Thursday, March 29, 2012

menanggung rindu






Saya mahu tua bersama kamu. Nanti kita boleh berjalan berdua, di taman, duduk bersembang makan angin, kita perhatikan gelagat orang muda, kita ingat semula masa muda kita, gelak bersama, kan... seronok, kan? 
Tapi kalau saya tak punya kekuatan untuk berjalan lagi? 
Ah, nanti saya tolakkan kamu dalam kerusi roda. Perlahan-lahan. Sebab waktu itu pun saya tidak kuat mana. 
Kalau kamu pun tak kuat untuk berjalan, macamana? 
Ah, kita beli kerusi roda berbaterilah, kita jalan sama-sama..

Hahaha

Seronok, kan, kalau punya insan yang tersayang dan tua bersama. Sehingga bila?

Entah.

Usia bukan di tangan kita untuk ditentu mengikut kehendak. Esok dan saat terdekat ini nanti pun tidak kita tahu bagaimana corak dan rupanya, jalan hidup kita.

Membaca artikel ringan Biar 116 tahun, hidup mesti ceria , membuat saya tersenyum dan terbayang skrip di atas. 
Janganlah kita fikir sudah berapa kali kita merayakan ulang tahun kelahiran kita atau sudah berapa lama kita bersara. Jangan bimbang kerana ia hanya nombor. Kata orang: Age is a question of mind over matter. If you don’t mind, it does not matter! ~ Biar 116 tahun , ...

Rupanya ramai juga lewat ini yang usianya melewati 100 tahun di Malaysia ini, lebih 27,300 orang berdasar statistik 2010, dan yang kagumnya, ramai dari mereka ini masih aktif dan berdikari.

Sedang ramai generasi muda mengeluh dengan nasib dan suratan takdir yang mencabar saban hari di laman-laman sosial, generasi-generasi lama ini menghabiskan sisa usia dengan semangat membara, optimis dan sentiasa positif.

Begitu agaknya perjalanan hidup kita.

Sampai satu takah kehidupan nanti, bila mana material bukan lagi matlamat dan tujuan, kehendak nafsu bukan lagi keutamaan yang perlu dipenuhi, hidup jadi lebih damai dan indah. Tenang.


old couple


Dan waktu itu juga, apalah sangat hendak dibalah dan disanggah dalam bersembang dan berbincang dengan insan tersayang, kerana saya kira  ke'aku'an waktu itu adalah paling minima, manakala ke'kita'an menjadi besar dan memenuhi penghidupan. Masing-masing bersandar dan mengharap insan di sebelahnya untuk melangkah bersama.

Indah.

Sungguh.

*Salam kasih buat yang sedang bersendirian menanggung rindunya ...


~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 27, 2012

tak kenal, maka tak cinta

Kelas ini kelas yang paling senior di sekolah dan yang paling bijak.

Tapi rasanya tahun ini yang paling ramai bilangannya. Entahlah, sebenarnya dah tak berapa nak ingat. Dan setiap kali terjumpa bekas anak murid, sering tersilap dan tersasar tekaan, pelajar tahun bila, dan di kelas mana.

Usai perbincangan kertas jawapan peperiksaan baru ini, beberapa anak murid ke hadapan , cuba mengintai markah dalam buku rekod pengajaran saya.

Dan yang paling akhir berdiri di depan mata saya, pelajar perempuan ini. Kecil molek. Bercermin mata, Dan malu-malu.

Ah, anak dara, bukankah memang malu-malu? 

Awak berapa orang adik beradik?

Lima cikgu.

Anak nombor berapa?

Dua.

Perangai anak dara yang malu, kan. Ditanya sepuluh patah, dijawabnya hanya dua patah.

Dan saya hanya baru mengambil alih kelas ini tahun ini, dan sehingga bulan tiga ini masih lagi sukar mengingat siapa nama mereka. 

Bukan kriteria guru cemerlang .. :(

Oh, atas awak, abang ke kakak?

Abang.

Oh, abang tengah buat apa sekarang ni? Kerja ke atau masih belajar?

 Dan waktu itu, wajahnya berubah.

Bagaimana kah hendak saya gambarkan wajah dia? Malu ? ... ya lebih kepada malu. 

Err...

Berat mulutnya hendak meluah. Perangai busy body  saya makin terserlah. Sudah terlanjur bertanya, biarlah tahu apa yang hendak dirahsia. Haha... perangai yang tak patut dicontohi sebenarnya.

Kenapa ngan abang awak?

Err... dia ada penyakit .

Wah, jawapan seperti itu memang mengundang perasaan ingin tahu membuak-buak.

 Penyakit? Penyakit apa?

Berat mulutnya hendak memberitahu. Wajahnya sedikit merah cuba menahan malu.

Err, dia tu autisme.

Ooo, autisme. Itu orang yang Allah bagi keistimewaan tu.

Mendengar dan melihat reaksi saya, menghilangkan wajah malu tadi. Lenyap. Dan saya pun berkongsi cerita dengan dia tentang insan autisme yang saya kenali. Dan senyumnya meleret.

Dan saya tahu kini, sifat abangnya itu, serta harapan dan tanggung jawab yang digalasnya saban hari di rumah.

Menakjubkan. 

Tak kenal memang tak akan kita cinta. Betul?

Get Well Soon Gillian!



*Moga cepat sembuh bagi yang sedang menahan panasnya demam . Doa saya sentiasa bersama, tak putus.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, March 26, 2012

pikirlah sendiri




Berfikir di luar kotak.

Selalu itu yang disarankan. Betul?

Tetapi sebenarnya untuk berfikir di luar kotak, perlukah kita berada di luar kotak? Dan bolehkah jika kita masih duduk dalam kotak dan punya fikiran yang boleh menerjah serta membayang perkara yang di luar kotak?

Payah juga tu.

Sebab bila berada di dalam kotak, fikiran pastinya jadi beku dan kaku, kerana udara pun jadi nipis dan tipis.

Ada beza ke nipis dan tipis ?

Merepek...

Kalaulah awak semua ni menjadi saintis yang boleh berbuat apa saja, tanpa ada batasan moral atau agama, bagaimana agaknya kita boleh pastikan semua manusia boleh kenyang tanpa makan?

Sesi merepek saya bermula tadi petang.

Kelas Tingkatan 2 yang paling bijak dalam sekolah. Sengaja melontar idea semasa pengajaran Sivik, mahu tahu sekreatif mana mereka?

Tentunya yang saya mahu ialah jawapan di luar kotak. 

:)

Kenapa kenyang tanpa makan?

Kalau kenyang tanpa makan, bukankah kebuluran bisa sahaja dihapuskan dari dunia ini. Wang tidak perlu lagi digunakan untuk membeli makanan. Dan pastinya tiada pembaziran makanan berlaku.

Saya buat udara ni ada molekul makanan , cikgu.

Wah bagus jugak tu. Tapi kena pastikan udara tak tercemar lah pulak, nanti cirit birit dan diarrhea akan berlaku. 

Yang lain senyap. Berfikir atau buat-buat-buat berfikir.

Kalau ikut idea saya nak tak, saintis sekelian?

 Ah, lagi-lagi idea saya. Cikgu yang tak sabar seperti saya ini memang malas hendak menunggu jawapan dari pelajar. Jadi, bagaimana hendak merangsang minda pelajar sebenarnya?

