Monday, June 27, 2011

janji manis

Alhamdulillah hujan lebat waktu saya sedang menaip entri ini. Saya sangat gemar suasana hujan waktu pagi.

Tapi, pasti, ramai yang susah hati kalau hujan turun, atas banyak sebab.Terutama bagi yang sedang memandu hendak menyelesaikan urusan masing-masing di permulaan minggu ini.

Hari ini saya bercuti. Satu sekolah bercuti, kecuali staf sokongan di pejabat dan makmal. Sebabnya sambutan sukan tahunan ke 13 di sekolah pada hari Sabtu baru ini, maka layaklah kami mengambil cuti peristiwa.

Janji.


Pada saya, bila hendak berjanji mestilah realistik. Melihat kemampuan dan keupayaan diri.

Fail peka awak ni tak cukup lagi 3 laporan. Dah dekat dua bulan menunggu awak menghantar. Saya perlu masukkan markah secepat mungkin. Bila awak boleh hantar pada saya?

Suara saya tidak selembut yang dibayangkan. Amarah dalam hati dah membengkak. Nasib baik anak orang, kalau anak pokok sudah lama dicantas daun-daun hingga bogel.

Saya tahu dia tahu getar amarah dalam suara saya. Matanya menunjuk rasa bersalah amat. Kasihan. Belas pula rasa di hati. Wahai anak, kalau lah belajar itu tak perlu kepayahan, sudah tentu ilmu itu tidak manis.

Saya menunggu jawapannya.


Esok .. cikgu. Saya bagi esok tiga-tiga.

Esok? Tiga-tiga? Biar betul...

Betul.



Yakin sungguh. Janji.

Dan setelah 2 minggu berlalu, setiap kali terserempak, matanya cuba melarikan diri dari pandangan saya.

Strategi seterusnya akan menyusul...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 25, 2011

Semakin yakin hati ini dengan cintanya

Kita adalah apa yang kita fikirkan

Suara Dr Muhaya meneman saya dalam kereta pagi tadi. Bagusnya menjadi manusia berilmu seperti beliau dan sangat bersemangat serta positif dalam fikiran mahu pun tindakannya, menyebabkan semangatnya turut mengisi dada saya.

Tiba-tiba terus tidak sabar hendak menghadiri program Bicara Hati anjuran Persatuan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, walau rakan-rakan lain sedang bergembira serta bersukaria di padang sekolah.




Ini bukan program Bicara Hati, ke?


Saya baca lagi borang pendaftaran. Tadika A, Tadika B.... Aikk? Kenapa pulak program tadika ?


Bukan, ini kursus untuk guru-guru tadika. Ada puan bawa surat panggilan mesyuarat?

Alah, tertinggal pula di rumah.



Ah...sudah. Hendak bertanya siapalah pula di Pejabat Jalan Duta ini. Sebab hari ini hari Sabtu, pastinya pejabat kosong dan hanya dipenuhi meja dan kerusi sahaja.


Puan , cubalah ke lobi. Mana tahu ada yang boleh membantu. Tapi hari ini rasanya tak ada orang di pejabat.


Alahai. Terbayang-bayang surat panggilan mesyuarat tersebut, tetapi memang salah saya tidak meneliti kandungan surat, cuma mencatat tarikh dan program dalam kepala dan mengambil mudah perkara bahawa pasti ia akan diadakan di Auditorium JPNWP.


Saya pun duduk di lobi. Buntu.


Hendak telefon pejabat di sekolah pun, pasti tiada siapa di sana.  Hendak bertanya siapa? Orang pun sedang sibuk di padang sekolah, mana ada masa hendak melayan saya mencari surat dalam fail di pejabat.


Ah. Tawakkal je la. Kalau ada yang boleh membantu insyaAllah , Allah tunjukkan. Walau saya tahu kebarangkalian untuk saya balik semula ke rumah dan tidak hadir program tersebut lebih besar dari menunggu orang lain.


Terkial-kial juga memikir siapa yang dapat membantu. Pak guard yang ada pun orang Bangla. Manalah diorang tahu. Dalam memikir, sibuk juga saya memarahi diri sendiri. Ish... Kenapalah bebal sangat.


Datang untuk program Bicara Hati ke?


Mencuba nasib apabila terlihat dua orang wanita muda berjalan ke arah saya sambil memegang sehelai kertas putih, seperti surat panggilan mesyuarat. Ya Allah, mudahkanlah. Hati saya menjerit-jerit doa yang tak putus saya ulang.


Ah...ah, ya, akak pun ke?


Macam tidak percaya pula sambil mengangguk dan menghadiah senyum paling lebar.


Akak ada kereta ke?

Ada.... Cuma akak tak ada alamat tempat program je.


Ya...? Ni suratnya, cuma kami ni tak ada kenderaan nak ke sana. Tadi naik teksi, driver teksi tu bawa kami ke sini pulak walau dah beritahu dia tempat yang kami nak tuju. Kita kena ke Bahagian Teknologi Pendidikan berhampiran dengan Pusat Sains , kak.


Betullah. Kuasa Allah tidak siapa yang dapat duga. Menemukan  tiga insan yang punya tujuan yang sama tetapi berbeza keperluan.


Semakin yakin hati ini dengan cintaNya.


Terima kasih Allah, memudahkan segalanya.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 24, 2011

untunglah ada orang yang sayang...

Banyak sekolah yang sibuk hari ini. Sebab esok sukan tahunan. Sekolah saya pun, warganya sibuk benar, terutama guru-guru yang diamanahkan untuk mengepalai rumah sukan masing-masing.

Yang seronoknya, budak-budak lah. Ramai juga yang sibuk membantu guru, hendak menyiapkan khemah lah, baju untuk perbarisan lah, berlatih kawad kaki dan sebagainya. Ada juga ramai yang kaki sibuk dan ramai juga yang buat-buat sibuk, tidak masuk ke kelas.


Cikgu sorang je, ke?

Kelas baru sahaja habis. Dari pada 25 orang yang sepatutnya masuk, hanya 11 orang sahaja yang tidak punya alasan untuk menyibuk pada hari ini, terpaksa juga menggagahkan diri masuk ke kelas Chemistry  saya.

Oh... budak hensem ni.

Taklah, saya bertiga. 

Muka dia hairan. Kerana yang dilihatnya saya berseorangan di dalam makmal. Kalau dah tahu saya seorang, kenapa lagi perlu ditanya? :)

Eh, awak bawak bekal ke sekolah?

Ada bekas isi makanan berjenama Tupperware di tangannya. Jarang... sangat susah hendak melihat budak lelaki membawa bekal makanan ke sekolah. Bekas air minuman pun susah hendak dikendong ke hulu hilir, ini kan pula membawa bekal. Lebih susah lagi kalau pelajar Tingkatan 5 yang tergolong dalam kategori hensem .

Hairan juga saya. 

