Friday, April 30, 2010

harapan bukan pada sesiapa

bila kita mengharapkan sesuatu pertolongan tenaga dan kebolehan dari kawan, kiranya ia tidak dapat dipenuhi, sedikit perasaan kita akan tercalar.


lebih lagi kalau kita memang sebenarnya tidak ingin menyusahkan rakan kita itu. tetapi disebabkan keterpaksaan dan ketidak upayaan , maka ditebalkan muka juga memohon pertolongan.


seterusnya, bagaimana kita boleh berhadapan dengan beliau lagi tanpa sedikit pun rasa sesal dan sedih di atas tindakannya itu? bagaimana boleh kita berlaku seperti sedia kala di hadapannya?

kita akan bekerja dengannya bukan setakat hari itu sahaja, tetapi akan terusan bekerja bersamanya dalam satu pejabat/ bilik. dan setiap hari akan bertemu dengannya, kan. jadi, rasa kecil hati dan terasa tidak boleh terusan melekat dalam hati.

mungkin beberapa cara ini boleh membantu:

1. jangan menjaja cerita tersebut kepada orang lain. kerana hati orang lain kita tidak tahu. mungkin berita tersebut akan disalah guna oleh orang lain, dan keadaan akan menjadi lebih parah.

2. telan rasa pahit tersebut, dan senyum bila berhadapan dengannya. walau pun perkara ini amat pahit dan sukar. senyum, walau pun kita rasa senyum itu terlalu kelat. kerana, lama-lama ia kan menjadi manis semula.

3. tegur seperti biasa anda menegur. walau pun mungkin kita rasa agak janggal, lawan perasaan tersebut. kerana sebenarnya kita akan menjadi lebih professional, bukan emosional.

masalah hati bukan masalah kecil dan main-main. kita dan rakan kita hanyalah manusia biasa yang tidak sunyi dari salah dan silap.

mungkin dengan penolakan tersebut, Allah sedang mendidik diri kita supaya tidak terlalu menggantung harapan pada manusia. kerana manusia memang tidak sempurna. kita hanya berharap padaNya, dan pasti Dia akan menunjuk jalan keluar pada masalah kita.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 29, 2010

Nama Bayi Perempuan

Saya kira masalah yang dihadapi oleh pasangan yang bakal menimang cahaya mata ialah masalah menamakan bayi perempuan atau bayi lelaki mereka.

Memang menjadi kewajipan ibu dan bapa menamakan bayi perempuan atau bayi lelaki mereka dengan nama-nama yang baik-baik.

Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda r.a bahawa Rasululullah saw pernah bersabda:

Maksudnya ,"Sesungguhnya pada hari kiamt kelak, manusia akan
dipanggil mengadap Allah SWT dengan nama masing-masing dan
nama bapa masing-masing (sepertimana nama di dunia). Oleh itu,
pilihlah nama yang baik-baik untuk kamu sekelian."


Saya dapati pelajar-pelajar zaman kini mempunyai nama-nama yang bagus-bagus, contohnya Nur Izzati, Sakinah, Mawaddah, Daniel, Ainina dsb. Pastinya nama-nama tersebut membawa makna yang baik-baik .




Dan pastinya juga ibu bapa yang menamakan anak-anak dengan nama yang baik-baik mengharapkan agar maksud nama-nama tersebut bisa tercerna dalam akhlak dan kehidupan anak-anaknya.


Apa yang saya musykilkan ialah pemberian nama-nama anak-anak perempuan atau nama anak lelaki yang terlalu panjang. Contohnya Muhammad Haziq Haikal atau Nurul Intan Humaira, Ini sekadar contoh sahaja. Tiada yang melibatkan orang-orang yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia, ya.


Saya kira agak menyusahkan juga menulis nama yang panjang-panjang ni.


Bila rakan-rakan memanggil pun biasanya hanya dipanggil menggunakan nama singkatan sahaja. Maksud nama yang baik-baik tersebut pun hilang lenyap entah ke mana. Namun begitu pemberian nama ini hak individu, kan. Ikut suka ibu bapanya lah ya. Ini sekadar pandangan saya sahaja.


Dalam sibuk-sibuk mencari nama , Dato' Ismail Kamus ada berpesan dalam bukunya "Indahnya hidup bersyariat", iaitu nama-nama yang dilarang digunakan kepada bayi-bayi perempuan dan bayi-bayi lelaki kita, contohnya:


1. Nama-nama buruk yang menjadi cemuhan Masyarakat dan menjatuhkan maruah anak seperti : Sariq(pencuri), Ashiah (ahli maksiat), Kilab (anjing-anjing) , Jahil (bodoh)

2. Nama-nama yang khusus kepada Allah sahaja seperti Ahad (satu)

3. Nama-nama yang tidak membawa faedah seperti Malikul Amlak (maharaja daripada segala raja), Aflah (dapat kemenangan) Yasar (pihak kiri)

4. Nama-nama dengan sebutan Abd (Hamba) yang dikaitkan dengan sesuatu selain Allah contohnya Abdul Uzza, Abdul Kaabah dan Abdul Fulus (hamba wang).


Jadi, ibu dan bapa di luar sana berhati-hatilah memilih nama untuk anak-anak kita nanti.



*sedih gak sebab nama saya NORMAH tidak membawa maksud dalam bahasa Arab. dalam bahasa lain tak taulah pulak ya. Kalau ada, harap-harapnya maksudnya yang baik2lah, contohnya- si bijak atau yang comel atau si rajin ... contohnya lah kan.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 28, 2010

2050, gaya hidup baru.


*Perangkaan terbaru menunjukkan umat Islam dunia kini berjumlah 1.6 billion atau seorang daripada empat penduduk dunia menganut Islam.

*Jumlah orang Islam di Jerman lebih ramai berbanding di Lebanon. China memiliki lebih ramai umat Islam berbanding Syria, manakala Rusia pula dihuni lebih ramai orang Islam berbanding Jordan dan Libya.