Saya cadangkan , kita ubah struktur baka manusia yang akan lahir, maksudnya anak cucu kita, kita ubah gene mereka, DNA mereka itu kita ubah.

Faham ke budak-budak ini. Gaya memandang , macam faham waktu itu, jadi saya teruskan lagi.

Saya cadangkan kita masukkan baka yang menghasilkan klorofil dalam badan manusia. Klorofil di mana?

Dalam tumbuhan.

Ha, betul. Tumbuhan perlu mencari makanan?

Tak, tumbuhan buat makanan sendiri. Kena ada cahaya matahari.

Ya, bijak. Kalau badan kita ada klorofil, jadi setiap kali waktu rehat sekolah, semua kena beratur kat padang, baring, depakan tangan, dan dalam masa 15 minit awak akan sendawa kekenyangan. Kan...

Hahaha. Mereka gelak. Gelakkan saya kerana membuat bunyi sendawa yang kuat dalam kelas.

Dan , yang bestnya ada yang mengangguk bersetuju.


green_man_its_always_sunny


Tapi cikgu, kalau musiam hujan tak ada cahaya matahari, camana nanti, kita lapar?

*mmmm ... aish, tu, pikirla sendiri, takkan saya jugak nak tolong pikirkan?



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 25, 2012

teruslah bertahan





Ah, dah petang rupanya. 

Ahad, yang kebiasaannya dihabiskan dengan hal sendiri , mencari diri dan cuba meletakkan diri pada realiti.

Realitinya?

Realitinya, hidup ini memang payah dan setiap saat adalah usaha untuk terus bertahan.

Buat apa ni?

Wanita itu muda lagi. Saya tahu dia bukan orang tempatan. Orang seberang, mendukung anak lelakinya di sebelah kiri. Mengguna tulang punggung mengampu si anak yang ada iras wajahnya. Wajah anak itu sedikit khuatir dan malu, tidak biasa agaknya melihat ibunya ditegur orang. 

Dan saya lihat tangan anak itu bertambah kuat memegang leher baju emaknya.

Waktu itu saya di mana? 

Menghantar kereta untuk dicuci. Rutin hari Ahad. Mencuci kereta bukanlah pekerjaan yang diidam, walau punya kereta sendiri memang menjadi idaman yang telah termakbul, alhamdulillah.

Wanita itu membalas senyum, kerana saya pasti saya yang menghadiah senyuman terlebih dahulu. Cuma yang terkilan ialah tiada kata salam dari saya seperti selalu. Terlupa, mungkin.

Oh, tak buat apa kak ...

Tapi ekor matanya mengarah ke plastik putih telus yang dipegang di tangan kanannya. Ah, ada botol kaca kosong dan tin-tin minuman kosong dalam plastik tersebut. Fahamlah saya. Tangan kirinya memegang kayu panjang halus. Guna untuk mengait tin atau botol minuman dari longkang yang berdekatan, mungkin.

Tinggal mana ni?

Ah, dekat-dekat sini saja kak.

Banyak dapat?

Pertanyaan saya. 

Sesuaikah? 

Haha. Saya bukan wartawan yang bijak mengatur soalan mencari maklumat. Dan saya juga tiada keinginan meneroka hal peribadi wanita itu. Cuma rasa kasihan menyelinap halus.

Oh, adalah jugak kak, semalam dapatlah juga 20 ringgit. Bolehlah buat belanja makan.

Suami mana?

Ada di rumah.

Suami tak tolong?

Ah, dia tidak mahu kerja kak. Malaslah nak menyusahkan dia. Biarkan saja.

Tiba-tiba rasa marah hadir.

Dan sesal. 

Bukan wanita itu. 

Saya.

Marah pada siapa? Saya pun tidak kenal suami wanita itu. Sesal kenapa pula? Entah. Bukan sesal rasanya. Lebih kepada ralat melihat melihat keadaan. Melihat anak itu terutamanya.

Ya, hidup ini memang payah. Dan realiti kadang kala sangat memedihkan.


Pick Up the Garbage



*Salam kasih buat yang berperang dengan kata hati dan fikirnya. Semoga tenang nanti.


~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, March 23, 2012

nyawa pendek?

Biasanya Jumaat adalah hari yang dinanti-nanti. Penghujung minggulah , kan.

Jadi suasana lebih ceria dan santai.

Sedang mengajar, saya memberhentikan penerangan dan diskusi.

Katalah ....

Saya memula bicara.

Ayat yang bermula dengan katalah, menunjukkan apa? Katalah menunjukkan situasi atau perkara yang mungkin tidak akan berlaku, kan. 

Kenapa berfikir akan perkara yang tak mungkin akan berlaku? 

Sengaja merangsang minda. 

Kerana bukankah banyak hasil teknologi sekarang ini asalnya datang dari fikiran luar biasa yang tak terjangkau dek fikiran. Mana mungkin 100 atau 200 tahun dahulu, manusia zaman itu terfikir boleh berkomunikasi dengan insan lain yang beribu batu jauhnya secara live. Waktu itu mungkin fikiran seperti itu bermula juga dengan perkataan Katalah ...

Saya pandang pelajar-pelajar kelas 5B waktu itu. Masing-masing diam mendengar. Cuba memahami kenapa gurunya hari ini seolah bertukar watak, berbeza cara.

Saya memang beginilah. Cuma perkenalan baru sahaja bermula dengan mereka, dan mereka masih tidak tahu yang saya memang suka merepek dalam kelas. Awal perkenalan, memang, saya cuba berlagak serius, mahu mereka tahu yang saya memang serius ingin mengajar, kan. Mahu mereka tahu bahawa pelajaran adalah perkara serius, bukan main-main.

Ini, dengar baik-baik ya, Katalah ...

Diam semuanya. Saya menyambung kata.

Awak semua suka bergambar kan? Katalah ya, andainya, setiap kali awak bergambar, dan saya bermaksud, SETIAP kali awak bergambar, satu saat dari hidup awak akan ditarik. Maksudnya setiap kali awak bergambar, nyawa awak akan jadi pendek. Soalan saya, mahukah awak bergambar lagi?

Bising sebentar.

Saya memerhati mereka. Persoalan yang tak pernah difikirkah?

Cikgu ..

Ya?

Betulke apa yang cikgu cakap ni?

Wajah yang bertanya nampak risau dan cemas.

Ah, awak ni... saya kata apa tadi? Saya kata, KATALAH .... Katalah tu maksudnya apa?

Risau dan cemas si dia yang bertanya nampak hilang.

Cikgu ..

Suara dari belakang pula.

Ya ?

Cikgu tipu ya? Mana ada macam tu ?

Ah.... awak ni. Ini soalan saja-saja. Bukan betul atau tipu. Saya cuma nak suruh awak berfikir je, kalaulah . Manalah tahu nanti ada yang akan jadi pengarah filem nanti, bolehlah buat cerita sains fiksyen begini atau cerita thriller, tidaklah asyik kisah Ombak Rindu , atau Hantu Kum Kum je yang menjadi modal cerita awak, kan.

Tapi cerita cintalah best, cikgu.

