingar bingar kerana rehat untuk pelajar menengah rendah baru sahaja bermula.

Saya sudah terbatuk- batuk menjerit. Adui, apakah aset yang lebih bernilai bagi seorang guru kalau bukan suaranya? Kalau diikutkan, setaraflah kami dengan barisan penyanyi dari segi suara, walau dari segi penampilan dan publisiti memang jauh ketinggalan.

Alah..... terlupa lagi mengambil mikrofon mudah alih kepunyaan sendiri dari bilik guru.

Apa lagi kalau bukan terpaksa menggunakan khidmat percuma kanak-kanak riang dalam kelas.

"Eh, awak tolong saya gi ambik mikrofon saya. Bawah meja saya. Cepat sikit, saya bagi masa 5 minit je"

Itulah cikgu, sudahlah minta tolong, main demand lagi kan. Kadang-kadang kesian gak pada budak- budak ini, bukannya hendak mendera tetapi terpaksa meminta tolong. Dan berlarilah dia ke bilik guru. Saya hanya tersenyum, bersyukur kerana masih ada yang sudi menolong.


Walau apa pun yang dibincang dan dikhuatiri tentang anak-anak remaja masa kini, saya masih lagi melihat ramai dari mereka yang mempunyai akhlak yang baik terhadap guru.


Di hari yang penuh keberkatan ini, di mana Allah menjanjikan makbulnya doa bagi kita yang meminta dengan bersungguh dan merendah hati, marilah kita meminta tolong dari Allah Yang Maha Kuasa, agar anak-anak ini dan kita semua, terusan dikurnia Allah akhlak yang terpuji dan iman yang terpelihara. Ameen.

*Moga Allah melindungi saya dari kejahatan yang nampak dan tersembunyi, yang datang dari insan lain dan  juga dari dalam diri sendiri. Ameen.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 20, 2011

payahnya

Bila hati tidak riang, segala yang di keliling jadi hambar, kan.


Mengambil nafas, melepaskan lelah dari membaca. Penat membaca? Tidak juga. Kerana buku yang sedang dibaca ini, bagi saya secara peribadi,  sangat menarik. Penulisannya bersahaja, seolah sedang mendengar si penulis berkata-kata depan mata. 


Itu keistimewaan penulis, Mitch Albom, seorang Yahudi, yang menceritakan kisah benar beliau dengan 'Rabbi' nya. Albom adalah seorang wartawan sukan yang terkenal, dan telah lama meninggalkan tradisi ritual hidup beragama sebagai Yahudi.  Buku tersebut bertajuk "Have a little faith".


Rabbi nya itu meminta Albom menuliskan eulogy beliau apabila beliau mati nanti. Suatu permintaan yang agak aneh, kerana bagi Albom yang telah lama terpisah dari ritual hidup beragama, apa yang boleh beliau katakan tentang Rabbi nya yang telah sekian lama beliau tidak ambil kisah? 


Apa itu eulogy ya? Mungkin pengertian dangkal saya adalah ia berupa kata-kata pujian tentang  si mati yang dibacakan oleh orang-orang yang istimewa bagi  si mati pada hari pengkebumiannya.


Ekoran dari permintaan yang tidak dapat ditolak oleh Albom, buku ini terhasil. Ia mengisahkan penemuan semula sisi spiritual Albom dalam hidupnya.


Dan ia sedikit sebanyak menampar kecil sudut hati kecil saya. 

Hati yang tidak tenteram adalah hati yang dimiliki oleh tuan yang banyak melakukan dosa. Lebih mudah menepati janji dengan insan lain dari memegang janji dengan diri sendiri. Payahnya. Tindakan yang telah tertulis tidak mungkin dapat  dipadam semula. 

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, January 18, 2011

salam ingatan







Yang merah saga,
yang kurik kundi;
yang indah bahasa,
yang baik budi.

Bermaksud

Biarpun rupa elok dan kacak, tetapi kalau budi bahasa buruk, maka akan hina juga pada pandangan masyarakat. - sumber-

Dari dahulu saya tidak faham apa itu kurik dan kundi, rupanya kurik itu adalah bintik-bintik dan kundi itu adalah alat untuk menimbang emas. Cantiknya bahasa buat yang tahu dan mengerti.