Kalau ada yang membawa bekal pun biasanya nasi lemak bungkus dalam plastik merah. Ini, siap  berbekas Tupperware warna biru lagi. Rajinlah pulak budak ini membawa bekal. Pasti berjmat cermat orangnya.

Taklah cikgu... ni kawan bagi.

Aii... baiknya kawan awak. Ni mesti kawan perempuan ni..

Dia hanya tersenyum . Wah.... untunglah ada yang sayang ya.

*kalau punya anak perempuan di rumah asyik membawa bekal ke sekolah, mungkin juga kerana berkongsi kasih dengan rakan di sekolah... kan :)

*tak ada pulak anak murid nak bagi saya nasi goreng dalam bekas tupperware ... :(

Salam Jumaat.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 22, 2011

Kena rasuk....

Dia tiba-tiba menjerit , cikgu. Mula-mula orang ingat dia pengsan, dia bangun terus pegang kepala kawan sebelah, kemudian pegang leher kawan dia tu, macam nak cekik.


Awak tengok ke?


Tak... Kawan saya cerita.


Mmmm


Tapi dia tu budak baru cikgu. Sebelum ni pun, dia pernah kena rasuk juga kat sekolah lama dia.


Awak kenal ke dia?


Ya, saya kenal.
.

Sahut pelajar yang lain.


Benda yang rasuk dia tu besar cikgu. Warna hitam.


Ya?


Memang besar, tinggi pulak tu.


Awak pernah nampak ke?


Ya , saya pernah nampak. Baru ni saya nampak lagi,
sahut budak kecil yang menyampuk tadi.


Pelajar yang lain memasang telinga.


Peristiwa yang berlaku semasa perhimpunan pelajar petang tadi, masih hangat. Dan saya yang tidak tahu apa-apa kerana berada di makmal mengajar pelajar pagi cuba mengorek berita dari pelajar tingkatan satu yang saya ajar ini.


Baru ni saya nampak lagi cikgu.... Memang besar, warna hitam.


Tersembur-sembur air liur nya menunjukkan kesungguhannya.


Kat mana? Kat sekolah ke?


Tak... Kat rumah saya.



Tak sangka pulak budak kecik ini pernah menengok lembaga yang boleh merasuk manusia.



Kat rumah?


Ya..., ..... Kat Astro Ria. Cerita mistik.....!



*ish.... Memang kecik je budak ni dalam pandangan mata saya.



~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 21, 2011

laila dan majnun atau romeo dan juliet?

Sesekali mata bertentang. Senyum pun menguntum di bibir.

Tangan Romeo  perlahan merangkul bahu. Senyum bertaut semula. Juliet tersipu seketika. Menoleh kepalanya perlahan ke arah bertentangan. Pantas Romeo merapatkan hidungnya mencecah rambut Juliet. Dihidu dalam-dalam. Bau syampu di rambut Juliet harum semerbak. 

Juliet tak marah. Hatinya berbunga.  Dipegang pergelangan tangan kiri  Romeo. Tangan bersilang. Juliet mahu tengok jam berapa rupanya.

Order?

Ah , mamak kedai ini menghalang pandangan saya pula. Drama sebabak secara live di hadapan mata terganggu siarannya seketika.  Yang jelas nampak, muka mamak menunduk, misai si mamak kasar-kasar tersusun atas bibir.



Nasib baik, kau datang mamak. Kalau tidak, loya mengadap adegan budak mentah yang tidak hirau orang di sekeliling ini memang boleh membarah.

Mee goreng mamak satu. Milo ais. O..ya... telur mata.

Selesai mamak mengangguk, saya lihat Romeo dan Juliet sudah bangun dengan beg masing-masing hendak ke kelas tuisyen di atas kedai mamak.

*Si Romeo budak tingkatan 5 sekolah saya, buat-buat tak nampak cikgu sekolahnya ini walau duduk mengadap . Mentang-mentanglah saya tak mengajar dia. Si Juliet, saya tak kenal, tapi dalam usaha mencantikkan wajah dengan braces penuh menutupi gigi. 

Alahai, cinta si Laila dan Majnun di kedai mamak...

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 20, 2011

Hidung bengkok dan rambut mengurai

Mangga.

Bila sebut mangga pasti ada yang mulutnya basah terliur. Itu tindakan spontan. Tidak boleh dibuat-buat atau ditahan-tahan.

Tapi, mangga yang hendak disebut ini, bukan mangga buah. Mangga kunci, fungsinya untuk mengunci, menjaga keselamatan. Mungkin ada barang berharga yang kita pasti ada orang lain berniat jahat ingin memiliknya, maka kita mengunci ia dengan mangga dalam bilik atau dalam peti besi.

Kalau kita mengunci orang dalam bilik? Kenapa? Takut orang lain yang berniat jahat itu menculik orang tersebut kah?

Aikk....?

Suara dari luar makmal. 

Pelajar pagi kelas paling hujung ini sudah lama keluar. Tinggal saya di dalam makmal, membersihkan mana yang patut dan menanda buku pelajar yang tadi. Kerja menanda seeloknya tidak ditangguh. Satu-satunya rutin yang saya cuba jaga amat, sebab bila sudah menangguh, pasti ia bertimbun-timbun, dan menanda buku bukanlah pekerjaan yang menarik atau adventurous.

Oh, rupanya guru dari sesi petang sudah bersedia untuk masuk menggunakan makmal tersebut bagi sesi pengajarannya. Cuma masalah beliau ialah beliau tidak dapat masuk ke dalam makmal tersebut sebab pintu grill tersebut berkunci dengan mangga, sedangkan saya duduk di dalam makmal tersebut...

Saya dikunci di dalam makmal.

Siapa lagi punya angkara?

Mmm, tak pe, Hana. Budak-budak tingkatan lima ni tadilah ,  diorang pi kunci mangga ni.

Cikgu Hana buat muka keliru. Kemudian tersenyum semula, bila saya keluarkan kunci mangga dari dalam hand bag dan membuka pintu makmal tersebut.

*apa akal ya, nak cari tukang kunci mangga ni tadi dan denda yang patut saya buat? 


beware
Jaga kau budak ! ... *bunyi suara ala-ala witch hidung bengkok dan rambut mengurai

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, June 19, 2011

dia dah tak sayang saya

Hari Ahad sentiasa pantas waktunya. Memangkah perjalanan masa itu yang pantas atau kerana rasa dan perspektif kita tentang hari itu sendiri menyebabkan ia jadi sedemikian? Entah. Bukan Ahad itu yang menjadi masalah sebenarnya. Cuma tanggapan dan letak minda sendiri yang perlu diperhalusi dan dibetulkan semula.

Dalam banyak kerja yang perlu dibereskan, masih lagi mencuri masa hendak mengemas kini entri.

