Monday, February 28, 2011

ejek

Mengejek.

"Dia cakap saya tak sunat lagi cikgu...."

Mukanya merah menahan marah. Ariff, namanya, hitam manis kulitnya dan susuk badannya yang besar sedikit pun tidak menakutkan rakannya.

Belum sempat saya berkata apa, Ariff bangun bergerak ke belakang dan menujah kepala rakannya. Dan sepantas kilat, rakannya itu membalas dengan tumbukan di pipi Ariff, tetapi hanya terkena sipi.

Darah dalam urat yang mengalir dalam badan saya meningkat naik. Emak saya beritahu dulu,  aruah datuk saya yang berasal dari tanah seberang adalah seorang pendekar, dan pernah memelihara harimau jadian ( :D). Kalau boleh saya hendak bertukar menjadi harimau jadian waktu itu juga. Telinga saya panas, dada saya berdegup kencang menahan marah. Tetapi harimau jadian yang dipelihara aruah datuk telah lama lenyap dan tak mungkin datang di sebelah saya.

"Awak berdua duduk!"

Serasa ada kekuatan untuk menjerit waktu petang ini.  Perubahan hormon yang sedang mengambil tempat dalam badan mengikut kitar bulanan saya turut membantu. Pelajar Tingkatan 1 dalam kelas saya semua diam menunggu reaksi saya seterusnya. Kalau boleh ikut hati, saya hendak menggila waktu itu juga.

Namun selalu saya mendengar ada hadis yang menyuruh kita beralih cara jika sedang marah, kan. Saya cari bangku dan duduk menarik nafas. Ah... selamat.

Semasa kecil dahulu pun, saya selalu juga diejek.

Anak Vespa, anak Vespa ... kalau bukan anak vespa, saya diejek sebab rambut berkutu, dan kalau tak diejek sebab rambut berkutu , saya akan diejek sebagai nenek tua, sebab cermin mata saya dulu ala-ala cermin mata nenek tua..

Tapi , alhamdulillah, tak pernah diejek  bab bersunat... :D

Nasib baik.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 27, 2011

bisikan dan jeritan






Dengarlah bisikan, kalau tidak kita akan terpaksa mendengar jeritan .... ~ Ustaz Pahrol

Bila mendengar kat-kata Ustaz Pahrol, apa yang terbayang dalam fikiran saya ialah reformasi dan demonstrasi.  Saya bukan ahli politik, bab politik boleh sahaja membuatkan saya lelah dan sesak nafas, apatah lagi membaca dan cuba memahami politik di Malaysia.


Tetapi melihat dan membaca dari jauh situasi di beberapa negara kini seperti di Mesir, Tunisia dan  Libya menyebabkan secara tidak sedar, kata-kata itu menerjah dan terkait dengan sendirinya. Bukan...., saya bukan hendak mengulas tentang senario politik di sana, walau pun secara tak pandainya sedikit pun kita tidak boleh menyangkal tentang hebatnya 'suara rakyat' yang bersatu. 


Oxford historian Mark Almond, writing for the BBC, noted that the most common catalyst for radicalising discontent over the past 30 years has been violent death. The Tunisian revolution, for instance, was triggered by the self-immolation of street vendor Mohamed Bouazizi. He set himself on fire on Dec 17 last year to protest against the confiscation of his goods and subsequent harassment ~ Not sparked by the web : Jeremy Au Yong


Tidak puas hati sentiasa sahaja ada. Bukan mudah memuaskan hati semua pihak. Tetapi ketidak puasan hati yang tidak ditangani dan disimpan, tanpa dipedulikan, boleh membarah dan membawa perkara yang lebih parah.


sumber

Disebabkan ketidak puasan hati rakyat terhadap keadaan hidup mereka yang mendesak  dan keadaan ekonomi  negara yang tidak membantu, insiden yang kecil mencetuskan huru hara yang bakal merubah senario politik dan masa depan semua rakyat di negara tersebut.


Pemimpin yang adil sentiasa berada di hati rakyat. Terlalu payah untuk menjadi pemimpin yang adil dalam dunia penuh korupsi masa kini. Saya tidak menuding jari pada mana-mana pihak, kerana saya fikir sesiapa sahaja yang berkuasa nanti, beliau pasti akan teruji dengan ujian berat untuk berlaku adil.


Tetapi ... adilkah, bila melihat  para YB yang ber'amanah' ini punya rumah terlebih besar dari istana, ladang berekar melaut pandang, sedang rakyat jajahannya kais pagi makan pagi, dan jika tak mengais maka tak makanlah....



*Kisah Khalifah Umar b Abd Aziz yang menyediakan satu lilin khas untuk urusan kerajaan dan  satu lagi untuk urusan peribadinya, bukan mitos, tetapi kenyataan yang boleh direalitikan....



~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 25, 2011

tak malu dah....

Selamat berJumaat untuk semua.

Kalau di kawasan perumahan saya kaum ibu yang tidak bekerja, akan berkumpul setelah selesai urusan harian waktu pagi untuk memakmurkan hari Jumaat dengan membaca alQuran dan mendengar tazkirah.

Semalam petang, selepas hujan yang lebat, saya tiba- tiba menjadi rajin untuk menggoreng keropok. Dapur rumah saya mengadap dapur rumah jiran. Belakang rumahnya kemas, siap ada pokok hiasan lagi, tidak seperti belakang rumah saya.

Yalah .... dia ada bibik yang membantu. Saya pula tiada dan yang menentu rajin atau malas saya ialah kitaran haid saya. :)

Ah, itu semua alasan orang kurang rajin seperti saya.

Sedang menggoreng, terasa seperti sedang diperhatikan dari celah pasu jiran belakang rumah. Berhenti menggoreng sebentar, saya melihat keluar. Benar... ada sepasang mata yang comel, berkelip-kelip memandang saya. Ternampak kelibatnya berlari menyelinap di celah pasu. Cik T rupanya.

Ya ... cik tikus ... Iish gelilah pulak... dengan ekornya yang panjang dan runcing melibas perlahan. Meremang bulu tengkuk, rasa nak melompat masa itu juga.

Seingat saya dulu-dulu, bukankah tikus hanya keluar dari 'rumahnya' waktu malam? Sekarang dalam dunia serba moden ini tikus pun sudah hilang rasa 'malunya' dan dengan jelas memperlihatkan kehebatannya di hadapan siapa sahaja hatta musuh tradisinya si kucing. Walau pun saya kira, kini musuh tradisi itu pun sudah tidak kuasa untuk melayan kerenah si tikus.

Rasa malu pun sudah berevolusi rupanya.

Kalau dulu seingat saya, jika anak dara hatta mak dara , hendak pergi membeli tuala wanita ( sanitary pad ) , rasanya berfikir tiga empat kali. Itu pun, minta tuan kedai membalut bungkusan tuala wanita itu dengan kertas surat khabar, tidak mahu orang lain yang berselisih dengan kita nanti dalam perjalanan pulang, tahu apa yang kita beli.

