Sempat bersembang dengan dua pelajar perempuan
kelas paling hujung yang saya ajar pada tahun ini. Menunggu waktu rehat habis, dua pelajar tersebut tidak mahu turun ke kantin. Jadi saya menemankan mereka , sambil berbual. Tujuan saya cuba mengenal mereka.
"Biarlah , kalau dia sakit ke apa nanti, saya tak nak buat kisah pun. Saya memang , kalau ayah saya ada kat rumah , saya tak nak kluar bilik. Kalau emak , ayah ngan adik perempuan saya tengok tv, saya taknak duduk sama kat ruang tamu tu," beritahu A bersungguh. Ada nada marah pada suara dan wajahnya. Matanya sikit pun tidak memandang saya, tetapi memandang jari jemarinya.
Begitu dalam marah beliau pada ayahnya. Hati saya tertanya-tanya.
"Nanti kalau betul jadi apa-apa pada ayah awak, dia meninggal dunia ke... mesti masa tu awak menyesal, teringat kat dia," jawab saya, hilang modal untuk mengatur bicara.
"Biarlah cikgu. Dah macam-macam dia buat kat kami," ada getar rasa kecewa dalam suara anak gadis itu.
"Kenapa ya cikgu, polis ni makin tua makin gatal?" tanya kawan di sebelahnya .
Ha... baru saya dapat menangkap cerita si A.
"Bapa awak kaki perempuan ke?" tanya saya perlahan, takut kalau kata-kata saya menyinggung perasaan A.
A mengangguk. Rupanya sejak dia mula mengerti lagi, A saban waktu mendengar pertelingkahan antara ibu dan ayahnya tentang orang-orang ketiga yang silih berganti dalam hidup mereka.
Dan kini dalam usia remaja, rasa hormat pada ayah dan ibunya bertukar menjadi rasa berontak teramat. Keliru dengan tingkah ayahnya yang tidak putus mengejar seronok dunia, dan tidak faham dengan sikap ibunya yang tetap setia menahan derita diperlaku ayahnya sebegitu rupa.
Saya hilang kata untuk menasihat. Kerana derita yang terpendam bukan baru tetapi sudah berakar dalam jalur hidup A. Ia takkan mudah disembuh dengan hanya kata-kata seminit dua dari saya yang baru saja mengenal sisi duka dalam hidup A.
"Kita memang tak ada pilihan untuk pilih ayah atau ibu kita. Tapi itulah yang kita ada. Cubalah, kawal emosi , kerana peringkat awak ini memang kehidupan sungguh celaru. Yang penting, kita selesaikan masalah SPM ini dulu ya. Awak kena belajar betul-betul. Saya yakin awak memang boleh. Cuma kena ikut teknik yang saya ajar. Yang penting jangan putus asa, tau," saya cuba menyusun bicara. Keinginan saya agar kata-kata saya dapat berbekas di hatinya. Tapi itu bukan dalam kuasa saya.
Loceng habis rehat berbunyi. Masuk kawan perempuan mereka yang lain, C dan D.
"Ha...cikgu tak dengar lagi citer C, dia lagi teruk dari saya... Mak bapaknya dah bercerai, tapi dia cool je," suara A pada saya bila ternampak C.
"Ha... napa?napa? engkau mengumpat aku ya, dengan cikgu?" balas C yang tidak tahu butir bual kami tadi. Saya hanya tersenyum dan mula bersiap untuk mengajar.
Sepanjang mengajar selepas itu, pandangan saya terasa berlainan terhadap mereka dalam kelas ini.
*kita akan lebih menghargai hidup kita dengan belajar dari kehidupan orang lain*
~cikgunormah@klcitizen~