Baju berlipat yang perlu disusun semula dan perlu digosok, segunung di sebelah laptop ini, saya buat tak peduli saja. Kerja di rumah tidak ada sesiapa yang hendak memantau dengan fail dan diberi penggredan sama ada mencapai KPI atau tidak, itu yang kadang, buat-buat tak nampak kesemakannya. Tapi, tetap dilunaskan mengikut mood, yalah, takkanlah hendak duduk dalam rumah umpama sarang tikus pula.

Dia nampak dingin, tidak menelefon atau bersms seperti dulu lagi kak.

Aduh... payah. Masalah terkait dengan perasaan memang sukar diladeni. 

Itu petanda, dik.

Petanda? Dia dah tak sayang saya ke?

Sayakah yang perlu menjawabnya? Matanya bersarung harapan, seolah, jawapan saya boleh melegakan perasaannya. Sedangkan saya tahu, dan dia juga maklum duduk perkara sebenar dalam perhubungan yang masih belum termateri itu. Segalanya mungkin.

Agaknya sebab saya terlalu mendesak, kut. Dia jadi tawar.

Desakan berterusan memang menyesakkan. Apatah lagi kalau desakan itu membuat pasangan buntu. Desakan untuk diberi perhatian berlebihan, inginkan rasa diambil berat berterusan, walau sememangnya sebuah perhubungan itu inti dasarnya adalah perhatian dan ambil berat. Tapi , kalau diminta teramat, nantinya yang memberi pasti akan mengalami situasi kering... kering hati dan perasaannya.

Apa nanti jadinya saya, kalau dia dah tak nak saya lagi , kak?

Ish... awak takkan jadi apa-apa. Sedih memang, tapi awak tetap awaklah. Masih ada lagi yang lain yang kasih dan mengharap awak, walau rasa kasih itu tidak sama rasa seperti kasih dia , tetapi ia asli dan sejati. Emak dan bapa awak kan masih kasih dengan awak....

Tapi saya sayang sangat kat dia kak...

Siapalah yang boleh menidakkan rasa itu. Ia hadir perlahan-lahan dan membukit. Tetapi sekali ia direntap, sakit dan pedih menjalar dalam lompong hati itu. Seperti mana perlahan-lahan ia membukit, seperti itu juga ruang masa perlu diberi untuk menghilangkan pedih dan sakit. Masa. Lambat dan perlahan. Dan sampai nanti satu hari .... setelah lama nanti, sakit itu akan tawar juga.

Tidak seperti masa di hari Ahad ini. Pantas sekali...

Salam Ahad petang...

~cikgunormah@klcitizen~








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 18, 2011

Tips untuk lebih kreatif

Sedang senak perut.

Inilah angkara tidak mendengar pesan. Makan setelah lapar, berhenti sebelum kenyang. Itu pesanan ramai orang. Tetapi mengikut hati dan pandangan mata, kesannya hendak baring salah, nak duduk pun tak selesa.

Meriahnya kita yang duduk di bumi bertuah ini, undangan untuk menjamu selera selalu tak putus.

Kali ini menghadiri majlis cukur jambul cucu di rumah jiran. Sementelah pula, jiran ini memang pandai betul memasak, maklumlah caterer, segalanya serbanika yang dihidang, fuhhhh.... Menjilat jari!

Kak normah tahu?

Tak...


Memang dah jadi budaya kita memula cerita dengan pertanyaan sebegitu kan.

Selalunya lelaki yang kreatif, bijak-bijak contoh ustaz, pensyarah, pemimpin, artis ramai yang akan kahwin lebih dari dua.

Pertama kali pula saya dengar teori ini.

Suaminya seorang pensyarah di sebuah universiti yang berdekatan. Pernah menjadi ketua rombongan meminang isteri kedua untuk rakan pensyarahnya. Dan ujar beliau, ramai ustaz-ustaz yang berkahwin lebih dari satu di kalangan rakan-rakan suaminya itu. Yalah, ustaz-ustaz kan banyak ilmu dan lebih faham tentang istilah adil untuk mempraktikannya.

Kenapa pulak ya?

Ingin juga mendengar teori dari rakan yang baru saya kenali ini. Muda lagi orangnya.

Orang yang kreatif dan bijak tu kan dia sentiasa perlu idea yang baru dalam hidup dia. Dia perlukan kepelbagaian bagi merangsang fikirannya untuk menjana idea. Sebab itu dia kena kahwin lebih dari satu. Tak boleh ada satu pasangan je seumur hidup dia. Nanti fikiran dia beku dan tumpul

Oo...alah. Begitu pulak hujahnya ya. Sekali fikir ada logiknya juga.

Patutlah Mr Salih Yaacob mesti berkahwin lebih dari satu. Kalau tidak susah juga nak menghasilkan lawak-lawak dalam bidang kariernya kan...


selamat berhujung minggu

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 17, 2011

kalau meminjam, memanglah kena pulangkan semula

Dalam dua hari ini asyik mendengar berita kematian.

Pasti orang yang sekadar mendengar dan orang yang menghadapi kisah kematian insan yang rapat dengannya punya rasa yang sangat berbeza. Semua pun tahu, setiap hari pasti ada yang akan menerima ujian tentang kematian. Bila mana insan tersayang diambil rohnya mengadap Tuhan Rabbul Jalil. Perasaan hiba berkecamuk dalam dada, dan rindu dendam yang tidak sudah akan membelit rasa serta jiwa.

Walau kita tahu, kita sebenarnya tidak memilik sebarang benda pun di dunia ini, hatta badan yang membalut nyawa ini juga milik Allah, serta semua ini hanyalah pinjaman sahaja; yang bermakna, bila-bila masa sahaja tuannya inginkan, kita perlu pasrah dan reda sahaja memulangkan semula, tetap.... tetap ada kala kita bertanya kenapa kita yang diuji? Kenapa kasih cinta kita yang diambil dulu nyawanya?

Kenapa?

Mudah sahaja meminta insan lain bersabar. Hakikatnya kesabaran itu seolah batu besar yang menghimpit , menyesakkan dada dan menyukarkan sekali.

Namun ajaibnya kasih Allah, andai reda itu bertapak, hati yang terhimpit itu pasti menjadi kuat dan tabah. Tidak sedikit contoh yang dapat kita lihat. Kesedihan dan kerinduan tidak hilang, tetapi semangat meneruskan kehidupan tetap terus kuat dan teguh.

Bagi yang sedang dirundung duka, moga Allah menyisipkan rasa tenang di hati dan diberi kuat untuk mengatur langkah semula. Tidak kiralah apa ujian yang sedang kita lalui, moga ia meningkatkan iman di dada.

Salam Jumaat.


~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 16, 2011

makan ubat kurus

Puas meng'google' semalam mencari jalan ke Segambut Jaya. Nama saja duduk di KL , tetapi perjalanan saya banyak berlegar di kawasan perumahan dan kawasan sekolah tempat saya bertugas, yang sememangnya berhampiran benar dengan rumah.