*(petikan dari Milenia Muslim April 2010- Ruangan Meja Editor)



Saya kira ini tidaklah memeranjatkan sangat, kerana ramai yang sudah maklum. Walau pun mungkin kita di sini khuatir dengan fenomena murtad di kalangan anak-anak muda kita, masyarakat Eropah di sana juga khuatir dengan kecenderungan masyarakatnya memilih Islam sebagai anutan agama.


Pada tahun 2050 Eropah diramal akan bertukar menjadi benua Islam dan bakal menguasai keseluruhan komposisi penduduk dunia. Ini yang ditakuti oleh ramai masyarakat dunia, kerana imej Islam yang sentiasa dikaitkan dengan perkataan Jihad ,terrorist, merejam manusia dengan batu, menggantung golongan homoseksual dan sebagainya. (Boleh baca artikel lengkapnya di sini)


kalau 2050, bermaksud lebih kurang 40 tahun lagi... masa tu umur saya insyaAllah 84 tahun. entah hidup lagi atau tidak. wallahualam. kalau hidup pun, saya berdoa saya tidak menyusahkan sesiapa dan kesihatan saya baik juga.


berbalik kepada isu Islam menguasai dunia itu, sikap mereka ini tidak boleh juga disalahkan 100%. Sikap ini juga saya kira banyak berputik dari sikap kita, umat Islam sendiri yang memaparkan akhlak dan kefahaman yang salah kepada mereka.


apa pun, setiap kita punya tanggungjawab untuk memperbetulkan tanggapan negatif tersebut. bermula dari kita, kita mesti menerapkan dalam diri anak-anak kita agar akhlak kita dan anak-anak kita adalah akhlak Islam dan bukannya akhlak celupan Barat yang bukan Islam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 27, 2010

ubat nya hati


bukan sepanjang masa hidup berumah tangga penuh dengan tawa ria . mungkin di awal perkahwinan semasa cinta masih mekar mewangi, segalanya nampak indah, dan tidak terbetik dalam hati , bagaimana perasaan kasih dan cinta boleh naik turun seperti roller coster.


tapi, kalau dah 10, 15, 20 tahun dalam alam perkahwinan, dengan insan yang sama , pastinya ada pasang surut juga kasih dan sayang dalam diri.





tersalah kata, tersilap faham menjadi asam garam dalam hidup berumah tangga. dapat suami yang pandai memujuk, bertuahlah si bini. tapi kalau dapat suami yang kurang peka, kenalah sang isteri pandai-pandai memujuk hati.

mungkin cara berikut boleh kita aplikasikan untuk memujuk hati:


1. mengemas rumah.
-kalau boleh sambil mengemas, hentak-hentakkan sikit kerusi dan meja, pinggan dan mangkuk, supaya dapat difahami mesej yang hendak kita sampaikan (main-main je ni... janganlah sampai begini ya kawan-kawan. habislah nanti set pinggan mangkuk kita.)

sebenarnya bila kita mengemas, kita boleh alihkan tumpuan perasaan kita ke arah perkara yang lain.

tidaklah kita asyik memikir, kenapalah cik abang ni tak pujuk2 kita. dalam masa yang sama, rumah jadi lebih bersih dan lapang , sekaligus membuang keserabutan dalam kepala.


2. berdialog dalam hati dan akal dengan perkara positif
- saya selalu berbuat begini.
tapi tidaklah bercakap sorang-sorang. cuma berkata-kata secara positif di hati dan akal.

cubalah cari perkara positif dari kata-kata dan tindakan yang mencalit rasa sedih dalam hati. Ia mungkin mengambil masa, tetapi jika kita selongkar seikhlas hati, pasti ada juga perkara positif dari kejadian. kerana kita pun bukanlah malaikat yang bebas dari salah dan silap, begitu juga dengan suami kita.


3. berzikir sebanyak mungkin
-saya pun dah lewat usia sebegini baru pandai untuk kerap berzikir dan menyerahkan rasa sedih dan terasa pada Allah. masa muda-muda dulu lebih banyak memendam rasa tanpa ada hasil. (bukanlah bermakna asyik makan hati aje, tapi sebab sifat yang cepat terasa tu, yang jadinya asyik memendam rasa)

bila dah amalkan di lewat usia begini, memang terasa keberkesanannya. hati pun cepat terubat dan rasa merasa kurang sedikit dari kamus hidup. cubalah, tak rugi pun kalau mencuba.


saya pasti kengkawan lain yang lebih pengalamannya mempunyai cara lain yang lebih baik untuk memujuk hati sendiri.

boleh kongsikan?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 26, 2010

Ular sawa memang membelit

jadi cikgu memang best.
lagi, kalau anak muridnya cerdik dan bijak. Harini kita cuba belajar huruf-huruf vokal a, e, i, o dan u secara santai tetapi efektif.
cikgu yang mengajar bernama Cik Nurlela Witra. Panggilan manja Lela


a e i o u

a - bunyi ayam ka ka ka ka ka..

e - panggil emak, emak

i - ikan, berenang di dalam kolam

o - otak, yang bijak
u - ular, membelit

* ulang sehingga 3, 4 kali sehingga pandai.

+ nurlela, anak buah saya. sempat mengambil video ini semalam di kampung. suka melihat dan mendengar pelat bahasanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 25, 2010

Buang angin

Kelas sunyi senyap. Pelajar-pelajar tekun menjawab soalan peperiksaan. Semua pelajar dalam kelas ini lelaki. Waktu itu peperiksaan Bahasa Inggeris. Kebetulan saya yang menjaga. Untuk menghilangkan mengantuk, saya berjalan mundar-mandir dalam kelas.


Waktu itu, kalau jarum jatuh ke lantai pun, boleh terdengar agaknya. Memang sunyi sungguh.