Merah adalah warna pilihan hari ini. 

Berkebaya merah rupanya mengundang rezeki pujian dan makanan di sekolah. Skuad PPDA di sekolah mengadakan jamuan meraikan kejayaan mereka tahun lepas di kantin sekolah dan langkah kanan saya ke kantin lewat petang, dengan tema sama seperti mereka melayakkan saya turut dijamu percuma. 

Menjadi johan untuk kategori Bilik Sumber Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bukan diterima dari usaha minima tetapi dari usaha bersungguh dan padu. Tahniah , tahniah dan tahniah....




Keindahan menjadi seorang guru ialah berkongsi rasa suka , duka, payah dan senang bersama anak-anak muda yang memandang hidup ini begitu mudah dan indah. Dunia masih lagi kecil dan segala isinya seperti mudah saja dicapai. 

Jika betul cara dan acuannya, anak-anak ini kan menjadi permata yang berkemilau, dan pasti, siapa sahaja yang pernah menjadi guru mereka walau sesaat cuma, turut sama kan merasa bangga dan kembang hatinya.



Salam ingatan buat semua anak murid yang pernah dididik oleh .......

~cikgunormah @klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 16, 2011

memang saya nantikan

Sudah nak masuk minggu ketiga di tahun 2011. Tahun yang saya kira punya banyak angka yang cantik dan menarik. Walau pun ia tidak memberi makna sebenarnya dalam hidup saya.

Sempat ke Jaya Jusco Wangsa Maju, KL petang tadi. Mencari buku cerita sebenarnya di MPH sana. Sudah agak lama tidak berpeluang menjejak kaki ke Jaya Jusco tersebut, kali ini pergi bersendirian. 

Tak saya sangka ramainya manusia ... termasuklah saya yang menyesakkan keadaan. Sebenarnya terlupa tentang SALE yang sedang berlangsung bagi menyambut Tahun Baru Cina. Ah... saya pun turut sama memeriahkan acara jualan dan belian. Melebihkan rakan kita yang berbangsa Cina. Tak apa, 1Malaysia, di mana sahaja kan.

Sesampai di MPH, hati rasa sedikit kecewa. Dahulunya banyak juga pilihan novel Bahasa Inggeris yang boleh saya pilih dan angan-angankan untuk memilikinya, tapi, sekarang ini hanya tinggal 2 baris sahaja. Bila membaca novel, memang saya agak kurang jati dirinya... maafkan saya. Saya kurang gemar membaca novel Bahasa Melayu. Ha... pasti ada yang marah dan kurang selesa. Janganlah begitu ya, cita rasa dan perasaan suka tidak dapat dipaksa. Ia hadir secara perlahan dan membentuk sikap dari awal lagi.

Bukanlah langsung saya tidak membaca novel Bahasa Melayu, ....ada. Karya para Sasterawan Negara kita ada juga yang saya gemari, dan paling melekat di hati ialah Salina karya Sasterawan Negara kita A. Samad Said.  Tapi, sejak mutakhir ini lambakan novel Bahasa Melayu genre cinta menambah tumpul minat saya untuk menerokanya. Sejujurnya. Cinta, cinta...masalah rumah tangga... cinta.

Namun dari satu segi, fenomena ini sangat menarik, kerana orang kita, anak-anak kita sudah ramai yang membaca. Pastinya, satu hari nanti, dengan berkembangnya sikap yang baik ini, lebih ramai kepelbagaian penulis yang  akan lahir.

Saya menantikan novel thriller, penyiasatan dan saspen seperti penulis John Grisham yang sangat saya minati lahir nanti di kalangan penulis  Bahasa Melayu.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, January 15, 2011

Sekadar sekelip mata

Sabtu....hari libur yang pendek.

Sudah petang rupanya. Sedangkan rasanya baru sekejapan bangun pagi, ke sekolah dan kembali ke rumah semula.  Dan esok sudah hari minggu yang pastinya lebih pendek masanya berbanding hari ini. 

Aneh sungguh persepsi kita terhadap masa...kan.