Nasib baiklah pergi berteman rakan guru dari SMK Air Panas, jadi tidaklah malu kalau terlambat masuk ke program sebab sesat. Bila dah tetua ini, perasaan debar lambat ke program tidak terasa sangat.

Seronoknya pergi bertugas luar ini ialah peluang berjumpa dengan rakan-rakan guru dari kawasan yang lain.

Saya baru tahu kawan saya satu sekolah di Sarawak meninggal dunia , kak Normah.


Ya? Innalillah... Sakit apa?

Dia makan ubat kurus herba dari jenama terkenal. Buah pinggangnya rosak dalam beberapa bulan sahaja. Berapa umur dia?  Muda lagi, 30 an.




Ubat kurus rupanya boleh membunuh, kawan-kawan. Saya insaf sebentar. Cukuplah diet 'yo-yo' saya. Kejap makan nasi, kejap puasa nasi. Kejap makan oat, kejap tak pandang pun oat tu sebelah mata.

*jalan di segambut lebih memeningkan kepala rupanya.


~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 15, 2011

sejahtera dan merdeka

Tak habis lagi babak Kak B dengan si perompak semalam, lewat petang tadi babak lain pula yang timbul.

Kebetulan menelefon rakan guru dari sekolah lain, lantas mendapat tahu beliau juga menerima musibah baru-baru ini. Keluar dari kereta berseorangan memasuki pagar rumahnya, rupanya dua orang pemuda 'kita' mengekori.

Bersenjata parang dan gergaji kayu balak, rakan tersebut ditolak dari belakang dan ditahan dari bangun. Wang, hand bag dan barang kemas disamun. Jiran-jiran hanya berani memerhati dari jauh, takut untuk dirinya dan diri mereka.

Yang menambah geram katanya, ada dua perkara. Pertama semasa di balai polis, polis yang menerima aduan hanya tersenyum dan memberitahu , ini perkara biasa. Malahan, isterinya juga pernah kena. (Jadi?)

Perkara kedua, katanya, dalam masa dia menunggu di balai polis tersebut, lebih kurang 2 jam, datang mangsa yang lain dari kawasan berhampiran rumahnya, juga disamun oleh penyamun yang menaiki motor bernombor plet yang sama seperti penyamun yang menyamun rakan saya.

Dalam masa 2 jam itu, penyamun masih punya upaya untuk menyamun tanpa ada tindakan dari sesiapa. Sejahtera dan merdeka sungguh negara kita untuk golongan penyamun dan penyangak ini...

Alahai...

*duduk di negara orang lain lebih selamat rupanya, agaknya kerana semua penyangak, penyamun, dan hackers seluruh dunia sedang berkumpul di sini, mungkin... Ada persidangan ke apa untuk diorang di sini, ya?

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 14, 2011

kalau dapat nak hentam, tumbuk sampai lumat, cincang-cincang dan di ratah-ratah macam karnivor

Sibuk sana sini.

Maklumlah, sudah pertengahan tahun. Kemuncak dalam setahun, perlu dilunas mana yang patut dalam beberapa bulan ini sebelum acara berpuasa dan berhari raya. 

Kalau menjadi guru sekolah harian, apa lagi yang dikhuatirkannya selain dari sukatan yang masih belum selesai, dan latih tubi yang belum banyak tara mana, jika hendak dibanding dengan guru-guru sekolah berasrama penuh, yang dengar katanya ada yang sudah pun menghabiskan sukatan dari bulan April lagi. Aduih.... saya yang mendengar terasa nak demam dan seluruh isi dada terasa seram sejuk lah pulak.

Acara sukan pun sedang sibuk berlangsung. Arahan pihak atasan, kenalah mendengar dengan patuh dan kewajipan itu dijalankan setaat yang boleh. 

Kekadang terfikir juga, terkejar-kejar ke sana ke mari, solat yang wajib itu pun lewat dilaksanakan. Bukan mengata orang. Mengata diri sendiri. Kejap lagilah, kejap lagilah.... akhirnya hampir  di hujung waktu baru tertonggang-tonggek.

Dari jauh nampak orang berkerumun di hadapan surau guru perempuan. Mendengar Kak B bercerita dengan aksi-aksinya sekali. Sibuk. Sayalah, si tukang sibuk. Hendak juga mendengar, tidak mahu ketinggalan isu di sekolah. :)

Mendengar dan melihat aksinya, saya dan rakan-rakan di keliling pun turut terasa tempias traumanya. Geram, sakit hati, kalau dapat memang nak hentam,nak tumbuk sampai lumat,  kalau boleh juga nak cincang-cincang dan di ratah-ratah macam karnivor.... kalau boleh, dan memang tak boleh pun.
Rupanya, kak B mendapat musibah semasa dalam perjalanan ke sekolah semalam. Kereta dipandu perlahan di Jalan Ampang, kerana kesesakan jalan. Cermin tingkap di bahagian penumpang diketuk pecah, dan beg tangannya yang terletak di tempat duduk penumpang dirampas. Sempat lagi kak B dan si perompak bertentang mata berpandangan. Ha... semasa mendengar kisah kak B, geram membuak-buak dan perasaan kasihan atas kesusahan yang perlu ditempuh memenuhi dada.

Si perompak, peragut, penipu, pembunuh, penculik.... juga sibuk waktu-waktu ini. Apa lagi puasa dan Hari Raya yang makin hampir, barang-barang yang naik harga, suhu makin panas, sewa makin melambung, jalan makin sesak, manusia makin ramai..... hidup makin semput kalau hendak difikir-fikir. 

Jiran penjual steak di Keramat ini juga baru sahaja dirompak dalam rumahnya semalam.

Malaysia yang kini negara sejahtera buat si penyangak.

Haish.... berhati-hatilah, doa moga kita sentiasa selamat dunia dan akhirat.


~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 13, 2011

muntah dan loya

Kenapa nampak macam sakit je?


Eh, tak sihat ke?


Lain macamlah nampak sekarang. Dari belakang dah tak macam Normah dah....

Stress sungguh lah hari ini. Bukan stress sebab beban mengajar. Tidak. Mengajar tu kan sudah macam makan nasi, kunyah-kunyah, telan, kunyah lagi... telan. Tak ada masalah. Alhamdulillah.


Punch-in pukul 10 pagi, terserempak dengan ramai kawan di ofis, di laluan ke bilik guru dan di dalam bilik guru juga. Masing-masing muka berseri, saya lihat. Ada yang makin putih melepak pulak kulitnya. Aii... buat facial ke setiap hari? Jealous lah pula.. :)


Masalahnya? Baju sendatlah pulak hari ini. Semua angkara ini lah. Kerana angan-anganku musnah, stress, black Monday, Monday blues ...segalanya ada.