Tiba-tiba


"Puuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuutt!!"


saya terkejut. mencari bunyi tersebut. Pelajar-pelajar yang lain sudah mula ketawa terbahak-bahak. Saya pun ikut ketawa sama.


Rupanya seorang pelajar terlepas angin. Mukanya merah menahan malu. Rakan-rakan di sebelahnya sudah menutup lubang hidung masing-masing.


"Aku dah pesan kat engkau, jangan makan telur. Makan jugak" kawannya membaling gumpalan kertas ke arahnya.


Nasib baik waktu itu saya berdiri agak jauh dan berdiri di muka pintu. Maka dapatlah saya menghirup udara segara.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 24, 2010

Jom Power Nap!


power nap.


bukan power root. tetapi power nap ini memang telah menjadi sunnah Rasullullah. juga dikenal sebagai tidur qailulah, iaitu tidur sebentar sebelum waktu zuhur antara 30 hingga 45 minit.


memang hobi saya untuk tidur qailulah. tetapi sudah lama tidak berpeluang berbuat demikian. majalah solusi isu ke 15, dalam artikelnya "Bagaimana Mengatasi Kelesuan" ditulis oleh Hj Muhammad Zakaria ada mencadangkan agar kita tidur qailulah ini untuk mengatasi kelesuan.




Kenapa di pejabat dan di sekolah-sekolah kita tidak diwajibkan tidur qailulah ini ya. Bayangkan tepat pukul 1.00 semua pejabat, sekolah dsb , di tutup untuk tidur qailulah ini bagi mendapat power nap. pukul 1.30 kita semua akan dikejutkan untuk sama-sama bersolat zohor. mesti best ya.



ini tidak, pukul 1.10 habis sekolah, terus disambung dengan kelas tambahan yang mana ramai pelajar-pelajarnya berdesit lari lintang pukang panjat pagar , taknak kelas tambahan tersebut. Cikgu-cikgu je yang berkelas tambahan. Apa yang pasti, cikgu-cikgu makin paham subjeknya.


Kalau buat program power nap ini di sekolah, masalahnya ialah cikgu yang menjaga tu, tak boleh lah pulak tidur, kan. aii, rugilah pulak tu... hehe


Tapi kalau buat juga, pastinya selepas itu tidaklah ada yang malas bekerja atau belajar lagi. Power nap ini juga dalam kajian (yang tidak dilakukan oleh saya, tetapi oleh orang-orang putih) mendapati bahawa power nap boleh meningkatkan kemahiran berfikir. Betul! Tak tipu.


Bukan sahaja meningkatkan produktiviti kerja, meningkatkan kemahiran berfikir, malah ia juga memperbaiki fungsi jantung, imbangan hormon dalam badan serta membantu merawat sel dalam badan. Ini bukan kata saya, tetapi kata-kata Dr Sara Mednick, pengkaji di Salk Institute.


Jadi kepada pelajar-pelajar di luar sana seperti cik gadis , faisal, iqbal , syah, ain dan yang lelain lagi tu, kenalah amalkan tidur power nap ini, kan.


Yang dah segeng ngan saya, usia pun dah 40 ke atas , kenalah kita amalkan jugak ni, supaya jantung kita elok perjalanannya, InsyaAllah.


Jadi kalau tengok budak pejabat terlentok kepalanya di meja atau kerusi , sebelum zohor tu, biarkan je, la, ya... tengah power nap tu.

:)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 23, 2010

tak habis-habis drama adamaya


drama melayu adamaya memang famous diperkatakan sekarang ini kan. walau pun saya tidak mengikuti siri adamaya tersebut di tv, tetapi siri adamaya tersebut kekadang diperbualkan dalam banyak blog yang saya jejaki . jadi secara tidak langsung tahulah juga sikit-sikit.


setelah habis epidod berdrama di toilet, semalam pagi berlaku drama sebabak secara live di sekolah pula, ya, bukan live blogging je yang ada, live drama di sekolah pun ada. saya hanya dapat ikuti episod drama tersebut sekejap sahaja, tetapi mendapat ulasan selari dari kengkawan di sekolah.


pagi lagi kejadian itu, pelajar-pelajar sibuk hendak berhimpun di tarmac sekolah. seorang remaja lelaki berpakaian kemas, berkemeja tetapi bukan berkemeja sekolah telah datang ke perhimpunan bahagian pelajar perempuan. saya beri nama beliau Pendekarlah. setelah mencari-cari, beliau terjumpalah yang dicari iaitu seorang pelajar ting 5, saya beri nama Mawar. Setelah itu, Pendekar menarik si Mawar secara paksa, keluar pintu pagar sekolah.





Kebetulan lalulah seorang guru PK, ternampak. Mawar pun menjerit,"Cikgu, tolong saya cikgu!"
Guru PK pun apa lagi, berkejar ke Pendekar. Seorang guru lain ternampak, juga turut mengejar Pendekar. Dua-dua guru perempuan ni....


Masing-masing menarik antara satu sama lain, Pendekar menarik Mawar, guru2 perempuan pun menarik Mawar juga. Nasib baik tangan Mawar tak terputus...Akhirnya Pendekar melepaskan tangan Mawar. Dan Mawar pun berjaya diselamatkan, dibawa masuk semula ke ruang sekolah.


Apalah citernya ya , sampai terjadi drama sebabak ni. Apa lagi kalau bukan bergaduh 'laki bini'. Belum pun laki bini tu...


Saya cuma nak nasihat pada sesapa yang tengah bercinta lah kan. Cukup-cukuplah drama-drama AdaMaya secara live ni. Kawal perasaan dan berfikirlah secara rasional, baik yang lelaki atau si pompuannya. Malulah wei..






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 22, 2010

Dapat duit dari blog

rupanya dunia blog membuka banyak peluang, peluang bertemu kawan baru, mendapat ilmu baru dan mendapat idea baru.


Berblog juga membuka peluang mendapat wang serta hadiah percuma, sama ada berblog sebagai hobi atau menjadi blogger secara serius dengan menjadikan blog sebagai sumber pendapatan.