Tapi itu dulu... sekarang ni sudah lain kan. Bukan setakat nak membeli, kalau diminta menjadi model dalam iklan tuala wanita pun tidak ada masalah kut... Lihat sahaja iklan tuala wanita yang begitu pelbagai dan rencam di media massa sekaeang ini kan. Siap si model yang manis dan menawan beraksi berlari, menari, ke kelas dan sebagainya.

Ya ... banyak yang berubah. Tidak ada yang sama dulu dan sekarang. Walau pun mungkin nilai baik atau buruk itu masih tetap sama, tapi cara kita memandang nilai itu mungkin agak berbeza dengan generasi dulu.

Apa pun, yang pasti perubahan tetap berlaku. Cuma kita mendoakan perubahan yang positif dan memberi kesan baik dalam hidup kita di sini dan yang kekal di sana nanti.


*Jumaat tetap datang dan pergi, cumanya masih ada lagikah kita menyambutnya nanti?

Salam Jumaat yang penuh berkat.

~ cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 24, 2011

benda dah hilang, nak buat camana

"Mah, ada tertinggal barang tak tadi?" lembut suara di hujung talian.

Saya memerah otak, cuba mengingat. Mmmm.... malas nak berfikir di tengah panas dalam kelas. Waktu yang tertera di handphone menunjuk 155 petang.

"Ada tertinggal jam tak?" tanya empunya suara di telefon, cuba membantu saya yang memang sudah terkenal dengan sifat lemah ingatan.

Melihat pergelangan tangan yang kedua-duanya kosong, saya tertawa kecil. Baru terperasan yang saya telah tertinggal tanpa sengaja jam tangan yang seusia perkahwinan di dalam bilik air semasa bergesa mengambil wuduk.

Telah berpuluh kali rasanya jam tersebut hilang dari peliharaan, fikiran dan ingatan. Tetapi agaknya jodoh kami panjangdan kuat, tetap ia dikembalikan semula pada saya. Cuma cara ia hadir semula dalam hidup saya itu boleh datang dalam pelbagai keadaan.

Begitu juga dalam hidup kita ini kan, ada insan-insan tertentu yang bersama berkongsi beberapa babak dalam hidup kita dan kemudian hilang dan tanpa kita sedar ia hadir semula dalam berbagai situasi. Tanpa kita minta dan mahu, kembali mereka memberi kisah-kisah baru dalam perjalanan hidup kita.

Apatah lagi orang yang tertakdir sebagai teman sepanjang hayat. Biar ke mana langkahnya dibawa , berapa lama langkahnya itu menjauh dari kita, tetap satu hari nanti ia kembali semula. Banyak contoh dan kisah yang boleh dijadikan iktibar dari Allah. Berkasih, berpisah dan bertahun kemudian setelah jalan yang ditempuh berlainan arah, diketemukan semula dan langsung bahagia ke akhir hayat. Ibarat skrip filem terbaik jalur hidupnya, kerana itu ketentuan dari Allah dan bukan atas upaya sesiapa untuk menghalang atau menjadikan ia realiti.

Kita belajar, dari melihat kisah insan lain kerana mereka juga belajar dari kisah kita.

Walau kita genggam erat dan kemas segala yang menjadi milik kita kini, jika ia tidak tertakdir untuk kita, tetap ia hilang dan akan lenyap juga . Kuasa Allah tiada siapa dapat menolaknya.

* buat yang putus kasih, putus tunang atau putus ikatan... janganlah pula kita putus harapan.

~ cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 23, 2011

janji yang tidak ditepati

Waktu itu hendak kemana-mana biasanya berjalan kaki atau menaiki bas awam. Usia pun masih muda, punya kudrat yang lebih. Itu kisah 22 tahun lepas. Bila difikir semula, hairan juga ke mana menghilangnya tenaga tersebut.

Pernah terfikir dalam penat berjalan itu, bahawa satu hari nanti bila telah punya kereta, jika terlihat pejalan kaki yang kepenatan, pasti saya akan tumpangkan. Kerana waktu itu saya tahu penatnya berjalan kaki.

Yalah, waktu masih muda, segalanya nampak begitu mudah dan idealistik.

Sekarang?

Nampak makcik tua menyeberang jalan pun terfikir- fikir hendak membantu. Dan bila terlihat anak murid berpeluh-peluh berjalan kaki menaiki bukit ke sekolah pun, sekadar melihat sahaja. Mana boleh memberhenti kenderaan di tengah jalan yang sedang sesak dan masing-masing berkejaran menuju ke destinasi tersendiri. Alasan ... kan.

Semasa menjalani praktikal di sekolah Cina 19 tahun dulu, hati hairan mendengar keluhan guru- guru lama.

"bosan betul tengok almari baju. Dah tak ada baju nak di pakai datang sekolah. Asyik-asyik baju itulah jugak."

Padahal saya lihat baju-baju mereka bukan main cantik dan menarik lagi. Dan saya pun berazam tidak mahu menjadi seperti mereka yang tidak bersyukur dengan apa yang ada.

Sekarang?

Sambil membelek-belek baju di almari, dok teringat bila tarikh gaji keluar? Sudah bosan asyik membelek baju yang sama, teringin lah pula ke kedai kain, nak mencari kain untuk ditempah baju baru. Padahal , kain yang dibeli dari rakan di sekolah belum pun dihantar jahit.

Manusia seperti saya yang jiwa masih terikat dengan dunia material, sentiasa berjanji dengan diri untuk jadi lebih baik. Berjanji dengan diri sebenarnya lebih payah untuk ditunaikan.

Pun begitu... tetap juga memahat janji dalam hati, nanti satu hari nanti jika tertakdir menjadi jutawan nanti ..........

Ha, biarlah rahsia.

:)


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 22, 2011

payung emas siapa yang empunya?

Everything in this world is about bonding

Itu yang terluah, tatkala bekas pelajar bertanya khabar, adakah saya masih mengajar Kimia dengan segala kisah tentang bonding antara unsur.


Untuk berhubung dengan manusia, kita mestilah berhubung dengan Tuhan terlebih dahulu. Kuatnya hubungan kita dengan Tuhan, maka kuatlah hubungan kita sesama manusia ~ Ustaz Pahrol

Itu antara kata-kata Ustaz Pahrol dalam slot motivasinya di radio Ikim semalam yang sempat saya petik dan lekatkan di fikiran. Selembut suaranya menerjah telinga, selembut itu ia berbekas di hati.

Dalam setiap hubungan, pasti sesekali ada rasa khuatir dan ragu- ragu. Apakah rakan, teman atau kekasih yang berada di hadapan kita ini jujur dalam hubungan. Adakah hatinya tulus memberi dan menerima?

