Wednesday, November 30, 2011

saya memang tak suka mazidulakmal






Saya memang tidak suka pada Mazidul Akmal.

Takkan tak kenal, En Mazidul Akmal itu. Sangat sinonim dengan TV3 terutama rancangan 999 dahulu. Orangnya punya suara lemak merdu, sesuai bekerja sebagai hos rancangan TV.


Tidak suka, tidak bermakna benci. Benci itu mendalam maksudnya. Tidak suka pula hanya bersifat superficial , dari segi luaran sahaja. 

Kenapa tidak suka?

Ha, ha, ha, kerana dia bukan 'taste' saya. Macamlah saya ni bagus sangat kan. :) uwekks, tolong, tolong  jangan muntah di sini ...

Kalau dia adalah kategori 'taste' saya, payah jugakkan. Nanti siang malam terbayang, termimpi si Mazidul Akmal seorang. Kan payah.

Tapi, saya suka kerjaya beliau dan apa yang ingin dibawanya kali ini. Membaca entri beliau kali ini , Busuk itu Lali bagi Mereka, wah , hati tersentuh.

Saya kongsikan sedikit foto yang menyentuh hati itu di sini. Kisah gelandangan yang menjadikan laluan dan kawasan pejalan kaki, tempat tidur mereka.





Dalam 4 hari lagi , Mazidul dan rakan-rakannya akan mengagihkan bantal dan sleeping bag percuma kepada mereka yang tidak mampu ini. Jangan salah faham.

Rupanya , ada antara mereka yang menjadi gelandangan ini punya pekerjaan sendiri , tetapi wang yang ada tidak mencukupi untuk menyewa bilik atau rumah, dan setengahnya pula terpaksa bermalam di tepi jalan atas alasan-alasan tersendiri.

Berminat untuk membantu? Sila ke laman web Mazidul, di Bersama Mazidul: Perkongsian Hitam Putih.





Saya menyokong usahanya, dan cuba menyebar usaha baik ini.

Dalam masa yang sama, saya terpanggil untuk menyuarakan kemusykilan saya tentang fungsi sebuah masjid sebagai tempat untuk yang tidak bernasib baik seperti mereka ini. Waktu 3 saat inilah , terbayang masjid yang dibangunkan oleh Rasulullah sebagai pusat segala aktiviti. Tidak berkunci. Terbuka untuk sesiapa sahaja.

Wajarkah masjid kita membuka, menyedia ruang dan membantu insan-insan ini?

Wallahualam.



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 29, 2011

pakai sopan pun salah?

Imej diri.

Pentingkah?

Ada yang merasakan , dalaman itu lebih utama dari luaran. Jangan tertipu dengan yang di luar, mungkin dalamnya busuk berulat. Yang segak di luar tidak bermakna, dalamnya juga tampan menawan.

Tetapi, bukankah apa yang berada di dalam itu akan terpancar juga ke luar nantinya? Terutama yang difikir di minda, pasti akan tercerna juga dalam tingkah laku dan tutur kata. Pandang mata juga boleh kita beza, yang galak atau yang sopan beradab.

Jernihkan hati, insyaAllah, ikhlas itu akan terserlah tanpa perlu disingkap , pesan Dr Muhaya, ikon yang saya minati sungguh.

Bila berkumpulan dalam organisasi pula, bagaimana? Imej organisasi itu sendiri dilihat dari imej ahli-ahlinya, kan.

Ya, Allah. Kenapa awak pakai macam ni ?

Ada masa lagi 20 minit sebelum pelajar-pelajar  ini naik ke dalam kelas peperiksaan. Kertas Chemistry paper 1 SPM 2011 akan bermula lagi setengah jam. Terasa hendak pengsan memerhati pelajar harapan ini.

Syaratnya kan berpakaian sopan , cikgu. Saya kan pakai sopan lah ni.

Pelajar - pelajar lain kelihatan segak berpakaian lengkap sekolah, siap bertali leher bagai, tetapi si putera ini berpakaian baju T hitam dan berseluar sukan hitam , hendak mengambil peperiksaan sebentar lagi. Ini bukan peperiksaan pendidikan jasmani , sayang oii.

Saya sudah berpeluh.

Cikgu, relaks cikgu. Cikgu tarik nafas panjang-panjang.

Adui. 

Dia pulak yang suruh saya bertenang. Sedangkan nanti , jika dia yang ditegur Ketua Pengawas , emosinya yang akan terganggu dan saya risau sungguh jika konsentrasinya kacau bilau.

Saya teringatkan seorang bekas pengetua saya dulu, yang menampar pelajar lelaki yang tidak memakai tali leher semasa peperiksaan, akibat tidak mematuhi peraturan sekolah. Peraturan tetap peraturan selagi ia tidak melanggar sunnah dan syariat. Jika semua orang bisa saja melanggar peraturan sesuka hati, pasti kucar kacir organisasi dan huru hara.

Kenapa lah awak pilih hari ini untuk berpakaian macam ni?

Ala... saya malas nak gosok baju cikgu.

Peraturan sekolah kan sebut, berpakaian lengkap, tapi tidak disebut perlu digosok. Gosok tak penting, tapi berpakaian lengkap itu yang penting. Peraturan SPM itu bersifat umum untuk semua pelajar sekolah DAN pelajar persendirian. Sebab itu ditulis berpakaian sopan sahaja. Tau!

Dia hanya tersengih. 

gambar hiasan si putera


Jom!

*jadi driverlah pulak pepagi selasa ini  , tunggu 'tokey' tukar baju sekolah...

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 28, 2011

buat benda tak baik






Kali pertama.

Kali pertama bercinta, memang best, kan. Kali pertama putus cinta pula? Memang sedih. Kali pertama berkahwin? Wah , memanglah bahagia. Tapi, kahwin ni, saya rasa, kali pertama ke,  kali ke dua ke, atau kali ke berapa pun, memanglah bahagia kut.

Entah. Tak pernah rasa lagi kahwin kali ke dua atau ketiga. Harap-harap tidaklah, kan.

Kali pertama dapat memandu kereta, wah, memang seronoknya tidak terkata. Kalau boleh hendak mengofferkan diri pada sesiapa sahaja yang perlukan driver percuma. Bila dah berbelas tahun memandu? Emm, faham-faham sajalah kan.

Dalam banyak benda tak elok yang saya buat, ada satu benda tak elok yang pertama kali saya buat dan hendak diberitahu dalam entri ini. Ada kena mengena dengan isu di sini.