Dunia blog juga penuh dengan peraduan atau contest kan. Macam-macam ada. Antara nak masuk atau tidak je. Saya , hanya baru sekali je menyertai contest yang dibuat oleh ibu ayu. Alhamdulillah pertama kali masuk, menang pula. Hadiahnya pun dah dapat dan sudah diguna pakai pun. Terima kasih bebanyak kat ibu ayu.


Kebanyakan contest yang dibuat, banyak syarat-syarat yang dikenakan. Biasanya kena buat review lah. Biasanya saya ni malas sikit nak buat review. Itu sebab tak men'join'kan diri, walau pun memang teringin nak dapatkan hadiah-hadiah tu. Berangan je memang tak ke manalah kan.


Tapi contest yang ini, saya teringin nak masuk. Sebab tuannya en mustaffa tak suruh buat review. Bila tak suruh , yang peliknya saya buat pula reviewnya dengan entri yang ini, kan. Perangai manusia, memang macam inilah. Yang disuruh tak nak buat, yang tak disuruh buat pula.


Tak apalah. Yang pentingnya, semua ini sekadar suka-suka sahaja. Dapat info dari blog beliau dan kalau rezeki murah dapat duit sekali. Bukannya susah pun. Jomlah sama-sama kita komen kat blog beliau. 1 komen dapat 20 sen kalau kita menang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 21, 2010

minta dijauhkan dari musibah

sebulan lepas seorang cikgu di sekolah dilanda musibah.




pulang dari mengambil anaknya di sebelah petang, sebaik sahaja meletakkan kenderaannya di hadapan rumah dan bersedia untuk membuka pintu, beliau ditahan oleh pemuda bersenjata parang dan menaiki motosikal. pintu keretanya ditahan dari dibuka sepenuhnya.


anaknya yang duduk di sebelah pemandu pun menerima keadaan yang sama. rantai emas, telefon bimbit dan beg tangannya dirampas beserta kunci kereta. sekarang ini beliau trauma apabila meletak kenderaan di mana-mana pun.


seminggu lepas, sahabat yang lain pula, meletak kenderaannya di hadapan sekolah rendah anaknya. keluar dari kereta sebentar, mengambil anaknya dan kembali semula ke kereta. sesampai di keretanya, beliau dapati, cermin tingkap bahagian pemandu sudah pecah dan beg tangannya yang disorok di bahagian kaki sebelah penumpang hilang. pada waktu tersebut, ramai ibu bapa dan pemandu bas sekolah berada berhampiran tetapi tidak menyedari kejadian yang berlaku.



ahad baru ini, guru yang lain pula dilanda musibah. pukul 11 pagi , semua ahli keluarganya berada di rumah. dia sedang sibuk menyidai pakaian di tingkat atas rumahnya, suaminya di bilik bawah bersebelahan ruang tamu, manakala anak lelakinya sedang lena di ruang tamu. Semuanya tidak menyedari pencuri menyelinap masuk melalui pintu depan. kunci rumah tertinggal di grill pintu, memudahkan usaha pencuri licik yang nekad itu. hilanglah hand phone, jam tangan dan pastinya wallet tuan rumah.


itu belum lagi kita membaca akhbar yang saban hari ada sahaja insan yang mati di bunuh dan ditikam dek kerana harta benda.


segalanya dan di mana sahaja sebenarnya tidak selamat sekarang. tiada siapa yang boleh memberi jaminan bahawasanya di situ atau di sana kita boleh selamat dari musibah sedemikian rupa.


tapi saya masih yakin bahawa ada kuasa yang lebih besar yang melindungi kita jika kita sentiasa memohon dan meminta tanpa jemu. setiap langkah kita keluar dan masuk ke dalam rumah mestilah kita iringkan dengan permintaan dan doa semoga kita dilindungkan dari musibah ini.

dan kita ajar juga anak-anak kita.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 20, 2010

cari duit di blog atau pasar malam?

saya pernah ada pengalaman berniaga. tapi berniaga secara kecilan, namun untungnya malahan kurang dari modal yang dikeluarkan, jadinya saya tidaklah berniaga dan tidak ingin berniaga lagi.


tapi menengok orang berniaga memang seronok ya. duit masuk je setiap hari. itu pun kalau masuk lah kan.


berniaga di pasar malam pun nampak seronok juga. yalah, saya tiada pengalaman berniaga di pasar malam, sekadar melihat saja, memang nampak seronoklah. seronok sebab pelanggan bersesak-sesak di kawasan sempit, dan semua mereka berpotensi menjadi pembeli.


sejak beberapa bulan berblog ini, barulah saya tahu rupanya ramai juga rakan-rakan yang berniaga secara maya. malah ada yang mencari duit secara tetap sebagai blogger. yang ini saya kagum sungguh. contohnya en rohaizad ni. beliau juga telah melahirkan ramai blogger yang boleh menjana pendapatan dari blog masing-masing, melalui seminar smart bloggingnya.


kagum. memang kagum. dua tiga hari ini saya 'ketagih' bertandang ke blognya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 19, 2010

Cari Duit


"Kenapa lama tak datang sekolah?" tanya saya pada Razif (bukan nama sebenar)

"Cari duit." Selamba dia menjawab.

"Awak kerja ke?" tanya saya

"Ya"

"Emak, bapa awak tak ada ke?"

"Bapak saya dah tua, tak ada orang nak ambik dia kerja. Mak saya suri rumah. Sapa yang nak bagi kami orang makan? Sayalah kena cari duit. "

"Tapi, awak ni nak SPM tahun ini. Kalau tertinggal banyak sangat kelas saya khuatir awak sukar nak dapat keputusan yang baik."

Hati saya risau bercampur kasihan.