Hubungan yang kuat adalah hubungan yang sudah teruji dengan tribulasi. Setelah tersungkur, biasanya kita akan bertanya apa yang tidak kena hingga terjatuh begitu. Jika bangunnya kita bersama, maka perjalanan yang seterusnya akan lebih terisi dengan kepercayaan.

Saya sentiasa yakin dan percaya, hubungan kita dengan sesiapa pun, dapat terpelihara kalau kita sentiasa memelihara hubungan kita dengan Tuhan. Jika takdirnya kita teruji dengan ujian getir, itu kan tandanya Allah ingin kita lebih dekat denganNya, Allah ingin mendengar rayuan dan rintihan kita. Walau tika itu , saya pasti, beban yang terasa di pundak ibarat tidak terpikul, tapi percayalah, masa yang terisi dengan doa tak putus akan merawatnya.

Doa dari saudara juga amat membantu. Kerana itu, saya mengambil ruang ini memohon doa dari Allah agar hati- hati teman dan saudara yang saya sayangi yang sedang diuji, diberi kekuatan untuk menghadapinya .

Kekuatan hati perlu dicari, ia tidak datang bergolek begitu sahaja ...


* payung emas memang bukan percuma, ia datang bersama air mata dan penyerahan diri yang mutlak

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 21, 2011

jika saya seekor naga

Panas menggigit + Hari Isnin + memanjat tangga = irritating

Dek sebab sifat ambil mudah dan senang sangat membuat andaian , saya terpaksa memanjat, menurun dan memanjat semula anak tangga dari bawah ke kelas paling atas dan berada di hujung sekali. Suasana panas, dan pelajar yang tidak bersedia sedikit pun tidak membantu mengurangkan rasa hendak marah. Marah pada diri sendiri sebenarnya, tidak peka dan tidak proaktif, sudah tahu hari ini ujian masih lagi berjalan, tidak memeriksa jadual peperiksaan.

Akibatnya, terpaksa turun semula berjalan ke bangunan hujung bertentangan mengambil kertas soalan peperiksaan yang perlu saya edarkan .

"Awak dah tahu periksa nak mula dah, masih lagi berlengah dan belum bersedia. Ish... "

Kalaulah saya seekor naga, sudah terhambur api panas membakar budak- budak di hadapan saya ni.

Tapi, sebenarnya marah saya tidak perlu kalau saya yang berubah sikap kan. Mengambil mudah, antara sikap mazmumah yang saban tahun tersenarai sebagai sifat yang perlu saya kikis bila tahun baru menjelang. Sedar, namun masih ia melekat dan payah hendak ditanggal.

Dalam usia yang makin tinggal sedikit ini, mampukah?

*entri refleksi, sementara mengawas peperiksaan...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 20, 2011

saat lidah ku kelu untuk berkata...

10.16 pm, Ahad malam Isnin

Isnin kembali dengan mood pelbagai. Tuning in minda sendiri agar lebih bersedia menghadapi urusan kerja rutin yang kadang kala menyesak dada. Apa pun hidup perlu diteruskan.

Denyutan nadi manusia normal, seperti anda dan saya berapa ya?  60 - 90 denyutan per minit katanya. Kata siapa ya... kata en. google. Zaman sekarang ini siapalah yang lebih kita percaya selain mak dan bapa kita,  kalau bukan en. google.

Tiba-tiba bertanya tentang denyutan nadi,  kan.  Kenapa?

Dalam satu temuramah oleh ahli jenayah (criminalogist) David Klinger  dari Universiti Missouri dengan anggota-anggota polis yang pernah menembak manusia secara benar (real),  didapati bahawa dalam saat-saat cemas  (lebih kurang 2- 3 saat)  kesemua mereka mengalami realiti yang agak sama, iaitu , hilang deria tentang keadaan di sekeliling. 

"..Interviews with police officers who have been involved with shootings, these same details appear again and again: extreme visual clarity (penglihatan yang sangat tajam/jelas), tunnel vision (melihat objek tanpa ada gangguan), diminished sound (bunyi di sekeliling tidak kedengaran) and the sense that time is slowing down."  ~ 7 seconds in the Bronx : Blink by Malcolm Gladwell, page 229

Dave Grossman dalam bukunya,  yang saya tak pernah baca,  On Killing,  ulas Malcolm,  menyatakan bahawa apabila denyutan nadi manusia berada pada 115 - 145 denyutan per minit,  iaitu semasa berada dalam tekanan,  manusia menjadi lebih fokus dan dapat meningkatkan prestasi diri. Ini yang selalu berlaku kepada para atlit yang berjaya semasa berada dalam tekanan pertandingan.

Tetapi bagi kita manusia biasa yang normal, tekanan atau stress menyebabkan....

Most of us, under pressure, get too aroused, and past a certain point, our bodies begin shutting down so many sources of information that we start to become useless


Saya rasa saya termasuk dalam salah seorang yang menjadi useless bila berada dalam keadaan panik. Degupan jantung menjadi lebih dari 145 denyutan per minit, menyebabkan otak menjadi beku, lidah kaku tak boleh berkata-kata.


"After 145," Grossman says, "bad things begin to happen. Complex motor skills start to break down. Doing something with one hand and not the other becomes very difficult. At 175, we begin to see an absolute breakdown of cognitive processing (ni saat tak boleh nak berfikir).

The forebrain shuts down, and the mid-brain - the part of your brain that is the same as your dog's (all mammals have that part of the brain) - reaches up and hijacks the forebrain. Visions become even more restricted. Behavior becomes inappropriately aggresive. " ~ Blink, page 230

Kita memang selalu juga terjumpa atau mengalami situasi seperti ini kan. Teringat dulu semasa saya mengalami accident , hendak mendail nombor telefon suami sendiri pun dah tak ingat.


Sebab itulah juga Grossman dalam bukunya menasihat kita supaya berlatih mendail nombor 911.

Grossman says that everyone should practice dialing 911 for this very reason, because he has heard of too many situations where, in an emergency, people pick up the phone and cannot perform this most basic of functions. With their heart rate soaring and their motor coordination deteriorating, they dial 411 and not 911, or forget to press 'send' on their cell phone, or they simply cannot pick out the individual numbers at all.

"You must rehearse it," Grossman says, "because only if you rehearsed it, will it be there." ~ Blink page 231



Ha... persoalannya boleh ke kita saja-saja mendail 911? Musykil lah pulak kan.... Entri berkongsi bahan bacaan yang masih tidak sudah.

*selamat berhari Isnin, semoga ceria dengan senyuman dan haruman



~cikgunormah@klcitizen~ 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 18, 2011

tiba-tiba....

Yeay ... Jumaat lagi! Alhamdulillah, masih bernafas dan masih diuji Allah dengan nikmat senang serta susah.

Sarcastic!