Ah.... Malas nak melayan budak-budak ni. :) Aras fikiran tak sama. Hehehe. Sambung belajar semula.

death


Tetapi, kalaulah perkara sebegitu benar-benar terjadi, adakah anda akan mengambil gambar diri sendiri lagi dan di post  di FB, blog, twitter atau laman sosial yang lain?

Oh, tak payahlah jawab. Hahaha. Sebab benda merepek dan membuang masa sahaja, kan.

*Salam ingatan malam Sabtu  buat yang berada jauh di timur.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bulan madu di awan biru


 Daydreaming is for intelligent people 


Betulkah? 

Entahlah... 

Tetapi, sekali-sekala berangan apa salahnya, kan.

Berangankan apa?

Berangankan duduk di awan , berbulan madu. Wah! Memang jauh sungguh angan-angan itu ya. Ibarat kata Abang Amy Search *uwek*, bilalah pulak saya panggil Amy Search tu abang (?) ~Bulan madu di awan biru , tiada yang ganggu...

Pernah mendengar lagu tersebut?

Lagu lama.


Clouds over Taos mountain





Cikgu!!

Terkejut saya. Rupanya tatkala mengganti rakan guru mengawas kelasnya, saya asyik berangan.

Ha? Kenapa?

Pelajar lain berkumpul dalam kumpulan. Ada juga yang sibuk menghabiskan kerja rumah. Sambil bersembang dan bergelak tawa. Ini kelas Tingkatan 3 , kelas paling hadapan. Memang dalam tiada guru sebenar yang mengajar pun, masih boleh diharap menghabiskan kerja-kerja rumah yang belum selesai di waktu senggang.

Cikgu ni kerajaan kan?

Kerajaan?

Eh, sejak bila pulak saya mengganti menteri di kabinet?

Bukan kerajaan, saya ni kaki tangan kerajaan. Silap tu...

Senyum dia. Saya pun.  Biasalah masih budak, dan banyak yang tak tahu. Rakan di sebelahnya pun senyum sama.

Cikgu, kalau cikgu ni kakitangan kerajaan, cikgu kenalah pilih kerajaan kan.

Eh? Budak ini...?

Kenapa saya kena pilih kerajaan pulak? Kerajaan tu apa?

Kerajaan tu Barisan Nasional lah, cikgu. Bukan ke , kakitangan kerajaan kena pilih kerajaan, nanti cikgu kena buang kerja?

Saya pandang budak itu. Hati saya bagai digaru. Terharu. Hahaha.

Dah ada undang-undang baru ke?

Salam merepek dari saya...



~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, March 21, 2012

serius sungguh

Hari ini nak berserius sekejap, bole?

Serius ke, atau tak serius ke cikgu Normah, ramai ke orang yang kisah, kan? 

Okay, hari ini sempena keputusan SPM yang baru sahaja keluar pagi tadi, tiba-tiba ingin bercakap sedikit tentang satu mesyuarat yang sempat saya hadiri. Dan mesyuarat ini hanya dihadiri oleh insan-insan terpilih sahaja , seperti saya :) *moodnakmuntah :)*

Sebelum itu, kalau saya katakan bahawa ranking pelajar-pelajar kita yang berusia 15+ tahun di peringkat dunia adalah lebih kurang berada pada tahap 20 dari bawah iaitu dari 74 negara di dunia. Adakah anda rasa ia bagus?

Sangat tidak bagus, kan. 

Adui...

Sedangkan negara terdekat Singapura berada pada tahap 5 negara paling atas di dunia dan dianggarkan sistem pendidikannya mendahului 2 tahun sistem pendidikan negara kita sekarang. Malahan sistem pendidikan di negara Thailand, yang khabarnya pengajaran Bahasa Inggeris hanya bermula di peringkat menengah atas sahaja juga melebihi kita dalam kiraan 2 - 3 tangga di atas dari kita.

Ah, agak menyedihkan juga ya, dalam kita bersuka ria merai ribuan bekas pelajar SPM kita mengumpul deretan A.

Mana saya tahu ini?

PISA

Pernah dengar tentang PISA? Saya pasti tak ramai yang tahu. 

PISA adalah singkatan kepada Programme For International Student Assesment (Program Penilaian Internasional Pelajar) yang dijalankan oleh OECD (Organisation for Economic Co-operation and Development) . OECD bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan bagi 74 buah negara terlibat, menjalankan kajian dan meramal trend akan datang dari segala aspek termasuklah pendidikan.

Negara kita hanya menyertai PISA pada tahun 2009. PISA telah dimulakan sejak tahun 2000 lagi dengan penyertaan 43 buah negara di awalnya. Penilaian ini dijalankan setiap 3 tahun sekali, menilai kemampuan pelajar-pelajar berusia 15+ untuk berdaya saing secara ekonomi dan kemahiran di peringkat dunia .

Pentaksiran piawaian antarabangsa ini sebenarnya mengukur pencapaian pelajar-pelajar dalam literasi bacaan, matematik dan sains.

OECD menegaskan bahawa kemahiran literasi membaca sebenarnya menentukan jatuh bangun tahap ekonomi dan sosial sesebuah negara , dan tidak bergantung pada selama mana seseorang pelajar itu menghabiskan masa dalam alam persekolahan/pembelajaran.

Bukankah dunia sekarang ini adalah dunia penuh maklumat, dan orang yang paling berjaya saya kira adalah mereka yang bijak mengendali dan memanipulasi maklumat di sekelilingnya. Dan jika kita ingin meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain, bermula dari sekarang, ah, bukan,  sebenarnya dan sepatutnya  bermula dari 2 tahun lepas, saya kira, penekanan literasi membaca secara kritis dan analitikal perlu dikemaskan dalam anak-anak kita.



*tak bolehlah pulak nak dibesarkan gambar ini* ~ sumber 






Antara faktor yang menyebabkan skor purata Malaysia adalah lebih rendah dari skor purata pencapaian pelajar antarabangsa ialah format soalan peperiksaan kita yang terlampau ringkas dan lebih tertumpu kepada rajah dan jadual. Manakala format soalan PISA adalah dalam bentuk teks yang panjang dan memerlukan pelajar membuat refleksi, interpretasi dan penilaian berdasar kehidupan sebenar.

Dan Singapura telah lama mendahului kita ? Ah bila mengenangkan ini...

Contoh soalan PISA bagi Bahasa Inggeris di sini.


Jadi bagaimana?

Kerana itulah saya kira lewat ini banyak pembaharuan dan perubahan beberapa dasar sedang giat dijalankan oleh pihak yang berkenaan yang terlibat dalam pengemaskinian dasar pendidikan negara.

Dan kami sebagai pelaksana, hanya bertindak dalam kapasiti akur dan menurut perintah. Cumanya, ketelusan dan kecairan dalam maklumat itulah yang sangat dikhuatiri akan berlaku apabila visi , misi dan kehendak yang di atas itu cuba disampaikan kepada pelaksana di bawah. Ketirisan boleh berlaku dengan cara apa pun , kan.

PISA 2012 akan berlangsung tidak lama lagi. April 2012.

Kita doakan, penglibatan pelajar dan semua yang terlibat, iaitu seramai 5775 orang murid dari 165 buah sekolah di seluruh Malaysia dapat menghasilkan indikator yang lebih baik, mengembalikan kegemilangan sistem pendidikan kita pada tempat yang sepatutnya di persada antarabangsa.