Bila dibawa cerita beliau ke pihak pentadbir di sekolah dan disiasat, keluarganya tidaklah sesusah mana pun. Bapanya ada saraan pencen bulanan, dan beliau adalah anak bongsu. Sebahagian abang dan kakaknya sudah pun bekerja.

Hanya beliau yang berfikiran perlu keluar mencari duit, untuk menampung kehidupannya yang memerlukan top-up telefon setiap minggu serta bercita-cita hendak membeli motorsikal. Singkatnya fikiran dan hairan dengan sikap ibu dan ayah yang membenarkan.


Macam-macam kerenah ....


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 18, 2010

Dowh!


Dowh!

"Engkau ambik yang itulah , dowh! Buat pe ambik yang ini?"

"Bukan cam inilah , dowh!"



Acapkali saya dapat menangkap perkataan tersebut apabila mendengar perbualan remaja kini. Biasanya saya akan menegur, jika mereka adalah anak-anak murid saya. Jika tidak, saya hanya buat pekak sahaja,






"Kenapa awak cakap bodoh kat kawan awak?"
"Mana ada cikgu, bila saya cakap bodoh?"
"Tu, tadi awak cakap dowh tu, singkatan dari bodoh lah kan?"
"Bukan lah cikgu, dowh tu dowh je, bukan singkatan dari mana-mana perkataan," jawab anak-anak murid saya .


Saya masih merasakan perkataan dowh itu ialah singkatan dari perkataan bodoh, sehinggalah semalam semasa blogwalking di alam siber, saya menyinggah di salah satu blog yang terkenal iaitu justkhai yang menggunakan perkataan dowh dalam headernya yang sangat unik dan tak lupa juga blog budu dan belacan, tuanpunyanya sueannajoe, menggunakan perkataan dowh dalam entrinya.


Jadinya, dowh ini perkataan barulah ya dalam Bahasa Melayu kita?


Tetapi saya kira perkataan ini hanya sesuai digunakan di kalangan remaja sahaja . Untuk orang-orang lama seperti saya , sangatlah tidak sopannya saya rasa untuk digunakan setiap habis ayat seperti bebudak sekarang ini.


Dowh!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, April 17, 2010

Marah, marah, marah


perasaan marah yang sedang berlegar dalam hati ini menekan-nekan ruang dada. Sesak. Marahkan siapa? Marah dengan keadaan, dengan diri, dengan orang-orang tertentu yang meletakkan diri saya dalam situasi ini.


Mengurus perabot-perabot di sekolah sangat menyesakkan jiwa saya. Kerusi dan meja yang pada fitrahnya tidak boleh bergerak sendiri sebenarnya sentiasa digerakkan oleh mereka dari lebih kurang 2000 warga di sekolah ini. Siapa? Kalau saya tahu siapa yang menggerakkan dan meninggalkan sahaja di tempat yang tidak sepatutnya, memang saya akan kejar dan seranah dia. Menyumpah mungkin belum lagi.


Belum lagi kerusi dan meja yang sentiasa dirosakkan oleh pelajar-pelajar yang memang hobinya merosakkan hatta kerusi plastik pun boleh hilang kakinya.


Belum lagi aduan air-cond yang rosak, tandas tersumbat, pintu kelas tercabut, meja guru patah...adoii. Kenapalah Kementerian meletakkan beban tersebut kepada seorang guru yang tidak efisien ini. Kenapa tidak digajikan beberapa technician di setiap sekolah seperti mana di jabatan-jabatan yang lain?


Marah juga kerana dalam masa yang sama dituntut mengajar sebaik mungkin pada anak murid. Bukan marah sebab mengajar tu, kerana mengajar memang minat dan kehidupan saya. Tetapi marah dengan ketidak upayaan saya mengurus dan memikul tanggungjawab menyelenggara perabot dan harta benda sekolah....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 16, 2010

Mendengar sebelum bertindak dan Bertindak sebelum mendengar


If I had My child to Raise Over Again-
by Diane Lemons (from Chicken Soup for the Teenage Souls on Love & Friendship)


If I had my child to raise all over again:
I'd build self-esteem first, and the house later.
I'd finger-paint more, and point-finger less.
I would do less correcting and more connecting.
I'd take my eyes off my watch, and watch with my eyes.
I would care to know less and know to care more.
I'd take more hikes and fly more kites.
I'd stop playing serious and seriously play.
I would run through more fields and gaze at more stars.





Saya kira banyak benarnya.


Kita masih ada masa. Masa untuk lebih berhubung dengan anak-anak kita dan remaja kita. Daripada menuding jari ke atas kesilapan dan kesalahan mereka, mari kita lebih berusaha mengikat hati mereka dengan hati kita.


Mencari silap memang mudah. Mencari benda yang tidak berkenan di mata kita memang senang. Fesyen rambut yang tak betul, tutur kata yang kasar, gelak tawa yang menyakit telinga, adab yang tidak sopan... memang itu jelas dan boleh ditegur bila-bila masa sahaja. Tetapi bebelan setiap hari dari seorang dewasa yang jauh hatinya dari hati mereka memang tidak akan dilayan serta tidak akan diendahkan.


Memang sikap remaja sedemikian rupa. Kita pun seperti mereka juga dulu. Rebellious. Orang lain sentiasa kita anggap sebagai lawan, kerana hati kita tidak bertaut. Mungkin kita patut lebih mendengar dari menuntut untuk didengar.

Daripada Sahl bin Saad as-Saa'idi r.a bahawa Rasulullah SAW pernah suatu ketika dihidangkan dengan minuman.

Di kanan Baginda terdapat seorang kanak-kanak, manakala di sebelah kiri adalah seorang dewasa. Selepas meminum sebahagian minuman tersebut, Baginda SAW bertanya kepada budak itu , "Adakah kamu izinkan aku memberikan air ini kepada mereka (orang-orang dewasa)?"