Amoi, amoi, mali sini.

Saya pandang papan tanda kedai tersebut. Eh, silap orang ke, nyonya di kaunter itu?  Saya pandang lagi, tangannya melambai-lambai ke arah saya , meminta saya pergi dekat padanya di dalam kedai 'keramat' tersebut.

Ish. Mana boleh. Haram!

Benda tak elok, sudah jelas halal haramnya, takkan sebuta itu nyonya ini. Tidak nampakkah tudung di kepala saya? 

itu, kedai 'keramat' berwarna kuning  yang cuba merealisasikan impian ramai manusia

Nyonya itu melambai lagi ke arah saya. Saya ingatkan, tempat letak kereta di hadapan kedainya itu sudah direserve untuk dia. Ah, malas, buat pekak telinga dan buat bodoh sahajalah. Saya berjalan ke hadapan, cuba untuk tidak peduli.

Amoi! Amoi! Nanti lu kena saman. Ini, ambil ini...

Saya terhenti bila mendengar perkataan kena saman. Oh, ya, baru teringat, ini kawasan Majlis Bandaraya Melaka, dan tempat meletak kenderaan ini dikenakan bayaran setiap jam. Dan memang saya tidak tahu di mana hendak mendapatkan kupon tersebut.

Umpan si nyonya hampir mengena. Tangannya melambai-lambai dengan kertas kupon letak kereta pula. Ah, Persetan segala.

Kali pertama melangkah kaki memasuki kedai menjual nombor ekor dan berurusan di kaunternya.  Membeli kupon letak kereta.

harga sekeping 60 sen ya, tetapi saya sungguh 'bertuah' membayarnya dengan harga 80 sen di kaunter kedai nombor ekor

Keluar dari kedai, sepasang pasangan Melayu memandang saya dengan ekor mata jijik. 

:)

Ah, nama baik saya tercemar!!

*macam le semua orang kenal, kan, dan nasib baik tidak ada papparazzi mengambil gambar wanita bertudung membeli nombor ekor..*

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 27, 2011

jadi kurang upaya bila si dia beralih kasih

Kebergantungan.

Dependant.

Menjadi manusia mestilah bersifat independant bukan bersifat dependant. Ciri manusia yang berkualiti adalah bersifat tidak bergantung pada manusia lain. Sememangnya kan. Pada kita manusia yang terlalu bergantung pada manusia lain itu bersifat lemah.

Tapi, bukankah kita ini memang tabiinya bersifat lemah?

Dan, walau pun kita tahu kita ini lemah, kita tetap tidak mahu dikait dengan sebarang keadaan yang menampakkan kelemahan kita itu. Bila nampak si buta bertongkat dipimpin oleh seseorang melepasi kita, dalam senyap kita berdoa, janganlah hendaknya musibah itu terkena pada kita. Bila melihat seseorang dalam kerusi rodanya, kita berdoa lagi, janganlah nanti kita jadi seperti itu.


The problem, of course, is that whether or not you're disabled right now, you're on your way to joining our ranks. Disability-rights activists call the nondisabled "temporarily abled". With aging, inevitably, comes the loss of physical and often mental abilities. The process usually begins around age forty when we buy our first pair of reading glasses. Then by fifty, some of our memory starts to go. We all move toward a part of our lives when we're going to be more dependant.

And here's a bit reassurance. You'll get over it.

How do I know that?

Because that's what we human do. We get over things. Even things that seem like our own worst nightmares.


- Daniel Gottlieb: Learning from the Heart , pg 84 - 85.

Satu hari nanti, kelemahan kita itu akan jadi ketara. Dan sifat kebergantungan kita akan dinampakkan. Sekuat mana kita, sebebas mana pun kita dari manusia lain, satu hari nanti, hidup kita perlu juga pada mereka.

Disabled Newspaper

Dan kita akan jadi manusia kurang upaya.

Sebelum dari itu berlaku, janganlah hendaknya kita menjadi manusia obses dan pesimis pada manusia yang kita sayang hari ini. Seolah kewujudan kita akan lupus jika si dia itu beralih kasih dan beralih arah.

Salam 1 Muharram 1433 Hijrah

*tanpa cermin mata ini, masih bisakah melihat dengan jelas dan terang segala salah dan silap?

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 25, 2011

asyik penat je, apa citer?

Kali ini membaca buku Eat, Pray, Love pula. Penulis wanita yang mengalami fasa-fasa gelap dalam hidupnya dan menelusuri perjalanan hidupnya dalam usaha mencari peningkatan sisi spiritual beliau.

It's also important to read the newspaper every day to see how the pope is doing. Here in Rome, the pope's health is recorded daily in the newspaper, very much like the weather, or the TV schedule. Today the pope is tired. Yesterday the pope is less tired than he is today. Tomorrow, we expect that the pope will not be quite so tired as he was today - Elizabeth Gilbert : eat, pray, love . pg 39
Patah hati dalam rumah tangga dan kisah putus cintanya, membuka pintu baru dalam kehidupan. Orang bilang, tertutup satu pintu dalam kehidupan, memberi peluang kita masuki hidup kita dari pintu yang berbeza. Selagi nafas masih bisa dihirup dan dihela, selagi itu peluang untuk bahagia sentiasa ada.

Mahu atau tidak sahaja bagi kita menelan pahit untuk sembuh dari penyakit.


Mengembara.

Bersendirian.

Secebis kisahnya di Rome, menarik hati saya. Benarkah? Kesihatan paderi besar mereka dicatat setiap hari dalam suratkhabar.

Kagum.

Kerana ulama besar kita pun kerap kita tidak kenal siapa....

* salam Jumaat


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 24, 2011

menyalaklah kamu....

Menganjing.

Wujudkah perkataan tersebut?
Hendak menyemak di kamus online DBP, tapi ada masalah dalam talian. Jadi , tulis sahajalah, sebab saya juga biasa menggunakan perkataan ini.

Biasa tengok anjing menyalak , kan. Kalau anjing menyalak bukit, itu simpulan bahasa Melayu . Si bukit tetap megah tertegak tanpa tercuit sedikit pun, tetapi si anjing terusan menyalak hingga serak suara. Kerja sia-sia.

Masalahnya ialah si bukit tidak punya telinga.  Jadi, salakan si anjing memang tidak dapat didengar.