Salam penuh serius :)



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 20, 2012

makin lembab

Rasa bersalah.

Melihat wajah-wajah mereka di hadapan, ah, terasa rasa bersalah itu meresap halus dan malu pun bertandang dalam hati.

Cikgu, berapa orang yang pass , cikgu?.

Menjadi guru sebenarnya , setiap masa terpaksa, serta perlu membuat keputusan. Bukankah ada orang kata menjadi guru ini memang mudah mengumpul pahala dan dosa seiring. Jadi , waktu itu, keputusan apakah yang perlu saya buat?.

Menipu?.

Atau berterus-terang sahaja?.

Memandang mata anak- anak ini, tak sampai hati rasanya hendak berterus-terang. Menipu itu lebih mudah agaknya, kan? Hahaha... Betulkah?

Sebenarnya...

Semua 23 pasang mata itu memandang tepat ke mata saya. Kelas paling hujung di Tingkatan Dua, mengajar mereka mata pelajaran Matematik. Yang hari ini diulang, esoknya akan lupa. Esok diulang semula, lusanya bagai tak pernah pun diajar.

Sebenarnya saya tak menanda pun lagi kertas awak tu. Saya minta maaf .

Malu

Pastinya.

Cuti seminggu dihabiskan apa ya, Cikgu Normah?

Ah, berangan. Hehehe

Sebenarnya cuba menghabiskan penandaan kertas-kertas jawapan pelajar-pelajar di Tingkatan Lima, yang saya kira lebih penting dan utama,sekarang.

Pilih kasih ya, cikgu Normah?

Mungkin.

Tapi tidak berniat pun begitu.

Oh, ni mesti cikgu tak sampai hati nak tengok kami orang semua lulus kan? Sebab tu cikgu taknak tanda kertas kami orang, kan ...?

Ah... Tusukan kata yang paling tajam.. :>

*makin tua makin lembab membuat kerja-kerja sekolah



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 18, 2012

rajuk yang panjang

Keropok kat rumah banyak lagi ke?

Setiap kali balik ke Kuantan, rumah ibu mertua, itulah yang akan ditanya pada saya. Dan keropok ikan pun akan dihulur untuk dibawa balik ke Kuala Lumpur setiap kali, berplastik-plastik !

Jadi hari ini adalah hari melunasi keinginan makan keropok ikan.

Buka tingkap dapur luas-luas, buka pintu dapur luas-luas dan  pasang kipas kuat-kuat.

Hahaha ...

Asap menggoreng menjadi kepantangan. 

Dan sewaktu membuka pintu dapur, gerimis pun turun, perlahan. Ah, memang kegemaran saya. Hujan adalah nikmat. 

Bukankah semuanya nikmat, Cikgu Normah? Segalanya? Hatta, mata yang rabun ini pun bukankah ia nikmat ?

Oh yalah. Betullah wahai suara hati. Dan seperti hari semalam dan kelmarin dulu-dulu, bercakap sendirian, membenarkan dan menyalahkan, bersetuju dan tidak, memang tidak ada hentinya. 

apakah yang kau buat di situ?

Dalam berkomunikasi sendirian, mata saya tertumpu pada si dia yang sedang merajuk ini di belakang dapur saya. Bukan kepunyaan saya. Kerana saya memang bukan penggemar memelihara haiwan.  

Duduk bersendirian di situ, tidak menghiraukan gerimis yang perlahan turun.

Kenapa?

Merajukkah? Lari dari rumahkah? 

Mengendapkah?

Apa yang perlu dihendap? Kerana saya pasti, tikus bukan menjadi pilihan utama menunya seharian sekarang. Berdasar rantai di leher, pasti dia ini disayangi seseorang dan pasti si dia tidak menghidangkan tikus dalam sajiannya. Hehehe.

Saya pasti dia sedang membawa hati. 

Pasti hatinya sedang terluka. Hati yang terluka lebih dalam pedihnya jika yang melukai itu adalah insan yang paling disayangi. Semakin kasih, semakin mudah pula hati menjadi calar. Perkara yang kecil dan kadang tidak memberi sebarang makna pada situasi yang biasa pun boleh menjadi punca hati pedih dan rajuk jadi panjang.

Bukan begitu?

Dan melihat si dia yang merajuk ini lantas membawa ingatan saya pada insan-insan yang menggemari sang haiwan.

Auntie, kita ada makanan ikan .

Wah, suka bela ikan ya?

Puteri kecil mengangguk kesukaan. Menunjukkan makanan ikannya yang terletak atas almari kasut di pintu masuk rumahnya.

Mana ikannya?

Yalah, walau saya tidaklah seghairah mana hendak melihat ikan yang terkurung dalam peti kaca, melihat sinar mata si puteri kecil, membuat saya juga sedikit teruja. Tangan kecilnya memegang bungkusan makanan plastik ikan itu digerak perlahan-lahan ingin berkongsi rasa suka dan sayangnya pada ikan peliharaan ..., mungkin.

Tak ada .... , ikan kita dah mati .

Hahaha... Anak-anak memang sangat comel :)


Salam petang minggu, kengkawan.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 17, 2012

Petua ustaz

Menyusuri jalan ini entah kali ke berapa dalam hidup ini. Tetapi, berada bersama emak sendiri kali ini, menemaninya melihat bapa saudara yang sakit di Hospital Kelang. 

 Emak banyak tertidur dalam kereta. Sesekali berdengkur. 

Penat. Saya tahu. Bila sudah berada dalam usia sepertinya, kudrat tinggal sisa-sisa sahaja, walau kehendak hati masih kuat dalam beberapa perkara. 

Dan suasana sunyi dalam kereta memudahkan saya menumpu pada kata- kata Ustaz dalam radio Ikim waktu itu. Malangnya saya tidak sempat menangkap nama Ustaz yang berkongsi ilmunya itu. 

 Seni mengikhlaskan diri. 

Ada seni rupanya bila mana kita hendak mengikhlaskan diri. Empat semuanya kalau tidak silap saya. Tapi sayang, tidak sempat hendak mencatat, kerana sedang memandu waktu itu. 

Yang menariknya apa? 

Pertanyaan dari seorang pendengar wanita .

Mengadu bagaimana hendak mengikhlaskan hati berbakti terhadap suaminya yang curang dan punyai minat menonton bahan tidak bermoral. Hendak ditegur takut kemarahan dan sengketa timbul. 

Menarik bagi saya. Kerana kadang dalam hidup, ikhlas yang hendak kita beri bercampur baur dengan rasa marah dan tidak suka. Bukan dalam rumah tangga sahaja, malah dalam kehidupan seharian pun. Menjalani tugas sehari-hari di tempat kerja pun mungkin juga mengundang keikhlasan yang tidak ikhlas. 

Pandangan Usataz tersebut juga menarik. Kerana ia bersifat realistik dan logik. Katanya, kenal pasti bilangan tugas hakiki kita. Itu yang perlu diikhlaskan. 

Contoh, dalam hubungan dengan suami yang sebegitu, apakah tanggung jawab kita yang wajib dilaksanakan. Butirkan dan senaraikan, supaya tugasan dan tanggung jawab itu jelas perlu diikhlaskan. 

