ini entri berpesan-pesan , terutamanya kepada semua guru tidak kira yang baru atau lama.
'Undang-undang Pendidikan di Malaysia' tulisan Tie Fatt Hee terbitan Fajar Bakti sedang saya baca dan sedikit sebanyak membuka mata.
Guru dikenakan ganti rugi membayar RM40,000.00 iaitu 40% dari jumlah ganti rugi RM100,000.00 kerana kecuaian menyebabkan kematian pelajar semasa aktiviti berkelah di pantai Port Dickson.
Ceritanya begini, setelah tiba di Pantai Port Dickson, satu taklimat telah disampaikan oleh guru yang mengiringi lawatan tersebut. Pelajar dilarang berenang di pinggir pantai jika tiada guru yang hadir mengawasi kegiatan mereka.
Semasa makan tengah hari, 2 orang pelajar kelihatan bermain di tepi pantai. Salah seorang guru yang mengiringi berbincang dengan guru lain sama ada ingin mengambil tindakan terhadap pelajar tersebut. Namun, guru lain menyatakan yang pelajar tersebut hanya bermain-main dan tidak berenang.
Malangnya, kedua pelajar tersebut telah terjatuh dan dilanda oleh ombak ke arah laut. Akhirnya mereka mati lemas.
Semasa perbicaraan, guru yang didakwa, menjawab bahawa pelajar-pelajar tersebut telah mengingkari arahannya, bermakna pelajar-pelajar tersebut bertanggungjawab terhadap kemalangan tersebut. Mahkamah menerima jawapan tersebut dan perbuatan pelajar dianggap 'kecuaian sertaan' dan boleh dikenakan hukuman sebahagian dari dendaan iaitu 60% dari RM100,000.00 .
(sumber dari mukasurat 93-94 buku Undang-undang Pendidikan di Malaysia)
Saya tiada ilmu perundangan dan saya pasti ramai juga guru di luar sana tiada ilmu tersebut juga. Membawa pelajar-pelajar keluar menjalankan aktiviti luar bilik darjah sama ada di luar sekolah atau tidak memang merupakan sebahagian dari skop kerja seorang guru.
Namun pada masa yang sama, risiko untuk berlaku kejadian di luar kawalan sangatlah besar. Wang ringgit tidak dapat menyelesaikan perasaan sedih dan bersalah atas kecuaian kita yang sebentar.
Mengawal pelajar dalam kelas pun sudah membawa masalah apatah lagi membawa mereka keluar dari rutin dan sudah semestinya mereka akan 'over excited' dan selalu bertindak di luar sangkaan kita.
Apa pun, banyak-banyak berpesan , mengingat dan ikut gerak hati kita. Kalau saya,.. dari malam sebelum nak bergerak dan di sepanjang perjalanan aktiviti, bibir tak sudah-sudah mohon Allah permudahkan.
semoga tiada lagi peristiwa sedih seperti ini dalam perjalanan tugas kita berlaku.
~cikgunormah@klcitizen~