Memang sudah terasa, beban lebihan yang terpaksa dipikul lewat ini. Hati senang, jiwa tenang, bertambah ukuran pinggang. Aish... tak boleh jadi. Membebel sahaja pun tak guna.


Eh, nampak macam Normah berisilah sekarang. 

Kawan-kawan ..., perkataan berisi ini membawa banyak konotasi. Tetapi, maksud yang tersiratnya sangat jelas. Dan tetap, ramai kaum Hawa termasuklah saya, yang sangat alah dengan perkataan ini. Semangat jadi jatuh merudum dan perlu dikutip satu-satu semula. :D

Lain kali kalau jumpa saya, apa salahnya kita olah skrip jadi begini.

Eh, nampak berserilah kak Normah. Kulit muka macam tegang je.   *saya dah tersengih tak sedar diri.

Mana ada, kak Normah macam biasa je . *buat-buat tak kisah

Betullah.

Eh, tak adalah. Kak Normah rasa Kak Normah berisi lah sekarang.  *cuba memancing.. :)

Tak adalah, kak Normah memang maintain slim je la. Tak nampak pulak berisinya kat mana.

Ha... kan sedap sikit skrip ni. Lepas tu kalau korang nak pergi muntah ke, rasa loya ke...lantaklah .. Janji, hati saya berbunga... hehehe

*rutin , rutin, rutin...

~cikgunormah@klcitizen~





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, June 12, 2011

sexting dan pelacur kelas atasan

Esok dah sekolah. *nada sedih

Kuatkan semangat, cikgu. Gaji bulan-bulan tu bukan diberi percuma ya. Ia datang bersama tanggung jawab dan harapan ramai orang. Cikgu tu antara pekerjaan mulia yang tak semua orang dapat jalankan dengan betul.


Eh ceh ceh ... cuba menyuntik motivasi dalam diri, walau tiba-tiba hari ini belakang pinggang sakitlah pulak dan kaki rasa lenguh. Agak-agaknya kalau jumpa doktor, dia beri ke tidak MC?  :)


Dalam akhbar The Star hari ini, bahagian dalamnya penuh 2 mukasurat tentang OWC. La... cerita sudah nak basi baru saya nak masukkan dalam blog ke? Orang lain sudah lama bermain dengan kata OWC dalam permainan SEO untuk menaikkan trafik blog masing-masing dan saya baru nak terhegeh buat entri.

*OWC = Obedient Wives Club


Sampaikan en abang askar ni pun tanya saya. Sebenarnya malas hendak bercerita tentang OWC ini. Sebab saya pun memang kategori OW. Hahaha :) Jangan marah! Syurga seorang isteri itu di mana agaknya? Secara literalnya lah kan... bukankah ramai isteri-isteri yang taat ada di sekeliling kita sekarang?


Kalau di sini sibuk dengan isu OWC , di New York pula sibuk juga dengan suami yang mungkin tidak punya isteri yang taat. Memandai saja saya ni kan... Sebenarnya sibuk isu sexting. Kalau mengikut maksud sexting dari Wikipedia , sexting ini ialah seni menghantar mesej atau gambar-gambar berbaur seks melalui media utama handphone.


Kes sexting di sana menjadi hebat apabila seorang ahli Kongres mereka didapati menyebar gambar-gambar tidak patut dia melalui twitter, kepada  remaja wanita bawah umur. Aishh... salah isterinya lah tu... tidak punya skil seperti pelacur kelas atasan. :D

Ha... kan.

Aduiii... sakit kat mana ? Kat hatilah. Sebab esok nak sekolah.


Pada saya tidak ada isu sama ada wajar ke wanita bergelar isteri taat pada suaminya. Cuma mungkin, semasa Dr Rohaya Mohamed membuat sidang media itu dulu wajar juga difikir kata-kata berhikmah yang perlu diguna pakai.


Saya fikir, sekarang ini orang bukan mempertikaikan kewajaran seorang wanita itu perlu taat, tetapi kewajaran penggunaan perkataan pelacur kelas atasan itu membanding tara wanita soleh yang syurganya dibawah telapak kaki suami dengan wanita sebegitu rupa. Saya pasti sang pelacur juga tidak mahu dirinya dilabel sebagai pelacur walau kelas mana pun dia berada.


Mungkin kalau (*kata yang tidak perlu ) idea OWC dipersembahkan dalam cara yang berbeza lebih ramai yang akan mengangguk setuju. Tapi, mana benda baik yang tidak akan dapat penentangan. Sudah lumrah dunia begitu rupa, kan.


*Ahad, bolehkah engkau bergerak lebih perlahan hari ini...?

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 11, 2011

lurah depan atau belakang?

Cepatlah bang. Tahulah hari ni hari Sabtu, hari cuti. Esok pun cuti juga. Esok dah Ahad. Kalau ya  pun, tak bolehke laju sikit.

Kalau boleh, memang tidak mahu pandang ke hadapan. Tapi kalau sudah dia tertonggok di hadapan kita nak buat macamana kan. Cuba juga melihat di sebalik dia, tapi memang tidak punya mata berkuasa ala jin gitu. Kalau ada ilmu sebegitu, patut juga belajar bagi menghadapi situasi sebeginilah.

Kata orang, pandang sekali kalau tidak sengaja tidak mengapa. Dimaafkan. Tetapi kalau sudah terletak depan mata, dan asyik juga dia di situ hendak buat bagaimana ya.

Marah?

Habis sudah ayat luahan geram terkumpul dalam kepala. Tapi sebenarnya bukannya dapat didengar oleh budak mat motor di depan saya tu pun. Aish...

Sudahlah keperlahananan motor yang dibawanya itu begitu menduga keimanan dan kesabaran, ditambah pula dengan tidak menutup auratnya dia. Bulu kaki lebat dik ooi, sampai ke peha... Bukan... bukan bulu kaki tumbuh sampai ke peha, tapi auratnya terbuka melebihi lutut. Nampak sebahagian peha.

Itu satu bab. Bab yang kedua pulak, seluar tu jenis londeh ke atau getah seluar dah keras? Nampaklah pulak lurah di belakang dik... Kalau minah montel tunjuk lurah kat depan tu, faham lah jugak. Tapi apa pulaklah halnya mat motor ni.

Nasib baik juga skill potong memotong kenderaan di hadapan sempat saya khatam walau jalannya agak sempit dan suasana sebelum pilihanraya yang tidak memungkinkan jalan raya diturap sebelum masanya menjadi penghalang. Tetapi tetap saya kuatkan semangat memotong.

Rupanya ... Cik abang motor sedang bertextting atas motor.

Geram!!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 10, 2011

kena cekik

Kena sumpah.

Itu memang menakutkan. Apatah lagi kalau disumpah kecelakaan dalam hidup. Lebih pula kalau sumpah itu secara kebetulan membawa kematian. Kebetulan yang ditakdirkan.