Misalnya, memasak untuk suami, membasuh baju suami, melayan kehendak suami, menjaga harta benda suami, dll, yang boleh kita pisahkan dari perkara yang kita tidak berkenan. Melaksanakan tanggung jawab tersebut, sematkanlah dalam hati ini semua dilakukan hanya kerana perintah Allah menuntut ia terlaksana sebaik mungkin dan hanya kerana Dia semata kita lakukan.


Sincere

InsyaAllah ikhlas itu akan menyusul. 

Dan dalam menegur, kata ustaz tersebut, bersolat hajatlah dahulu mohon kekuatan Allah dan agar diberi kelembutan pada insan yang hendak ditegur. 40 kali bersolat hajat katanya, supaya kehendak dan doa kita itu jelas pada diri dan mantap ia dalam benak. 

Menarik bagi saya. 

Bagi anda, bagaimana? 

Selamat bersantai semua, di hari Sabtu ini. 

 ~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 15, 2012

cinta itu di mata

Ada satu ketika dulu, saya teringin betul hendak menjadi seorang budak lelaki. 

Kenapa?

Sebab, waktu itu, saya berpendapat sungguh mudah menjadi seorang budak lelaki yang bila masa sahaja boleh keluar sesuka hati, melepak dengan kawan-kawan tanpa ada pandangan tajam dari orang lain dan yang utamanya tidak perlu mengalami sakit senggugut setiap bulan. Dan tidak perlu ada rasa malu bermain bola di padang atau berbasikal ke sana ke mari.

Saban petang hanya memerhati budak-budak lelaki bermain bola dari balkoni di flet polis dulu, terkurung dalam rumah kerana tidak manis budak perempuan ke hulu ke hilir tak tentu arah, kata emak dan abah.

Ha, ha, ha ...

Hanya di fikiran sahaja keinginan itu, alhamdulillah ia  tidak tercerna pun pada tingkah dan laku.

Melewati usia 40an ini, keinginan itu langsung tidak menyinggah lagi.

"Wanita yang selalu yakin, ada sifat mudah berjenaka, penampilan menarik dan tidak bergantung kepada lelaki adalah antara ciri wanita yang digemari lelaki. 
Wanita yang mempunyai keyakinan yang tinggi, bijak dan pantas bertindak akan memudahkan banyak urusan. 
Merupakan satu bonus sekiranya kita mendapat teman wanita yang ada sifat suka berjenaka, tidak lokek senyuman dan ada fikiran luar biasa untuk menarik orang lain lebih rapat kepadanya. ~ Wanita hebat untunglah lelaki

Itu bukan kata-kata saya.

Tapi itulah ciri wanita yang saya kira menjadi idaman bagi ramai wanita juga, tidak terkhusus kepada lelaki pun. Kerana wanita yang sedar diri sentiasa cuba menjadi yang terbaik.

Bukankah begitu?

Membaca tulisan Sri Diah menambah lagi yakin dan bangganya menjadi seorang wanita.

Wanita itu sendiri adalah tanda Allah itu Maha Indah, kerana pastinya hanya yang tahu tentang keindahan dan berada dalam keindahan akan menghasilkan keindahan.

Setiap wanita ada sisi cantik dan indahnya yang hanya tersinar bagi mereka yang tahu menilai. Dan yang bisa menilai keindahan itu adalah mereka yang berjaya melihat bukan dengan mata zahirnya sahaja .

Kalau anda tidak punya wajah seperti artis yang dipuja atau kulit anda tidak sehalus telur yang dikupas, janganlah bersedih hati. Saya juga pernah melalui fasa sedih dan berduka kerana wajah yang ada tidak seindah mana, hidung yang terletak tidak semancung mana dan mata yang tesedia ini tidak sejelas mana. Hahaha....

Usia yang bertambah dan kematangan dalam menilai melenyapkan rasa tersebut.

Dan saya lihat ramai wanita yang sangat menarik di sekeliling saya dengan segala kekurangan fizikal pada mereka, tetapi tidak terzahir kerana kekuatan dalaman dan keperibadian mereka mengatasi kelemahan itu. Sangat menarik dan mengagumkan.

Dan kekuatan utama, saya kira bagi seorang wanita ialah hati mereka.

Kecantikan seorang wanita bukanlah daripada pakaian yang dikenakannya, susuk yang dia tampilkan, atau bagaimana dia menyisir rambutnya. Kecantikan seorang wanita harus dilihat daripada matanya, karena itulah pintu hatinya - tempat di mana cinta itu ada. ~ Wanita Hebat Untunglah Lelaki.


Salam terlewat pada semua wanita ~ 080312

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, March 14, 2012

sunyi dalam dada

Mendung, kan sejak dari pagi.

Tetapi, ada yang  mungkin  basah hari ini dalam hujan atau mungkinkah juga  basah dengan air mata? Harap-harap basah dengan air mata itu segera kering rasa sedih dan pilu, dan pelangi kembali bersinar semula di mata dan hati anda.

Oh,  mungkin juga ada yang tak basah langsung, kerana ketiadaan air di kawasan perumahan anda? Ah, kalau yang ini agak parahlah, dan semoga isu bekalan air ini dapat segera dipulihkan secepat mungkin.

Cuti kali ini agak berbeza.

Banyak bezanya, saya rasa.

Kurang berpeluang melancong ke alam siber melawat rakan-rakan blog seperti selalu, kerana tuntutan realiti dan fantasi. Hahaha. Fantasi itu juga menuntutkah? Berangan lebih banyak waktu cuti ini. Berangan itu kan keperluan juga, menambah nikmat hidup dalam realiti yang kadang terlalu rutin.

Membaca. Novel. 

Tapi masih belum sempat menghabiskan.

Ada satu perkataan yang sejak beberapa hari ini asyik berlegar di ruang fikiran. Melompat-lompat perkataan ini keluar masuk setelah selesai saya membaca satu artikel di sini.

Grumpy.

Kalau mengikut DBP, ia bermaksud perengus.

Biasa melihat orang yang perengus?

Sifat-sifat si perengus ialah  bermasam  muka, keras, kasar, lekas marah, suka mengomel dan merungut.

Ada juga sifat ini dalam diri saya rupanya. Adui! Ketuk kepala sikit ...

“I indeed know who is the most generous of people and the most tolerant. The most generous is he who shares with who deprives him; the most tolerant of people is who pardons those who wrong him.” ~ Robin Imran Mahmud

Kata-kata di atas datang dari Saidina Umar al-Khattab. Wah dalam Bahasa Inggeris pulak ya? Hahaha. Saya salin dari artikel berbahasa Inggeris, yang lebih kurang maksudnya:

Sesungguhnya saya tahu siapakah yang lebih pemurah dan sabar serta bertolak ansur. Yang lebih pemurah itu ialah mereka yang tetap berkongsi dengan orang yang mematahkan harapannya (?); dan yang paling sabar serta bertolak ansur ialah mereka yang memaafkan orang yang berlaku silap padanya 
*(?) = saya agak-agak je maksudnya :)

Saya bukan hendak bercakap tentang sifat perengus saya, hehehe, tetapi sifat perengus orang lain dan bagaimana kita menghadapinya.

Saya berpendapat, cara terbaik menghadapi sifat perengus orang lain ialah dengan cuba bersimpati dan berempati. Berlembut. Dan menunjukkan kebaikan itu seikhlas mungkin. Bagi saya tidak ada manusia yang dilahirkan bersama dengan sifat tersebut.