Bila menunggu  dan menanti suatu yang tak pasti, masa ibarat siput yang mengambil masanya bergerak perlahan dan menyeksakan. Jarum jam seolah terhenti dari berputar,  menyiksa hati dan mencakar perasaan. 


Apatah lagi kalau menanti sebuah keputusan, berjalan meniti masa,  ibarat melangkah kaki dengan ikatan berat dihujungnya...


Tapi, jika dalam hati ada taman mewangi, masa seperti insan yang cemburu, segera berlari dan kita pun semakin cepat mengejarnya. Masa menjadi begitu pantas sekali. Dan di hujung masa, terasa seperti sedih dan kesal kerana seperti tidak sempat merasainya sepenuh hati.


"Cikgu...!" 

Saya memandang wajah anak muda di hadapan saya. Kepalanya botak sedikit, berkumis nipis, berjalan ke arah saya. 

"Err... saya pernah ajar awak ke?" spontan soalan yang terasa sedikit kebodohannya itu keluar dari bibir saya.


"Yalah... dah lebih 10 tahun dulu dah cikgu... Azrul, nama saya Azrul.."

"O ya ke? Sorilah , saya betul-betul tak ingat tentang awak...Dah kawin?"

"Tak pe... memang biasalah tu cikgu tak ingat, kecualilah saya ni budak palingnakal sekali, pasti cikgu akan ingat. Saya dah kawin... anak seorang...," jawabnya sambil menunjukkan gambar anaknya dengan perasaan bangga seorang ayah kepada saya.

"Wah ... comelnya. Dah lama dah ya... saya mengajar awak tu..Saya ingatkan umur saya tak bertambah.."

Bila di fikir-fikir kemanakah pergi masa tersebut? Seolahnya,  10 tahun yang sudah lepas itu cuma baru semalam sahaja berlalu. Walau dalam meniti masa 10 tahun itu, ada masanya, masa bergerak seperti siput, tetapi bila melihat ke belakang semula dalam fikiran ini, terasa ia cuma sekadar sekelip mata sahaja rupanya.

Ajaib betul kejadian masa oleh Allah...

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, January 14, 2011

Sekeping hati dibawa berlari....

Jumaat adalah hari yang dinanti-nantikan dalam setiap minggu. Saya kira bukan saya seorang yang berperasaan begitu. Kenapa ya? Mungkin kerana Allah sendiri yang menetapkan rahmat Dan keberkatan hari tersebut, makanya kerana itu setiap hati merasakan kecantikan Dan keindahan Jumaat tanpa kita sedar.


Mudah sahaja bagi Allah meletakkan sebarang rasa dalam hati. Sekeping hati yang kita punya sebenarnya tiada upaya kita mengawalnya, walau kehendak dan logik akal kita berbeza nilai dan rasional dengan sekeping hati tersebut. Namun, rasa yang terbit di dalam hati timbul dan beraja tanpa kita sedar.


Begitu juga rasa kasih yang menyelinap dan tersembunyi di hati. Ada kala ia tumbuh perlahan dan berakar kuat mendasar di hati, namun tidak kurang juga rasa kasih yang cepat subur di hati namun kecundang dan hilang lenyap dari sekeping hati kita tanpa kita hendak dan mahu.


Namun saya percaya, kuasa Allah mengatasi segala. Rasa kasih yang dicampak dalam hati perlu sentiasa dipelihara. Bukan sekadar ucapan dan perbuatan sahaja, kerana itu sebenarnya tidak menjamin teguh dan utuhnya ketetapan hati itu. Yang lebih utama adalah meminta dari si pemberi kasih dan hati itu, Allah Rabbul Jalil, agar membantu hati kita untuk terusan setia dan mekar mewangi dalam kasih yang sedia ada.


Salam jumaat di petang jumaat.

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, January 12, 2011

Penyapu Baru

Masuk ke bilik guru pukul 245 petang tadi, mata melirik ke arah guru baru di hujung belakang. Kecil molek comel bertudung, mengingatkan saya 19 tahun yang lepas tentang saya. Ah... perasaan yang perasan.