Mak ingat lagi Wak di Batu Laut tu. 

Emak terus mengopek buah, sambil saya perhatikan jari jemari emak yang sudah kematu dan berkedut seribu.

Memang banyak wak di daerah Kuala Langat, Selangor. Yang perempuan di panggil wak, yang lelaki juga digelar wak.

Kerjanya memetik buah kelapa. Entah macamana terpikat dengan seorang janda, dan kisahnya dihidu oleh isterinya. Sebelum isterinya itu mati sebab kanser, isterinya bersumpah akan mencekik suaminya jika beliau kahwin juga dengan janda tersebut.


Saya sudah terbayang hantu 'Mak Limah', mencakar-cakar dinding rumah, cuba masuk hendak mencari leher suaminya. Dengan mata bulat hitam keliling dan pastinya berbaju putih mengerbang tidak berjahit, pasti tragis dan mengerikan jika mati dicekik begitu. Aduii... terasa ketat leher saya pulak, tiba-tiba.


Bila isterinya mati, seperti yang diduga, wak tu pun kahwin dengan janda tersebut.  Pause . Akak tau...?


Bijak...bijak emak mewujudkan unsur  suspense dalam penceritaannya.

Tak.


3 hari lepas dia kahwin, mati si wak tu...


Kena cekik ke?


Tak, pokok kelapa yang dia panjat tu, tumbang, dia mati terhempap. Mati kat situ jugak...


Tak tengok leher dia ke?


Entah, mak pun tak tahu... 


Patutnya, tengok leher dia kan mak, ada kesan lebam kena cekik tak.. 


Perangai saya memang tak boleh diubah. Emak tertawa kecil.

sumber


Moral of the story?

Lain kali kalau bini tak bagi kahwin dengan si A, janganlah.... kahwinlah dengan si B atau si C sahaja.

Salam Jumaat.

*bersedih hendak meninggalkan emak di kampung dan kembali ke KL

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 9, 2011

noktah

Segala yang berlaku membawa saya kembali ke situasi 11 tahun lepas, mengadap jenazah ayah sendiri. Tiba-tiba ia terasa segar,  dan sedih yang ada dalam dada muncul mendadak.

Banyak yang sepatutnya saya lakukan tetapi tidak saya buat masa itu. Banyak sangkaan saya tidak seperti yang tertera di minda dan perasaan. Dan banyak sesalan yang hadir menyelinap kemas dalam hati dan benak fikiran.

Menziarahi situasi kematian memang menginsafkan. Kerana itu ia menjadi saranan dalam hidup kita sebagai insan Muslim, menjadi kewajipan fardu kifayah, menziarahi jenazah. Apatah lagi kalau yang pergi tertakdir lebih dulu adalah kaum keluarga sendiri.


Ibu saudara,  perginya mendadak, kerana ini ketentuan Allah. Yang pasti kematian itu memang janji Allah yang tidak dapat kita hindar. Cumanya, perjalanan selepas itu yang menggusarkan hati dan fikiran kita. Dan, derap kaki kami meninggalkan arwah mengingatkan saya pada peristiwa alam barzakh yang pasti kita juga akan tempuh.


Apa lagi yang bisa dibantu?... Cuma doa agar Allah menempatkan roh beliau di kalangan insan soleh. Nanti saya juga akan menyusul satu hari nanti. Itu memang pasti. Bagaimana dan di mana,  itu terpulang pada takdir yang tentunya tidak dapat dijangka oleh sesiapa.

Cuma, harapan dan doa saya juga, seperti doa-doa sesiapa sahaja, moga,  nanti bila setiap kita tegak berdiri melihat timbangan paling adil yang tidak tergambar itu, tetap ia akan memberat di sebelah kanan. Alangkah menggunungnya harapan itu..  


Al Fatihah untuk Arwah Hajah Suchinah bt Hajah Halimah.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 8, 2011

tak tahu hujung pangkal



Hidung ini makin kembang sekali ganda. Ayam pulak berkokok di luar, macam mendengar lintasan hati dan mengiyakan. Apalah kena mengena hidung kembang dengan kokok ayam kan...

Hidung gatal ya amat, mata pun sama.

Alergi lah tu. Orang kata resdung kan. Haaaaatchum! Entah , kali yang keberapa, tak tahulah.

Sesekali mengelap hidung kuat-kuat, geram dek gatal dan hingus yang tak habis. Sampai merah kelopak hidung dan terasa berat hidung ini melekat di muka dari biasa.  :)



Dalam pada hidung gatal, merah menyala sempat lagi membawa emak menziarah kakaknya di ICU Banting. Waktu ziarah yang terhad, yalah, pesakit perlu rehat. Tetapi sanak saudara memang pasti hendak menjenguk juga kan. Mendoakan dan melihat bagaimana.

Apa yang tidak seronoknya tatkala menziarah ialah perasaan tidak tahu. Anak beranak pun tak tahu hujung pangkal penyakit si emak, rawatan apa yang sedang diberi dan bagaimana rawatan susulan. Biasalah orang kampung. Agaknya bila doktor memberi maklum pun, ramai yang tidak faham istilah atau terma yang diguna pakai.

Masuk ke dalam bilik ICU, misi yang ada pun sibuk dengan hal masing-masing. Bila bertanya pun, acuh tak acuh sahaja menjawabnya. Yalah, orang sibuk dengan kerenah birokrasi dan hal pesakit. Mana yang lebih penting? Melayan pesakit ke atau melayan kerenah sanak saudara pesakit.

Duduk lah kami. Sesekali berkeluh kesah tentang cuaca. Membaca apa yang patut dibaca dan disedekahkan. Menunggu hingga jam dua untuk berangkat balik.

*beratlah pulak kepala menahan kantuk setelah menelan pil kecil molek sebiji. 

~cikgunormah@klcitizen~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tuesday, June 7, 2011

doa

Mak sibuk memasang api dapur. Tangkas tangannya meletakkan apa yang patut. Sekejap ke kiri, ke kanan, ambik itu, ambik ini, letak itu , letak ini...

Kalau awak dengan emak berjalan sama-sama, emak awak berjalan lebih laju tau...

Pernah suami memberi ulasan melihat cara saya berjalan dan bekerja. Hahaha. Saya banyak mewarisi perangai aruah ayah yang lebih tenang dan lambat... :)

Kalau memasak dengan emak, memang tak lama duduk di dapur. Walau saya secara sukarela meminta dia duduk berehat sahaja dan hanya saya yang memasak untuk hari ini, tetap dia meningkah. Kerana tahu sangat, kalau anaknya yang ini memasak, entah pukul berapalah nak siap agaknya :) Jadinya, saya hanya menjadi pembantu chef di dapur hari ini.


Ni no...ni no...ni.. no! Ni no...ni no...ni.. no!

Rumah emak betul-betul di tepi jalan besar.