Kalau menjadi manusia seperti si bukit? Bagaimana?

Hendak juga bersikap demikian, pada situasi tertentu. Saya selalu mengamati, insan-insan yang berilmu dan berkarisma, ada ciri-ciri si bukit. Biarlah apa yang dikata atau dijaja oleh manusia lain, tetap , jika pendiriannya itu dirasa benar berdasar keilmuan yang dimiliki , insan-insan ini hanya akan berdiam dan menjawab bila perlu.

dog & horse


Bersikap responsif, bukan reaktif.
Menjadi manusia reaktif, bersifat tegang dan stress. Pantang mendengar orang menidakkan dirinya atau memperlekehkan dia, segera bingkas bangun, dan menyalak sama. Saya suka dengan analogi dalam tulisan ini Sayang, Abang sudah jatuh cinta sama....

Mari kita menjadi manusia responsif.

Kata hina, caci maki dan ugutan tetap kita pekakkan....

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 23, 2011

jadikan diri lebih menawan






Ada harimau bintang dalam rumah. 

Dua ekor, dok berlegar.

Cemas. Sapalah yang tak akan cemas. Harimau bintang tu, wei....

Bila kelip mata balik, rupanya harimau cuma dalam mimpi. Mimpi di siang hari. Janganlah dok percaya. Teridur semula selepas subuh, ingatkan hanya hendak berbaring-baring, rupanya terlajak.

Terlajak perahu boleh berundur. Terlajak masa?

dailychilli
Dah pernah tengok gambar di atas?

Ceritanya kalau hendak tahu, klik lah link di bawah tu. Orang yang sama tapi punya dua wajah berbeza sebelum dan selepas pembedahan.

Kuasa Allah. Tidak ada yang dapat menentukan. 

Apa yang buruk, sebenarnya boleh diubah. 

Bukan.

Bukanlah maksud saya mengubah penampilan muka kita yang sedia ada sekarang . Itu dah dilarang sebenarnya. Tetapi, keadaan buruk dalam hidup kita.

Kalau kita hendak bahagia, berilah kebahagiaan pada orang lain. Jika hendakkan tenang, berilah ketenangan pada orang lain.

For every action, there is an equal and opposite reaction

Hukum newton kan sebenarnya tu. Tapi , kita kenal ia sebagai sunnatullah.

Dua tiga hari ini asyik mengasak telinga saya dengan ceramah motivasi Dr Muhaya. Jadi , diri pun terpanggil untuk lebih bermotivasi. 

Jadilah manusia ekspot, sentiasa memberi. Dan orang yang memberi ini biasanya punya jiwa yang penuh melimpah. 

Janganlah asyik menjadi manusia impot , hanya berfikir bagaimana mahu menerima sahaja secara percuma. Segala benda free hendak direbutnya. Kalau nak tengok manusia impot ni, tengok cara makan semasa kenduri kendara atau semasa majlis makan secara buffet. Itu pesan Dr Muhaya.

Jom, ...kita jadi manusia ekspot hari ini. Mulakan dengan senyuman dan berbaik sangka. :)

Selamat bercuti buat yang bercuti, dan selamat bekerja bagi yang tidak bercuti.

~cikgunormah@klcitizen~









Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 22, 2011

perangai yang tak sanggup...

Perangai.

Boleh kah diubah?

Boleh. Kalau ada kemahuan. Tidak ada apa yang mustahil.

Kisah semalam sahaja sudah menjadi bukti. Bagaimana harimau membaham si garuda, sedangkan garuda itu sifatnya sendiri terbang tinggi, sentiasa merasa selamat dan merasa hebat dalam jajahannya.

malaysia zoom

Ada banyak nilai yang boleh kita tulis dan bicarakan dari kisah yang telah terjadi. Dari banyak sudut sebenarnya, bergantung dari sudut mana posisi anda, kan. 

Cuma satu yang ingin saya sentuh.

Kesatuan dalam keterujaan .

Tanpa mengira apa, siapa dan apa pegangan anda, kesatuan boleh dicapai, walau hanya untuk beberapa jam itu. Indah. Dan indah itu meresap dalam setiap jiwa, terasa bangga dan jati diri itu sendiri bingkas bangun dalam setiap dari kita pastinya.

Manis , kan.

Tetapi, perangai yang satu ini payah hendak saya ubah.

Memasak . 

Setakat masak untuk makan tengahari, pagi, malam , saya masih sanggup lagi. Tapi kalau diminta membuat cup cake, cookies dan sewaktu dengannya.... alahai. Minat itu sungguh, tidak hadir. Suruhlah saya membaca , menulis atau melukis, saya sanggup. Tapi membancuh, membakar dan menghias kek? Adui... 

Nasib baiklah saya ni sudah berkahwin. Kalau tidak, memanglah kan. Alasan terbaik bagi bakal mertua untuk cancel.

Kenapa, tiba-tiba bercakap pasal cupcake ni?  Rupanya, ada aktiviti underground  oleh rakan di sekolah, berkumpul dan belajar membuat cupcake dan cookies dengan salah seorang masterchef yang tercicir dari pertandingan. *jangan marah*

masterchef yang buat kerja nampaknya

hasil tangan diorang. setakat tengok dalam gambar je le :)

*Lain kali , kalau buat aktiviti, calling-calling le. Setakat jadi tukang sibuk bolehle jugak . Tak pe. Tak kecik hati pun, sungguh, lillah. Hihihi. 

Tahniah kepada yang berjaya hari ini. Atas kejayaan apa pun, yang baik, semestinya. :)

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 21, 2011

kisah dalam kain

Isnin yang indah di hati sebab bercuti rasmi dan bergaji.

Nikmat.

Nikmat.

Jadi, saya punya banyak peluang yang sudah lama hilang dari rutin harian , iaitu menziarahi blog rakan-rakan. Ada, rupanya yang sudah lama tidak saya terjah dan sudah berubah wajah .

Perkara biasa. Bukan luar biasa.

Hidup sentiasa perlu ada peningkatan. Bukan setakat umur atau lipatan kedut dan timbangan lemak sahaja yang meningkat , tetapi kematangan diri dan pandangan, yang boleh dilihat dari gaya menulis juga bertambah. Alhamdulillah.

Sebenarnya , bila membaca blog rakan-rakan, bukan sangat saya hendak tahu kisah di dalam kainnya, tetapi yang lebih menarik adalah pandang fikirnya terhadap situasi , suasana atau berita. Pandangan hidup manusia berbeza dan sentiasa dinamik, ia tidak statik, dan kepelbagaian warna dalam pendapat memang perlu kita raikan dengan bersyarat.