Betul , kan?

Tengok sahajalah anak-anak kita yang masih terkedek-kedek berlari ke sana ke sini, tersenyum dan bergelak tawa bila suka, dan menangis bila kehendaknya tidak terpenuh.

Tiada sedikit pun sifat perengus itu.

Jalan hidup seseorang yang mencirikan sifat itu. Pengalaman manis dan pahitnya. Berbaur dan seperti pahitnya perjalanan hidup mereka, sifat perengus itu juga timbul sama.

Seperi dalam artikel tersebut, seorang pesakit wanita bernama Beverly, adalah pesakit yang menyusahkan. Menyusahkan pihak yang menjaganya dengan sifat perengusnya itu. Tetapi sebenarnya, jauh di lubuk hatinya yang dalam, Beverly adalah seorang yang penyayang dan kesunyian.

Pelik, kan.


AlonE

Kesunyian dalam diri boleh menonjolkan segala sifat tidak baik kita.

Kita mahu orang lain tahu sengsara yang kita tanggung, sakit yang terbeban dan pedih yang menghiris dalam hati. Tetapi kita luahkan rasa sakit dan pedih itu dengan cara yang menyakitkan orang lain, kita lindungi perkara sebenar dalam diri agar orang lain tidak tahu lemahnya hati dan jiwa kita. Biar orang lihat betapa keras dan kuatnya kita menanggung. Sedang realiti paling benar ialah kita mahu insan lain mengubat hati itu, merawat dan mencurah kasih agar hilang segala yang membengkak.

Manusia, begitulah.

Terkadang tindakan tidak seperti yang terpeta di minda .

Dan bagaimana boleh kita berperanan?

Memaafkan sentiasa.

Kerana kita juga tidak tahu kita bagaimana nanti, bila sunyi itu mencengkam rasa kita pula.

Salam kasih buat semua, dan moga Allah memberi tenang bagi yang masih dalam mode merengus atau yang cuba memahami si perengus.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 13, 2012

sentuhan lembut penuh kasih






Ada satu pandangan semalam yang masih terbayang dalam ingatan saya.

Tatkala makan bersama suami dan anak, lewat tengahari, ah, sebenarnya sudah hendak ke petang pun, di medan selera berhampiran dengan rumah.

Pandangan tentang apa?

Tentang kasih dan sayang. Antara sepasang suami isteri yang sudah berusia. Hanya berdua mereka. Makan bersama. Warga emas. 

Sebenarnya bukan perkara luar biasa.

Makan bersama dengan orang yang kita sayang sebenarnya adalah nikmat, yang terkadang kita ambil mudah. Menyediakan ruang untuk bersama, berusaha meninggalkan segala tanggung jawab yang lain, untuk hadir dan bersama, bukanlah pengorbanan kecil di kedua belah pihak. Terlebih lagi kalau keduanya sibuk dan terikat dengan komitmen yang lain.

Cuma kadang kita tak sedar, dan kita ambil ringan.

Jadi, apa yang luar biasanya tentang pasangan tersebut?

Tak ada istimewa sangat.

Cuma, tatkala mereka habis selesai makan, si makcik bangun dan berjalan dengan adult-walker kaki 4. Saya pandang adult-walker  tersebut.  Kenapalah ya, alat tersebut tak ada roda kecil dan brek khas. Sebab si makcik terpaksa menolak alat tersebut di atas lantai. Nasib baiklah lantai tersebut licin juga, jadi senanglah si makcik menolak. Kalau atas jalan raya bertar? Macam mana ya?

adult-walker

Ada satu babak yang menarik mata dan hati saya.

Tatkala sampai di kawasan lantai yang berbeza ketinggian , si makcik mengalami sedikit masalah. Terkial-kial hendak mengangkat adult-walker tersebut.

Selesai pakcik tersebut membayar makanan, bersegera beliau mendapatkan makcik, memegang belakang makcik itu perlahan dan sambil itu membantu mengangkat adult-walker itu ke ketinggian lantai yang sepatutnya, dengan tangan yang sebelah lagi. 

Babak itu yang terakam dalam fikiran saya.

Lemah lembutnya si pakcik terhadap makcik itu.

Cantik dan menenangkan, pandangan itu. Jelas dan terang, kasih si pakcik terakam melalui sentuhan dan bantuan yang diberi olehnya.

Dan bukan semua makcik-makcik yang ada di luar sana sebertuah makcik itu, rasanya.

Kepada semua suami di luar sana, saya mendoakan kelembutan layanan terhadap isteri anda adalah agenda anda yang utama. Dan moga Allah balas kelembutan itu dengan rahmat dan rezeki mencurah .



~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, March 12, 2012

rindu itu tak bisa dipuaskan

Sepanjang perjalanan tadi saya dibuai mimpi.

Bermimpi bersama dengan kekasih hati. Bertentang mata tanpa suara pun sudah memadai, bila hati sedang dilamun cinta dan rindu yang bersarang membengkak, sekadar duduk merenung sahaja pun sudah terubat rindu.

Memang saya merepek. Hahaha.

Hujan membuat saya merepek.

Siapa lagilah yang hendak saya salahkan . Cuacalah punca segala masalah manusia kan. Selesema, batuk, sakit tekak dan demam kan, selalu penyebabnya ialah cuaca. Bukan begitukah, bila kita membuka bicara, memberitahu pada rakan atau taulan?

Batuk ni tak hilang-hilang. Dah dua minggu.

Memang sekarang musim. Cuaca tak tentu, tulah tak baik-baik tu, kan.

Bukankah itu skrip yang biasa kita dengar?

Sebenarnya perjalanan tadi dari Kuantan ke Kuala Lumpur, awalnya ditemani hujan lebat. Hujan sentiasa mendamaikan saya, terlebih lagi pemandangan di sepanjang jalan dipenuhi kehijauan. Ah, apa lagi. 

Lagi pula, pilot  utama tidak memerlukan sebarang bantuan dari saya dalam urusan pemanduan, saya jadi khayal dan tenggelam dalam mimpi. Tidur adalah nikmat yang Allah beri, bukankah begitu? Sedar-sedar sudah berada di laluan tol Karak.

Dan alhamdulillah, selamat tiba di Kuala Lumpur. Disambut dengan mendung di langit.

Balik Kuantan sekejap sangat, tak puas.

Teringat ayat tersebut diluah emak mertua sambil menyeka air matanya seperti selalu. Memeluk erat. Seperti tidak mahu melepaskan. Dan saya lihat dia mencium wajah anak lelakinya bersungguh-sungguh. Cuba menyimpan bau anaknya itu dalam fikiran. Bagai pertama kali mencium anak yang baru lahir, bersungguh-sungguh menyedut bau badan si anak. Mengumpul dalam hati agar bersebati dalam diri dan darah yang mengalir.

Ah, kasih seorang ibu.

Mana ada gantinya, kan.

Setinggi mana pun si anak terbang melata, tetap anak itu adalah sebahagian dirinya. Sejauh mana pun anak itu dari matanya, tetap dia dekat dalam doa si ibu.

Rindu yang bersarang dalam hatinya, saya tahu , tak akan bisa dipuaskan.

Bawak kereta hati-hati, jangan laju-laju.