Lalu budak itu menjawab: "Tidak, demi Allah aku tidak akan lepaskan bahagianku daripadamu kepada sesiapa pun"

(dipetik dari Bercinta Sampai ke Syurga oleh Hasrizal Abdul Jamil m/s 9)


Yang mulia Rasul sendiri berusaha untuk mendengar dari anak-anak sebelum membuat tindakan. Mendengar dahulu sebelum bertindak.


Tetapi budaya kita ada kalanya , bertindak dahulu baru mendengar. Akibatnya rasa marah dan dendam tersemat di jiwa anak-anak kita. Marah dan dendam yang seterusnya kan membuah amukan dalam bentuk tindakan serta kelakuan.


Saya kira ada masanya kita sebagai orang-orang dewasa yang bergelar ibu bapa atau seorang guru perlu melihat kembali tindakan kita selama ini . Adakah selama ini kita menegur anak-anak kita dan remaja kita tanpa terlebih dahulu cuba membina ikatan hati yang baik?


Proses membina ikatan hati bukanlah semudah yang saya tulis ini, pastinya.

Ia perlukan masa dan kesungguhan kita. Moga usaha kita semua secara berdikit bisa menghasilkan kesepaduan. Moga masa depan yang kita tinggalkan nanti untuk anak-anak dan remaja kita adalah masa depan yang lebih tenang berbanding sekarang.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, April 15, 2010

Minyak Tanah

"Secara fizikalnya hexane ni sama rupanya macam minyak tanah. Cecair tanpa warna, senang terbakar. Biasa tengok minyak tanah?" tanya saya dengan anggapan pelajar-pelajar yang semuanya Melayu Islam ini pasti tahu apa dia minyak tanah.


Tiga, empat orang pelajar menggeleng kepala. Ha...? Tak pernah tengok minyak tanah?


"Yang orang tuangkan dalam pelita bila nak raya tu. Orang pasang pelita terutamanya waktu 7 likur tu. Tak pernah tengok ke?" tanya saya lagi. Pelik gak.


Pelajar-pelajar yang sama masih menggelengkan kepala masing-masing.


"Tak pernah pasang pelita ke?"

"Tak. Pasang lampu lip-lap je, yang bentuk pelita tu"


* Kesian bebudak sekarang ni. Pengalaman yang indah bagi kita seperti memasang lampu pelita dengan minyak tanah tak mungkin dapat kita turunkan dengan hanya menonton di TV atau membaca di suratkhabar sahaja, sesekali kena beri peluang bebudak bandar ini merasanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, April 13, 2010

Awak ada penyakit ni?


Kalau kita perhatikan, manusia memang suka mengenakan kawan-kawan. Lebih-lebih lagi dengan tujuan sebagai gurauan.


Dengar sajalah siaran radio kita, atau rancangan televisyen kita. Pasti ada satu atau dua rancangan yang cuba mengenakan orang lain.


Suami saya suka mendengar Hitz.fm, dan saya juga sesekala dapat mendengar siaran GOTCHA! nya, yang bertujuan mengenakan seseorang sebagai bahan jenaka serta gurauan. Saya kira ada juga siaran radio lain yang terkenal dengan panggilan Hangitnya.


Walau pun secara peribadi, saya merasakan jenaka sedemikian rupa adalah jenaka yang kurang baik, tetapi apa bila mendengarnya saya juga akan ketawa sendirian di dalam kereta. Dan saya pasti rancangan sedemikian memberikan rating yang baik bagi radio tersebut.


Di kelas pun, tabiat mengenakan kawan-kawan memang selalu berlaku. Terutama kelas-kelas hujung, yang pelajar-pelajarnya memang kaki lawak, suka buat lawak dan melawakkan orang lain.

Saya sedang mengajar Sains , tajuk Kelenjar (Glands).



"Kelenjar pituitari terletak di bahagian otak kita yang besar ni ya. " - sambil itu menunjuk gambar di skrin.


"Kelenjar ini berfungsi mengawal kelenjar-kelenjar yang lain, dan juga mengawal tumbesaran badan. Kalau hormon yang dirembeskan (dikeluarkan) oleh kelenjar ini kurang dari normal, manusia yang terhasil tu bantut, kalau hormonnya terlebih pula, nanti jadi seperti gergasi"

Tidak habis saya bercakap, dua tiga tangan pelajar terangkat hendak bertanya.

"Cikgu, kalau orang tu, ada tahi lalat besar kat tepi hidung tu sebab apa ya?" tanya si A. Kawan-kawan yang lain dah tergelak.


"Cikgu, kalau orang tu pulak, tak ada bulu kat badan dia, penyakit apa?" tanya si B. Gelak kat belakang bertambah kuat.


"Cikgu, kalau orang tu, mata dia sepet, penyakit apa pulak?" tanya si A semula.

Hati saya dah panas.

"Nanti jap, sebelum saya jawab, saya pulak nak tanya, Kalau orang tu jenis tak boleh nak tutup mulut dia, asyik bertanya soalan merepek ni, penyakit apa tu?"


* diorang ni ingat cikgu sains ni macam doktor kut ya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 11, 2010

Sistem yang menyeksakan.

tanyalah cikgu mana pun. saya pasti ramai yang sependapat dengan saya. Terutama bagi guru-guru yang mengajar pelajar-pelajar di sekolah harian dan berpeluang mengajar kelas-kelas yang hujung-hujung belaka.


Kesal dengan sistem pendidikan di negara ini. Namun begitu, apa yang hendak dikata, bukan kita pembuat dasar dan bukan kita yang menyusun kurikulum.


Kasihan. Bukan tidak kasihan. Sepanjang tempoh pengajaran, pelajar-pelajar ini dipaksa untuk belajar perkara-perkara di luar kemampuan mereka. Bukan semua pelajar berupaya untuk duduk senyap dalam kelas menelaah pelajaran, menjawab soalan, menyalin nota, berbincang secara ilmiah, menggunakan buah fikir menyelesaikan masalah-masalah yang bakal dikeluarkan dalam peperiksaan.