Syaratnya, ia tidak melanggar syariat dan menggoncang akidah serta beradab.

Bukannya susah mana pun.

Ada beberapa tajuk yang hampir sama maksud tersirat yang menarik perhatian saya iaitu Cermin Diri Sendiri dan Jangan dibicarakan rumput di halaman orang, di halaman sendiri sampai ke kaki tangga . Melihat tajuk sahaja kita sudah seolah faham apa yang cuba dibawa bicara. Kedua-duanya membawa metafora tersendiri, dan kelihatan indah sungguh bahasa yang diguna.

Itu kebijaksanaan penulis, yang sudah bertahun menulis. Penulisan sebegini memang sedap untuk dibaca dan diulang ziarah.

Membicara kisah orang lain.
Kisah siapa?

Ah, sesiapa sahaja asalkan dia itu adalah orang. Terkena batang hidung saya sendiri ke? Mengakulah, nak buat macamana. Bukannya hendak mendabik dada. Tetapi hendak memuhasabah diri. Setiap kali tahun baru muncul, setiap kali itu tersemat azam tidak ingin berkisah hal orang lain.

Jealous puffin

Bukankah acap kali saya katakan, hidup saya ini berlilit dosa. Dan takutnya nanti, menyangka diri ini baik dan pahala kantung sudah penuh, rupanya di tempat yang kekal nanti mengadap Ilahi, menjadi si muflis yang menyesal tak sudah.

Bila duduk bersendirian di rumah ini, mulalah azam itu kembali mengetuk dinding hati.

* hendak menjadi manusia wajib , manusia ekspot dan bukan manusia haram atau manusia impot , seperti kata Dr Muhaya: Jenis-jenis orang

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 20, 2011

sebab dah terlanjur

Hebat. 

Menjadi manusia hebat. 

Impian semua. 

Impian tetap impian. Kerana memang sudah kita semua tahu, manusia dibekalkan dengan segala kekurangan dan manusia yang maksum serta sempurna dan sangat hebat itu telah lama wafat meninggalkan kita.

Tetapi menjadi manusia yang bernilai , mungkin kita boleh capai. Kerana, ia tidak mustahil. Bukan tidak ada manusia yang tidak bernilai di sekeliling kita. Kurang nilai kemanusiaan itu sendiri, tetapi terisi dengan nilai kehaiwanan.



Manusia yang bersalah dan kembali ke jalanNya serta menyesali dan bertaubat itu lebih baik.

Siapakah yang tidak melakukan dosa?

Adakah dosa-dosa kita itu akan menjamin tempat kita di neraka dan terhapus peluang untuk kita ke syurga? Saya bukan ahli agama yang bisa menjawab persoalan itu.

Tetapi, bukankah kita acap kali mendengar kisah seorang pelacur yang punya hati yang ikhlas membantu seekor anjing - yang secara lahiriahnya di mata kita adalah makhluk yang hina- itu Allah janjikan  beliau tempat di syurga? Ikhlas hatinya membantu atas dasar kemanusiaan yang terselit.

Syurga atau neraka bukanlah urusan kita sebenarnya.

Tetapi menjernihkan hati hanya kerana pengabdian kepada Ilahi adalah tanggung jawab kita. Dan saya pun jadi takut. Kerana hati itu sentiasa berbolak-balik.
Akhirnya aku hanya milikMu
Dalam hidupku kini
Dan akhirnyalah hanya tentang diriMu
Yang menyakini setiap langkahku

Setelah aku menafikanMu
Setelah aku meninggalkanMu
Ya Tuhanku ampuni segala dosaku
Tunjukkan ku jalan kembali untukMu - Doa yang terlupakan : Ungu

* sebab dah terlanjur mengupdate entri ini,  sudahkah anda baca tentang khasiat Janggut Lelaki ? di sini....

Tetiba, kan :)

Salam petang minggu

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 19, 2011

and they wanted to know how to make love...






Ulat buku.

Suka membaca buku.

Ulat bulu.

Suka mengusik.

Ulat tiket?

Suka makan tiket?

Entahlah. Itu kena cari sendiri. Takkan nak kena beritahu semua kan.

Tiba-tiba teringat pada simpulan bahasa kita orang Melayu. Sebab, sekembali dari kedai buku, melihat harga buku di negara kita ini memang mahal belaka. Kalau jenis macam saya, gaji seciput, tapi berkeinginan besar membaca buku kepunyaan sendiri kerana kepuasan itu lebih lagi terasa, memanglah sempit sedikit.

Saya kira harga buku di negara jiran terdekat di hujung selatan kita lebih murah. Ish, janganlah buat tukaran matawang tu. Memanglah mahal kalau dinilai dengan duit kita. Tapi, kalau kita adalah penduduk negara tersebut, bekerja dan hidup mati di situ, buku paperback yang sama seperti di sini berharga lebih kurang 17 dolar Singapore sahaja. Sedangkan kalau kita adalah penduduk negara Malaysia bekerja dan hidup mati di Malaysia, buku paperback yang sama seperti di sana berharga lebih kurang 30-39 ringgit Malaysia. Ha... tak ke banyak bezanya tu.

Dah .... , pegi le jadi rakyat sana!!

Bukan begitu.Ini masih tanah tumpah darah ku . :) Bukan tidak bersyukur hidup di negara bertuah ini. Tapi , cuma agak musykil sahaja. Itu ajelah. :)

Sambil itu hendak berkongsi buku yang baru saya mula baca. Bukunya nipis sahaja. Tertarik membacanya kerana tertarik dengan penulisnya. Beliau mengalami quadriplegia, kelumpuhan dari bahagian leher ke bawah akibat kemalangan pada tahun 1979 dan sekarang merupakan seorang kaunselor serta penulis. Bukunya berkisar tentang pengalaman dan pandangannya tentang kemanusiaan.

 Ada satu kisah yang menarik  dalam buku tersebut.
...., and the experience of treating them ( a pair of couples) simultaneously taught me a lesson I have never forgotten. Both couples were dealing with quadriplegia. The first couple  was in their early twenties and recently married. The young man had been studying to become a state trooper when he was in a car accident and became quadriplegic. They were devastated. The man became bitter; his young wife became severely depressed. The relationship broke up.

