Masa masih anak-anak kecil dulu, dalam sibuk dengan rakan-rakan mengira duit raya siapa yang paling banyak, saya selalu terfikir kenapa orang-orang dewasa di keliling tidak seghairah saya dan rakan-rakan menyambut pagi Syawal.
Oleh kerana saya budak bandar, bandar Ipoh 37 tahun yang dulu....duduk pula di kawasan flet polis FRU, malam ambang Syawal di flet sangat meriah. Kebanyakan rakan saya dan saya tidak balik ke kampung masing-masing, kerana waktu itu keluarga yang punya kereta sendiri boleh dikira. Tak ramai. Hendak balik kampung biasanya naik keretapi berbondong-bondong, dan kalau yang berduit sedikit bolehlah menempah teksi atau menaiki bas ekspres.
Sepanjang malam, saya dan adik-adik tak boleh nak lelap mata, teringatkan seronoknya dapat berbaju baru pada keesokan hari.
Pagi-pagi, selesai berdandan bagai, berlari keluar rumah , ke rumah kawan sebelah mengajak bersegera memulakan lawatan dari rumah ke rumah. Rumah flet dulu tu, macam rumah panjang .... jadi sepanjang koridor tu, kami akan berlari-lari mengetuk atau memberi salam kepada tuan rumah.
Tuan rumah yang paling 'kaya' biasanya akan memberi duit 50 sen, dan rumah yang lain biasanya 5 sen atau 10 sen. Yang kaya tu biasanya suami isterinya bekerja. Kalau terdengar dari geng kawan yang lain rumah Pakcik X dapat 20 sen atau 50 sen, akan diusahakan juga untuk mengetuk atau memberi salam kepada tuan rumah tersebut.
Acara mengetuk rumah orang atau memberi salam ini akan berakhir biasanya hari ketiga atau keempat Hari Raya... waktu itu dah boleh tahu siapa yang menang sebab dapat duit raya paling banyak. Paling banyak pun biasanya dapat 30 ringgit atau 40 ringgit. Duit tu pun bukan boleh disimpan sendiri, kena beri pada emak untuk dimasukkan dalam buku bank. Nak masukkan dalam buku bank, kena tunggu hujung bulan pula, sebab van pos bergerak akan datang ke kawasan flet kami dan boleh dimasukkan menerusi kaunter bergerak ini.
Hidup 30 , 40 tahun dahulu sangat ringkas dan mudah. Tapi dalam ringkas dan mudah itu pun orang dewasa di keliling masih kelihatan seperti tidak seghairah kami menyambut Syawal.
Dan sekarang setelah 37 tahun berlalu, baru saya faham.... hidup yang ringkas dan mudah itu hanya untuk anak-anak. Dan ghairah menyambut Syawal memang milik anak-anak. Hidup orang dewasa sebenarnya, sangat kompleks sekali....
Kepada yang akan berpulang , sudah pulang, sedang pulang dan yang tidak pulang ke kampung halaman masing-masing , saya mengucapkan :
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI.
Segala kekurangan , kesilapan kata , idea atau tulisan yang telah menyinggung mana-mana pihak, saya mohon ampun dan maaf. Keterlanjuran memang lumrah manusia dan kemaafan ikhlas yang diberi, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.
~cikgunormah@klcitizen~