Suara bapa mertua terngiang saat saya menaip entri ini. Insan yang sangat saya kagumi. Seperti  mereka yang dalam generasinya, ayat tersebut sebenarnya terkandung maksud yang berbeza. 

Apak sayang kamu, jaga diri baik-baik.

Mungkin itulah yang tersirat, dan tidak terluah.

Dan dia tetap berdiri di porch  kereta melambai dari jauh saat kereta kami meluncur pergi.

Kasih orang tua, tetap tak berubah. Pelik kan. Walau dipukul taufan dan ribut dan walau hati mereka disakiti tetap kasih itu membara. Dan kini sebagai seorang ibu, saya juga faham.

Mah, nanti si bibik tu bungkuskan udang ngan ikan talapia. Ada dua ekor. Mak dah suruh si ton tu masukkan dalam kereta. Goreng je ikan talapia tu. Bubuh garam kunyit. Goreng garing-garing. Pas tu, cili api tumbuk ngan bawang merah, Bawang merah kena banyak, baru sedap. Goreng garing-garing, letak je atas ikan. tapi bila dah dekat-dekat nak makan baru goreng tu. Dah sejuk tak sedap.

Ah....

Tak habis lagi dengan acara memasak. Adui !

~cikgunormah@klcitizen~







Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, March 11, 2012

ghairah dan teruja

Saya sentiasa mengagumi wanita-wanita itu.

Siapa ya?

Emak saya, emak mertua, aruah nenek-nenek saya dan wanita-wanita yang beraspirasi yang sama seperti mereka.

Yang saban waktu tanpa jemu, duduk di tempat yang sama berfikir dan bertindak atas perkara yang sama. Perkara yang memang langsung bukan menjadi keutamaan dalam hidup saya sekarang ini. Tapi, mungkin jugalah ia akan jadi rutin saya pula di masa akan datang. Manalah tahu, kan.

Perubahan itu sebenarnya hakiki. Dan tiada apa yang mustahil dalam dunia ini.

Apa dia sebenarnya aspirasi mereka itu ya?

Apa lagi, kalau bukan acara masak-memasak.

Maafkan saya.

Saya bukan wanita seperti wanita-wanita yang saya kagumi itu. Memasak bukanlah aktiviti yang menenangkan saya seperti bagi sesetengah kaum wanita yang lain. Yang saban waktu berkongsi resepi itu dan ini. Ghairah ingin mencuba resepi paling baru dan teruja melihat dan membeli buku resepi hasil tangan segala chef terkenal.

Wanita seperti itu pasti jadi dambaan ramai bakal suami di luar, yang memastikan air tangannya yang tersedia dan terhidang di atas meja untuk suami tersayang. Alangkah bagusnya kalau saya seperti itu kan.

Tapi kehendak Allah tidak seperti yang kita inginkan. Walau kasih dan rindu menggunung, kalau terpaksa berjauhan dengan kekasih, tetap rindu menggunung itu tidak dapat membantu, pun kan. Ah, merepek, merepeknya saya. Hahaha.

Saya adalah wanita yang teruja jika dikelilingi buku. Hahaha. Memboringkan. Ya saya tahu. Jika hendakkan saya bersuka ria dan bahagia, tak perlulah intan permata, cewah, berilah peluang dan masa untuk saya membaca dan belikan saya buku-buku yang terlaris di pasaran. Tapi, awas, novel cinta tidak termasuk dalam senarai pilihan, ya.

Kepelbagaian.

Itu indahnya kita sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Dan Allah Maha bijak dalam mengatur segalanya.

Bukan semua wanita itu sifatnya adalah seperti wanita yang saya kagumi itu. Dan saya tahu tidak semua wanita itu seperti saya.

Dan Maha Bijak Allah menemukan saya dengan suami serta dipinjamkan anak yang memahami.

Suami dan anak saya langsung tidak cerewet dalam bab makan-makan ini. Sebab tahu dan faham tentang kemalasan emaknya dan begitu stress bila emaknya ini terpaksa memasak.

*Selamat memasak di hujung minggu ini, buat anda, wanita-wanita yang saya kagumi.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, March 10, 2012

rindu dalam hati ini menyakitkan sungguh

Cuti.

Mengambil peluang menziarah ibu dan bapa mertua di Kuantan sempena cuti ini. Tanpa dikhabarkan pun, kami sekeluarga terjengul di muka pintu.

Ayah mertua yang menyambut.

Wajahnya bercahaya, dengan kain pelekatnya yang kelihatan diikat dalam keadaan bersegera. Senyum melebar di wajah.

Gembira agaknya.

Emak mertua pula menunggu di dapur, sedang cuba menghabiskan bihun goreng untuk makan tengaharinya . Kakinya memang tidak berapa kuat, jadi bersegera saya bersalaman mengelakkan dia untuk bangun.

Emak baru nak telefon awak, nak tanya tak balik Kuantan ke?

Sesekali memberi kejutan , memang menyeronokkan. Melihat air muka dan riak wajah orang yang kita sayang terutama apabila merasa gembira, secara langsung menggembirakan kita.

Hidup di masa tua.

Hidup kala itu, saya pasti penuh dengan rasa rindu dan terisi dengan nostalgik tak sudah. Apatah lagi bila mana tinggal berdua.

Dan rindu itu memang menyakitkan. Kadang membuat tidur tak lena dan makan pun tak lalu. Wajah yang dirindu berada di mana-mana. Senyum dan sinar mata insan yang dirindu bagai terlekat dihujung mata, meski terbuka luas mata, wajah itu yang terbayang.

Sakitnya merindu kan.

Dan ubat pada rindu ialah apa?

Bertentang mata.

Mungkin.

Saya dengar suara ayah mertua bercakap di telefon dengan seseorang. Selesai bercakap, dia kembali ke dapur.

Ah, apak dah tanyakan si Mat pasal udang galah. Dia kata kalau ada nanti dalam pukul empat dia telefon.

Udang?

Adakah?

Ha, ikan patin ada dua ekor dalam freezer tu, ikan jenahak pun ada, ayam ada dua ekor, ikutlah Mah nak masak apa.

Emak pula bersuara pada saya.

Oh, tidak!

Memasak bukanlah termasuk dalam jadual kejutan saya. Hahaha!

*selamat bercuti semua :)

Salam rindu di angin lalu.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, March 8, 2012

pekasam

Hari yang dingin dengan permulaan hari yang sangat mengujakan. Alhamdulillah.

Dan pengakhiran sesi bekerja diisi dengan mesyuarat Taskforce PAV.

Mesyuarat, demi mesyuarat.

Taskforce PAV !

Mendengar tajuk mesyuarat sahaja sudah menggerunkan. Walau pun, perincian dan perbincangan yang berjalan dalam masa itu  tidaklah menggerun mana pun,  hanya seperti mesyuarat yang lain juga.


Ramai yang sudah maklum, saya kira, tentang PAV ini. Sekolah saya adalah antara 15 buah sekolah rintis yang terpilih untuk menjalankan kelas PAV mengkhusus dalam jurusan Hiasan Dalaman. Seramai 30 orang pelajar yang terpilih.

sumber


Negara Singapura adalah negara model bagi kita dalam pelaksanaan pendidikan vokasional di kalangan anak muridnya di sana. 