That same year, I worked with a couple in their sixties who had been married nearly forty years. The husband was driving a construction truck that turned over, and he broke his neck. As it happened, the fracture was in exactly the same place as the younger's man, so their quadriplegia was identical.

My therapy with the older couple  took just a few sessions. They wanted to know how to make love. The woman wanted to know if it was okay to leave her husband alone when she went grocery shopping. She talked about feeling guilty when she went out to the movies with her friends. We discussed some of the practical steps they would have to take to deal with his quadriplegia.

And that was all.

To the older couple, the accident was an event in their lives. It didn't change who they were and how much they loved each other. To the younger couple, the husband's quadriplegia shattered their lives. Both couples dealing with the same physical challenges, but quadriplegia meant something vastly different to each of them.

We don't say that one couple is strong and the other is weak. We can't even say that one of the couples is more resilient. The different is in the size and shape of the "I". For the older couple, like most people blessed with wisdom, the "I" is smaller and softer. And the accident is just an event. - Learning from The Heart : Daniel Gottlieb, pg 16-18.

Bahagian penutup tu, yang saya suka sekali. Nak translate malas lah pulak . Minta maaf banyak.

Kebijaksanaan berhadapan ujian dalam hidup. Saya kira itu inti pati yang ingin disampai. Ujian sebesar mana pun, jika kita boleh melihatnya dengan cara yang positif, ia akan menyemarakkan lagi hidup dengan keindahan. Dan kebijaksanaan itu biasanya terlahir dari kematangan kita yang terkumpul dari pengalaman hidup bertahun.


Ha, ini bukunya.

Harga RM 30.50. Bagi saya mahallah juga, sebab bukunya nipis saja.

Itu baru satu cerita dari tulisannya. Buku ini menghimpunkan kisah-kisah tauladanlah dilihat dari kaca mata dan perspektif penulis sebagai orang yang punya pelbagai upaya ini.

*selamat bercuti dan bersantai semua. Alhamdulillah sedang hujan di luar tingkap rumah.

:)

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 18, 2011

sedih yang berbekas



Bermula tadi petang, secara rasminya, sesi persekolahan 2011 tamat. 

Yip, yip, hooray!

Melebih-lebih pulak cikgu tua ni ya.

Teringat dulu-dulu , masa bersekolah rendah di SK Marian Convent , Ipoh.  Bila loceng besar waktu akhir ditarik oleh kerani pejabat, Ding, Dong, Ding, Dong pada hari terakhir bersekolah untuk tahun tersebut, kami akan berlari keluar melompat-lompat kesukaan. Dan esoknya, pasti keluar di dada akhbar Utusan Malaysia, gambar pelajar-pelajar sekolah melompat kesukaan bercuti.

ambik kat sini

Itu tahun-tahun 70an  dulu.

Dan, saya sentiasa rasa tidak adil, gambar saya dan rakan-rakan tidak pernah terpampang di dada akhbar, walau pun saya kira, lompatan kesukaan kami sangat hebat waktu itu.

Sebenarnya, bercuti ini pun, bukan bercuti sepenuhnya. Ada kerja-kerja yang masih perlu dibereskan di sekolah. Cuma, yang bestnya ialah kerja itu tidak terkongkong pada waktu di punch-card.

Doakan untuk saya....

Dan suaranya terputus dek sedu-sedan yang ditahan. Tidak terkeluar. Tersekat di celah tenggoroknya. Bahunya turun naik menahan esak tangis.

Berpelukan.  Erat. Dan rakan lain yang berada di sebelah pun merah matanya, menahan sedih.

Bila sudah tua begini, cuti sekolah juga menandakan ada rakan yang akan berpisah jauh dan mungkin tidak akan bertemu lagi . Dalam usia yang bersisa ini , rasanya lebih kerap lagi mengucap selamat berpisah dan mendoakan rakan-rakan yang telah lama bersama di sekolah.

Sedih.

Kerana di usia sebeginilah baru kita dapat menilai sebuah persahabatan . Barulah kita dapat merasa jujur dan ikhlas dalam sebuah ikatan . Barulah lebih bijak mengenal sahabat  dan kenalan itu bagaimana sifatnya. Dan dalam usia inilah rasa sedih itu lebih berbekas.

Buat sahabat-sahabat yang akan berpindah, Lin, Kak Faridah, Hanes, Syakirah, Kak Ana dan Kak Bedah, doa saya mengiringi kalian. Moga Allah permudahkan segala yang terbaik buat anda semua.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 17, 2011

ngauman si belang bergegar dan mengalahkan si Garuda yang terbang bersama sayapnya yang koyak

Apakah yang saya syukurkan pada hari ini?

Buatlah jurnal kesyukuran untuk 1 minggu. 3 kesyukuran berlainan bagi setiap hari. Pasti kita akan fokus pada semua yang positif dalam hidup kita sendiri. Dan secara langsung kita akan menarik semua yang positif di sekeliling kita; rakan, keluarga, rezeki dsb ~ Dr Muhaya : Audio Ketenangan Dalam Kehidupan  , 25:55 .

Jadi apakah yang saya syukurkan hari ini?

Kerja-kerja di sekolah saya hampir beres. Sebelum cuti ini, perkara utama yang saya perlu lengkapkan ialah Fail Panitia saya. Alhamdulillah, Allah mudahkan. Walau pun pada mulanya terasa begitu banyak yang perlu dilengkapkan, rupanya , tidak sebanyak mana yang saya risaukan.

Itu satu.

Yang keduanya.

Saya tidak sakit kepala semasa duduk di meja saya sepanjang hari di sekolah. Sakit kepala , memang agak rutin bagi saya, terutama bila duduk di kawasan meja saya yang semak samun ibarat belukar. Agaknya, kerana meja saya sudah lapang, dibersihkan, sakit kepala itu pun tidak menghinggap. Alhamdulillah.

Kereta saya berkeadaan baik, sihat dan sejahtera. Walau pun tadi petang, mengekori sebuah kereta dari belakang yang pemandunya teragak-agak hendak berhenti di tepi jalan atau meneruskan perjalanan tanpa sebarang lampu isyarat diberikan, mengakibatkan hampir-hampir sahaja kereta saya bergesel dengan keretanya. Alhamdulillah , Allah jauhkan musibah dari saya.

Itu tiga syukur saya pada hari ini.

Esok, kita tengok apa syukur saya yang lain pula.