Pelajar-pelajar kelas hujung ini jugalah yang kerap menimbulkan masalah. kerana apa? Kerana pelajaran membosankan.


Buatlah aktiviti yang menceriakan... cadang penasihat-penasihat di luar sana. Kita minta mereka menyanyi ke, berlakon ke, buat kajian ke. Mencadang memang mudah. Kalau dalam peperiksaan SPM nanti ada bahagian nyanyian dan lakonan, eloklah juga. tapi kertas soalan SPM menyuruh pelajar membuat analisa, membandingkan, membuat kesimpulan, membuat rumusan, membuat ramalan dan serbanika soalan aras tinggi.


Sedangkan majoriti pelajar di kelas hujung, hendak membuat perbandingan secara mudah pun menjadi satu kepayahan buat mereka.


Dan mereka masih terkurung dalam sistem yang menyeksakan ini. Setiap hari kalau 5 orang guru berlainan yang masuk ke kelas mereka, maka setiap kali itulah mereka dipaksa untuk memberi perhatian, menghafal untuk peperiksaan, menulis dan menyalin, untung-untung apa yang disalin nanti akan keluar semasa menjawab kertas SPM nanti. Kerana itu adalah ukuran sama ada awak belajar atau tidak sekarang ini, iaitu, boleh lulus SPM atau tidak.


Saya kira, kalau di peringkat sekolah rendah dan menengah rendah, memang wajar kita memastikan pelajar-pelajar ini belajar sedemikian rupa, tetapi di peringkat menengah atas, pelajar-pelajar ini memerlukan kemahiran tertentu untuk meneruskan kehidupan.


Pelajar-pelajar lemah dalam akademik ini sebenarnya bukan lemah dalam segala segi. Mereka punya kemahiran lain yang tidak diasah semasa di sekolah. Masa mereka terbuang dua tahun di sekolah mempelajari tajuk-tajuk dan pelajaran yang tidak banyak membantu mereka untuk bersaing di luar nanti. Kerana mereka memang tidak dapat bersaing dalam persaingan akademik dengan rakan-rakan yang sememangnya boleh 'belajar'.


Setiap tahun saya tidak pernah terlepas mengajar kelas-kelas hujung di sekolah harian, dan setiap kali itu rasa kasihan pada anak-anak ini dan kesal dengan sistem pendidikan yang sedia ada. Belajar agar dapat lulus sahaja, bukan pun cemerlang dalam mana-mana subjek. Di manakah keuntungannya? Bukan pada saya, dan bukan juga bagi mereka.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 9, 2010

berhati2 di luar sana, ramai spy yang memerhati

dunia tanpa sempadan..ia hanya wujud, saya kira, di alam siber sahaja. kita boleh ke mana sahaja tanpa membawa paspot atau melepasi kaunter immigresen.


dengan bantuan pakcik google, kita boleh merayau ke mana sahaja, malah boleh berkenalan dengan sesiapa sahaja. serta boleh menyapa sesiapa sahaja.


tapi, saya kira dalam masa yang sama, cerita tentang kita boleh juga diketahui oleh semua orang. walau pun kita tidak mahu cerita itu disebar luaskan.


kerana.. boleh jadi orang yang kita herdik di jalan raya tadi adalah seorang blogger yang merakam segalanya dan menceritakan segalanya dalam blog beliau.


mungkin juga, makcik yang kita biarkan terhegeh-hegeh melintas jalan tanpa bantuan adalah seorang blogger yang kesal dengan sikap orang muda sekarang ini. mana tahu kan?



jadi, berhati-hatilah di luar sana. bukan sahaja berhati2 dengan penyeluk saku atau peragut atau perompak, tetapi juga dengan blogger lain yang tidak kita kenali identitinya serta niatnya.


*malaikat di kiri kanan, kekadang tidak je kita pedulikan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, April 7, 2010

Anak Murid Yang Malang





Bila terjumpa bekas2 anak murid yang sudah berjaya menjadi manusia, berkeluarga dan bekerja , memang seronok dan tumpang gembira.kalau bab hendak mengingat nama mereka, memang payah lah.


Biasanya, anak-anak murid ini akan mengingatkan saya, apabila saya bertanya nama mereka dan tahun bila saya mengajar mereka. Malu memanglah ada, kerana kelemahan saya sangat ketara. Sukar hendak mengingat nama pelajar.


Tapi,
kalau terjumpa bekas anak murid dalam keadaan merempat, masih meminta-minta seperti pengemis...?? Walau pun sudah dinasihati agar mencari kerja, tetapi, seribu alasan yang diberi, hati terasa geram dan kesal sekali.



Sudah kali ketiga tersua bekas anak murid ini. Kembar seiras, dulu-dulu selalu berdua, sekarang ini sudah sendirian masing-masingnya. Terbaru, sudah dihalau keluar rumah oleh bapa mereka.



Sedih melihat nasib mereka. Betul bendul, bersifat seperti budak-budak, tidak matang walau pun sudah berusia 29 tahun. Merempat di surau-surau dan masjid, meminta belas ihsan orang-orang yang lalu lalang.



Di mana silapnya? Adakah saya juga terlibat menyesatkan arah hidup mereka sehingga menjadi begini?? Kenapa saudara mara dan bapa mereka (ibu mereka telah meninggal dunia) tidak berusaha menyedarkan dan hanya membiarkan sahaja. Puas saya memikir, tindakan dan langkah yang patut saya buat dengan keterbatasan diri serta upaya saya.



*janganlah hendaknya hidup anak saya seperti mereka, bila saya sudah tiada nanti. ameen




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, April 5, 2010

Saya termakan bangkai ke, selama ini?

saya ingin berkongsi artikel dari Majalah Milenia bulan Mac 2010 bertajuk :" Antara ayam antibiotik dan ayam probiotik"



"...Namun bagi pakar teknologi fermentasi dan industri bioteknol0gi , UKM, Prof Dr Wan Mohtar Wan Yusoff dari sudut sains biologi, ayam yang berada di pasaran sekarang telah banyak berubah dari sifat asli sehingga fitrah ayam tidak lagi selincah 'bertelur sebiji, riuh sekampung'.