Seperti semua benda yang masih baru, saya dan rakan-rakan yang hanya menjadi pelaksana dasar kerajaan mengharapkan agar segala ini memberi impak dan hasil yang positif. Terutama bagi masa depan 30 orang murid di sekolah ini, khususnya, dan hampir 450 orang murid ini di seluruh Malaysia, sebagai pelajar-pelajar rintis.

Sebagai pelaksana dasar, kami hanya bekerja dalam kapasiti menurut perintah dan akur serta sentiasa yakin dan percaya bahawa pembuat dasar telah pun menjalankan kajian berdasarkan keperluan negara. Bukan perkara kecil dalam membuat dasar . Ia tanggung jawab dan amanah yang besar.

Kita tidak mahu perkara yang sama berulang kembali seperti beberapa dasar yang dilaksana separuh jalan dan kembali semula dalam kitaran lama. Membazirkan semua tenaga, kepakaran , peralatan dan latihan. 

Kerugian yang bukan sedikit.

Kata orang, alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan.

*Sayangnya saya tak pernah lagi melihat bekas membuat pekasam. Sedalam manakah ia?



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

kotak

Hujan sejak dari petang semalam.

Bagi penggemar hujan seperti saya, kehadiran hujan sangat menyegarkan. 

Tapi saya tahu pagi-pagi seperti ini saat saya menaip entri, hujan mendatangkan banyak masalah bagi orang lain. Terutama kesesakan jalan raya, kan. Bersesak-sesak dalam hujan di atas jalan raya, bukanlah suatu keadaan yang diingini oleh sesiapa.

Seperti duduk terperuk dalam kotak-kotak yang bergerak, kan. :)

Kotak.

Oh, rupanya kalau perkataan kotak-kotak, ia bermaksud bunyi atau reaksi. Tak pernah saya tahu sebelum ini.

Kotak fikir, tentulah tersangkut dengan fikiran kita.

Kotak hati?

Ah, ada satu lagu kumpulan indie Hujan yang bertajuk Kotak Hati , kan. Sangat terkena dengan suasana hujan dan perkataan kotak. 



Jarang sebenarnya saya mendengar lagu-lagu seperti ini sekarang. Maklumlah lagu-lagu cinta seperti lagu tersebut saya kira hanya sesuai untuk anak-anak muda remaja.

Tapi, sekali-sekala apa salahnya kan.

Jadi untuk mereka yang basah terkena hujan hari ini, saya tujukan lagu Kotak Hati ... hehehe.

Salam pagi Khamis yang basah.

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, March 6, 2012

sakit kepalakah?

Ada bezakah umur 14 tahun dan 100 tahun lebih?

Ah, seorang guru bertanyakan soalan yang dikategori sebagai soalan yang tidak perlu disoal. Wajarkah? Banyak benda yang tidak wajar dalam dunia ini, tetapi tetap ia wujud dan berlaku. Jadi apalah yang hendak dihairankan, kan.

I did not, and still do not, remember historical dates very well. I did not want to clutter my brain with too many things and dates were among what I chose to forget. Unfortunately, I also tend to forget people's names, an unforgivable shortcoming in a politician. ~ A Doctor In The House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad . pg 83

 Wise men think alike.

Saya pun samalah Tun. Hahaha! Kita memang tak perlulah hendak menyemakkan kepala dengan perkara yang tak penting, kan Tun. Tarikh-tarikh memang payah hendak diingati, jadi kita membuat pilihan untuk tidak mengingat dan menyediakan ruang mengingat itu bagi perkara yang lebih penting.

Seperti?

Keutamaan dan kepentingan bagi setiap orang sangat berbeza. Jadi kepentingan dan keutamaan saya tidak relevan untuk diberitahu di sini.  :)

Jadi, cikgu Normah, apakah kaitan umur 100 tahun lebih dan umur 14 tahun?

100 tahun lebih biasanya terisi di dalamnya pengalaman dan kematangan. Kalau ia terkait dengan insan, pasti insan itu sangatlah kaya dengan pengalaman dan pandangan hidupnya. Kecualilah kalau dia nyanyuk, kan. 

Dan umur 14?

Terisi di dalamnya keghairahan menguasai dunia, merasa dia serba tahu dan punya tenaga membuak bersemangat .

Kenapa tetiba bercakap tentang angka dan usia ini ya?

Sebenarnya siang tadi di sekolah, warga sekolah saya telah menyambut lebih 50 orang tetamu guru  yang berasal  dari Thailand, sempena lawatan belajar mereka. Dan apakah yang boleh dipelajari dari sekolah kami ini yang hanya berusia 14 tahun,  bagi sekolah tetamu-tetamu itu tadi, di sana yang telah tertegak sejak lebih 100 tahun ?

Mengenal budaya dan cara, saya kira. 

Melihat sisi berbeza bagi membina perspektif baru, mungkin juga.

Menghulur tali persahabatan?  Tak mustahil.

buku atur cara

pengacara hensem

sakit kepalakah?

tetamu

penuh sesak

Apa pun niat , pastinya ia memberi kesan baik.

Kepada Jawatan Kuasa Pelaksana yang bertungkus lumus, saya ucapkan syabas, semoga lain kali kalau ada lagi tetamu lain yang ingin berkunjung, anda tidak serik. Hehehe.

Bila pulalah kami warga sekolah hendak berjalan sambil belajar di sekolah over the sea  pula ya?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, March 5, 2012

burnout

Alah, Normah...

Terkebetulan, kami berdiri di depan koperasi sekolah. Tidak merancang pun. Kadang, hidup ini yang penuh dengan perancangan, tidak juga Allah benarkan ia berlaku dan banyak kali juga, tanpa merancang, perkara itu berlaku tanpa disangka.

Kenapa kak?

Masing-masing menunggu bahan yang hendak difotostat. Kerja rumah yang perlu dibekalkan pada anak murid sempena cuti yang akan datang ini.

Entahlah , Normah, makin tua makin rasa malas je..

Banyak sangat kerja , ya , kak?

Tulah, makin lama makin perlahan dan rasa jenuh hedak menghabiskan minggu bekerja.

Saya pandang wajah kakak ini.

Dia bukanlah calang-calang guru. Istiqamah dan iltizamnya dalam melaksanakan kerja, melebihi berkali ganda dari diri saya. Dan terkadang rasa malu melihat kerja-kerja yang dibuatnya jika hendak dibandingkan dengan kerja saya. Dan dia lebih layak menggantikan tempat saya sekarang.

Kat rumah pun sekarang, kadang termenung panjang nak buat kerja.

If all of the knowledge and advice about how to beat burnout could be summed up in one word, that word would be balance. Balance between giving and getting, balance between stress and calm, balance between work and home, these stand in clear contrast to the overload, understaffing overcommitment and other imbalances of burnout. ~Are you experiencing burnout ?

Dibebankan dengan pelbagai tugas baru di tahun 2012 ini, memungkinkan situasi tersebut.  Kasihan sungguh melihat dia. Dan dalam kapasiti yang saya ada, saya cuba membantu sedaya mungkin.

Tetapi, tetap, tanggung jawab dan amanah , hanya individu itu yang tetap terpaksa menanggungnya, kan.

Moga Allah mudahkan usahanya dan dikurniakan semangat pelangi untuknya semula.

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...