Jom, kita buat jurnal kesyukuran kita dan ajak rakan lain turut serta. :)

*manusia yang disayangi Allah ialah manusia yang sering memberi manafaat buat orang lain.

**Rupanya ngauman si belang bergegar dan mengalahkan si Garuda yang terbang bersama sayapnya yang koyak . Tahniah untuk pemain Harimau Malaya!!





Tetibe, kan!!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 16, 2011

kahwin paksa, senyum paksa dan rela dalam paksa tetap tak best


Paksa.

Terpaksa.

Kena Paksa.

Semuanya membawa konotasi yang negatif dan tidak digemari. Tidak ada satu orang manusia pun yang suka dan rela dirinya dipaksa untuk membuat apa pun. Pasti ada terselit rasa berontak dalam diri jika kejadian paksa dan memaksa ini berlaku ke atas dirinya.

Cikgu, cikgu-cikgu semua dibenarkan balik awal hari ini.

Kami saling berpandangan .  Penyampai pesanan berdiri di muka pintu bilik guru, tersenyum lebar, bangga. Seolah kata putus, boleh balik awal atau lewat itu sebenarnya datang dari kuasa dan upayanya sebagai ketua di sekolah. Padahal, dia hanya penyampai atau messenger.

Ala... kenapa dia suruh balik awal pulak? Kerja tengah berlambak ni. Dia suruh kita balik awal pulak. Eee... stress, stress.

Situasi jadi lucu pula bagi saya. Beberapa orang guru nampak resah, kerana dipaksa balik awal, sedang kerja di atas meja belum susut lagi. Fail peribadi anak-anak murid masih bergelimpangan mohon dibereskan segera.

Mah, dia orang di belakang tu, masih tak nak balik lagi tu.

Sahabat yang selalu menjadi ahli sukarela menutup suis lampu dan alat penghawa dingin itu bersuara pada saya sambil tangannya tetap menekan alat kawalan penghawa dingin. Suis lampu di bahagaian depan bilik guru sudah mula padam. Dan cikgu-cikgu di belakang itu makin resah.

Dipaksa dan terpaksa merelakan,  bukanlah situasi yang menyeronokkan. Dalam keadaan apa pun, kan, kawan-kawan.

Walau pun dari segi kelaziman, balik awal adalah sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan.

Tidak mengapa.

Ada lagi dua hari untuk membereskan segala kerja yang belum beres, sebelum kita pasang sayap untuk terbang bebas :)

*Senyum paksa :]

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, November 15, 2011

bukan sudah ku kata begitu...?

Satu perkara yang menarik dan mengujakan. 

Bukan. 

Bukan tentang gambar budak perempuan bertudung yang kelihatan menunjukkan "si kembar" di dadanya. Aish... langsung tak menarik, tetapi menjelikkan.

Tetapi, tentang artikel ini;  M'sians working more and carrying home more work . 
I have a dear friend who works in a rather high position in a multinational who told me that whenever she was at headquarters in Europe, she is reminded that no one is allowed to work beyond office hours unless a written request is submitted.
“They shut down the office after 5 so you had better have a strong case to want the lights and air-conditioner on,” she said.
Saya punya seorang rakan yang bekerja di peringkat yang agak tinggi di sebuah syarikat multinasional, yang memberitahu saya bahawa bila sahaja dia berada di ibu pejabat syarikat tersebut di Eropah, dia akan diingatkan bahawa tiada sesiapa pun dibenarkan bekerja melebihi waktu pejabat melainkan permohonan bertulis untuk berbuat demikian diminta terlebih dahulu. 

"Mereka akan menutup pejabat selepas pukul 5, jadi anda perlu punya alasan yang cukup kuat jika mahukan lampu dan alat penghawa dingin dipasang selepas waktu itu," katanya.
~ Soo Ewe Jin

Saya kira di sana, iaitu di over the sea, ialah membuat kerja bersungguh pada waktu yang ditetapkan. Ini yang dinamakan produktiviti.

Kualiti kerja.

Kerja dalam masa yang singkat tetapi kerja yang bermakna. Tidak guna juga menghabiskan masa 10 jam di tempat kerja, tetapi tetap hasilnya ialah hasil last minute.

Tidak mengata orang lain. Ini sedang memukul dulang, terpercik air ke muka sendiri. Eh, betul ke peribahasa ini ya. Ya, saya juga ada perangai-perangai masuk kerja ikut waktu, balik kerja di luar waktu, tetapi , kerja tetap hampas. :(
ACCORDING to a global survey by Regus, Malaysians are not only clocking more hours at work but bringing their office load back home as well.
Mengikut kajian global oleh Regus, penduduk Malaysia bukan sahaja bekerja lebih waktu tetapi turut membawa balik beban kerja dari pejabat juga.

Dari tulisan artikel tersebut yang bersumber dari kajian global, seramai 47% dari kita-kita ni, yang membawa balik kerja , lebih 3 kali dalam masa seminggu berbanding 43% rakyat dunia. Dan, 15% dari kita ini yang bekerja lebih 11 jam sehari, berbanding 10% rakyat dunia.

Wah... siapa yang kata rakyat Malaysia ni malas? Siapa?

Dah terang lagi bersuluh kan. Memang kita ni rajin lah, kan. Saya pun termasuklah juga tu. :) Dan saya mengaku punya ramai rakan-rakan yang rajin-rajin belaka seperti saya. Hahaha, tak nak mengalah jugak kan.

Tetapi, ada kesan tidak baiknya dari sifat kita yang terlebih rajin ini.

“The long-term effects of such over-work could be damaging to both workers’ health and overall productivity. This is because workers may drive themselves too hard and become disaffected, depressed and even physically ill.”

Kesan jangka panjang akibat kerja berlebihan boleh memberi kesan tidak baik kepada kesihatan pekerja dan produktiviti. Ini kerana pekerja tersebut memaksa diri untuk bekerja dan boleh menyebabkan murung dan sakit fizikal.

Ha... sekarang saya sudah tahu kenapa saya murung. :)

Depressed


Jadi , kengkawan sekalian, pencen pada usia 60 memang tak patut, dan bekerja di hari Sabtu serta overtime memang tak wajar.

Setuju??

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, November 14, 2011

daun selasih dimakan kuda

Hujung tahun dalam kalendar persekolahan adalah waktu yang sibuk. Sama sibuknya semasa awal persekolahan juga.