Oh... siapalah yang sakit pulak tu ya?

Emak terhenti sekejap, memasang telinga.

Ya Allah, selamatkanlah orang dalam ambulan tu.

Saya pun ikut mengaminkan doa emak yang disebut kuat tadi. Itu cerita pagi tadi. Balik lewat petang  membawa anak-anak buah berjalan, emak pantas masuk ke bilik saya.

Akak, Wak masuk ICU pagi tadi. Kat Hospital Banting sekarang.


Yang ambulan lalu tu lah kut emak...


Ya... alhamdulillah, mak ikut pesanan Ustaz. Kalau dengar ambulan lalu, doakanlah agar pesakit dalam ambulan itu Allah selamatkan dan mudahkan urusannya. Alhamdulillah, dapat jugak emak doakan untuk kakak emak sendiri.


Muka emak sedih.
Saya pun ikut sedih sama.

*beberapa atur cara esok akan dirombaklah nampaknya...

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Monday, June 6, 2011

tidak menopause

Camana lutut emak?

Itu modal bicara pembuka mulut. Walau saya sudah tahu jawapannya. Di wajahnya sendiri sudah ternampak beban sakit yang dibawa dalam setiap langkah. Dan saya kira itulah warisan yang akan saya terima nanti bila usia saya menginjak ke usia yang sama dengan emak. Itu pun kalau Allah beri peluang lanjut usia sebegitu.

Apa lagi... Dera emak suruh bersiap. Tak kira. Pergi klinik lah juga. 

Nanti dia injek kat mana, akak?

Entahlah mak..

Ada getar takut di mata emak.

Ah... menyesal sungguh saya dulunya tidak belajar sungguh-sungguh. Kalau tidak sudah tentu kini  bergelar Dr Normah dan pasti saya tahu jawapan pada soalan emak. :)  Itulah padahnya asyik berangan semasa belajar...  :D

Ingat tu adik-adik semua ... pesan orang tua jangan dilupa!

Selesai segala, nampak emak lebih ceria. Walau tahu, suntikan berkala akan datang, perlu diteruskan lagi tanpa saya yang menemankan.

bila tiba masanya nanti, hidup dilangsungkan bersama
 pil-pil sebagai  penghilang derita

Nasib baik doktor tu tak bagi pil putih yang dulu tu. Katanya pil hormon.

Mak taknak pil tu ke?  

Mak geleng kepala

Kenapa

Bila habis je makan pil tu, mesti datang haid. Ish... dah tetua ni lecehlah pulak.

Patutlah emak nampak berseri je ... dah tak menopause rupanya.

Saya buat lawak. Memang doktor tersebut ada menjelaskan kesan pil hormon tersebut, iaitu selain mengurangkan rasa sakit, ia menyebabkan pengeluaran darah minima seperti datang haid.

Emak senyum.
Ahhh.... memang nasib baik sungguh doktor tak beri pil tersebut.


*kalau tidak bagai terdengar lagu ... Ayahku kahwin lagi, bertukar lirik menjadi ibuku kahwin lagi...



~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sunday, June 5, 2011

peluk erat

Dari sejak tengahari tadi, sengaja mendukakan hati sendiri.

Ada juga perangai buruk begini, kan. Sudah tenang damai, ingin juga merendamkan hati sendiri dalam masam kelat rasa.

Sebenarnya berlegar-legar di ruang maya hari ini, menghabiskan masa dan menyinggah, merisik kabar kawan-kawan blog  yang sudah lama tidak dijengah. Mata langsung terhenti di blog En Fudzail. Seorang penulis yang rasanya sedang bermastautin di Dubai. Kalau saya tidak silap. 


Ya, kisah lama. Tapi masa insiden tersebut berlaku, sekitar tahun 1995, saya tidak begitu ambil pusing dengan apa yang berlaku pada saudara kita di sana. Seperti biasa. Tidak peka serta kurang peduli. Namun , membaca artikel En Fudzail, membuka kelopak mata dan kelopak hati saya.

Menonton video-video tahun 2007 itu menginsafkan saya ya amat. 

Terasa sangat, betapa manjanya saya menjadi manusia. Panas sikit, sakit kepala; kurang tidur sikit, migraine; sejuk sikit, selesema.... 

Tidak dapat hendak membayangkan bagaimana kiranya saya ditempatkan dalam situasi seperti wanita-wanita Bosnia, Palestin atau Uighur itu yang sama kalimahnya memuji Allah dan bersaksikan Nabi Muhammad sebagai Rasul, namun, hidup mereka jauh lebih sengsara serta derita ...



Bertuah. Memang bertuah.

Dan rasa syukur yang amat, kerana masih lagi boleh memeluk erat orang-orang yang saya kasihi.

*tiada monday blues malam ini! yeayy... untuk seketika.

~cikgunormah@klcitizen~



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Saturday, June 4, 2011

ulang tayang

Kisah ini sudah diulang tayang dalam fikiran saya entah berapa kali sudah. Sama butirnya, koma dan noktahnya juga sama pada hela nafas yang sama.

Tapi, tetap saya duduk di situ.

Membayangkan bau perigi di belakang rumah, mendengar kerik basikal yang dikayuh semasa mengangkat air bersih dari pili di tepi kedai India yang dimaksudkan dan merasa sakit di peha dicubit-cubit akibat perangai adik-adik. Dan saya ternampak-nampak budak kecil perempuan belasan tahun sibuk mengira duit syiling hasil jualan kedai runcit neneknya, sambil tangannya pantas menyeludup sesen dua ke dalam kantung baju kurungnya.

Dan waktu malam ada pakcik menjual buah berangan panas-panas lalu di depan kedai runcit mereka sambil budak perempuan itu berlari-lari dengan datuknya ke arah penjual berangan, membeli sekampit dua untuk dijamah selepas isya' nanti.

Kejap-kejap emak mertua menyeka airmatanya yang mengalir teringatkan aruah nenek dan datuknya sambil bercerita kisahnya yang entah sekian kali diulang-ulang. Kejap-kejap dia tertawa kecil menampakkan senyumnya yang masih manis, walau giginya telah banyak yang tanggal. 

Saya pun ikut tertawa sama. Lucu itu masih ada walau telah banyak kali saya dengar. Ibarat menonton filem P Ramlee. Tak jemu.

Dan saya tetap menyoal, seolah-olah baru pertama kali itu mendengar. Entah.... kenapa, memang sifat saya begitu. Agaknya saya ada bakat mendengar seperti Doktor sakit jiwa. :)



Mengenang dan terkenang. Memang akan jadi rutin bagi insan-insan warga emas. Nanti saya pun begitu. Ada gembira dalam kenangan, segalanya jadi manis. Dan dalam masa yang sama, ada rasa pilu dan hirisan sayu menghiris kerana kita tahu ia tak akan kembali lagi, kecuali dalam mimpi-mimpi sahaja.

