Tidak mudah menjaga orang yang tidak sihat. Apatah lagi di hujung usianya. Sementelah pula kalau dia ialah ibu kita.
"Akak tak boleh ke mana, Normah," beritahu rakan saya ini. Kagum betul saya dengan tahap kesabaran dan sifat kasihnya.
Senang untuk kita menyatakan secara lisan yang tanggungjawab seorang anak ialah menjaga ibu bapanya nanti. Kena tahan sabar dan ikutlah kehendak mereka selagi terdaya, itu kata ramai orang. Tetapi, sebenarnya realiti nya memang payah dan bukan mudah menjaga ibu atau bapa kita yang sakit di hujung usia.
Silap gaya, bukan pahala yang akan kita dapat tapi dosa bertan yang kita simpan.
Saya pasti ramai di luar sana yang punya sahsiah terpuji seperti rakan saya ini, namun tidak kurang juga di luar sana yang bergaduh adik beradik dek kerana penat menjaga ibu atau bapa masing-masing. Tidak puas hati kerana terbeban dengan masalah.
"Kalau akak nak gi berjalan ke kedai pun emak akak akan menangis macam budak-budak. Nak bawak, dianya dah tak larat. Walau pun adik beradik lain nak temankan dia di rumah, dia tak nak...Memanglah banyak masa kita perlu luangkan layan dia, hinggakan akak dengan anak akak pun jarang sangat dapat bersama. Nak gi mandi pun nak akak temankan, tak nak orang lain...," cerita rakan saya ini.
Dalam hati saya, terasa kagum sungguh terhadap rakan saya ini dalam menghadapi semuanya, belum lagi dengan kerenah di tempat kerja dan tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu.
"Jaga emak di penghujung usia mereka macam kita jadi emak pada dialah, kadang kena bertegas, kadang kena peluk dia , terang pelan-pelan kenapa kita terpaksa balik lambat, kenapa kena buat kelas tambahan, kenapa kena mesyuaratnya lama sikit...Memang kena banyak sabar Normah..."
Benar, seorang emak bisa saja menjaga anak-anaknya. Tapi tatkala ibu itu sudah tua, kedut kulit merata dibadan, tenaga sudah terkikis dan kadang kencing berak pun perlu dibantu, ia bukan kerja mudah bagi anak-anaknya. Kehidupan si anak akan terikat dengan ibunya.
Saya sendiri pun tidak bisa menerka bagaimana pula saya nanti, jika diuji dengan ujian seperti rakan saya ini. Cumanya saya berdoa jika ia tiba suatu hari nanti, agar saya dapat menjalankan tanggungjawab saya dengan seikhlas hati dan Allah permudahkan ia. Doa saya juga agar Allah beri kekuatan pada saya. Tapi apa pun... yang utamanya saya doakan kesejahteraan ibu saya hingga ke hujung usianya dan diberi kesihatan yang baik serta dikasihi Allah sebagaimana kasihnya beliau pada saya sejak dari kecil lagi.
~cikgunormah@klcitizen~