Terkeluar dari bibir anak murid sebentar tadi. Jam sudah menunjuk waktu 740 am, dan mereka masih leka berbincang. Sedangkan ujian mesti dimulakan tepat 745 am. Arahan minta bersedia di tempat duduk masing-masing yang saya lontarkan tadi ibarat terpantul semula ke muka saya tidak diendahkan.

"Eh... awak nak mula periksa bila ni? Tahun depan ke?" Itu soalan saya.

Memang ada nada sinis, biasalah saya.


Dan sarcastic menjadi jawapan pelajar tersebut. Hari ini saya tidak tersenyum terhadap jawapannya. Dan dia pun mengangkat punggungnya, meletakkan beg di belakang kelas lantas duduk senyap di mejanya.

Ha... berjaya juga saya!

Bahasa yang terlontar dari bibir dan yang tertulis selalu boleh disalahtafsir. Salah tafsir kadang-kadang memang sengaja dilakukan untuk menarik perhatian.

Dan sempena hari Jumaat ini saya tiba-tiba berkeinginan memohon maaf jika ada bahasa yang saya gunakan disalah tafsir menjadi perkara yang tidak baik dan menyinggung rasa.

Moga hari ini lebih baik dari semalam.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 17, 2011

janda kaya memakai lipstick

Tangan saya panas. 

Kata orang-orang tua, tangan panas tidak sesuai menanam pokok. Awal berkahwin dulu adalah juga usaha hendak mencantikkan laman di rumah, menanam pokok hiasan yang saya sendiri pun tak tahu namanya. Tapi, sayang semuanya mati tak sempat membesar.

Tiba-tiba pulak hari ini teringin menulis tentang pokok. 

Di sebelah ini salah satu pokok yang ditanam di sekolah. Sekolah tempat saya mengajar ini banyak juga pokok-pokoknya. Nama pokok ini menarik hati saya sejak dulu lagi

Pokok janda kaya. 

Nasib baik bukan tugas saya menjaga pokok-pokok ini. Kata orang , daun dan bunga pokok janda kaya yang diramas-ramas dalam air  boleh menyegarkan badan terutama bila demam.

Sesuai betul dengan nama pokok ini kan. Memang ramai cikgu kaya di sekolah saya ni, mmm, janda kaya pun ada rupanya di laman sekolah.

Salah satu lagi pokok yang menarik minat saya ialah Lipstick Palm. Mentang-mentang sekolah yang majoritinya guru wanita, jadi pokok ini memang ditanam khas  di sekolah. Rupanya mat-mat saleh suka benar dengan pokok lipstick palm ini kerana warnanya.

Considered one of the most colourful and exotic palm tree in the world, Crytostachys renda (lipstick palm) is such a marvelous sight to behold! link
Lipstick Palm ini fungsinya memang hanya sebagai tumbuhan hiasan, samalah juga saya kira fungsi lipstick bagi kita kaum wanita kan.

Ada lagi pokok-pokok lain di sekolah saya yang tidak kurang menariknya juga. Tapi.... lain kalilah pulak saya bercerita tentang mereka.

*mood hijau alam hari ini

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 16, 2011

bersemangat

Sementara menunggu pelajar masuk kelas selepas rehat petang, saya menyambung baca buku "Blink: The Power of Thinking Without Thinking" karya Malcom Gladwell. Buku tersebut telah lama dalam simpanan saya, masih tidak sudah membacanya dan hampir terlupa tentangnya.



Malcolm Gladwell has been a staff writer with The New Yorker magazine since 1996. His 1999 profile of Ron Popeil won a National Magazine Award, and in 2005 he was named one of Time Magazine's 100 Most Influential People. He is the author of four books, "The Tipping Point: How Little Things Make a Big Difference," (2000) , "Blink: The Power of Thinking Without Thinking" (2005), and "Outliers: The Story of Success" (2008) all of which were number one New York Times bestsellers. His latest book, "What the Dog Saw" (2009) is a compilation of stories published in The New Yorker ~ sumber

"Cikgu... cikgu baca apa?" tetiba sahaja budak Farhan ini muncul.
"Eh .. tak makan ke?" tanya saya, berhenti sekejap, melihat jam. Belum lagi masa untuk kelas saya bermula.

Tiada jawapan.

"Cikgu... apa blink tu?" tanya rakan yang menemaninya masuk ke dalam makmal tanpa kebenaran saya.

Saya mengelip kedua belah mata saya, on purpose dengan harapan dia faham.

"Apa blink tu?" Farhan pulak bertanya.

Saya kelip mata semula.

"Cikgu... kenapa mata cikgu?" tanya Farhan.

Hahaha.... tak faham rupanya si Farhan.


*blink = mengelip mata  (sumber)

* rasa bersemangat semula membaca artikelnya.....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

sakit hati

Malam-malam begini menelusuri hati sendiri.

Broken Heart
sumber

Luka lama kembali berdarah. Siapa yang pernah merasa pedih dan sakitnya pasti faham. Ibarat pisau yang paling tajam menghiris tanpa sedar. Sakitnya hingga ke dalam, pedihnya sukar digambarkan.

Kadang-kadang menjadi manusia bodoh yang saban kali mengulang kesilapan memang terasa sesal dan bebal. Sudah ternampak kelibat kecewa, masih juga diredah jalan yang beronak duri. Bukan bodoh selayaknya dilabel pada diri tetapi yang lebih teruk dan hebat dari bodoh itu apa? Dungu? Mungkin....

Tapi ... hati ini pasti akan kembali pulih. Pasti. Kerana doa yang tidak putus ini. 

Mungkin ini caranya Allah ingin mendidik, mengajar agar kembali semula dekat denganNya.  Persetan dengan janji dan harapan yang digantung pada insan lain, kerana mereka juga sama lemah. Menabur harapan, membibitkan rasa dan semudah itu menghenyak sesukanya. Dan padanlah dengan muka sendiri, kerana lekas percaya. 

Sedangkan diri sendiri pun tahu tiada yang selayaknya digantungkan rasa dan harap kecuali Yang Esa.

*entri membebel 

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 15, 2011

menyintaimu

Sempena cuti Maulidur Rasul ini rasanya ramai yang turut sama memeriahkan sambutan dengan acara-acara di masjid, mengikut perarakan berselawat mengingati Baginda Rasul. Ada juga di tempat saya hadiah cabutan bertuah mengerjakan umrah tersedia bagi yang hadir.

Semasa kecil dahulu mendengar sirah Rasul seperti mendengar cerita pahlawan terbilang. Terasa kagum dari jauh dan cuba membayang wajah Baginda. Ibarat membaca buku cerita, menggambarkan babak-babak perjuangannya yang begitu asing di bumi asing.

Saya mula belajar untuk cuba menyintai Baginda Rasul agak lewat. Itu pun kerana bersahabat dengan teman- teman di UKM yang banyak mengenalkan saya dengan sisi spiritual saya. Memang sudah tertakdir, kerana itulah yang terbaik buat saya.