Lebih kepada sudut perkeranian, sebenarnya.

Beruntunglah kepada yang tidak terlibat dalam pengawasan SPM atau STPM tetapi punya kerja perkeranian menggunung. Masa inilah masa-masa kecemasan untuk memastikan cuti panjang nanti boleh  berlibur dengan hati senang.

Tetapi, bukan semua yang bernasib baik begitu. Bagi yang dipertanggungjawab dengan kerja-kerja pengawasan, tetapi dalam masa yang sama, kerja-kerja 'perkeraniannya' masih belum sudah, memang di minggu awal cuti sekolahlah terpaksa menyudahkan apa yang belum sudah, kan.

Ada lagi sibuk yang lain.

Sibuk dengan urusan pindah-memindah dan naik pangkat.

Rezeki.

Permohonan berpindah yang diluluskan , itu rezeki namanya, begitu juga naik pangkat. Rezeki juga.

Tahun ini, perpisahan begitu kerap di sekolah saya nampaknya. Kali ini, 7 orang guru yang terlibat.

Ini saja gambar-gambar yang ada dalam simpanan saya.  Antara yang berezeki murah tahun ini;

Cik Nurazlin

Pn Faridah

Pn Nurul Syakirah dan Pn Zanariah

Saya dan Puan Rohana... err tapi saya tak berpindah. Hanya Pn Rohana :)


Tahniah buat guru-guru ini. Doa saya moga kalian dilimpahkan kebahagiaan dunia akhirat dan dimudahkan segala urusan yang baik di tempat baru.




Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan;
Intai kami sementara nampak, esok jangan rindu-rinduan.

*baru tau rupanya, daun selasih dimakan kuda, bila menonton video lagu gurindam ini :)

Salam sayang...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, November 13, 2011

tak tidur malam mengenangkan mu


Cikgu, ada nombor telefon sharudin?

Sharudin mana?


Eh, tertinggal la pulak cikgunya...Cikgu Shahrudin.

Tak ada. Kenapa?

Ala... saya belum minta maaf lagi dengan dia.


Balas-membalas sms pagi tadi dengan anak murid.

Kes last minute  lah ni, kan. Tiba-tiba teringat pula pada cikgu Bahasa Malaysia di sekolah, di pagi Ahad yang ceria.

Memang ceria, kan Ahad hari ini. Tak tahulah saya di tempat lain. Tetapi, kain di ampaian saya semuanya , alhamdulillah kering belaka. Setelah semalam basah dan sejuk menguasai suasana.


Debaran berkala setiap tahun.

SPM bukan segalanya, bagi kita yang sudah melepasi. Tetapi bagi anak-anak ini yang baru hendak memulakan langkah sendiri selepas ini, SPM adalah kayu pengukur, bakal meletakkan mereka pada tempat tertentu di mata orang sekeliling.

Tenangkan resah mu, anak-anak sekelian.

Worry heart

Malam ini seperti ada tanda-tanda hujan akan mendodoikan anak-anak ini dan kita-kita  yang sewaktu tempatnya dengan saya.

Alhamdulillah juga.

Malam jadi enak untuk melepaskan lelah dan menenangkan resah .

Buat anak-anak yang akan menduduki SPM esok, saya doakan segalanya menjadi mudah buat anda. Serahkan segalanya di tangan Allah, setelah segala usaha dan lelah menjadi bayang anda hampir dua tahun ini.

Tawakkal sahaja tanpa melunasi kewajipan sebagai Muslim dan anak soleh memang tidak tepat. Jadikan hari ini, malam ini sebagai hari baru buat yang telah lama leka.

Good luck and all the best.

~cikgunormah@klcitizen~ 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, November 12, 2011

i thought i was ugly







Flies are smelly,
They smell like poo,
I thought I was ugly,
Until I met you!     - pantun omputih dari sahabat Insan Terbaik

Hampir hujung tahun. Dan cuaca kembali basah. Seharian suasana sejuk, kerana mentari mengalah kali ini.

Dan seharian juga menjadi ular sawa di rumah. Berlingkar. :)

Nikmat sungguh.

Lewat petang, acara mencari makan. Saya jarang sekali menulis entri tentang mencari makan. Yang ada rasanya pun hanya entri Poket Terbakar Makan Ikan Bakar.  

Kenapa?

Entah.

Saya tidak gemar mengambil gambar foto makanan dan dipamer di blog sendiri. Lebih baik bagi saya mengambil gambar foto rakan atau saudara mara. Lebih berbaloi kut. Tapi, ini pendapat peribadi. Masing-masing punya hobi, tetap tak salah.

Acara mencari makan lewat petang itu disertai ipar duai. Ha, ini pun satu hal juga kan. Jarang saya bercerita tentang ipar duai. Tetiba malam ini pulak.
Kenapa?

Entah.

Selepas makan, sempat pula anak-anak saudara menyambut hari lahir emak mereka, iaitu biras saya. Masih cun dan anggun walau sudah digelar Tuk Ummi, dan punya dua cucu.

Tuk Ummi dan Auni serta Shaheem

Ini adalah antara idola saya. Kerana sifat tenang, warak dan baik hatinya. Biras sulung. Setelah mengenalinya hampir 20 tahun, tetap , saya memilihnya sebagai wanita anggun. Tabik spring buat Kak Ah. :)

Saya sisipkan sedikit foto buat kenangan. :)

cucu saudara dan anak-anak saudara yang comel


auni kesukaan

kakak ipar

acara potong kek, si shaheem merajuk tak dapat didukung oleh tuk ummi

ibu mertuaku

anak-anak saudara dan harith

suapan dari abang long buat isteri


Oh ya, lupa nak beritahu apa kaitan pantun omputih tu dengan entri. Sebenarnya tempat makan ini banyak betul lalat, masa tengah makan, tapi ..., sesudah habis makan, lalat pun hilang.

Semasa tengah makan itu teringat pulak pantun omputih tu.  Hehehe. Jadi, sebagai tanda persahabatan buat Insan Terbaik itu, pantun omputih ini diberi penghormatan sebagai pembuka entri saya.

Salam Malam Minggu  semua.

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

mimpi ngeri dan realiti yang pahit

Meanwhile, Deputy Education Minister Datuk Dr Wee Ka Siong said teachers should not be blamed for accidents. - The Star Online

Kisah tragis.

Kejadian bersebab tayar bas pecah.