Industri ayam, katanya telah membangunkan ayam sama seperti mereka membangunkan industri robotik 'Asimo' yang boleh diprogramkan.



Sebagai umat Islam ia berbahaya kerana ayam yang kita makan sebenarnya tidak berperibadi seperti ayam. Ia hanya mengambil bentuk fizikal tetapi tidak fitrah sebagai seekor haiwan ternakan berspesies ayam kampung.



Dalam erti kata lain, ayam-ayam itu sebenarnya tidak lebih sebagai haiwan kurang upaya atau terencat.



"Kalau pergi pasar, kita boleh lihat ayam-ayam yang bukan ayam ini. Ia adalah sejenis modifikasi bahan makanan. Ayam-ayam moden hari ini kelihatan putih melepak seolah-olah memakai 'krim pencerah' dan tidak pernah terkena sinaran UV cahaya matahari yang membekalkan vitamin D. Dari sebiji telur yang menetas dengan kuasa elektrik, 40 hari kemudian ia siap sedia dihidang untuk dimakan. Ayam-ayam ini yang digelar "Ayam Bandar' tidak pernah mengotorkan kakinya mengais tanah mencari rezeki sendiri."


"Sebelum disembelih, berpuluh-puluh ekor ayam ini dimuatkan dalam satu sangkar. Apabila bahagian atas sangkar dibuka, seekor demi seekor ayam diambil untuk disembelih di hadapan ayam-ayam yang lain. Peliknya ayam-ayam ini tenang seperti tidak ada apa-apa berlaku. Bayangkan kalau ayam kampung, betapa susah kita hendak menangkapnya, bila terkepung ayam kampung boleh terbang keluar apabila disembelih ia akan mengamuk geletek dan gelupur di sekeliling kawasan.


Dengan pergerakan bebas inilah ayam sembelihan akan mengepam keluar toksin dan darah dari carotid artery secara gradual menyusutkan peredaran darah. Jika ini tidak berlaku maka dikhuatiri ayam yang dimakan sebenarnya adalah bangkai." jelasnya sambil membandingkan sifat semula jadi haiwan berkaki dua itu.


Jika hari ini atas dasar mempercepatkan proses pembesaran ayam maka penternak menggunakan pelbagai antibiotik, suntikan hormon, beta antagonist atau sulbatamol, tidak mustahil satu hari nanti atas nama sains dan teknologi, mereka menggunakan ' hidrolisis protein, sejenis bentuk makanan tambahan yang sebenarnya diperbuat daripada enzim khinzir atau bahan buangan haiwan sebagaimana yang digunakan secara meluas di Eropah, menurut pendedahan eksklusif di Jurnal Penyiasatan Felicity Lawrence di laman sesawang The Ecologist yang turut disiarkan BBC UK.

Malah ujian makmal menunjukkan bahawa seekor ayam yang dibekalkan enzim ini mempunyai 40% sel ayam sebenar sementara baki 60% lagi adalah sel khinzir.

..........

"Sememangnya kita mempunyai pilihan. Setiap makanan juga ada dualisme. Jangan memilih ayam antibiotik sebaliknya ambil ayam probiotik yang menggunakan penguraian kuman dalam proses penghadaman, sama seperti dalam minuman susu kultur Yakult dan Vitagen. Pilihlah butter yang mengandungi nutrisi dan tambah nilai berbanding marjerin kerana ia (marjerin) mengandungi trans-fatty acid iaitu sejenis bahan dalam pembuatan plastik." syornya berkongsi sedikit tip memilih makanan di dapur.


Penulis : Faizal Riduan
Milenia Mac 2010 - m/s 30 -33



* sekarang ni tengok ayam pun dah terasa kembang tekak. Nanti dah bersara dari guru nanti merancang hendak menternak ayam kampung je lah. Boleh anak cucu makan ayam probiotik.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, April 4, 2010

adakah teman anda penyabar?

kata orang-orang tua

nak tahu seseorang tu penyabar atau tidak ,
tengok makanan kegemarannya.
kalau dia suka makanan pedas dan suka minuman panas (bukan suam ya),
memang penyabar orangnya.


*saya kurang berminat makanan pedas dan hanya gemar nescafe suam...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, April 2, 2010

agaknya tauke tu menangis tak?


masa kecil2 dulu,
siapa yang dapat pergi ke kuala lumpur , memang bertuahlah rasanya.
kuala lumpur tu rasanya jauuuuuh sangat-sangat,
dan besar sangat kotanya.

sekarang pun besar juga.

kalau ada lawatan ke kuala lumpur,
membuak dada nak ikut.
sebab nak pergi ke muzium negara, tugu negara, zoo negara, stadium negara dan.. segala macam negara ada kat kuala lumpur.
bila dah sampai,
tempat yang pasti makcik2 nak pergi ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman,
sebab ada Globe Silk Store.
Famousnya kedai kain ni waktu itu hinggakan waktu cuti sekolah, sesak giler.
nak naik ke atas, lif nya ada perempuan-perempuan muda yang menjaga.
sebab takut orang berebut-rebut naik.

saya rasa,
tauke Globe Silk Store masa tu memang kaya raya lah...
selalunya beli apa kat Globe ni??
beli kain baju dan banyaknya membeli kain langsir lah.

saya sempat juga melihat kejatuhan empayar Globe.
Bila kompleks Sogo berdekatan dan kompleks-kompleks di Bukit Bintang naik perlahan-lahan,
populariti Globe pun makin malap.

Masa itu dalam hati saya berkata-kata:

"Nasib baik saya bukan tokey Globe... Mesti sedih menengok empayar yang dibina oleh bapak kita habis di tangan kita"

semuanya hanya sementara...





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...