Di usia yang semakin lewat ini, saya makin cuba mengenal Baginda. Agar kecintaan itu bukan hanya basah di lidah sahaja tetapi menjiwa di hati dan fikiran. Moga bila hati ini terpenuh dengan kasih sedemikian rupa, harap-harap di pertemuan yang kekal nanti ia boleh menjadi bukti yang tuan kepada hati ini adalah salah seorang ummatnya yang disebut-sebut tatkala kewafatan Baginda.... "Ummati...ummati..."

Namun tak semudah itu. Kerana hati ini masih bersarang dengan jiwa jahiliyyah yang cuba disingkir jauh. Dan harapan saya tiap saat, agar Allah membantu saya.


Selamat menyambut Maulidur Rasul.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 14, 2011

Percayalah dan yakinlah .....

Hukama ada berkata, terhalangnya kita daripada berdoa adalah lebih berbahaya daripada tidak makbulnya doa kita itu.
Mengapa?
Apabila kita tidak berdoa, kita umpama insan negatif yang penuh racun atau toksik. Kata-kata kita beracun, pemikiran kita beracun dan perbuatan kita penuh racun

~petikan Majalah Solusi isu 28 : m/s 49~

Saya bukan ustazah atau kaunselor. Tetapi sering membaca dan mendengar keluhan insan-insan yang kecewa dalam hidup. Terlebih lagi kekecewaan melampau dalam hubungan kasih yang tak sudah.

Dendam, benci bersarang dan berkocak dalam jiwa, dan sedih yang berpanjangan terutama di kalangan anak muda masa kini disemarakkan lagi dengan lagu-lagu cinta yang membuai rasa. Fikiran terpenuh dengan sesal, rasa tak puas hati menekan-nekan sanubari.

Faham dengan situasi,..... tetapi menghambur kata nista dan pedih, menenggelamkan diri dalam lagu cinta dan menyibukkan diri dengan shopping, clubbing, karaoke yang tak henti bukan cara terbaik memujuk hati.

Bila diminta berdoa,sering dianggap kaedah yang terakhir dipilih untuk mengubat hati, kerana pada mereka itu bukan rawatan bagi merawat hati yang sakit.

Setelah sekian lama mengharungi hidup ini, saya dan ramai lagi percaya,bahawa hati yang sedih dan sedang teruji, hanya bisa dirawat dengan doa yang konsisten. Percayalah dan yakinlah ....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 12, 2011

cikgu pembekal senjata tajam, anak murid mati tertikam

10.48 am.
Sabtu.
Makmal Kimia SMKTSW.

Seronoknya hari ini. Sebab hari ini hari Sabtu. Walau ada kerja di sekolah, kerja menjadi seronok dilakukan kerana tidak terikat dengan formaliti dan desakan loceng.

Saya kira manusia semuanya sama sahaja. Peraturan membuatkan jiwa manusia cepat resah dan terdorong untuk melanggarnya. Walau pun masing-masing pun tahu peraturan memang perlu bagi memastikan kehidupan berjalan lebih tersusun. Namun hendak menurutinya seratus peratus menjadi satu kepayahan yang kadang tidak dipedulikan.

"Mana awak dapat ni?" teringat kisah lama. Budaknya memang nakal, tapi budak sebaya dengannya waktu itu mana yang tidak nakal?

Rod kaca dari makmal dibuat pedang kecil bermain-main dalam kelas ala-ala Star Wars.

Hati rasa gerun melihatnya, takut tercucuk ke mata rakannya atau tertusuk ke perut rakannya tanpa disengajakan. Aissh... tak pasal nanti terpampang di dada akhbar " Cikgu pembekal senjata tajam, anak murid mati tertikam".

Rupanya dalam cikgunya sibuk melayan pertanyaan rakannya di dalam makmal, beliau menyelongkar almari alat radas dan menyeludup keluar rod kaca tersebut. Nasib masih baik, kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Allah masih lagi mengelakkan diri dari musibah. Alhamdulillah.

Itu masalah yang biasa dihadapi guru Sains dan guru Kemahiran Hidup di sekolah, terutama yang mengajar di kelas-kelas hujung. Guru- guru kena punya mata dan telinga di hadapan dan di belakang kepalanya.. Macam alien lah pulak kan.


*seronok juga bersunyi di makmal tanpa pelajar, menanda buku-buku dan menaip dalam blog sendiri

~cikgunormah@klcitizen~
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 11, 2011

idaman di hati

Hari Jumaat penghulu segala hari. Keberkatannya terserlah di setiap hati seluruh insan. Saya pasti. Tidak kira siapa, hinggakan ada juga bidalan dalam bahasa Inggeris yang menyuarakan seronoknya dengan kedatangan hari Jumaat .... Thank God its Friday!


Hati tidak seronok boleh jadi atas banyak sebab. Menginginkan suatu perkara dan tidak dapat memenuhi hasrat hati boleh juga menyebabkan hati tidak seronok.


Semuanya di kepala.... beritahu rakan guru pagi tadi, sewaktu sedang berhenti rehat dan makan di kantin. Orangnya sentiasa positif dalam tindakan kerana saya pasti fikirannya sentiasa positif. Ada rasa kagum pada peribadinya menyelinap halus dalam hati saya. Kematangannya terserlah dari pengalamannya yang jauh lebih lama dari saya.


Akak memang belum lagi dapat membeli Airbus yang akak teringin. Kapal selam yang diidam pun orang lain dah beli dulu.... tapi janganlah sebab itu kita asyik berfikir-fikir dan tertanya-tanya kenapa kita masih tidak dapat memilikinya, sedang orang lain boleh dapat... perlahan dia membutirkan katanya.

Hahaha, saya tertawa, begitu juga rakan-rakan sebelah yang mendengar.


Kita dok pikir kenapa orang lain ada Mercedes, sedang kita tak ada. Lengan orang lain bersinar dengan berlian dan emas putih mengerlip, dan kita sedih sebab kita tak mampu. Sebenarnya semua di kepala, walau tudung kita berharga rm15 beli di pasar malam , kalau kita fikir kita masih cantik dan bergaya tentu kita bahagia.


Saya tersenyum. Teringat handbag yang menjadi idaman dan entah bila berpeluang memilikinya... Ah....jangan dok pikir. Positif! Positif!


* balik nanti nak polish je la handbag saya ni.... :(

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 10, 2011

pendekata

Pendekata.

Sewaktu di sekolah rendah dalam usia 11 dan 12 saya mula membaca akhbar secara serius. Arwah abah hanya melanggan suratkhabar Utusan sahaja. Minat membaca pada waktu itu sangat besar tetapi bahan bacaan di rumah tidak banyak kerana saya faham gaji seorang mata-mata waktu itu hanya seciput. Jadi, bagi memenuhi nafsu membaca, saya sering membaca akhbar hari yang sama berulang-ulang.

