Friday, July 16, 2010

Belajar dari kehidupan orang lain

Sempat bersembang dengan dua pelajar perempuan kelas paling hujung yang saya ajar pada tahun ini. Menunggu waktu rehat habis, dua pelajar tersebut tidak mahu turun ke kantin. Jadi saya menemankan mereka , sambil berbual. Tujuan saya cuba mengenal mereka.

"Biarlah , kalau dia sakit ke apa nanti, saya tak nak buat kisah pun. Saya memang , kalau ayah saya ada kat rumah , saya tak nak kluar bilik. Kalau emak , ayah ngan adik perempuan saya tengok tv, saya taknak duduk sama kat ruang tamu tu," beritahu A  bersungguh. Ada nada marah pada suara dan wajahnya. Matanya sikit pun tidak memandang saya, tetapi memandang jari jemarinya.

Begitu dalam marah beliau pada ayahnya. Hati saya tertanya-tanya.

"Nanti kalau betul jadi apa-apa pada ayah awak, dia meninggal dunia ke... mesti masa tu awak menyesal, teringat kat dia," jawab saya, hilang modal untuk mengatur bicara.

"Biarlah cikgu. Dah macam-macam dia buat kat kami," ada getar  rasa kecewa dalam suara anak gadis  itu.

"Kenapa ya cikgu, polis ni makin tua makin gatal?" tanya kawan di sebelahnya .

Ha... baru saya dapat menangkap cerita si A.

"Bapa awak kaki perempuan ke?" tanya saya perlahan, takut kalau kata-kata saya menyinggung perasaan A.

A mengangguk. Rupanya sejak dia mula mengerti lagi, A saban waktu mendengar pertelingkahan antara ibu dan ayahnya tentang orang-orang ketiga yang silih berganti dalam hidup mereka.

Dan kini dalam usia remaja, rasa hormat pada ayah dan ibunya bertukar menjadi rasa berontak teramat. Keliru dengan tingkah ayahnya yang tidak putus mengejar seronok dunia, dan tidak faham dengan sikap ibunya yang tetap setia menahan derita diperlaku ayahnya sebegitu rupa.

Saya hilang kata untuk menasihat. Kerana derita yang terpendam bukan baru tetapi sudah berakar dalam jalur hidup A. Ia takkan mudah disembuh dengan hanya kata-kata seminit dua dari saya yang baru saja mengenal sisi duka dalam hidup A. 

"Kita memang tak ada pilihan untuk pilih ayah atau ibu kita. Tapi itulah yang kita ada. Cubalah, kawal emosi , kerana peringkat awak ini memang kehidupan sungguh celaru. Yang penting, kita selesaikan masalah SPM ini dulu ya. Awak kena belajar betul-betul. Saya yakin awak memang boleh. Cuma kena ikut teknik yang saya ajar. Yang penting jangan putus asa, tau," saya cuba menyusun bicara. Keinginan saya agar kata-kata saya dapat berbekas di hatinya. Tapi itu bukan dalam kuasa saya.

Loceng habis rehat berbunyi. Masuk kawan perempuan mereka yang lain, C dan D.

"Ha...cikgu tak dengar lagi citer C, dia lagi teruk dari saya... Mak bapaknya dah bercerai, tapi dia cool je,"  suara A pada saya bila ternampak C.

"Ha... napa?napa? engkau mengumpat aku ya, dengan cikgu?" balas C yang tidak tahu butir bual kami tadi. Saya hanya tersenyum dan mula bersiap untuk mengajar.

Sepanjang mengajar selepas itu, pandangan saya terasa berlainan terhadap mereka dalam kelas ini. 


*kita akan lebih menghargai hidup kita dengan belajar dari kehidupan orang lain*

~cikgunormah@klcitizen~


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

6 comments:

  1. Salam..

    Bila kita melihat kesusahan orang lain lagi berat daripada kesusahan kita menjadikan kita lebih bersyukur dan redha.

    Segala sesuatu ada buruk dan baiknya. Sekiranya kita melihat alam atau manusia dengan mata kebencian, tidak akan terdapat dalam alam barang yang tidak tercela.

    ReplyDelete
  2. Salam cikgu,
    Entri kali ni memang sangat sesuai lah dengan saya yang suka sangat nak komplen dan terasa walaupun pada perkara kecil. Betullah kata cikgu dan komentar yang pertama tu, kita sepatutnya menghargai, bersyukur dan redha dengan kehidupan kita apabila melihat kehidupan orang lain yang lebih susah dari kita

    ReplyDelete
  3. salam,

    hmm..setuju sgt. saya tak pernah merasa berada di kelas hujung2, tp saya dan kawan2 juga tak kurang susahnya jika b'cerita ttg makbapak. tp kami org yg positif, saat belajar b'sama guru sgt kami hargai krn itulah saatnya kami melupakan apa2 masalah di rumah. mungkin kami generasi yg m'jadikan cabaran sbg penguat semangat utk berjaya dlm alam persekolahan. alhamdulillah..

    ReplyDelete
  4. salam..sebab tue saya tak heran jika seorang bapa ditinggalkan di rumah org tua oleh anaknya kerana mungkin pd zaman mudanya dia terlupa tanggungjwb pd si anak

    ReplyDelete
  5. Salam Normah

    Keadaan kehidupan ini pelbagai ragam, malah itulah yang dikatakan ujian.. jadi nasihat normah pada A itu sepatutnya diterima. Kesihan anak2 jika ada ibubapa merumitkan keadaan.

    ReplyDelete
  6. betul..melalui pangalaman orang lain membuatkan kita lebih matang dalam mengharungi hidup.

    ReplyDelete

terima kasih kerana sudi meninggalkan teguran membina, moga Allah sentiasa merahmati kita semua.