"Ha... kak B, cikgu baru kita di hujung tu dah termenung panjang dah....," saya menegur dari muka pintu lagi kakak di hadapan guru baru tersebut.


"Yalah... baru berapa hari sekolah ni.... takkan dah termenung panjang...," sambung saya sambil menghampiri guru baru tersebut ingin berkenal mesra.


Beliau tersenyum, memandang saya dan lantas mengangkat beg tangannya yang diletak atas kerusi di sebelah. Mengisyaratkan saya untuk duduk.


"Ha... takkan dah termenung dah..?" sambung soalan saya semula.
"Banyak sangat kerja bertimbun, tak tau nak mula dari mana," beritahu beliau pada saya.


Saya mengangguk faham. Guru baru dengan semangat berkobar untuk mendidik anak bangsa, tebal azam di dada ingin mencurah ilmu. Namun sebaik tiba di alam sekolah mengadap realiti sebenar, menjadi buntu untuk melaksana tugas. Itu perkara biasa dik... Menjadi guru kelas bagi Tingkatan 1 dengan membawa title guru baru bukan kerja mudah.


Segalanya perlu diuruskan ...., kutipan wang yuran, wang koperasi, buku teks pelajar, fail peribadi, fail kesihatan, fail adab, smm nya, registernya dan segala mak nenek. Kesian... tapi nak buat camana ya dek. Memang sudah dalam skop kerja sebagai guru tingkatan.


Itu belum lagi dengan urusan kelas menghias bagai, memastikan anak murid yang kecil dan comel lote mendengar kata dan menjalankan tugas.


Ha .... adik baru seperti penyapu baru, buatlah sebaik mungkin. Ada masa setahun dan tahun-tahun  seterusnya untuk anda beradaptasi, menyesuai diri dan meningkatkan kredibiliti.


"Rumah macamana?" tanya saya.
"Tu la... sekarang masih lagi menumpang rumah kawan..... ," jawab beliau. Ha.. masalah lagi, kan.

"Kak... maklumat pelajar ni guru kelas kena key in kan ke, atau guru data?" tanyanya pada saya.
"Entahlah ya... rasanya guru kelas juga...," beritahu saya sambil tersenyum.


Selamat bekerja untuk guru-guru baru.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 10, 2011

Anugerah dan juara





Cerita sebegini memang tidak sehangat cerita Anugerah Juara Lagu. Saya melihat timeline twitter saya dipenuhi dengan cerita Anugerah Juara Lagu, yang rata-rata tidak puas hati dengan keputusan. Pelik tetapi benar. Apalah sangat dengan pertandingan lagu bagi saya... yang menerima lagu dari radio dan masuk serta keluar dari telinga kiri ke telinga kanan atau sebaliknya.


Tetapi kalau pertandingan lagu sedunia, teringin juga hendak menumpang gembira atau menumpang duka, kerana ia mewakili jati diri kita sebagai rakyat.


Cerita yang ini kali ini tentang cerita lama yang manis rasanya bagi kita sebagai rakyat Malaysia apatah lagi sebagai seorang Muslim.



SHAH ALAM: Few Malaysians can stake claim to being the best in the world, Universiti Teknologi MARA (UiTM) student Khalid Kamarulzaman is one of
them.
He was acclaimed the ‘World’s Best CAT Graduate’ in the Certified Accounting Technician (CAT) programme. The results were announced in October.

The 19-year-old Faculty of Accountancy student scored the highest aggregate of 474 marks or an average of almost 95 per cent, for five advanced CAT papers.


CAT is an international qualification offered by the Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), the global body for professional accountants headquartered in the United Kingdom.
The qualification provides the graduate with the necessary knowledge and skills in Finance and Accounting to perform an accounting-support role. It is also designed to fast-track students towards a full-fledged career in accountancy.

Khalid achieved a perfect score in Drafting Financial Statements (T6) and came close in Managing People and Systems (T5) with 98 per cent.


His marks in these two papers were the highest in the world.

He also posted 97 per cent for Planning - Control and Performance Management (T7), 90 per cent for Preparing Taxation Computations (T9) and 89 per cent for Managing Finances (T10).