Cumanya yang menjadi musykil pada saya ialah perkataan pendekata. Dalam hati dan fikiran tika itu, siapalah si pendek yang berkata bagi berita yang sedang dibaca. Tetapi tetap saya baca berita tersebut tanpa bertanya pada siapa pun kemusykilan saya itu.

Yang terbayang dalam fikiran saya ialah arwah Ibrahim Pendek. Waktu itu arwah masih lagi aktif berlakon dan berlawak. Saya fikir mungkin beliaulah yang berkata dan kata-katanyalah yang dipetik dalam akhbar.

Sejak bila saya mula faham dengan istilah pendekata itu pun saya tidak ingat. Saya tahu dan faham sendiri saya kira, ....bila mana dan bagaimana ia diguna pakai dalam penulisan.

Semalam sambil berjalan-jalan di blog rakan-rakan, terbaca satu artikel di blog Intelektual Organik tentang Bahasa Eeeewww dan menonton video Anwar Hadi. Asalnya malas hendak menonton video tersebut tetapi, klik juga sebab cuma 3 minit sahaja dari masa saya yang boleh saya bazirkan... Tapi... rupanya bagus juga video tersebut. Ada sisi kreatif dan kebenaran tentang bahasa sms dan facebook yang ditaip oleh anak-anak muda sekarang yang perlu direnung semula. 

Bukan.... bukan tentang isu carut mencarut, itu bab lain. Ini isu ejaan yang di over kan. 

Contoh : kita  menjadi kitew, itu  menjadi iteww....

Jika ada masa cubalah menonton video ringkas ini... best juga.



atau klik di sini

 ~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, February 9, 2011

bergelak dan digelakkan

Sebelum menaip ini tadi idea datang mencurah dan seolah kepala hendak meledak minta segera dihamburkan dalam blog.

Tapi malangnya idea tetiba hilang pula bila mengadap lappy ini. Teringat tentang Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang ke mana perginya mesti kelihatan mencatat sesuatu dalam buku nota kecilnya. Iltizam dan istiqamahnya itu membuah hasil dengan deretan hasil karyanya yang terbukti gah dan berkesan. Bilalah agaknya saya boleh menjadi seperti beliau? Orang kata, orang yang bijak tidak panjang angan-angannya.  Jadi, saya tidaklah mahu berangan-angan, tetapi cuba menjadi yang terbaik buat hari ini.

"Awak tahu...?" 

Mengapalah saya mesti memulakan ayat dengan awak tahu?

"Berkat sebenarnya memandang wajah guru semasa guru mengajar. Itu adab tu...." 

Sempat lagi menjadi ustazah tidak bertauliah dalam kelas siang tadi. Walau saya asyik bising takut tidak dapat menghabiskan sukatan pelajaran dan mahu mengajar secepat yang boleh, masih lagi berupaya membuang masa memberi tazkirah pendek dalam kelas. 

Geram sebenarnya melihat budak-budak ini dok bercakap entah apa di hadapan saya semasa saya mengajar. Itu kepantangan semua guru tu, bukan saya seorang sahaja. 

Diam semuanya. 

Kalau dah diam sangat, menjadi kepantangan saya juga. Serba salahlah pulak dibuatnya. Macam mengajar dinding batu lah pulak.

"Saya dah puas bercantik hari ini, jadi pandanglah saya semasa saya mengajar. Tau..."

Diam lagi. Masam.
Ish... memang pantang saya mengajar budak-budak yang masam, kalau berbau masam tak pelah lagi, tapi kalau bermuka masam memang saya hendak mengajar pun tak ada mood.

"Dan... hormatlah cikgu awak masa dia mengajar...."

Saya mengambil nafas untuk menyambung ayat...

"Kalau ......dia buat lawak, walau pun .....lawak bodoh, gelaklah untuk dia, bukan gelakkan dia..... Ada paham?"

Ha.... dah tersenyum masing-masing. Tergelak kecil. Tak taulah diorang ni gelak sebab lawak ke atau sedang menggelakkan saya...


*semakin lama mengajar semakin faham saya dengan isi kandungan yang saya ajar. budak-budak ni saya tak taulah....faham ke tidak. :)


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 8, 2011

tukang cuci kaunter

Alhamdulillah, hari yang panas .

Dan hari ini banyak waktu senggang saya di sekolah belah petang. Walau panasnya menggigit di luar tapi kudrat tidak banyak diguna hari ini.

Sedang mengemas barang hendak balik, saya mencari bahan yang hendak difotostat di luar sekolah, dikirim oleh rakan. Cikgu yang memesan, meminta tolong sebelumnya, telah siap mengikat dengan getah, menulis bilangan yang perlu difotostat dan nombor telefonnya untuk makluman tauke kedai fotostat.

Terima kasih ya, Normah. 

Terbayang lagi muka cikgu tersebut yang tersenyum lega, mengalihkan beban menghantar untuk fotostat pada saya. Sebenarnya bukan beban berat mana pun.

Ok...sama-sama.

Tapi.... mana saya letakkan bahan tersebut. Hati berdegup kencang, takut hilang pulak. Memang saya sudah punya banyak sejarah menghilangkan bahan-bahan kertas sepertinya.

Aduii... mampuslah kali ni. 
Kenapa? 

Sebab saya tahu cikgu tersebut tidak punya sebarang salinan backup bagi bahan yang dikirimnya pada saya itu.

Fauziah...nampak tak kak Normah pegang soalan nak fotostat tadi, letak kat mana?

Jiran sebelah juga menjadi mangsa soalan yang saya sudah tahu jawapannya. Membuang air liur je bertanya padanya, tapi kerana hendak melepaskan ketegangan hati, terpaksa juga diluahkan.

Aduii.... mana nak cari ya? Berfikir-fikir, tak mungkin di makmal sebab rasanya berlenggang kangkung ke sana, juga semasa ke surau mengawal budak lelaki solat dan semasa menyinggah di kantin untuk membasahkan tekak yang kering.

Ah... tawakkal je lah... harap-harap terjumpa di tengah jalan nak ke punch card nanti. 

Dalam perjalanan ke pintu keluar, lebih kurang 30 kaki dari meja , ternampak bahan tersebut di kaunter pintu masuk bilik guru. Ah.... leganya. 

Rupanya, semasa hendak ke surau, sempat menyinggah di kaunter tersebut, mata jadi serabut melihat kaunter tersebut bersepah-sepah, lalu dengan rajin tanpa disuruh, saya  menjadi tukang cuci kaunter sebentar, mengemas. Bahan yang dipegang diletak di sebelah. Selesai mengemas terus berlenggang kangkung pergi ke surau budak-budak lelaki mengawasi mereka solat zohor.

Itulah, kalau tak sibuk mengajar, sibuk jadi jaga solat dan tukang cuci kaunter pula.....

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, February 7, 2011

Janganlah....

