Saya memohon maaf secara terbuka semasa mesyuarat guru baru ini, kerana tidak menjalankan tanggung jawab saya secara berkesan selama dua tahun. Adakah dosa saya terampun? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Walau pun saya tahu ia adalah amanah, perlu dilaksanakan sebaik dan sehebat mungkin, tetapi dek sifat lemah yang ada, kadang-kadang tindakan berlaku di luar kehendak.
Ajaibnya perasaan...., kita tidak boleh menipu diri sendiri. Walau bagai mana coolnya kita dilihat pada pandang zahir mata insan lain, rasa bersalah tetap menjalari setiap inci urat dan denyut nadi. Tanggungjawab yang diamanahkan diberi kerana kepercayaan insan lain terhadap keupayaan kita dan mengharapkan hasil yang terbaik. Dan setiap kali kepercayaan itu dilanggar dan harapan itu dihampakan, setiap kali itu jugalah beban rasa bersalah meningkat dalam diri.
Apakah dengan meminta maaf, segala tindakan dapat dijustifikasikan? Pastinya sesiapa pun tahu jawapannya. Namun begitu, itulah sahaja yang terdaya saya lakukan.
Namun begitu, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang lain. Jadi, tahun 2011 ini akan saya langkah bersama azam yang baru, cuba untuk tidak menghampakan kepercayaan insan lain dan memenuhkan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Saya tahu saya tidak bekerja berseorangan. Rakan-rakan yang ada di sekeliling yang selama ini sentiasa cuba memahami keadaan saya masih terus memberi kata semangat dan turut sama ingin membantu. Anugerah dari Allah meletakkan saya di kalangan insan-insan berhati emas. Pujian tidak terhingga untukNya.
Salam Jumaat dan selamat menyambut tahun 2011.
~cikgunormah@klcitizen~