Selamat berSabtu semua.

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Friday, June 3, 2011

hantu stokin

Apakah yang menghapus ego seorang lelaki?

Saya pun tidak tahu sebenarnya.

Menyelak-nyelak majalah Solusi isu 32, tertarik dengan En Azzam Supardi menulis tentang kisahnya. Rupanya sakit sahaja yang boleh menghapus ego seorang lelaki. Itu pendapatnya. 

Benarkah?

Bab ini, saya tiada pendapat. Bagi saya keegoan itu fitrah setiap manusia. Saya juga punya ego sendiri. Menghapus ego tidak mungkin rasanya. Meminimakan ia semungkin yang boleh... itu mungkin.

Cikgu, ceritalah dulu sebelum kita belajar.

Cerita apa saja, macam cikgu Fairose selalu buat sebelum kelas.

Wah... Ego saya tercabar. Perbandingan sentiasa berjaya menaikkan keegoan. Hahaha. Hanya 4 orang sahaja pelajar yang hadir dalam kelas tambahan yang tidak diwarwarkan ini. 4 orang yang rajin.

Ala... Saya tak pandai bercerita.

Saya mencuba untuk meminimakan ego saya. Walau ada banyak kisah yang boleh didendangkan kalau saya mahu. Tapi, saya pasti cikgu Fairose sentiasa menang di hati mereka. :)

cikgu fairose yang comel
bila sedih, macam cinderella la pulak


Cikgu Fairose selalu cerita dulu sebelum belajar. Cerita apa-apa je , cikgu.

Macam dulu tu dia cerita pasal stokin... Hahaha lawak cikgu!

Ah... Saya tidak punya cerita tentang stokin. Malang sungguh. Apalah yang boleh dicerita tentang stokin?

Emmm... Tak payahlah. Awak je cerita. Saya dengar. Lepas awak cerita, kita belajar ... k.

Saya lihat ada nada kecewa di mata mereka. Alahai.

*nanti nak cari cerita hantu stokin la...


Salam Jumaat dan 1 Rejab.

cikgunormah@klcitizen
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Thursday, June 2, 2011

angan-anganku musnah

Alhamdulillah, adik 14 tahun yang menimbulkan isu sensasi tersebut sudah memadamkan entrinya.

Panas hari ini.

Ah, seperti biasa manusia ini sentiasa merungut. Panas salah, sejuk pun salah. Semuanya serba salah. Cuti salah, sekolah lagilah salah... :)

Aduii..

Sakit di mana? Di hati..., mengingatkan seminggu cuti sudah hampir habis. Dan sepanjang cuti ini tidak ada isu yang dapat ditulis di sini. Yang banyak memberi ilham menulis selama ini rupanya anak-anak murid dalam kelas. Dan bila duduk di rumah sahaja, idea pun jadi beku.

Mah, makan mah.

Asal duduk mengadap ibu mertua, itulah kata salamnya. Hendak tak hendak, menjamahlah juga.

Mah, makan mah. Ni... si Ton dah gorengkan pisang raja. Kalau kat KL ni di kerat 3 pisang ni baru digoreng. Makan , mah.

Mah, makan mah. Mak ada kirim beli laksam ni dengan si Som tadi. Baru buat ni. Orang yang jualnya pukul 5 baru nak meniaga. Rasa sikit , mah.

Jamahlah juga.

sumber



Aiii.... angan-anganku musnah! Alat penimbang berat badan adalah musuh utama ku sekarang!!

~cikgunormah@klcitizen~
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Wednesday, June 1, 2011

terlanjur

Dunia ini memang ramai manusia, berbilion. Saya hanya seorang dari yang berbilion. Betapa tidak signifikannya saya, kalau difikir secara harfiah atau literal. 

Ibarat melihat semut berkerumun, nampak sama tiada beza.

Namun dalam berbilion itu, setiap satu punya cerita tersendiri. Aneh? Tidak sama sekali. Tabii nya begitu. Dan kita nanti disingkap satu persatu berdasar cerita kita sendiri. Bayangkan menanti dan menunggu, satu demi satu manusia yang bertrilion atau berbilion itu untuk dihadap dan dipertanggungjawab atas setiap zarah kata dan tindakan masing-masing. Meski kita bertuah kerana punya Penghulu Nabi segala Nabi, lantaran itu, istimewanya kita, akan diperdahulukan untuk disemak.

Sedih. Atas 2 perkara yang berpaksi atas kata keterlanjuran.

Berjalan ambil angin petang di maya tadi, singgah di halaman adik zulaika yang manis. Lantas terpanggil untuk mencapai link yang ada, ... tentang kisah perihal maruah diri yang tergadai. Aduhai.... naluri keibuan diruntun dan dicarik. Sedih. 

Dan sedih alang kepalang, atas hukuman yang ditintakan oleh tetamu yang berkunjung ke link tersebut. Layakkah kita? Walau jelas dan terang kesilapan serta keterlanjuran yang dilakukan....

Sedih juga kerana mengguris rasa sahabat lama. Tanpa niat, ia terjadi. Rajuknya panjang mungkin. Di luar upaya saya untuk menarik balik keterlanjuran tersebut. Cuma ia menjadi pengajaran serta iktibar, bahawa setiap insan dalam bilionan itu punya rasa dalam dada. 

Salam maaf atas keterlanjuran.

~cikgunormah@klcitizen~




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

berwaspada

Rasanya baru sahaja membasuh kuali dan mengemas meja makan untuk sarapan tadi. Tapi, melihat jam, ahhh.... sudah sepatutnya punch-in untuk kerja-kerja memasak lauk pauk makanan tengahari pula. Memang tidak ada istilah berehat yang sesungguhnya bagi yang bergelar suri rumah tangga...

Hari kelima cuti. Masa.., cepatnya  kamu berengsot pergi. 

Sudah terbayang pintu pagar sekolah, dan lambakan kerja yang masih belum selesai di atas meja. Biarkan sahaja, cikgu. Hari esok jangan difikir. Hari ini pun belum tentu terlaksana segalanya.

Kata yang manis.

Kelemahan wanita, saya kira sesiapa sahaja.., adalah cair dengan kata yang manis. Apatah lagi kalau si Romeo yang menuturkannya adalah romeo yang diintai saban waktu selama ini. Itu yang istimewanya menjadi romeo. Tidak perlulah bersusah payah, hanya dengan kata manis dan pujuk rayu, kebanyakan wanita akan tergoda.

Yang peliknya, ramai lelaki yang baik tidak pandai pula menyusun kata untuk menambat hati. Kaku dan beku. Mengharap si wanita faham kehendak hati dan gelodak rasanya. Payah. 

Tapi ... apa-apa yang manis terlebih itu kan tidak baik untuk kesihatan. Yang pahit itu juga tetap menjadi ubat.

Selamat berwaspada wahai wanita!

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...