Duduknya paling depan dalam makmal. Budaknya kecil molek, separas pinggang saya. Baru dalam Ting. 1.  Kelas yang paling hujung sekali. Biasalah tu, cikgu taiko macam saya, memang selayaknya mengajar di kelas hujung tidak kira Ting 1 atau Ting 5.

Hah.... mana buku modul awak Iwan? Jerkah saya, buat-buat garang yang memang sedikit pun tidak menakutkan budak-budak ini.

Dia diam. Mengalihkan tempat duduknya lebih dekat dengan rakan sebelah, cuba berkongsi buku modul yang saya maksudkan.

"Dia tak bayar yuran modul lagi..."  Ada pulak tukang sampuk di meja sebelah. Buku modul Sains berharga RM5 untuk Ting 1 dibayar pada awal pendaftaran, termasuk dalam pakej koperasi sekolah.

Saya buat muka. 

Lantas meneruskan pengajaran. Malas hendak membebel. Lagi pun bukan dalam kuasa si Iwan untuk membayar, kalau nak dibebel pun pada emak bapanya lah kan.

Pengajaran waktu pertama terpaksa dihentikan kerana memberi laluan solat zohor dan rehat. Sekembali rehat, saya meneruskan lagi aktiviti kelas, menganggar luas tapak tangan masing-masing. Budak-budak Ting 1, itulah yang disukanya, membanding tapak tangan siapa yang paling luas.

Loceng seterusnya berbunyi menandakan waktu saya tamat.  Saya perhatikan Iwan masam kelat hendak meninggalkan kelas. Rasa kesian pula.

"Ha...Iwan, kenapa?"
"Dia lapar cikgu..."

"Eh, baru rehat tadi, kenapa tak makan?" Iwan bangun perlahan hendak ke pintu.
"Iwan...mari sini." Pelajar lain yang bukan bernama Iwan pun turut sibuk sama mengelilingi saya.

"Kenapa awak tak makan?"
"Emak tak bagi duit belanja..."
"Kenapa?"
"Emak suruh mintak ngan ayah. Ayah yang hantar sekolah tadi...."
"Pastu...?"
"Ayah tanya, emak ada bagi duit tak. Saya kata tak de.... pas tu ayah terus je pegi. Bingung punya ayah... Baik cerai je..."

"Ha...?" Saya pandang muka Iwan, kawan-kawan nya yang lain sedikit pun tak terkejut. Saya pulak yang lebih terkejut.

"Betullah cikgu, mak saya nak cerai dah.... ayah tu buat hal..." Adeii... Iwan meluah perasaan geram.

"Mmmm.... awak gi beli roti kat kantin. Air awak minum water cooler." Saya hulur duit seringgit.  Sedikit sangat, saya tahu.... Tapi di depan rakan-rakannya saya tidak mahu nampak saya sangat pilih kasih, cukuplah sekadar mengalas perut Iwan.

Iwan memandang duit tersebut teragak-agak. Ada sedikit rasa malu terlukis di wajahnya.

"Din...ambikkan, Din..." suara Iwan pada rakannya yang paling dekat dengan saya ...perlahan.
"Teman aku gi beli ya....."


*mengorbankan anak kerana selisih faham antara kita suami isteri....? janganlah begitu...

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, February 6, 2011

tak payahlah....cancel!


Berdua-duaan dengan emak dalam kereta memang best. Sebab emak kaki berborak, tidak seperti saya yang menurun sifat aruah ayah, lebih banyak diam mendengar. Cuma sekali sekala menyampuk dan bertanya itu ini dengan emak.

Perjalanan sejam setengah ke hospital menjadi pendek dan tak terasa, walau suasana di luar masih gelap pagi selepas subuh.

"Kaki emak camana? "

Tanya saya setelah berbagai topik dibawa berbincang hinggalah reformasi di Mesir pun emak turut memaklumkan pada saya.

"Bolehlah," jawab emak.  
"Tidaklah berdenyut seperti dulu, cuma kalau duduk tergantung lama kaki ni, lenguhlah sikit."

"Mak kena cuba berbekamlah kut."


Cadang saya, cumanya dalam kepala bilalah agaknya waktu yang sesuai untuk membawa emak nanti. 

"Ha ..ah. Cik Wati kamu ngan Paman Mi ada juga berbekam. Katanya ringan badan lepas berbekam tu."

Mak membetulkan duduknya. Nampak macam ada benda menarik hendak disambung lagi. Saya hanya memandang dari ekor mata sahaja, tapi tumpuan masih di jalan raya.

"Eh... Makcik Midah yang datang rumah emak  semalam pun ada berbekam juga...." Saya menunggu sambungan ayatnya yang tergantung.

"Dia kata dia datang bulan,.. lepas berbekam. Padahal dia tu dah putus haid dah..." 

Ha?

"Ya... dia tu kan janda..."    Emak pun janda juga, bisik hati kecil saya.
"Lepas berbekam tu, tak lama lepas tu datang haid semula. Jadi anak dara baliklah tu..."

Hahaha... saya dan emak tergelak. Tapi dalam hati saya ........., mak tak payah gi bekamlah .
Cancel.


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, February 5, 2011

monyok

Monyok.

Situasi apa yang menyebabkan seseorang menjadi monyok? Ikut orang dan ikut keadaan kan. Tapi rata-ratanya adalah disebabkan apa yang dihajat di hati tidak difahami dan tidak dapat dipenuhi oleh orang lain.

Tapi masalah yang paling besar saya kira ialah bukan orang yang sedang monyok tu.

Masalahnya ialah orang paling rapat dengan si monyok. Kalau si monyok jenis yang meluahkan perasaan dan memberitahu apa yang terbuku di dada... masalah boleh juga dikurangkan. Tapi kalau si monyok masam mencuka dengan bibir panjang sedepa dan mengharapkan orang lain tahu apa yang sedang berlegar dalam fikirannya persis tok nujum paling handal dalam dunia memang payahlah jawabnya.

Memang tiada siapa yang dapat menerka apa yang tersimpan dalam dada. Sedangkan diri sendiri pun kadang sukar menerka tindakan sendiri. Dan faktor monyok menambahkan lagi sukar dan getirnya keadaan.

Namun begitu... saya tahu ramai yang tahu monyok hanya dituju pada orang tertentu. Monyok kita bukan untuk semua, kan. Hanya orang-orang terpilih sahaja anugerah monyok akan diberikan.

Mmm ... hidup ini memang penuh dugaan. Dan monyok adalah salah satu darinya...


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, February 4, 2011

tengok bulu

Salah satu sebab dari banyak sebab kenapa saya suka berada di kampung ialah dapat mendengar kokok ayam. Memang selayaknya drama Melayu yang bersuasana kampung, pasti ada suara kokok ayam sekali sekala menerjah dalam skrip.