“It was important for me to shine in this programme as it has placed me on the right path to achieving my dreams so I can help my less fortunate family,” said Khalid in an interview with Varsity Voice on Nov 21.


Although he expected to pass the CAT exams with flying colours, the outstanding results were “...a dream come true, and a tribute to my love for mathematics and numbers”.

The third son in a family of nine siblings from Hulu Langat, Selangor, Khalid has now set his sights on completing another 11 courses in the ACCA programme to become a chartered certified accountant.

“CAT is only the first step. I intend to do just as well in the ACCA examination before gaining work experience and eventually opening up my own accountancy practice.”

“For now, I must be careful not to get too carried away as there is still a lot to learn and a long way to go before I can fulfill my aspirations,” he added.

The CAT programme was first offered by the faculty in 2002 to SPM graduates who had at least five credits, inclusive of Mathematics, Malay and English.

Khalid was recognised as a top student during the Faculty’s Excellence Day on Oct 6, during which he received an award from UiTM’s Vice Chancellor Datuk Professor Dr Sahol Hamid Abu Bakar.


(Ed: This article first appeared in Varsity Voice, a monthly publication jointly produced by the New Straits Times and Universiti Teknoogi MARA (UiTM) under the newspaper's Journalism on Campus project.)



Read more: UiTM student posts highest score in accounting course http://www.nst.com.my/nst/articles/UiTMstudentpostshighestscoreinaccountingcourse/Article/#ixzz1AdHmQFIH

Terbaik sedunia tu.... Memang tumpang berbangga!

Tahniah yang terlewat dari saya.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, January 9, 2011

gelagat

Sambil menunggu makanan di restoran, saya memerhati keluar dinding kaca restoran tersebut. Dari seawal saya duduk, pekerja perempuan di luar kedai tersebut masih di situ.


Sedikit pun dia tidak menghiraukan orang yang lalu lalang di awal pagi ahad ini. Masih terusan dia di situ membuat kerjanya. Saya tetap terusan memerhati gerak tangannya dan mimik mukanya. Sesekali dia bercakap dengan rakannya yang sedang mengemas kaunter mereka.


Suami saya menoleh ke belakang arah pandangan saya. Kerana, saya tahu dia pula memerhatikan ekor mata saya, yang sejak tadi terpaku ke arah luar.


"Tengokkan budak perempuan tu. Dari tadi, sampai makanan dah datang ni pun tak siap-siap lagi," saya memberi jawapan kepada persoalan yang hanya ditutur dari mata suami. Ha.... bila sudah belasan tahun bersama, kekadang bertanya dan menjawab tidak perlu lagi pada kata-kata, kan.


Suami hanya diam, tidak berminat.


Selesai saya makan dan minum, barulah perempuan itu selesai dengan tugasnya di awal pagi. Apalah yang dibuatnya ya? Mesti yang membaca ingin tahu, kan.


Sebenarnya, perempuan itu sales girl di kaunter Elianto, alat solek wanita.... Jadi tugasan pertamanya ialah menyolek diri sendiri di hadapan cermin besar tanpa menghiraukan orang sekeliling. Sekejap di warna alis matanya, di gores hujung bibirnya dan bermacamlah lagi, siap dengan mimik muka yang kekadang luculah pulak. 


Saya yang kekadang hendak melihat wajah sendiri dalam bilik air umum wanita pun selalu malu dengan diri sendiri. Macamlah cantik sangat kan... 


*pabila melihat gelagat manusia sentiasa membanding dengan gelagat sendiri...

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, January 6, 2011

tempang

Ujian Allah tidak mengira siapa. Tiada siapa yang dapat lari dari takdir dan ketentuan Allah. Indahnya kejadian manusia, kita diberi sekeping hati yang dengannya kita jadi kuat dan tabah atau lemah dan tewas.


Dan saya melihat sebuah ketabahan yang begitu indah.


Ujian Diagnostik Membaca al-Quran dijalankan di sekolah semalam, khas untuk murid-murid Ting 1 di sekolah. Tujuannya memang amat jelas, iaitu ingin mengenal pasti dan seterusnya membantu pelajar-pelajar yang buta al-Quran.