“There were two drivers on board. Initial investigations showed that the driver at the wheel lost control of the bus after one of the front tyres burst. - Four Die In Tragic Crash

4 insan yang pasti akan diingati selamanya oleh orang yang tersayang. Kemalangan maut di Tanjong Malim, Perak, melibatkan pelajar-pelajar SMK Air Merah, Kedah, seorang guru dan seorang Ketua Wanita Umno cawangan Kampong Alor Teja.

Inilah sebenarnya mimpi ngeri bagi mana-mana guru.

Membawa pelajar berombongan , lawatan sambil belajar, ke pertandingan atau ke mana sahaja, tidak kira berapa ramai pun, hatta, membawa seorang pelajar keluar atas urusan sekolah pun , pasti berdebar-debar. Resah dan kecut perut.

Apa pun memang boleh berlaku.

Pelajar tertinggallah, barang pelajar hilanglah, lambat sampai dari masa yang ditetapkan dalam suratlah, memang sering terjadi dan pernah terjadi. Walau pun, beberapa langkah keselamatan memang diambil oleh guru-guru yang terlibat.

Mengurus sebuah rombongan memang payah. Bukan kerja mudah. Apatah lagi mengurus anak-anak orang lain ini. Bermacam kerenah akan kita jumpa.


Dan saya tetap kagum dengan guru-guru yang diamanahkan atas tanggungjawab ini. Cekal dan komited, itu ciri yang mereka ada pastinya.


Buat yang telah pergi ini, kita panjatkan doa, moga roh mereka ditempatkan bersama insan soleh dan moga keluarga yang ditinggalkan dimudahkan hidup mereka dunia akhirat dan tabah menghadapi ujian besar ini. Ameen.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, November 11, 2011

memang aku mengaku, sering melupakanmu

ku menatap dalam kelam
tiada yang bisa ku lihat
selain hanya nama-Mu
Ya Allah

esok ataukah nanti
ampuni semua salahku
lindungi aku dari segala fitnah

kau tempatku meminta
kau beriku bahagia
jadikan aku selamanya hamba-Mu yang slalu bertakwa

ampuniku Ya Allah
yang sering melupakan-Mu
saat Kau limpahkan karunia-Mu

dalam sunyi aku bersujud




Ampuni aku Ya, Allah...

*mood melayan lagu*

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, November 10, 2011

jangan ingat awak ni hebat sangat ya..





Selagi bernama manusia, tetap silap dan salah tidak akan terhapus dari kamus perjalanan hidup.

Saya pun begitu.

Saya kan akak, saya cuba ikut cakap akak. Saya memang nak buat. Tapi ini bukan kerja seorang. Salah orang lain, saya yang menanggung malu. Saya memang stress, marah dan malu. Semua orang memandang saya rendah , sejak dulu lagi. Masa sekolah lagi. Saya dah cuba buat yang terbaik. 

Matanya basah. Pipinya pun basah. Kulitnya yang licin tanpa parut saya renung.

Bersalah.

Rasa itu menyelinap perlahan dalam hati saya. Kata-katanya menampar hati saya. Kerana ada masa, pandangan yang dilempar kepadanya seperti yang dikata. Bukan berniat begitu. Tetapi ego manusia itu masih menebal dalam diri.

Bagaimana memohon maaf padanya?

Saya malu pada dia. Pada diri saya juga.

Sudahlah. Saya percaya, rancangan Allah besar buat awak. Ingin menjadikan awak manusia hebat. Kerana itu ujian begini terjadi. Supaya hati awak kuat dan tabah. Kental dan tidak goyah semangat walau satu dunia memandang rendah pada awak. Ambil yang positif.

Tidak terkeluar juga kata maaf itu dari saya.

 
Ish... normah, normah. Apa nak jadi?



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, November 9, 2011

saya memang suka kat awak, tapi ...

Cemburu.

Itu memang fitrah. Cemburu menjalar dalam hati biasanya terhadap orang yang kita sayang. Kalau pada orang yang kita benci, itu lebih kepada iri hati atau dengki.

Yakah?

Entahlah. Teori sendiri sebenarnya.

Saya memang tak ada apa-apa dengan dia, cikgu.

Oh.. Bukan ke dia ni yang ada minat kat orang lain tu?

Saya hanya memancing pertanyaan. Sudah berbelas tahun mengadap pelajar, sudah tahu kilas mata dan suara budak-budak ini.

Muka dia berubah.

Ala... Cikgu. Ni, yang buat saya hilang semangat nak belajar ni. Ala... Saya nak baliklah. Kenapa cikgu cakap macam tu.

Saya tergelak besar.

Rakan yang ikut sama kelas tambahan ini, buat muka selamba. Kerana orangnya memang selamba.

Eh, tadi awak kata awak tak ada apa-apa dengan dia tu. Bila saya cakap macam tu, terus awak touching ni, kenapa? Rupanya awak ada hati dengan dia ya.

Mukanya merah. Rahsia yang dia simpan sendiri agaknya, bakal diketahui saya.

Memanglah saya ada hati kat dia. Tapi , saya takutlah nak beritahu. Ini bukan cinta pandang pertama. Lepas saya rapat dengan dia, baru saya rasa ada hati ngan dia. Saya takut kalau saya beritahu nanti, dia tak nak tegur saya pulak.

Dia ni takut mengambil risiko, cikgu.

Kawan yang dari tadi menyelambakan diri bersuara.

Ah, engkau pun samalah.

Saya tergelak lebih kuat. Memerhati gelagat anak-anak ini yang sudah mula belajar menaruh kasih dan minat pada kaum yang berlawanan jantina.

jealousy

Nasib baik  jantina yang berbeza. Itu memang fitrah. Waktu-waktu usia manis 17 ini memang masa untuk mengeksplorasi abstraknya perasaan.

Menyimpan rasa dan meluahkan rasa, itu dua dunia yang berbeza, dan memang keberanian perlu ada menemani. Berani menyatakan dan berani menghadapi situasi yang segala mungkin boleh terjadi. 

Tetapi, apa pun, buat anak-anak ini, keutamaan dalam hidup perlu jelas. Dan syariat agama perlu dilunasi dan diperhalusi. Langkah yang panjang dan penting dalam hidup, memilih pasangan perlu dimulakan dengan jalan yang betul dan diredhai Allah. InsyaAllah, hidup terpelihara di dunia hingga akhir nanti, ya.

SPM lagi 4 hari... yeay !!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...