Bukankah salah satu waktu yang Allah akan memakbulkan doa hambaNya ialah sewaktu ayam sedang berkokok. Perasan tak kalau di waktu siang ayam berkokok ikut waktu masuk masa solat. Saya sajakah yang berperasaan begitu... entahlah.

"Ayam mak tinggal dua ekor saja, itu pun yang hitam dua-dua. Yang lain habis mati aritu."

Mak melapor lagi pada saya masa kami sedang bersarapan bihun goreng yang dimasak oleh adik ipar. Bilanya aritu tu... entahlah, saya malas nak tanya. Hanya mendengar saja emak berceloteh di pagi hari

"Ayam si Wak Kortal tu pun habis mati aritu. Dia jual semua yang tinggal, mak minta ayam jantan dia sebab ayam jantan emak dah mati. Tinggal yang hitam tu je, dua ekor."

Eh? Bukan mak dah beritau saya ayam dia yang tinggal dua ekor, warna hitam? Dia ulang lagi ayat yang sama pada saya. Agaknya sebab saya tidak memberi reaksi atas musibahnya maka pengulangan ayat dilakukan oleh emak, dengan tujuan sebagai ayat penegasan.

"Mak tak suka betul ayam hitam dua ekor tu. Tapi yang itu lah yang tinggal. "

Kenapa mak tak suka ayam hitam dua ekor tu? Itu respon saya. Sebenarnya saya tidak tahu hendak memberi respons yang lebih bijak dari itu.

"Sebab hitam tulah mak tak suka... Alih-alih, semua yang lain mati tinggal yang hitam tu je..."

Dalam hati saya ... wah, racist juga mak saya ni...

"Tu la mak rasa Tuhan nak tunjuk kat mak... jangan tengok warna bulu pada ayam..... Semuanya sama je dagingnya ..." Mak membuat kesimpulan sendiri di pagi hari waktu sedang bersarapan dengan saya.

:)

Iyolah mak .....

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, February 3, 2011

berita dari alam kubur.....

Tahu tak Pakcik X dah meninggal kelmarin?

Seperti biasa emak membuat laporan bila saya balik ke kampong, mengemas kini rekod pengetahuan yang patut disimpan dalam fail di kepala.

Innalillahiwa inna ilaihi rojiun..

Ya , apa lagi ucapan yang selayaknya buat menyambut berita kematian. Dan apakah soalan yang paling lazim yang akan terkeluar dari bibir? 

Meninggal sakit apa, emak?

Terjatuh..

Kat mana?

Dekat jalan besar depan rumah kita ni lah, naik motor, agaknya pitam kut, terjatuh ... tak sedar diri lalu dibawa ke hospital oleh adik awak tu yang memang sedang berniaga di kedainya tak jauh dari situ.

Senang je ya matinya... sahut saya.

Habislah sudah kisahnya di dunia ini, dan bermulalah kisah barunya yang tidak dapat kita jangkau dengan deria kita yang terhad ini....

Seperti yang saya baca dalam buku terkini yang baru sahaja selesai saya khatamkan.. Have a little faith oleh Mitch Albom, semasa upacara pengebumian Rabbi nya, ahli kariah synagogue mereka telah diperdengarkan rakaman kata-kata terakhir Rabbi mereka. Dalam kata terakhirnya itu Rabbi tersebut menjawab 2 persoalan yang selalu ditanya padanya.

Satu: Adakah beliau percaya pada kewujudan Tuhan? Jawabnya ... ya.

Dua: Adakah kehidupan selepas kematian? Jawabnya .... " My answer here too is yes, there is something. But friends , I'm sorry.Now that I know, I can't even tell you !"


Setiap dari kita akan punya kisah kematian yang tersendiri dan perjalanan yang seterusnya hanya kita juga yang akan tahu dan tidak akan dapat kita rakamkan walau dengan cara apa pun.


Walau pun di masa hidup kita ini, ada antara kita yang ingin merakam dan mewarwarkan pada semua setiap butir pejalanan hidup kita agar menjadi kenangan dan ingatan, tapi seepas dari noktah hembusan nafas terakhir, tiada upaya untuk kita berbuat demikian .

Takut? Pasti ... ketakutan lahir kerana jalan yang terbentang seterusnya adalah jalan yang tidak pasti. Terlebih lagi bagi diri seperti saya yang hidup penuh lingkaran dosa melilit badan ....


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, February 1, 2011

mabuk asmara

Bersiaran dari Batu Laut , Banting sekali lagi. Cuti panjang begini apa lagi kalau tidak pergi melancong, baiklah pulang menziarah emak di kampong.

Skeptik.

Ragu-ragu atau ada rasa unsur tidak mempercayai.

Bila ada orang mendakwa susu kambing serbuk tidak berbau, sedap dan manis tanpa perlu ditambah gula, saya menjadi orang yang bersifat 'skeptical'. Seperti kata Puan Kate, sahabat saya di sekolah, apa sahaja yang berkait dengan kambing memang tidak dapat diterima dek hati dan perasaan. Alahai.... kesian si kambing yang tidak punya dosa pun kan.

Begitu jugalah dengan saya. Saya bukan penggemar daging kambing. Katalah apa saja tentang kesedapan daging kambing, tekak saya memang tidak dapat menelan daging si kambing.

Jadi apabila orang memberi saranan supaya mengambil susu kambing untuk mengurangkan gastrik yg saya alami,saya memang bersifat 'skeptical'. Perkara pertama yang membuat hati ragu-ragu ialah bau susu tersebut. Selalu yang akan terlintas dalam fikiran saya ialah hamis baunya.

Walau pun saya tahu Baginda Rasulullah memang mengambil susu dan daging kambing dalam menu Baginda, dan apa yang menjadi perbuatannya sunnah sebagai umat Islam untuk menurutinya, saya masih tetap tidak ' berkenan' dengan si kambing.


Namun, kehendak Allah mengatasi kehendak manusia. Gastrik yang teruk dan berpanjangan membuatkan saya tiada arah dan sanggup mencuba susu kambing segera sebagai ikhtiar. Dan ibarat jalan cerita Hindustan yang kita tahu hujung kesudahannya, kini susu kambing menjadi menu utama dalam sarapan pagi dan makan malam .

Kenapa ya entri saya berbau seperti entri promo susu kambing segera?

Maafkan saya ... sedikit pun tidak berniat begitu. Menulis kan biasanya terhasil dari jalan fikir yang berlari-lari dalm diri.

Sebenarnya, hati jadi resah dan gelisah, kerana tergesa-gesa keluar rumah untuk pulang ke kampung pagi tadi, saya tertinggal bekalan susu kambing saya... Ahh... srperti orang mabuk asmara pula jadinya terbayangkan susu kambing saya ..


*cubaan pertama setelah sekian lama, mencuba susu lembu hari ini di rumah emak , sangat menghampakan.... memang susu kambing segera tetap di hatiku

~cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...