Alhamdulillah, tahun ini saya diberi peluang untuk turut sama membantu menilai pelajar, bersama seorang Usatazah yang baru ditempatkan di sekolah saya. Kami membahagikan 35 pelajar tersebut mengikut jantina. Temuduga ringkas dan mendengar bacaan petikan ayat quran antara yang dilakukan.

"Awak dah khatam quran?" tanya saya. Budaknya kecil molek, berkulit cerah. Duduk sopan dan tertib.
"Sudah."

"Dah khatam ni, ada lagi baca quran di rumah?"
"Ada."
"Bila bacanya?"
"Tiap-tiap hari, kalau hari cuti, pagi dalam pukul 10, kalau hari biasa, lepas maghrib."

"Baca dengan siapa?"
"Dengan atuk."
"Ooo... tinggal sekali ngan atuk?"
"err.......," dia teragak-agak hendak memberitahu. Saya senyum padanya dan membiarkan dia mengambil masanya untuk menjawab.

"Mak ngan ayah saya, kan... dah berpisah. Jadi saya duduk dengan atuk."
"Ooo.... jadi awak duduk ngan mak dan atuk lah ya?" saya membuat kesimpulan sendiri.

"Errr.... tak. Saya tak tahu mak saya kat mana." Jantung saya terhenti  berdenyut seketika.
"Ayah?"
"Entah? tak tahu.... lagi pun, ayah pun tak pernah tanggung kami." Sekali lagi jantung saya terhenti seketika.
"Adik beradik berapa orang?"
"Lima..."

Selesai ....., mata saya tidak putus mengekor langkahnya. Anak kecil yang berhati tabah. 

Saya kira, ada anak-anak lain yang menerima ujian lebih besar darinya. Setiap hari dalam kehidupan saya, jarang sekali saya memikir keadaan seperti itu, kerana hidup saya yang begitu mudah. Kehidupan mereka ini, kelihatan tempang di mata saya, tetapi mereka punya hati yang  kuat berlari mengikut rentak arus. 


Doa saya untuk anak itu dan keluarganya.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, January 3, 2011

salah menilai

Kadang-kadang manusia memang tidak boleh dinilai melalui imej luarannya, walau pun kerap kali imej luarannya itulah yang membentuk nilai dan tanggapan orang lain terhadapnya.


Waktu itu, hari sudah gelap diluar. Saya tergesa-gesa melangkah keluar dari supermarket tersebut dan berjalan pantas ke mesin membayar parking kereta secara automatik. Azan maghrib baru sahaja kedengaran semasa saya masih beratur di luar.


Saya tahu, keadaan di luar supermarket pasti akan sesak kerana ada pasar malam pada hari tersebut, dan ramai juga pastinya ingin segera sampai di rumah sebelum waktu maghrib habis. Dihadapan saya seorang lelaki dengan dua anak kecilnya turut beratur.  Berpakaian kasual, berseluar pendek aras lutut, beliau melambai ke arah dua orang wanita yang baru sampai. 


Saya kira wanita tersebut bukan berbangsa Melayu dan kemungkinan besar berbangsa Cina. Wanita yang muda tersebut mungkin isteri lelaki di hadapan saya manakala yang agak berusia sedikit itu ibu kepada wanita itu.


"Can we go to the pasar malam after this?" tanya wanita muda pada suaminya yang masih beratur di hadapan saya.

"Mmmm, I really need to go for my prayers... Its Maghrib. Unless you know what you are going to find there and just have a quick stop, I can wait in the car," si suami  memberi alasan.

"I should have wear my jeans..." si suami menyatakan kesalnya setelah mereka mengambil kata putus untuk terus balik ke rumah dan akibatnya permintaan si isteri tidak dapat dipenuhi.


Tetap menunaikan solat dan menjaga waktu solatnya....... itulah perkara terakhir yang saya kira dalam penilaian dan tanggapan dangkal saya berdasar imej lelaki itu akan dipertahankan oleh beliau, dan anggapan saya bahawa itu  bukan nilai utama dirinya. Dan saya memang tersilap besar dalam membuat penilaian. Saya doakan agar beliau istiqamah dan keluarganya turut dirahmati Allah sentiasa.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...